KEDUTAAN Besar Malaysia di Washington DC bakal mempamerkan keindahan songket dalam sambutan Hari Malaysia ke-61, dengan matlamat memperkenalkan hasil seni tenunan tradisional yang halus ini kepada khalayak antarabangsa.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata bahawa pemilihan songket sebagai tema utama bertujuan untuk memberi peluang kepada tetamu menghargai keindahan dan kehalusan seni warisan Malaysia.
“Selain daripada menghormati warisan kita, saya juga ingin memupuk pertukaran budaya serta persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berharap usaha ini akan menarik minat global terhadap tekstil tradisional Malaysia serta membuka laluan untuk kemasukan songket ke pasaran yang lebih luas.
Turut hadir dan merasmikan acara tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang akan memberikan sokongan kepada usaha memperkenalkan songket di peringkat antarabangsa.
Sambutan selama dua minggu ini akan bermula pada 10 Oktober dengan acara kemuncak iaitu pertunjukan fesyen bertemakan “The Magnificent Golden Threads of Songket” di samping pameran khas di Kedutaan Besar Malaysia.

Pereka fesyen terkemuka Malaysia, Sharifah Kirana dan Zachrin Jaafars, akan mempersembahkan koleksi busana mereka yang diinspirasikan oleh songket dalam pertunjukan tersebut.
Pameran turut memaparkan karya-karya dari Muzium Tekstil Negara Malaysia serta demonstrasi langsung tenunan songket oleh artisan terkenal, Kelthom Hussein. Pengunjung juga akan menyaksikan seni mural secara langsung oleh pelukis Dani Omar, yang mengambil inspirasi daripada corak songket, serta busana fesyen lestari oleh pereka Sharifah Kirana.
“Hati saya penuh dengan kebanggaan melihat songket Malaysia dipamerkan untuk tatapan dunia.
“Saya menggalakkan semua untuk datang dan menyaksikan sendiri kekayaan seni tekstil tradisional kita,” katanya lagi.
Songket diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Unesco pada tahun 2021, menandakan kepentingannya dalam budaya Malaysia.

