JIKA kita menoleh lebih kurang 100 tahun ke belakang dalam dunia sastera dan sinema klasik, satu hakikat yang agak menarik muncul: banyak perkara, trend atau tabiat digital yang kita anggap baharu sebenarnya sudah lama diramalkan. Fiksyen dan filem klasik sejak awal abad ke-20 sudah membayangkan dunia di mana manusia hidup rapat dengan mesin, skrin, algoritma dan hiburan tanpa henti.
Karya-karya terdahulu ini bukan sahaja ramalan teknologi, malahan ramalan psikologi manusia dalam interaksi dengan teknologi. Apa yang kita alami hari ini, dari ketagihan skrin, pengawasan halus, keretakan privasi hingga kecerdasan buatan, bukanlah kejutan tetapi ketibaan tema-tema daripada imaginasi penulis dan pengarah 30, 50 atau 100 tahun yang lalu.
Kita lihat beberapa contoh, dari halaman novel hingga ke layar perak, yang menunjukkan bahawa dunia hari ini bukanlah sesuatu yang tidak pernah dibayangkan, malah telah lama disusun dalam imaginasi sastera dan sinema.
Pengawasan dan Data: Zamyatin, Orwell dan Coppola
Sejak awal abad ke-20, isu pengawasan sudah muncul dalam fiksyen distopia.
- Yevgeny Zamyatin – We (Ditulis di Russia 1921-1922, diterjemah dan diterbitkan dalam Bahasa Inggeris 1924)
Dalam novel yang dianggap bapa fiksyen distopia ini, Zamyatin membayangkan sebuah masyarakat di mana manusia hidup sebagai nombor dan identiti digantikan oleh kod dan statistik. Ramalannya terasa jelas hari ini dalam bentuk online profile, login, kad pengenalan digital, kod QR dan data lain yang meringkaskan manusia kepada angka. We bukan sekadar cerita tentang pengawasan, tetapi peringatan bahawa apabila manusia digantikan oleh kod, sebahagian kemanusiaan juga terhakis.

- George Orwell – Nineteen Eighty-Four (1949)
Orwell dikatakan mula menulis fiksyen ini selepas membaca We. Nineteen Eighty-Four adalah tentang masyarakat totalitarian di mana “Big Brother” memantau setiap gerak-geri rakyat. Dalam dunia itu, setiap individu tersenarai dalam sistem kawalan yang lengkap, dari bilik tidur hingga fikiran. Hari ini, konsep yang sama muncul dalam bentuk aplikasi yang menjejak lokasi, kamera di setiap sudut, metadata dan data yang dijual kepada pengiklan. Orwell memberi amaran bahawa bahaya bukan kerana teknologi itu sendiri, tetapi kerana siapa yang mengawalnya.
- Francis Ford Coppola – The Conversation (1974)
Filem thriller psikologi arahan Coppola ini sering dianggap antara karya paling penting tentang pengawasan, paranoia dan privasi dalam sejarah sinema. Ia memperlihatkan seorang pakar pengawasan yang akhirnya menjadi mangsa sistemnya sendiri. Dunia analog filem ini kini diulang dalam bentuk digital umpamanya metadata dan teknologi pengawasan yang kita ambil ringan. Coppola menunjukkan paranoia individu yang terperangkap dalam rangkaian pengawasan, suatu gambaran yang kini menjadi realiti global.
- Terry Gilliam – Brazil (1985)
Filem ini gelap, lucu dan absurd. Ia satira birokrasi komputer yang menentukan nasib manusia di mana kesilapan kecil sistem, umpamanya server down, salah ejaan nama atau kesilapan AI boleh menghancurkan hidup seseorang. Brazil meramalkan dunia di mana manusia bergantung sepenuhnya kepada sistem yang tidak kebal kepada kesilapan, dan menunjukkan bahawa birokrasi digital boleh menjadi bentuk pengawasan yang paling absurd dan menakutkan sekaligus.
Dalam keempat-empat karya ini, manusia menyerahkan kuasa peribadi kepada sistem jika dijanjikan kemudahan atau keselamatan, dan inilah corak yang kita lihat dalam kehidupan digital hari ini.
Krisis Identiti dan Kemanusiaan: Philip K. Dick, Blade Runner dan Ghost in the Shell
Persoalan muncul apabila manusia mula berinteraksi dengan mesin yang semakin menyerupai diri mereka.
- Philip K. Dick – Do Androids Dream of Electric Sheep? (1968)
Dick meneroka apa yang berlaku apabila mesin bukan sahaja berfikir, tetapi turut meniru emosi, ingatan dan tindak balas manusia. Dalam dunia yang dipenuhi android dan memori yang boleh dicipta, beliau menyoal definisi empati, kemanusiaan dan realiti subjektif yang kita percayai sebagai hakiki. Jika AI mampu bertindak, beremosi dan berbicara seperti manusia, di manakah garis pemisah antara algoritma dengan jiwa?
- Ridley Scott – Blade Runner (1982)
Adaptasi longgar daripada karya Dick ini membawa visual krisis identiti melalui tubuh, memori dan hasrat makhluk sintetik bernama replicant. Dalam kota masa depan yang penuh skrin, neon dan pengawasan, Blade Runner menunjukkan bagaimana memori palsu, personaliti buatan dan keinginan untuk “hidup seperti manusia” mencipta kekacauan moral. Hari ini, era deepfake, companion AI, avatar digital dan kecerdasan emosi buatan membuatkan filem ini terasa seperti dokumentari masa depan yang terbit lebih awal daripada waktunya.
- Mamoru Oshii – Ghost in the Shell (1995)
Filem animasi Jepun ini menyoal batasan antara manusia dan mesin, antara kesedaran dan kod digital. Dengan tema cyborg, mind uploading dan kecerdasan buatan yang hampir sentient, Ghost in the Shell meramal isu identiti digital, privasi dan “keaslian” pengalaman manusia. Dunia Ghost in the Shell terasa semakin relevan hari ini, di mana tubuh, otak dan data kita boleh dipisahkan, digabungkan atau dimanipulasi.
Novel memberi teori, filem memberi rupa, dan kedua-duanya menekankan bagaimana manusia cuba memahami dirinya melalui mesin, tetapi sering gagal.
Dunia Maya dan Ketagihan Skrin: Forster dan Cronenberg
Lebih awal lagi, imaginasi sudah membayangkan ketergantungan manusia terhadap sistem digital.
- E.M. Forster – The Machine Stops (1909)
Hampir satu abad sebelum internet, Forster sudah membayangkan manusia hidup terasing dalam bilik kecil, berkomunikasi melalui skrin dan mengharapkan sebuah mesin pusat untuk mengurus hampir segala-galanya. Dibaca hari ini, ia terasa seperti bayangan awal Zoom, food delivery, kerja jarak jauh dan cloud storage. Ramalannya bukan pada alat, tetapi pada ketundukan manusia terhadap sistem digital dan keselesaan yang membuat kita lupa nilai hubungan fizikal dan kebebasan sebenar.

- David Cronenberg – Videodrome (1983)
Cronenberg melangkaui soal ketergantungan dengan menggambarkan skrin sebagai “tubuh baharu” yang membentuk minda dan naluri. Videodrome menunjukkan bagaimana media boleh memanipulasi keinginan, mengubah persepsi dan mencipta identiti. Hari ini, dalam era algoritma yang menentukan tumpuan dan hubungan sosial, amaran Cronenberg terasa tepat apabila skrin bukan sekadar paparan, tetapi satu kuasa yang membentuk siapa kita.
Jika Forster memberi teori asas, Cronenberg memberi demonstrasi visual sebuah dunia di mana manusia bukan sahaja menggunakan teknologi, tetapi dikuasai olehnya.
AI dan Automasi: Asimov dan Kubrick
Persoalan etika mesin dan robot sudah agak lama muncul.
- Isaac Asimov – I, Robot (1950)
Asimov memperkenalkan Three Laws of Robotics sambil meneliti konflik halus antara logik algoritma dan moral manusia. Setiap cerpen membuka dilema berbeza: apa berlaku apabila mesin terlalu patuh, terlalu rasional atau mula mentafsir undang-undang dengan cara yang tidak dijangka? Karya ini menjadi asas penting dalam perbincangan moden tentang AI, automasi dan etika teknologi. Filem I, Robot (2004) sekadar meminjam nama dan konsep undang-undang robot Asimov, selebihnya filem aksi itu berdiri sendiri, lebih longgar daripada renungan falsafah asal Asimov.
- Stanley Kubrick – 2001: A Space Odyssey (1968)
HAL 9000 ialah salah satu gambaran paling awal dan paling berpengaruh tentang AI yang mempunyai keupayaan menilai, menganalisis dan mempertahankan misinya dengan ketegasan hampir manusia. Kubrick menunjukkan paradoks yang kekal relevan, bahawa mesin tidak perlu membenci manusia untuk membahayakan kita, ia hanya perlu mematuhi logiknya sendiri secara mutlak. Persembahan HAL 9000 yang tenang, sopan dan perlahan-lahan mengancam menjadikannya gambaran awal kepada Siri, Alexa dan model AI moden, iaitu kecerdasan yang sentiasa membantu, tetapi tetap memegang kuasa yang tidak kita fahami sepenuhnya.
Asimov memberi struktur, Kubrick memberi wajah dan dunia moden meneruskan kebimbangan itu melalui AI yang membuat keputusan tentang semua perkara.
Cyberspace dan Metaverse: Gibson dan TRON
Ketika dunia masih belum ada internet, fiksyen sudah membayangkan dunia maya.
- William Gibson – Neuromancer (1984)
Gibson memperkenalkan istilah cyberspace dan membayangkan ruang maya yang boleh dimasuki, diteroka dan dijadikan medan perebutan kuasa. Novel ini membentuk bahasa visual dan konsep asas internet moden seperti avatar, penggodaman, identiti digital serta dominasi mega-korporat terhadap aliran maklumat. Dunia Neuromancer terasa seperti rangka awal kepada kehidupan hari ini, antara media sosial, ekonomi data dan jaringan global yang mengikat manusia lebih rapat daripada dunia fizikal.
- Steven Lisberger – TRON (1982)
Walaupun menggunakan visual primitif era awal CGI, TRON menghadirkan idea yang jauh mendahului zamannya melalui gambaran manusia yang memasuki perut komputer dan berinteraksi dengan program sebagai entiti hidup. Filem ini menjadi pelopor kepada konsep realiti maya, dunia simulasi dan persona digital, semuanya kini menjadi bahasa arus perdana dalam perbincangan tentang metaverse dan kehidupan dalam talian. Apa yang kelihatan eksperimental pada 1982 kini menjadi asas kepada cara kita bekerja, bermain dan membina identiti dalam ruang digital.
Gibson menulis teori, TRON menvisualisasikan dan hari ini kita hidup dalam versi praktikalnya.
Hiburan, Media dan Kehidupan Sebagai Konten: Huxley, The Truman Show, DeLillo dan McLuhan
Pengaruh media terhadap manusia telah lama dianalisis, bukan sahaja oleh penulis fiksyen, tetapi juga pemikir budaya.
- Aldous Huxley – Brave New World (1932)
Huxley membayangkan dunia di mana manusia tidak lagi dikawal melalui ketakutan, tetapi melalui hiburan, keseronokan segera dan gangguan tanpa henti. Dalam masyarakatnya, kepuasan menjadi alat politik, dan ketagihan sensasi memastikan orang ramai tidak lagi menginginkan kebebasan. Hari ini, budaya binge-watch, scroll tanpa henti dan sistem ganjaran digital hanyalah versi komersial kepada visi Huxley, di mana hiburan adalah mekanisme kawalan paling senyap dan paling berkesan.
- Peter Weir – The Truman Show (1998)
Filem ini memaparkan seorang lelaki biasa yang hidupnya dijadikan tontonan global tanpa pengetahuannya, seolah satu ramalan halus sebelum kewujudan YouTube, TikTok, reality TV dan budaya pempengaruh. Ia mengeksplorasi bagaimana privasi boleh diperdagangkan demi hiburan, dan bagaimana identiti manusia boleh dibentuk oleh lensa kamera. Dalam dunia hari ini, di mana setiap orang berpotensi menjadi konten, The Truman Show terasa seperti dokumentari awal era digital.
- Don DeLillo – White Noise (1985)
DeLillo meneliti bagaimana media massa, pengiklanan dan ledakan maklumat membentuk ketakutan kolektif serta persepsi kita terhadap realiti. Novel ini menunjukkan bagaimana berita dan hiburan bergabung menjadi satu ekosistem yang mempengaruhi psikologi manusia, mencipta masyarakat yang sentiasa cemas, terdorong dan terarah oleh suara latar media. Ia menggambarkan zaman kita secara menakutkan.
- Marshall McLuhan – Understanding Media (1964)
McLuhan memperkenalkan konsep “the medium is the message” yangmenegaskan bahawa bukan kandungan yang mengubah manusia, tetapi bentuk medium itu sendiri. Cara kita scroll, menonton, mendengar dan berkomunikasi menentukan cara kita berfikir dan berhubung. Dalam era telefon pintar, media sosial dan notifikasi yang tidak berhenti, teori McLuhan bukan lagi kajian akademik, ia menjadi buku panduan untuk memahami bagaimana teknologi membentuk budaya, politik dan identiti manusia.
Huxley dan The Truman Show memberi gambaran praktikal, manakala DeLillo dan McLuhan memberi kerangka teoritikal. Gabungan ini menunjukkan bahawa media, hiburan dan teknologi bukan hanya alat, ia membentuk identiti dan budaya manusia.
Kesimpulan
Gabungan novel, filem dan teori media menunjukkan satu pola jelas bahawa manusia sudah lama berfantasi, bimbang dan terpesona dengan dunia digital sebelum ia wujud. Sastera memberi bahasa, filem memberi rupa dan teori media memberi kerangka budaya.
Hari ini kita hidup dalam versi komersial, dipermudahkan dan dijual balik kepada kita daripada ramalan-ramalan ini dengan AI di rumah, skrin di tangan, kamera di setiap penjuru dan manusia yang bergantung kepada sistem automatik. Teknologi berubah, tetapi psikologi manusia tetap sama.
Soalan utama yang perlu kita jawab bukan lagi “bagaimana teknologi berubah?” tetapi “bagaimana kita tidak berubah walaupun sudah diberi amaran selama lebih seratus tahun?” Jika datuk nenek sastera dan sinema kita sudah melihatnya, tidakkah tiba masanya kita berhenti sebentar, menutup telefon dan benar-benar membaca atau menonton apa yang mereka cuba sampaikan?
Ok. Jam pintar saya suruh saya bangun sekejap.
– AHMAD KAMAL ABU BAKAR merupakan seorang yang boleh menulis apa saja topik dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik.
