KARYA seni adalah ‘symbolic goods’ kata Pierre Bourdieu seorang pakar sosiologi.
Lalu itu beliau mendapati terdapat dua tabiat masyarakat dalam memerhati karya seni.
Praktik ini dipanggil ‘audiencing’ kata Professor Gillian Rose yang melibatkan kelakuan praktik dan identiti sosial si pemerhati.
Rata-rata pemerhati yang melawat galeri atau muzium akan berjalan perlahan-lahan mengarap satu demi satu karya yang dipamerkan sambil dengan tekun meneliti keteperincian tertentu dalam karya pilihan.
Tabiat ini lazimnya menjadi amalan golongan masyarakat kelas pertengahan – ‘middle class’ kata Bourdieu (1984) yang disokong juga oleh Alain Darbel (1991).
Kedua mereka berpendapat bahawa jumlah pelawat galeri atau muzium meningkat secara mendadak bila tahap pencapaian pendidikan masyarakat atau khalayak (audien) meningkat dan ini hampir membayangkan tahap eksklusiviti khalayak (audien) yang dipanggil ‘cultivated classes’.
Namun ini tidak semestinya menyarankan bahawa audien yang bukan dari golongan pertengahan tidak berupaya menikmati karya seni. Kerana tidak kurang juga audien masakini yang mengunjungi galeri atau muzium semata-mata untuk meraih pengikut melalui pengisian (content) media sosial.
Memandangkan kajian ini dibuat sebelum gelombang media sosial melanda maka fenomena ‘content creation’ tidak terbabit dengan kedua pakar sosiologi ini.
Apa yang saya dapati menarik dalam perbincangan Bourdieu dan Darbel ialah bagaimana mereka melihat karya sebagai objek bersimbol (symbolic goods) yang tentunya hanya mampu dihayati (diaprisiasi) oleh masyarakat yang dilatih iaitu dari golongan ‘cultivated classes’.
Untuk menghayati karya seni menurut Bourdieu, sesaorang itu harus berupaya membaca, memahami sekurang-kurangnya sejarah makna, gaya dan konteks di mana karya itu dibuat. Kebolehan ini tentunya tidak datang dari langit atau melalui kefahaman kendiri katanya lagi.
Tentunya saranan ini tidak popular di kalangan golongan bukan kelas pertengahan kerana merasakan hak mereka untuk menikmati karya seni terbendung. Mereka juga bimbang dianggap tidak ‘cultured’.
Gillian Rose, pengkaji budaya merumuskan bahawa untuk menjadi golongan pertengahan (middle class), seseorang itu harus berupaya mengapresiasi karya dan boleh menikmati seni sepenuhnya.
Makanya perbincangan ‘seni untuk masyarakat’ itu sebenarnya tidak semudah yang dilontarkan dalam risalah dan poster-poster popular.
