JUMAAT lepas, pelakon berbakat besar, Aloy Paradoks berjaya memukau sebahagian besar yang hadir di Balai Seni Negara dengan aksi hebatnya menerusi pementasan monodrama.
Malah Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang baru dipilih itu berjaya membuatkan ramai yang hadir turut sebak dengan cerita dan aksinya. Ada yang menemui pelakon asal Teluk Intan itu dan mengakui mereka turut mengalir air mata melihat monodrama yang dipentaskan.
Aloy mengadaptasikan lukisan karya Datuk Mohd Hoessein Enas yang berjudul ‘Memetik Daun Tembakau Di Kelantan’. Biarpun menggunakan loghat Perak, Aloy dengan kehebatannya mampu memusatkan perhatian ramai yang hadir ke pentas dan lakonannya.
Begitulah Aloy, pelakon berbakat besar namun sayangnya semacam kurang diberi perhatian. Jadualnya tidak padat seperti ‘kayu kayan’ lain yang langsung tidak berbakat. Cuma bersandarkan paras rupa tetapi lakonan kaku sekaku kakunya.
Ada pelakon yang bakatnya tak seberapa tetapi setahun kalendarnya sudah padat dengan kontrak lakonan dengan produksi itu dan ini.
Sebut pasal kalendar, di petang Jumaat yang sama ketika Aloy berjaya membuatkan abang-abang dan kakak-kakak pengiat dan peminat seni tampak mengalirkan air mata melihat kehebatan aksinya, Balai Seni Negara turut melancarkan Kalendar 2025 serentak dengan pelancaran Manifestasi Dua Seni.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman, Balai Seni Negara terus komited dalam memastikan 2025 agar setiap golongan masyarakat mendapat manafaat melalui sajian program.

Dalam ucapannya di majlis perasmian Program Manifestasi Dua Seni dan Pelancaran Kalendar 2025, Roslan berkata program Balai Seni Negara untuk tahun depan tidak hanya mempromosikan seni visual tempatan malah meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam seni dan budaya Malaysia melalui tahun wacana, ‘knowledge transfer’ dan simposium.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff; Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPSVN; Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Dr. Tan Awang Besar, dan penggiat seni.
Dalam majlis sama, Roslan turut merasmikan program ‘Manifestasi Dua Seni’ yang dianjurkan pada November lalu sehingga Januari depan di seluruh negara.
‘Manifestasi Dua Seni’ merupakan salah satu platform penting dalam memartabatkan karya seni dan sastera tanah air.
Beliau berkata, penganjurannya sejajar dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucapannya dalam Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, untuk memartabatkan karya seni dan sastera negara serta memupuk minat golongan belia terhadap karya agung.
Menerusi kenyataan medianya, Balai Seni Negara memaklumkan ‘Kalendar Program 2025’ yang merupakan rangkuman pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang dirancang sepanjang tahun.

“Manifestasi Dua Seni menawarkan pengalaman seni yang luar biasa, menggabungkan dua cabang seni utama iaitu seni visual dan sastera sebagai usaha bagi memperkukuh identiti budaya Malaysia.
“Ianya memberi tumpuan kepada kolaborasi antara pelukis, penulis, penyair, dan penggiat seni, dengan harapan mencipta pengalaman seni yang lebih bermakna.
“Dengan menampilkan karya-karya agung sastera dan seni visual, program ini turut memperkenalkan penulis dan pelukis dari pelbagai latar belakang kepada khalayak yang lebih luas, berperanan sebagai medium untuk menghargai karya-karya lama, sambil memberi ruang kepada karya baharu untuk berkembang,” katanya.
Manifestasi Dua Seni menerima penglibatan daripada pelbagai persatuan seni dan budaya di seluruh negara, termasuk Roman Buku Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, PORT di Ipoh, Perak, Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer), Senika di Kuantan, Pahang dan Kotak Seni di Kelantan.
Manifestasi Dua Seni dilihat sebagai sebuah wadah yang mampu mengangkat karya sastera agung ke tahap yang lebih tinggi bagi meraikan bakat tempatan, malah turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi serta pelbagai latar belakang budaya, demi memperkukuh warisan seni negara.
Pelancaran Kalendar Program 2025 dan Manifestasi Dua Seni mencerminkan aspirasi Balai Seni Negara untuk terus memperkasa peranan seni dalam membentuk identiti budaya negara.

