SARJANA dan pengkaji seni komik dan kartun tersohor, Profesor John A. Lent dalam bukunya Asian Political Cartoons (The University Press of Mississippi, 2023) menegaskan bahawa kartun dan kartunis politik harus diberi perhatian.
Ini kerana peranannya selama ini yang bertindak sebagai “watchdog” atau pemerhati kepada pemerintah atau sistem pemerintahan yang korup dan zalim. Kartun politik dalam bentuk visual disifatkan sebagai suatu wadah komunikasi berkesan dalam menyampaikan pandangan, tepat dan langsung kepada isu, serta mudah difahami berbanding dengan tulisan. Menurut Lent lagi, di Asia, penyampaian dalam bentuk visual ini telah dapat dimanfaatkan oleh masyarakat yang buta huruf.
Selain daripada berfungsi sebagai pemerhati kerajaan dan sistem politik, kartunis politik juga berperanan memberi kesedaran kepada masyarakat serta menarik perhatian mereka kepada masalah sosial dan kemudiannya berusaha dan berkempen untuk mengubah keadaan itu. Lent menyifatkan kartun politik bukan hanya terhasil dalam bentuk tradisional satu panel yang biasa kita baca dalam ruangan editorial akhbar, tetapi juga dalam pelbagai bentuk lain seperti komik, lerang, majalah, novel grafik, Internet, animasi, poster dan seni jalanan.

John Lent merumuskan bahawa peranan kartun politik itu adalah untuk mengkritik ahli politik, tokoh awam dan institusi berkaitan pernyataan, dasar dan tindakan mereka; untuk menunjukkan situasi dan keadaan sosial yang berpotensi membahayakan kepada kebajikan awam dan menyeru kepada usaha pembetulan dan perubahan.
Kartun politik membuat satira atau jenaka terhadap figura awam sama ada dengan motif tertentu atau sebaliknya, memberi penghormatan terhadap individu penting setelah kematian mereka, dan akhirnya, tetapi bukan sekerapnya, memuji sesuatu tindakan, peristiwa atau individu tertentu yang berjasa atau bermanfaat untuk kebaikan awam dalam melaksanakan tindakan yang boleh dicontohi dan menjadi teladan (Ibid). Meskipun begitu, jika terlalu banyak memuji, kartun politik berpotensi kehilangan peranan utamanya sebagai senjata politik, sebaliknya menjadi alat propaganda.
Dalam tulisannya, Lent memetik Paul Nelson (1975: 7) yang berpendapat, “kartun yang lemah sekadar merakam berita dalam bentuk grafik, sementara karya yang kuat menggambarkan permasalahan politik, sosial atau ekonomi dengan menyarankan semacam suatu jalan penyelesaian.” Membandingkan karya seni catan dengan kartun politik pula, dia menyebut, “karya catan berbisik, kartun politik pula menjerit” (Ibid).
Hal ini pada dasarnya menterjemahkan peranan kartun dan kartunis politik sama ada untuk bersikap neutral dengan menyatakan kebenaran ataupun mengambil pendirian untuk berpihak. Inilah yang dinyatakan oleh Horn (The World Encyclopedia of Cartoons, New York: Chelsea House Publishers, 1981) dalam kajiannya, bahawa kartunis editorial atau kartunis politik boleh dibahagikan kepada dua kategori, “the ideologues”: sama ada ke kanan atau ke kiri, dan “the agnostics”. Yang pertama lebih persuasif, sementara yang kedua lebih lucu dan kerap menggambarkan ketepatan atau realiti (Muliyadi Mahamood, Kartun Editorial Melayu sejak 1990. Pusat Penerbitan Universiti UPENA, UiTM, 2010: 4).

Foto – Dr. Muliyadi Mahamood.
Dalam konteks ini, kartunis politik boleh memilih untuk menjadi pemerhati ataupun pengkritik mahupun jurnalis visual yang menyuarakan pendapat, protes, ataupun menyalurkan suara masyarakat sekeliling. Fokus kartunis politik mungkin bukan kepada tokoh atau personaliti, sebaliknya kepada isu-isu yang menjadi perkara penting dalam menentukan kemakmuran rakyat dan negara, justeru mereka perlu bersuara. Keunikan kartun politik pula menuntut khalayak membuat tafsiran bijak yang mungkin berbeza-beza.

Perubahan kaedah komunikasi, penyampaian berita dan maklumat pada alaf baharu ini telah menyaksikan kartun politik muncul dalam pelbagai bentuk, sama ada secara dalam talian atau Internet, melalui media sosial seperti Instagram, Facebook, WhatsApp, Tik Tok, blog. laman sesawang atau bentuk media komunikasi yang lain, dengan kemampuan capaian audiens yang lebih luas dan global serta tidak terikat dengan dasar-dasar pemilik akhbar mahupun editor. Hal ini memungkinkan kartun dan kartunis politik berdiri dan bergerak sendiri, sebagaimana dilakukan oleh Zunar, Fahmi Reza dan Kumpulan Kartunis Independen menerusi karya-karya mereka yang telah mengubah landskap kartun politik tanah air pada Era Pra-Madani.
Kartun politik lazimnya dihasilkan dalam format satu panel selaras dengan sifatnya merakam atau menggarap sesuatu isu atau keadaan yang khusus. Apa yang dilakukan oleh kartunis politik adalah memfokus kepada momen tertentu yang signifikan bagi menarik perhatian khalayak. Dalam melaksanakan misi ini, kartunis menggunakan senjatanya seperti karikatur, elemen kontras, kiasan, bahasa dan perlambangan. Lazimnya, bentuk dan makna kartun politik dipengaruhi oleh latarbelakang kartunis, objektif, pembaca sasaran dan media yang menerbitkannya.

Sesuai dengan sifatnya memfokus kepada isu-isu sosiopolitik semasa yang khusus, kartun politik lazimnya mengandungi penggunaan kata-kata dan bahasa yang ekonomis, malahan ada yang semata-mata bersifat visual, berkomunikasi menerusi kekuatan bahasa grafik yang bersifat representasi mahupun perlambangan.
Kartun politik yang baik selalunya dapat menyimpulkan isu yang kompleks dalam suatu persembahan yang padu dan padat, serta maknanya mudah dicerap dan dihayati penghayat dalam jangka masa yang singkat dan cepat. Kartun politik boleh berperanan sebagai senjata politik, alat propaganda, protes, medium suara masyarakat, agen perubahan minda, satira dan hiburan.
Kenneth Baker, ahli politik British yang terkenal pernah menulis dua buku menarik mengenai kartun politik berjudul The Prime Ministers: An Irreverent Political History in Cartoons (Thames and Hudson, 1995) dan The Kings and Queens: An Irreverent History of the British Monarchy (Thames and Hudson, 1996), yang mengupas sejarah satira kartun politik Inggeris berkenaan Perdana Menteri dan Keluarga Diraja. Bukan sekadar memberi gambaran menyeluruh mengenai penampilan kedua-dua institusi itu dalam kartun, malahan beliau menunjukkan ikatan unik dan saling memerlukan di antara mereka dengan kartunis politik. Kajian itu turut memberi gambaran bahawa ahli politik yang tidak pernah dikartunkan seolah-olah tidak popular.

Dalam kartun politik, aspek semiotik dan simbolisme sering kali menjadi wadah utama menyampaikan maksud, dipersembahkan menerusi pengolahan komposisi, kesan kontras, karikatur, imejan haiwan, watak “trademark”, “pun” atau mainan kata-kata dan metafora. Prop atau alatan tertentu, biasanya digambarkan dalam bentuk objek atau simbol juga berperanan sebagai imejan sokongan yang menggambarkan personaliti seseorang tokoh atau memberi makna dan mesej tertentu dalam kartun politik.
Misalnya, Kenneth Baker, menunjukkan bagaimana imej beg tangan menjadi simbol kuasa kepada mantan Perdana Menteri British Margaret Thatcher ataupun imej seluar dalam mewakili Perdana Menteri John Major seperti dilukis kartunis Steve Bell. Di Malaysia, Zunar menjadikan cincin berlian sebagai prop melambangkan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri mantan Perdana Menteri. Kartunis Rossem dan Nan menggunakan imejan songkok tinggi melambangkan UMNO dan kopiah putih mewakili PAS: suatu simbolisme yang popular dan diterima ramai suatu ketika dulu. Kekuatan sesuatu prop kadang-kadang sudah cukup untuk memberi makna atau menyampaikan mesej dalam kartun politik, tanpa memerlukan karikatur pemimpin atau tokoh yang difokuskan.
Oleh kerana kartun politik kerap kali mendedahkan kepincangan dalam sistem pentadbiran sesebuah negara ataupun salah laku pemimpinnya, seni ini jarang sekali disenangi oleh pemerintah. Di merata dunia, banyak kartunis politik yang berdepan dengan pelbagai masalah dan tekanan daripada pemerintah akibat kartun-kartun politik mereka. Hal ini kerap kali dilaporkan oleh Cartoonists Rights Network International (CRNI), sebuah badan yang menjaga kebajikan dan kebebasan bersuara kartunis politik.

CRNI bukan sahaja melaporkan kes-kes seumpama ini, malahan memberi panduan bagi kartunis dalam mendepani masalah sedemikian. Setiap tahun CRNI memberi anugerah dan pengiktirafan kepada seorang kartunis terpilih dari seluruh dunia demi menghargai keberanian mereka dalam menyuarakan pendapat dan ketidakadilan politik menerusi kerja-kerja seni mereka. Pengiktirafan ini juga sebenarnya menjadi semacam suatu “lesen” atau “perisai” yang memberi perlindungan kepada kartunis terbabit.
Namun begitu, pengiktirafan ini tidak menjanjikan kelangsungan kartun politik, sebagaimana ditunjukkan oleh John Lent dalam kajiannya bahawa seni kartun politik semakin terhimpit dan terpinggir. Bukan sahaja di Asia, malahan secara global, bilangan kartunis politik semakin mengecil dan ruangan untuk genre kartun ini semakin berkurangan dalam akhbar-akhbar utama dunia.
John Lent menunjukkan, pengurangan jumlah kartunis politik yang bekerja dengan akhbar semakin ketara, contohnya di Amerika Syarikat, terdapat 257 kartunis politik dalam akhbar pada tahun 1957 dan jumlah itu turun kepada 84 pada tahun 2007. Pada hari ini, kurang daripada 30 orang kartunis politik sahaja yang masih bertugas secara tetap dengan akhbar di negara itu, sementara di Jepun, daripada tiga akhbar utama, hanya akhbar Mainichi Shimbun yang masih mempunyai kartunis politik.

Selain daripada kemajuan teknologi digital dan komunikasi dalam talian, antara faktor yang menyumbang kepada situasi ini adalah meningkatnya ancaman dan tekanan terhadap kartunis politik bukan hanya di Asia, malahan di seluruh dunia. Seni kartun politik mendapat perhatian bukan kerana keunikan seninya, sebaliknya kerana isu-isu dan insiden yang tercetus daripadanya.
Sebagai contoh, penerbitan karikatur yang menghina dan mempersenda Nabi Muhamad oleh akhbar Denmark, dan tindakan majalah satira Perancis Charlie Hebdo yang kerap menerbitkan karya-karya bersifat provokasi, semata-mata bagi tujuan provokasi, apa yang Lent sebut sebagai “provocation-for-the-sake-of-provocation” telah mencetuskan kemarahan ramai, terutamanya di kalangan umat Islam. Hal ini kemudiannya telah menyebabkan pejabat pentadbiran majalah itu dibom dan 12 orang stafnya terkorban pada Januari 2015.
John Lent merumuskan bahawa di Asia kartunis politik tidak mempunyai kebebasan mutlak. Menurutnya, di China, Myanmar dan Vietnam, kartun politik diharamkan dan dikawal oleh kuasa yang lebih tinggi daripada pengurusan akhbar melalui pelbagai kaedah, sama ada undang-undang, garis panduan atau batasan-batasan tertentu. Justeru itu, berlakulah apa yang disebut penapisan kendiri atau “self-censorship” di kalangan kartunis politik dan munculnya “guided cartooning” atau kartun terpimpin, sama seperti “guided press” atau jurnalisme terpimpin.
Menurut Lent, pendekatan terpimpin ini hanya membantu pemerintah dalam membangunkan agenda kemajuan dan kemakmuran negara, yang untuk jangka masa panjang akan membunuh kebebasan media, termasuklah kartun politik. Garis panduan dan batasannya kabur dan tidak jelas, hanya mengikut pertimbangan editor dan kartunis, namun yang pasti, akhirnya kepentingan pemilik media dan pemerintah dilindungi dan dipertahankan.
Menerusi kajiannya, Lent mendapati bahawa kebebasan kartun di Asia terjejas pada abad ke-21 menerusi tekanan kerajaan melalui pelbagai undang-undang seperti penyalahgunaan undang-undang berkaitan hasutan, hak cipta, dan harta intelek. Antara lain dia menyentuh polisi dan garis panduan tidak tertulis di China dan Vietnam, ataupun tekanan kumpulan pelampau agama di Bangladesh yang memaksa kartunis politik meninggalkan negara itu.

Menurutnya, penerbit akhbar lebih suka ilustrasi “kosong” atau “non-opinion illustrations” berbanding kartun politik. Kartunis bukan hanya ditekan pemerintah menerusi pelbagai undang-undang dan garis panduan, mereka juga tidak mampu dibela oleh khalayak yang turut takut, tertekan dan berpendirian “apa yang boleh mereka buat dan lakukan” dalam mendepani keadaan sedemikian.
Hal ini mendorong kartunis politik untuk mengupas isu-isu global berbanding isu-isu setempat bagi mengelakkan risiko kecaman pemerintah, ahli politik dan penyokong mereka, serta masalah perundangan. Lent menyebut bahawa hal yang sama berlaku di Amerika Syarikat atas faktor-faktor yang serupa dan langkah sindiket pengedaran kartun antarabangsa yang mengambilkira cita rasa pembaca atau audien global.
Dapatan kajian John Lent bahawa seni kartun politik semakin mengecil dan terpinggir menunjukkan bahawa tidak mustahil genre seni ini akan pupus pada suatu hari nanti. Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakannya, banyak persoalan dan andaian yang timbul mengenai hal ini.
Dalam konteks sejarah kartun politik Malaysia, peranan dan kerancakan kartun politik sudah terbina sejak Era Sebelum Merdeka menerusi karya-karya yang meniup semangat kebangsaan, membina jati diri dan identiti nasional, serta memperjuangkan kemerdekaan. Kartun politik ketika itu begitu keras dan tegas dalam menyampaikan mesejnya. Selepas Merdeka, kartun politik menjadi senjata propaganda bagi menyuburkan semangat muhibah dan perpaduan antara kaum. Pada dekad 1980-an hingga akhir 1990-an, kartun-kartun editorial lebih cenderung kepada isu-isu sosiobudaya setempat dan pergolakan politik antarabangsa.
Pada Era Reformasi, kartun politik tanah air begitu subur dalam membawa arus perubahan minda dan budaya politik. Mengharungi pelbagai sekatan dan hal perundangan, kartunis politik yang berani mengambil risiko dan “membayar” harga yang sangat mahal untuk memperjuangkan idealisme, ideologi dan tokoh politik yang mereka sokong. Kartun-kartun politik juga menjadi senjata menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Seperti Era Sebelum Merdeka yang tertekan oleh penjajahan, Era Reformasi juga merupakan fasa sejarah dan masa yang kritikal. Hal ini menjawab kepada hakikat bahawa kartun politik itu begitu subur dan berkembang. Benarlah kata banyak sejarawan dan pengkritik seni, kartun politik itu lazimnya cukup bertenaga apabila menyerang serta melawan sasaran-sasarannya.
Di samping faktor-faktor yang ditemui oleh John Lent dalam kajiannya, mungkinkah suasana sosiobudaya dan politik semasa yang agak selesa, stabil dan lebih tenang kini menyumbang kepada kurangnya penerbitan kartun-kartun politik di tanah air kini, kalau ada pun, lebih tertumpu keapada politik dalaman kepartian. Kartun-kartun begini boleh dibaca menerusi hantaran-hantaran dalam media sosial kartunis, seperti Instagram dan facebook. Hakikatnya, menghasilkan karya kartun politik itu memerlukan penyelidikan, ketelitian, keberanian dan rasa tanggungjawab. Jika tidak, kartun yang dihasilkan hanyalah bersifat permukaan semata-mata.
Hari ini, penerbitan majalah dan akhbar bercetak yang semakin berkurangan dan hampir pupus juga memberi kesan kepada merosotnya penerbitan kartun politik, di samping hakikat bahawa media sosial dan media baharu yang lebih bersifat interaktif, reaktif, pantas dan aktif itu sudah mula secara beransur-ansur mengambil alih peranan kartun politik sebagai senjata politik yang baharu.
Rujukan.
John A. Lent, 2023. Asian Political Cartoons. The University Press of Mississippi.
Kenneth Baker, 1995. The Prime Ministers: An Irreverent Political History in Cartoons. Thames and Hudson,
Kenneth Baker, 1996. The Kings and Queens: An Irreverent History of the British Monarchy. Thames and Hudson.
Muliyadi Mahamood, 2004. The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993). Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Muliyadi Mahamood, 2010. Kartun Editorial Melayu sejak 1990. Pusat Penerbitan Universiti UPENA, UiTM.
Muliyadi Mahamood, 2024. Rupa dan Jiwa: Sekitar Dunia Kartun. Dewan Bahasa dan Pustaka.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
