KANAK-kanak merupakan seniman dan pengkarya seni yang jujur, dalam merepresentasi apa yang mereka lihat. Hal ini sebenarnya menyamai konsep simbolik lukisan di dinding gua oleh manusia primitif. Kanak-kanak mempraktikkan seni konseptual, berbanding seni persepsi. Mereka berekspresi secara simbolik dalam menjelmakan sesuatu bentuk dan elemen di dunia nyata.
Kecenderungan kanak-kanak mempersembahkan objek dalam bentuk-bentuk geometri dan simbolik, justeru menjadi bukti terhadap pengamatan konseptual mereka. Di sebalik keupayaan kreatif dan sensori motor yang masih terbatas, jika mahu dibandingkan dengan manusia dewasa, keupayaan untuk melukis elemen-elemen serta objek di alam realiti, menjadikan kanak-kanak sebagai seniman visual yang terawal.
Kenyataan bahawa lukisan awal kanak-kanak berkeadaan sedemikian, adalah disebabkan mereka ini polos, tidak melakukan peniruan (copy), sebaliknya mengungkapkan simbolisasi (symbolize) daripada kenyataan (reality). Lantaran itu, terdapat beberapa penjelasan yang boleh memperjelaskan representasi di dalam lukisan awal kanak-kanak.
Realiti dan Representasi pada lukisan awal kanak-kanak
Lukisan awal kanak-kanak, dapat dilihat sebagai representasi konseptual yang mencorakkan intuisi mereka seawal umur tiga tahun, begitu yang diungkapkan oleh arif psikologi kelahiran Switzerland, Jean Piaget (1962). Pada usia ini, mereka telah terdedah dengan aspek estetika, iaitu melalui pengamatan serta lakaran.
Selanjutnya, menjelang usia 6 tahun, sensitiviti dan gerak hati (intuitive) mereka dalam melihat, menilai dan menganalisis perkara-perkara berkaitan estetika, sudah pun menyamai pengamatan seorang dewasa yang telah berusia 60 tahun.
Howard Gardner (1990), ada membahaskan perbezaan tingkat pemikiran kanak-kanak yang menerima pendidikan formal, yakni yang mengikuti pengajian di sekolah dan kanak-kanak yang tidak bersekolah.
Kajian mengenai sikap, kesedaran terhadap visual serta produk mungkin berbeza di antara kanak-kanak di negara maju, kanak-kanak di Antartika (eskimo), kanak-kanak pintar atau kurang pintar, kanak-kanak yang diberi perhatian atau terabai, dan kanak-kanak berpendidikan yang menghuni kota dengan yang mendiami hutan. Namun demikian, unsur kesamaan lebih banyak diserapi, berbanding perbezaannya (Rodolf Arnheim, 1954).
Kanak-kanak melukis apa yang mereka lihat
Kanak-kanak menjelmakan segenap perkara yang mereka cermati di alam realiti dengan jujur, walaupun tidak mencapai tahap kesempurnaan ‘menggambar’. Ini kerana, batasan sensori motor dan kawalan visual, yang tidak memungkinkan kanak-kanak menuangkan realiti hingga ke tahap realisme.
Konsentrasi mata dan tangan, yang menjadi medium utama proses representasi mereka, kurang daripada pengamatan manusia dewasa. Sememangnya kawalan motor yang tidak lengkap, akan didapati dalam lukisan awal kanak-kanak, koordinasi garisan tidak menentu, yang kadangkala seperti garis zig-zag, pada dasarnya tidak menepati apa yang telah mereka lukis, tetapi sudah mencukupi bagi mempersembahkan apa yang sepatutnya.
Kanak-kanak dan masyarakat primitif, melukis secara umum dan menghasilkan bentuk-bentuk realistik secara tidak tepat, kerana mereka melukis apa yang mereka lihat. Tetapi ini bukanlah jawapan untuk persoalan ini.
Kanak-kanak secara hakikatnya ‘melihat’, melebihi apa yang mereka lukis. Sewaktu usia kanak-kanak sudah boleh mengenal pasti dan membezakan perubahan pada objek yang biasa mereka lihat, lukisan yang terhasil masih tidak ada banyak bezanya. Ia terjadi disebabkan oleh proses alami serta fungsi representasi piktorial.
Lakaran-lakaran serta contengan simbolik, yang kadangkala tidak dapat dikenal pasti dengan jelas bentuknya, memberi maksud tersendiri dalam imaginasi serta perkembangan kognitif kanak-kanak.
Rudolf Arnheim (1954), ada mengemukakan beberapa teori serta pandangan terhadap kebolehan kanak-kanak melukis dan merepresentasi simbol-simbol. Ia melalui beberapa tahap dan mekanisme, misalnya lukisan sebagai manifestasi pergerakan (drawing as motion), lukisan bulatan pemula (the primordial circle), prinsip atau hukum pembeza (the law of differentiation), garis-garis vertikal dan horizontal (vertical and horizontal), sendengan (obliqueness), keanekaragaman (the fusion of parts), saiz (size) dan keganjilan dalam memberikan nama (the misnamed tadpoles).
Mekanisme ini dilihat menjadi kecenderungan kanak-kanak sewaktu melukis apa yang mereka perhatikan dalam fenomena realiti, lalu dipersembahkan pula ke dalam bentuk-bentuk seni secara representasi visual.
Kesimpulan
Kuasa visual pada kanak-kanak terhadap apa yang dilihatnya di alam realiti, yang kemudiannya dilukiskan secara simbolik, menunjukkan kekuatan daya kognitif serta keupayaan motor mereka. Kanak-kanak adalah ‘seniman’ terhadap segala apa yang mereka lihat, tahu serta rasa, dan seterusnya digarap di dalam satu persekitaran estetik.
Dunia imaginatif kanak-kanak diwarnai elemen-elemen simbolik. Mereka menterjemahkan apa yang mereka lihat, ke atas lembar-lembar kertas dan segenap dinding-dinding terbuka secara konseptual. Inilah medium komunikasi visual untuk pernyataan luahan rasa, emosi, persembahan dan perkembangan intelektual mereka.
Proses kreativiti dan interaksi simbolik kanak-kanak, terhadap visual pada lakaran-lakaran ‘skemata’ (struktur kognitif intelektual manusia, seperti persepsi, idea, dan tindakan yang saling berhubungan) mereka, tidak harus dihalang, bahkan seharusnya perlu didorong.
Makanya, galakkan sahaja mereka untuk aktif berimaginasi, berkreativiti dan berinovasi, agar paradigma intelektual terus dipertajam. Pengamatan, inspirasi nurani serta kuasa ilham kanak-kanak, adalah anugerah teragung sang Pencipta.
Rujukan
Freud, Anna (1966-1980). The Writings of Anna Freud: 8 Volumes. New York: IUP.
Gardner, Howard (1990). Art Education and HumanDevelopment. LosAngeles: The Getty Education Institute for the Arts.
Piaget, J. (1962). Play, Dreams and Imitation in Childhood. New York: Norton
Rudolf Arnheim (1954). Art and Visual Perception. London: University of California Press

