‘’..pada saya jika ada 10 atau 20 ketua persatuan atau grup pelukis dan ahlinya hardcore yang sudi mengikuti ‘satu kaedah yang sama’ dalam setiap proses menjual karya. Saya percaya proses yang win win ini akan diulang pakai dan menjadi ikutan dan amalan jika ramai mula mengikuti satu kaedah jual beli yang sama. Insyallah.’’ Demikian kata pelukis Taufik Abdullah dalam satu komen terhadap hantarannya sendiri yang diterjemahkan sebuah portal baru-baru ini.
Hantaran tersebut bercakap mengenai komisen yang diambil oleh pihak galeri keatas apa-apa karya yang dijual melaluinya. Hantaran tersebut juga memperkatakan mengenai perlunya ada sedikit tindakan apabila satu-satu karya itu dijual kembali di pasaran kedua. Jualan melalui rumah lelong misalnya dimana seniman tidak lagi dilihat sebagai pemilik karya setelah melepaskan karyanya untuk kali pertama.
Sebagai makluman, galeri biasanya akan mengambil 50 peratus dari harga jualan mana-mana karya tanpa mengira kecil atau besar nilai yang ditetapkan pada karya tersebut.
Kecuali hal hak seniman melalui pasaran kedua, hal komisen galeri telah banyak dibincangkan. Baik semasa duduk melabon sesama artis mahupun dalam perbincangan yang lebih serius dan masih belum dilihat sebarang hasil daripadanya. Sementara perbincangan mengenai hak seniman untuk mendapatkan sedikit bahagian dari mana-mana pihak yang menjual karya mereka melalui pasaran kedua pula pernah dibincangkan di Balai Seni Negara baru-baru ini. Cakap-cakap belakang yang kami dengar ialah bagaimana ada panel yang dijemput datang dari dunia yang berbeza dari dunia seni catan. Ini sedikit sebanyak telah mencacatkan perbincangan. Mungkin di masa akan datang Balai Seni Negara boleh mengadakan satu lagi forum yang benar-benar fokus tentang kedua hal tersebut. Dan memilih panel-panel yang mengerti duduk bangun perkara dunia seni catan.

Bawa empunya galeri untuk menerangkan mengenai mengapa mereka perlu mengenakan cas sehingga 50 peratus misalnya. Ini tentu akan membuatkan seniman yang mengeluh faham mengenai mengapa pembahagian separuh-separuh itu perlu dilakukan. Mengenai hak seniman keatas karyanya yang dilelong itu pula tentunya memerlukan satu tindakan dari pihak yang lebih tinggi.
Secara peribadi kami lebih gemar berurusan dengan galeri. Ia lebih menyenangkan kepada seorang pemalas seperti kami ini. Setelah siap lukisan, apa-apa urusan setelah itu kami serahkan kepada pihak galeri. Lagi pun, kamu tentu tidak akan pernah melihat Ai Wei Wei atau Anish Kapoor bergelut menjaja karya-karya mereka. Semua hal-hal tersebut diuruskan oleh pihak galeri. Dan jika kami ini jenis berterus terang maka kami akan katakan yang kami pun dah nak macam kedua-dua seniman tersohor tersebut. Macam kami kata. Macam.
Dan seperkara lagi, dengan iltizam yang tinggi dan menyanjung dunia galeri itu pun, kami masih jarang dijemput untuk berpameran. Baser.
Apa yang dikatakan oleh Taufik itu perlu diambil kira. Ia mesti datang dari sebuah gerakan yang dirancang. Dan suara mereka mesti dibawa oleh sebuah gagasan yang mempunyai pandangan jauh.
Kita mempunyai persatuan pelukis di semua negeri dan semua persatuan ini duduk dibawah Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAPs). Gabungan ini telah ujud sejak tahun 2008. Lupakan persatuan-persatuan pelukis yang terlalu asyik dengan program plaine airenya itu. Lalu tumpuan kita adalah kepada GAPs.

GAPs adalah badan induk kepada semua persatuan pelukis di negara ini. Ia seakan GAPENA kepada semua persatuan pelukis negeri dan yang sedikit merungsingkan adalah bila GAPs sendiri juga sibuk mahu mengadakan pesta-pesta kecil sama seperti yang diusahakan oleh persatuan-persatuan negeri. Hal ini tentu saja menjadikan GAPs sama dengan persatuan negeri. Maka apa gunanya penubuhan gabungan tersebut jika masih bergerak serupa dengan persatuan negeri.
Sepatutnya GAPs bergerak sebagai badan yang memperjuangkan nasib ahli-ahli. Mereka harus duduk paling depan bila membicarakan hal-hal komisen galeri atau hak seniman setelah karya- karya mereka lepas dari tangan misalnya. Karya catan tidak seharusnya diumpamakan sebagai barang dagang. Ia adalah hasil seniman dan selayaknya seperti hasil kerja penulis lirik dan pengubah lagu, ia juga mesti diberikan perhatian untuk mendapat royalti misalnya.
Tetapi GAPs telah gagal dalam banyak perkara. Hatta untuk dikenali oleh seniman sendiri pun mereka masih lemas. Lalu bagaimana pula mahu diiktiraf oleh pemerintah. Kewujudan gabungan ini mungkin langsung tidak diketahui berbanding dengan persatuan SENIMAN yang mempunyai suara yang besar. Atau lihat saja bagaimana Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) yang berjuang dan berjaya sehingga lulusnya Rang Undang-Undang Pekerja Gig baru-baru ini.
Dari segi kewangan pula lihat bagaimana GAPENA dan juga SENIMAN memperolehi geran Kerajaan dalam jumlah yang besar bagi kebaikan ahli-ahlinya. Badan induk seharusnya melakukan ‘kerja-kerja pejabat’ yang menyakinkan dan bukannya mahu sibuk turun pentas dan berkubang di tengah panas berpesta.

Kehadiran persatuan-persatuan yang membawa nama seni sering menjadi tumpuan namun GAPs tidak pernah disebut sesiapa. Malah dengan zalimnya kami katakan bahawa ahli-ahli yang bernaung di bawahnya juga kadangkala lupa akan kewujudannya.
GAPs adalah kepala kepada badan pelukis. Lalu kepala harus terus bercakap dengan kepala yang lain yakni pergi terus berurusan dengan Kerajaan. Mereka mungkin boleh bermula dengan mengadakan hubungan yang lebih mesra dengan Balai Seni Negara. Anjurkan forum atau dialog untuk membincangkan apa-apa hal yang melibatkan seniman misalnya. Atau jika malas, datang saja minum kopi dan bersuai kenal. Buat lawatan muhibbah kata orang. Mereka harus ke depan dalam hal memperjuangkan hak para seniman dan bukan sibuk dengan acara ekor-ekor yang meraban. Hal meraban serahkan kepada persatuan negeri atau serahkan kepada kami. Tahulah kami bagamana mahu melakukannya.
– ABDULLAHJONES merupakan penulis dan pelukis yang berhasrat mengadakan pameran solo di Marang, Terengganu.
