Dalam habitat dan ekosistem seni visual, tidak semua karya hidup dengan pameran atau berkitar dari galeri ke rumah lelongan seni atau menemukan rumah kekalnya di ruangan institusi.
Sesetengahnya menghilang daripada pandangan awam, beredar secara senyap di lingkungan para koleksi persendirian atau memasuki pasaran kedua sambil menunggu waktu dan ruang yang tepat untuk kembali mucul berbicara kepada khalayak sebagai sebuah dokumen sejarah.
Kemunculan semula karya monumental Kamasutra (1979) oleh Dato’ Ibrahim Hussein di pameran GENERAL HANGING 3rd Edition Galeri Puteh adalah detik sedemikian, bukan sekadar kepulangan sebuah lukisan, tetapi kembalinya satu babak penting dalam naratif seni visual moden Malaysia yang mungkin dapat mencetuskan perspektif baru bagaimana khalayak menilai dan mentafsirnya setelah ia dipamerkan semula.
Selama bertahun-tahun, karya bersaiz 152 x 152 sentimeter itu berada dalam koleksi persendirian di Singapura, jauh daripada tatapan umum. Kini, apabila ia kembali dipamerkan di tanah air, ia mengingatkan kita bahawa nilai sesebuah karya seni tidak hanya terletak pada rekod pasaran atau reputasi pengkarya, tetapi juga pada keupayaannya untuk membuka ruang tafsiran baharu merentas generasi atau mungkin untuk digoda-goda oleh pemberani dan juga pengumpul baharu untuk diletakkan ke ruangan peribadi semula.
Lebih daripada sekadar tarikan utama, kehadiran ‘Kamasutra‘ mengangkat persoalan tentang bagaimana karya agung bergerak merentas masa, pemilikan, pentafsiran dan jalan takdir.
Dalam konteks seni Asia Tenggara, karya-karya Ibrahim Hussein sentiasa menjadi tanda aras pada cita-cita modenisme seni visual Malaysia dalam mempertemukan eksperimentasi dan juga imaginasi yang berjaya merentasi sempadan nasional.

Kekuatan GENERAL HANGING 3rd Edition tidak bergantung pada satu nama besar semata-mata. Pameran ini memperlihatkan satu pendekatan kuratorial yang semakin jarang ditemukan dalam landskap galeri komersial tempatan.
Berbanding membina naratif melalui sesuatu tema atau memberi tumpuan kepada pameran solo, Galeri Puteh memilih format general hanging, suatu pendekatan yang membenarkan karya daripada zaman, medium dan latar koleksi yang berbeza untuk berinteraksi secara organik dalam ruang yang sama.

General hanging memilih laluan yang berbeza dengan mengangkat semula karya-karya yang jarang dipertontonkan serta membuka ruang kepada khalayak untuk menelusuri semula perjalanan dan perkembangan seni visual Malaysia melalui karya-karya yang mempunyai nilai koleksi dan keperibadian tersendiri melalui kekuatan visual, kepentingan sejarah dan juga keutuhan artistiknya.

Dalam tradisi permuziuman, pendekatan sebegini lazim digunakan untuk memperlihatkan keluasan koleksi sesebuah institusi. Apabila diaplikasikan dalam konteks galeri komersial, ia mengubah fungsi ruang pameran daripada sekadar platform jualan kepada sebuah arkib visual yang mempertemukan sejarah seni, pasaran kedua dan juga memori kolektif.

Sebahagian besar karya yang dipamerkan datang daripada stor Galeri Puteh, koleksi persendirian, studio seniman dan pasaran sekunder, tempat-tempat yang lazimnya tidak dapat diakses oleh khalayak umum. Dengan mengembalikan karya-karya ini ke dinding galeri, pameran tersebut secara tidak langsung mencabar tanggapan bahawa kehidupan sesebuah karya berakhir sebaik sahaja ia dijual atau tidak dijual. Sebaliknya, setiap peluang untuk mendapat pemilikan baharu menjadi lapisan sejarah bagi memperkayakan makna karya tersebut.

Dialog visual yang terbentuk sepanjang pameran turut merentasi beberapa generasi penting seni visual Malaysia. Karya-karya dari Dato’ Sharifah Fatimah Syed Zubir, Awang Damit Ahmad, Dato’ Yusof Ghani, Ahmad Zakii Anwar, Dr. Jalaini Abu Hassan, Rafiee Ghani, Mastura Abdul Rahman, Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Shukri Mohamed dan Hamidi Hadi memperlihatkan bagaimana bahasa visual moden Malaysia berkembang daripada pencarian identiti pascakolonial kepada wacana kontemporari yang lebih kompleks.

Daripada ekspresi gestural Awang Damit Ahmad kepada figurasi psikologi Ahmad Zakii Anwar, membawa kepada landskap budaya Mastura Abdul Rahman hingga ke tenaga ekspresif Yusof Ghani, pameran ini tidak cuba menyeragamkan perbezaan. Sebaliknya membiarkan setiap karya mengekalkan autonominya sambil membentuk jaringan hubungan yang lebih luas tentang memori, sejarah, ruang dan pengalaman.

Menariknya, dialog tersebut tidak berhenti pada generasi mapan. Kehadiran seniman baru seperti Fadilah Karim, Daud Rahim, Issarezal Ismail, Kide Baharudin, Husin Othman dan Auji Azmi memperlihatkan kesinambungan yang tidak cenderung hanya pada satu arah. Generasi ini tidak sekadar mewarisi tradisi sebelumnya, tetapi mentafsir semula bahasa seni visual Malaysia melalui realiti sosial dan budaya masa kini. Pertemuan antara generasi ini menjadikan ‘general hanging‘ sebagai ruang musyawarah gagasan dan bukan sekadar gantungan kronologi sejarah.

Dalam era dimana pasaran seni sering memberi penekanan kepada karya baharu dan nama yang sedang meningkat atau mungkin ‘viral’ bak istilah hari ini, general hanging mengambil pendekatan yang lebih reflektif. Ia mengingatkan bahawa perjalanan sesebuah karya tidak berakhir selepas meninggalkan studio atau terperap di stor galeri setelah usai pameran. Sebaliknya, setiap perpindahan pemilikan, setiap tempoh penyimpanan dan setiap kemunculan semula akan menambah lapisan makna serta memberi nafas baru untuk karya tersebut menemukan ruangnya.

Mungkin di sinilah nilai sebenar pameran ini. Ia bukan sekadar menghimpunkan karya-karya penting dalam satu ruang, tetapi menghidupkan semula hubungan antara seniman, kolektor, galeri dan khalayak. Karya-karya yang selama ini tersimpan di stor atau menghuni ruang peribadi kembali memasuki ruang awam untuk kembali dibaca, diperdebatkan, ditafsir dan dihargai dalam perspektif yang berbeza.

Apabila Kamasutra kembali ke Malaysia selepas bertahun-tahun berada di Singapura, ia bukan sekadar meraikan kepulangan sebuah karya penting. Ia mengingatkan kita bahawa sejarah seni visual sentiasa bersifat dinamik, dibentuk bukan sahaja oleh penciptaannya, tetapi juga oleh perjalanan takdir yang dilaluinya.

Dalam pengertian itu, general hanging bukan hanya sebuah pameran, tetapi sebuah peristiwa budaya yang mengajak kita melihat semula bagaimana karya seni visual tempatan terus hidup, berubah, berbicara dan bertahan merentasi masa.
GENERAL HANGING 3rd Edition berlangsung di Galeri Puteh dari 4 hingga 25 Julai 2026.
Silakan hadir dan alami sendiri pengalaman ini di GALERI PUTEH
L3-01, Level 3, INC KL Eco City, 3, Jalan Bangsar, 59200 Kuala Lumpur (Stesen LRT – Abdullah Hukum)
Teks oleh Cik Gee Pitih

👍