MEMINDAHKAN karya-karya atau puisi-puisi Pyanhabib ke lukisan bukanlah satu perkara baru kerana sebelum ini satu acara bertajuk ‘Melukis Puisi Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib’ pernah dianjurkan pada 2015. Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan HOM Art Trans, terlibat dalam penganjuran acara yang turut dihadiri Datuk M.Nasir ini. Selain pameran, buku dengan tajuk yang sama juga diterbitkan. Tetapi menulis cerpen berdasarkan sebuah lukisan rasanya ini lah yang pertama kali dianjurkan.
Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Aloy Paradoks yang menganjurkan acara yang dinamakan KALIMAT. Ideanya itu menampakkan dia sebenarnya seorang yang genius. Nampak agak berlebihan bodeknya disitu. Tetapi tidak mengapa kerana jika bukan kita yang mengangkat kawan-kawan, nak harapkan siapa lagi.
Program tersebut adalah sebuah rancangan persembahan selama dua hari iaitu 9 dan 10 November ini bertempat di Balai Seni Negara Ia adalah sebuah program yang meraikan penulis dan pelukis negara.

Sebuah puisi arwah Pyanhabib telah dipilih sebagai subjek untuk dilukis manakala enam buah lukisan pelukis terkenal tanah air yang menjadi koleksi tetap Balai Seni Negara pula disediakan untuk penulis yang memasuki pertandingan tersebut pilih untuk menghasilkan sebuah cerpen.
Kesemua lukisan berkenaan hanya akan dihebahkan pada hari pertandingan iaitu pada Ahad 10hb November 2024.
Kami kira ini adalah acara terbesar bagi mengingati penyair tersebut setakat ini.
Selain pertandingan melukis puisi Pyan, diadakan juga tayangan filem ‘Tak Kisahlah Beb’ lakonan arwah dan juga satu sesi mengenang dia oleh rakan-rakan rapatnya.
Kami memang mahu mengaku yang idea untuk membuat pertandingan melukis berdasarkan puisi dan juga menulis cerpen berdasarkan lukisan itu datang dari kami, dan jika kami mengaku pun, orang akan percaya kerana kepada ramai orang, kami ini sangat ‘terrer’.
Mana ada orang nak percaya yang pelakon yang terkenal kerana tidak kacak dan gemar menceritakan hal itu kepada semua orang yang mahu mendengar boleh datang dengan idea yang sebaik itu. Itu kata mereka jika Aloy Paradok yang mengaku misalnya.
Tetapi ia tidak begitu.
Walaupun kami terlibat secara langsung dalam program tersebut, tugas kami yang sebenar hanyalah sebagai maskot yakni buat-buat sibuk sambil menghiburkan orang ramai. Kiranya kami ini sebenarnya adalah badut untuk acara tersebut.
Kami terima dengan senang hati kerana menurut Aloy, Naga, Shy, dan seluruh tenaga kerja acara ini, “Dolloh bukan reti mende!”. Ialah, kami anak manja maka selamanya lah disayangi semua.
Idea untuk dua pertandingan itu sememangnya datang dari Aloy dan juga team ROMAN dan juga Paradoks Productions. Mungkin Aloy mendapat ilham yang bernas tersebut hasil dari beberapa mesyuarat yang diadakan dengan pihak Balai Seni Negara.
Balai Seni Negara juga bertindak membiayai seluruh acara tersebut selain membenarkan premisnya dijadikan ruang acara.

Dalam beberapa sesi mesyuarat tersebut, Ketua Pengarahnya, Ameruddin Ahmad telah menyarankan supaya beberapa karya agung hasil tulisan sasterawan negara dipilih untuk dibicarakan. Mungkin dia cuba untuk menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya karya-karya agung tempatan diangkat ke tempat yang lebih tinggi.
Kerana itu, selain dari bual bicara mengenai novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, lukisan yang dipilih juga adalah hasil kerja mereka-mereka yang boleh dianggap sebagai seniman agung.
Ini adalah tips untuk mereka yang mahu mengikuti pertandingan menulis cerpen. Semua lukisan yang dipilih sedang dipamerkan di Balai Seni Negara. Penulis yang berminat untuk menyertainya boleh melakukan lawatan awal sebelum pertandingan.
Hadiah keseluruhan kedua-dua pertandingan tersebut berjumlah hampir RM10,000.
Kerana Aloy yang bertanggungjawab atas semua perkara tentang acara ini maka sebagai kurator, dia telah membawa bersama beberapa orang pelakon terkenal untuk mengadakan persembahan.
Penonton yang datang nanti tentu saja tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat pelakon muka sentiasa masam terkenal, Nam Ron yang akan membacakan puisi bagi menghargai Pyanhabib manakala budak gulai masam dari Temerloh, Amirul Affendi yang terkenal sebagai pelakon yang versatile itu pula akan mementaskan sebuah monolog.
Kami harap dia menggunakan loghat Temerloh kerana sebagai orang Pahang, kami selalu memandang hina anak negeri kami yang sibuk nak cakap Kuala Lumpur.
Kami rasa orang luar Kuala Lumpur yang handal bercakap Kuala Lumpur ialah orang Kelantan tetapi itulah, mereka lebih gemar menggunakan loghat negeri mereka hatta ketika bercakap Bahasa Inggeris sekali pun. Ini adalah satu halangan kepada apa juga jenis kemajuan.
Pengarah dan pelakon yang entah berapa kali bersanding Sabri Yunus juga akan bercerita mengenai drama TV yang diangkat dari novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman bersama dengan Tan Sri Johan Jaafar yang juga pernah menjadikan teks tersebut sebagai sebuah drama pentas.
Fazleena Hishamuddin yang baru habis mementaskan teater Persiapan Seorang Aktor untuk siri yang kedua pula akan bertindak sebagai moderator sesi bual bicara tersebut. Pementasan tersebut telah diadakan di Sarawak tanpa pelakon lelaki asal yang dikatakan sibuk buat-buat sibuk. Peranannya telah diambil oleh pelakon yang lebih tampan iaitu Firdaus Karim.
Pelakon, pengacara, pelukis, dan juga peragawan terkenal Ronasina pula telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan sesi bual bicara menghargai Pyanhabib.
Artis lain yang terlibat ialah pasangan penyanyi Anas dan Ana, Sefa, Dewanga Sakti, Ana Raffali dan Taqim Zaki sementara Lan Sinaganaga dan Mutalib Uthman pula akan menjadi panel sesi mengenang Pyanhabib.
Kami harap semua orang yang membaca tulisan ini akan lapangkan masa untuk sama-sama hadir bagi memeriahkan acara tersebut. Bukan apa, jika berjaya, tahun depan mungkin kami dipanggil untuk mengadakan acara yang sama sekali lagi dan jika hal itu berlaku, kami berjanji akan mengundang Beto Kusyairy sebagai teraju utama seperti yang diminta orang ramai orang.
Beto katanya tidak dapat menghadiri acara ini kerana sibuk dengan pengambaran filem bersilat.
Dan yang paling kami tidak faham ialah, kenapa diajak Man Kayan?
– ABDULLAHJONES merupakan penulis dan pelukis yang rasa dirinya terrer tapi tak terrer, terrer tak terrer.

