NAMA seniman Pyanhabib bukan lagi asing bagi kelompok peminat-peminat puisi. Sosok yang sering hadir ke majlis-majlis puisi tidak kira di pentas elit atau marhaen itu amat dikenali dengan gayanya yang tersendiri.
Tanggal 4 Jun lalu, Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2022 itu telah kembali ke rahmatullah meninggalkan seribu satu kenangan kepada semua peminat puisi terutama mereka yang rapat dengannya.
Sebagai penghargaan kepada Allahyarham Pyanhabib, satu program khas dimasukkan ke acara seni yang akan diadakan pada 9 dan 10 Oktober ini.

Pengarah program tersebut, Aloy Paradoks berkata, acara seni yang diberi nama KALIMAT itu dianjurkan sebagai merayakan aktiviti seni di sekitar Kuala Lumpur.
Aloy berkata, sebagai penghargaan kepada ketokohan Pyanhabib dalam bidang seni, KALIMAT turut menyelitkan acara khusus untuk penyair tersebut.
“Ia terbuka kepada siapa sahaja yang berminat untuk memberikan penghargaan kepada Allahyarham Pyanhabib.
“Setiap sajak bukan hanya dibacakan tetapi akan turut dinyanyikan dan dilukis.
“Malah kami membuka penyertaan kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 15 tahun untuk menggalakkan mereka meminati sastera dan seni,” katanya.
Menurut Aloy, satu acara dinamakan Lukiskan Pyan iaitu pertandingan melukis berdasarkan puisi yang dihasilkan oleh Allahyarham Pyanhabib akan diadakan.
Pemenang pertama akan menerima hadiah berupa wang tunai RM1,700 dan sepasang kasut Fung Keong edisi ZRA Strim.
Tempat kedua akan membawa pulang wang tunai RM1,300 dan sepasang kasut Fung Keong edisi ZRA Strim manakala tempat ketiga menerima hadiah RM900 dan sepasang kasut Fung Keong edisi ZRA Strim.
Lima pemenang saguhati akan membawa pulang RM100 setiap seorang.
Pada hari kedua, satu pertandingan menulis cerpen berdasarkan beberapa buah lukisan di Balai Seni Negara akan diadakan.
“Pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, kedua RM1,000 dan ketiga RM6,00.
“5 pemenang saguhati akan menerima wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang,” katanya lagi.

KALIMAT turut menampilkan beberapa tokoh antaranya Tan Sri Johan Jaaffar, Sabri Yunus, Nam Ron dan beberapa penggiat seni yang lain.
KALIMAT akan berlangsung di Balai Seni Negara bermula pukul 12 tengah hari hingga 7 petang pada 9 dan 10 November ini.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan sebuah acara seni yang menjanjikan kelainan ini.

