TULISAN Jimi Mahmud dalam Senimalaya 10 Julai baru lalu menarik perhatian saya. Tajuk kecilnya, “kita ini bukan jenis yang meminta-minta.”
Dalam konteks seni dan budaya, merujuk pada pembiayaan atau bantuan penerbitan, jikalau tak minta maka tak dapat. Meminta pun belum tentu dapat, apa lagi tak minta.
Jikalau ada yang bertanya mengapa teater tidak mendapat penajaan jawabannya penajaan tidak datang dengan mudah. Ini bukan masalah baru. “Orang lama” seperti saya, Dinsman, Hatta Azad Khan, Zakaria Ariffin dan banyak lagi sudah berdepan dengan masalah ini sejak tahun 70-an lagi. Banyak kumpulan teater – dari Anak Alam di Kuala Lumpur hingga Komputer di Terengganu menghadapi masalah penajaan.

Bukan tidak ada penajaan atau sumber dana – tetapi bak kata orang – yang mengawal dan yang sepatutnya memberikannya punya sikap sayang bertompok kasih bertempat. Sampai ke hari ini kita mendengar sekian banyak peruntukan. Ada yang datangnya dari sumber kerajaan, termasuk yang di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, ada yang dari entah berapa banyak Yayasan. Ada gran, ada bantuan, ada pinjaman, ada pembiayaan langsung. Karyawan teater hanya melihat dan mendengar. Pembiayaan teater macam perumahan awam, ada yang setakat mampu lihat dan mampu dengar tapi tak mampu milik.
Tanyalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di manakah wang untuk pembangunan seni dan budaya? Jawabannya hanya peratusan kecil daripada entah berbilion ringgit yang disediakan untuk promosi pelancongan. Teman-teman di jabatan kebudayaan dalam Kementerian itu lebih kuat keluhannya dari karyawan teater dan seni budaya sendiri.
Itupun nasib baik. Apabila Kerajaan Madani mengumumkan nama Kementerian ini, “Kebudayaan” tertinggal dari kementerian tersebut (Baca tulisan saya, “Surat Terbuka Buat Perdana Menteri, Seni dan Budaya, Di mana kau?” (Sinar Harian, 8 Disember 2022).
Sekadar nota sampingan, di Indonesia “kebudayaan” menjadi sebahagian daripada Kementerian Pendidikan, maka nama penuhnya adalah Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Resit dan Teknologi Republik Indonesia (pendekannya Kemdikbud atau Kemendikbud).
Jadi, dalam situasi pegawai kebudayaan di Kementerian sendiri berperang untuk mendapatkan peruntukan, bagaimanakah kita boleh berharap banyak daripada mereka? Tentang peruntukan yang disebut-sebut dalam bajet setiap tahun, lebih baiklah mengambil sikap “kita di sini bukan jenis yang meminta-minta” macam tajuk tulisan Jimi. Bagaimana tentang sekian banyak yayasan lain? Sedap didengar, sukar didapat.
Atau sememangya orang seni tak pandai meminta-minta. Mereka punya rasa pride terlalu tinggi? Lalu bersikap, tak bantu, kami gagahkan juga. Kami buat juga.
Pengalaman saya bersama-sama Kumpulan Anak Alam pada tahun 70-an begitu. Kami bawa teater ke tengah khalayak. Kami mainkan “Pemburu Perkasa” ke pusat membeli belah, tempat letak kereta dan padang terbuka. Naskhah asalnya ditulis oleh W. Mankowitz dan diadaptasikan oleh W.S. Rendra
Muhammad Abdullah (Allahyarham) dan Omar Abdullah memainkan watak-watak utamanya. Kami melakukannya tanpa set, tanpa dekor, tanpa kostum. Apa sahaja dalam lengkungan teater menjadi setting kisah Raja Namrod itu. Dan kami menyediakan topi untuk sumbangan. Busking teater bermula. Jangan kata hanya pemuzik sahaja yang buat busking. Orang teater juga. Banyak juga yang tidak senang dengan langkah itu. Itu menghina teater. Teater jadi sampah. Teater direndahkan martabatnya.
Kami mahu membawa teater pada khalayak. Biar massa tahu teater itu menarik, bermanfaat, menghibur, mendidik. Dua atau tiga orang pelakon amatur boleh membentuk persekitaran dan lengkungan. Teater kami bersifat eksperimental, ad-hoc, mudah alih, mudah ubah, mudah tanggap. Dan menghiburkan. Mungkin juga mendidik.
Pada tahun-tahun 70-an aliran absurdisme dalam teater baru menapak. Eksperimental teater hidup dan hangat. Improvisasi teater menjadi trend. Bagi Anak Alam, teater hanya salah satu ekpresi seni. Anak Alam juga kaya dengan bakat lukisan dan puisi. Para pengasasnya seperti Latif Mohidin, Mustapha Haji Ibrahim, Zulkifli Dhalan, Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Ali Mabuha dan lain-lain adalah pelukis dan penyair. Orang teater datang kemudian ke Anak Alam.
Grup teater Anak Alam buat teater, berkeliling, ada kalanya dengan bantuan kumpulan teater setempat, ada kalanya bantuan teman-teman teater di universiti, ada kalanya kemurahan hati saudagar-saudagar yang kelebihan wang. Memang ada bantuan kewangan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ketika itu, tapi jarang-jarang.
Maka itu karyawan teater marah, jadi marah-marah dan marah betul. Teman-teman seperti Dinsman, saya, Hatta, Kamaruzzaman Ibrahim, Sutung Umar RS, Latif Arif dan lain-lain menamakan diri kami Teater Generasi Ketiga. Ini bukan kumpulan formal, tapi grup karyawan teater melawan establishment.
Teriakan reformasi sudah lama berkumandang di pentas teater sebelum di gelanggang politik.
Mengapa marah-marah, tanya seorang pegawai KKBS.
Dalam majalah Dewan Budaya, November 1983, Dinsman menulis, “Kalau tidak menggunakan pendekatan marah-marah begitu belum tentu kita dapat pecahkan tembuk penghalang komunikasi kita, belum tentu kita dapat tembusi dinding nilai institusi KKBS yang menjadi tembuk penghalang kerjasama antara KKBS degan orang-orang teater selama ini.”
Memang kami marah dan kami wajar marah.
Kalau tak marah, tak dapat. Marahpun sebenarnya tak dapat.
Teater Generasi Ketiga menggunakan slogan “Teater untuk Orang Teater.” Dan bagi membuktikan kemarahan kami, kami buat festival teater, Festival Teater Generasi Ketiga.
Lalu orang bertanya, bolehkah orang teater bergabung, mengenepikan ego dan lain-lain?
Seseorang yang menggunakan nama “Uda” dalam Dewan Budaya, November 1981 menulis: “Kita yang berdiri di luar ini mungkin tidak akan percaya, kerana orang selalu menganggap para dramatis terlalu susah untuk bersatu, ego masing-masing terlalu besar. Masing-masing dikatakan sentiasa mahu bersendiri mencipta nama dan identiti.”
Uda juga menyebutkan tiga perkataan yang sebenarnya mengungkapkan komitmen orang teater: “kesedaran” (agaknya kesedaran bersama), “degil” (semestinya sifat orang teater) dan “cinta” (mungkin obsesi orang teater terhadap seninya).
Berjayakan kami? Kami marah, kami buat festival sendiri, kami cuba buktikan kami boleh bersatu dan kami tunjukkan teater memang untuk orang teater.
Teater Generasi Ketiga membuat statement penting – lantang dan riuh.
Tetapi tanpa modal, kelangsungannya tidak terjadi.
Kami tak minta, tak dapat, kami marah lagi tak dapat.
Demikianlah agaknya dunia teater. Yang tinggal orang-orang yang betul-betul sedar, degil dan cinta. Dulu, kini dan mungkin selamanya.
Seperti Jimi saya mahu juga membuat kira-kita sendiri tentang “pendapatan” Persiapan Seorang Aktor. Harga tiket RM40 didarabkan 60 orang dalam Studio Sedar Ruang. Jumlahnya RM2,400 satu pertunjukkan. Itupun sekiranya semua penonton membayar (saya beli tiket, duit anak saya Syahid).
Selama empat malam pertunjukan mereka pungut RM9,600. Kita anggap tidak ada cukai, tak ada kos sewa ruang, elektrik, tak ada kos makan minum semasa latihan dan tak tolak kos bayaran penerbit dan krew (tentulah mustahil kan?). Kalau semua pungutan itu dibahagikan empat orang (sekiranya tiga orang pelakon dan pengarah dibayar sama rata), dapatlah RM2,400 seorang. Sekiranya dikira latihan 30 hari termasuk 4 malam persembahan, semalam mereka dapat RM80.
Gaji penebar roti canai di restoran mamak tidak jauh dari Studio Sedar Ruang sehari pun lebih besar daripada itu.
Macam surat khabar, tak ada iklan, setiap akhbar yang dijual pasti rugi.
Tanpa pembiayaan atau sokongan dana, Persiapan Seorang Aktor tak berbaloi dibuat.
Tak pedulilah jikalau Johan Jaaffar mengatakan dia kagum dengan drama itu. Atau dia mengakhirkan tulisannya dengan mengatakan drama itu “merupakan salah sebuah drama terbaik pernah saya tonton kebelakangan ini.”
Persiapan Seorang Aktor masih tidak berbaloi daripada segi pulangan.
Mungkin juga ada pembiaya misteri atau White Knight yang membantu, wallahualam.
Teringatlah saya usaha Syahid menerbitkan Pokok karya saya yang diarahkan oleh U-Wei HajiSaari pada tahun 2018. Pokok tersiar dalam Dewan Sastera, September 2017. DBP mengangkatnya sebagai Teater Perdana pada tahun 2018. Drama itu dilakonkan oleh Haliza Misbun, Ebby Saiful, Rahim Jailani dan Buyung Zasdar. Syahid tahu drama itu memerlukan sumber kewangan selain sumbangan DBP (juga kemudahan menggunakan ruang untuk latihan dan pementasan) serta sedikit bantuan dari Jabatan Kebudayaan Wilayah Persekutuan. Penaja utamanya adalah syarikat Perodua. Kebetulan Ketua Pegawai Eksekutifnya pada masa itu minat teater.
Saya menulis kepada kawan-kawan yang saya kenal dalam dunia korporat kalau-kalau boleh membantu penajaan. Maklum saya pernah menjadi Pengerusi syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan juga pernah menjadi lembaga pengarah beberapa buah syarikat lain.
Hampir kesemua kawan-kawan menjawab, tetapi alasannya seperti yang saya duga lebih kurang, “kami terbatas peruntukan”, “tahun ini bukan tahun yang baik”, “kami sudah menghabiskan peruntukan” (kebetulan drama itu dibuat pada bulan Disember) dan macam-macam lagi.
Maka banyak yang sekadar membelikan tiket, ada kalanya untuk 100 atau 200 kerusi tetapi tiket habis penonton ada kalanya tidak ada. Syarikat pembeli tak peduli pun siapa yang menduduki kerusi tiket yang mereka beli.
Dipendekkan cerita, pementasan dari 7 hingga 16 Disember itu memberikan keuntungan bersih (saya ulang ‘bersih’) kepada syarikat Syahid, Balang Rimbun Sdn Bhd sebanyak RM15,000. Jadi fahamlah kenapa Syahid meninggalkan dunia produksi filem, TV dan dokumentari untuk menumpukan waktu sepenuh masa bersama isterinya mengendalikan Tingkap Café di Jalan Othman, Petaling Jaya.
Syahid mungkin serik. Tapi nampaknya tidak juga. Jikalau beliau serik tentulah beliau tidak menjadi penerbit filem Mencari Ramlee yang dilakonkan oleh Sofea Jane, Tony Eusoff, Mimi Lana, Megat Sharizal, Han Zalini dan Abi Madyan.
Itulah orang seni agaknya. Serik yang tak pernah serik.
Mungkin juga orang teater macam saya dan generasi saya dan sekarang generasi Syahrul Musa, Aloy Paradoks, Fazleena Hishamuddin dan ramai lagi tidak serik-serik juga. Generasi terbaru ini meneruskan apa yang kami lakukan dulu dengan sedar, degil dan cinta.
Saya sudah melihat sifat sedar, degil dan cinta itu pada banyak penggerak teater tradisional – dari tokoh makyung, dikir barat, menora, ketoprak, wayang wong, bangsawan, sandiwara dan lain-lain.
Saya melihat apa yang berlaku pada Allahyarham Khatijah Awang, Dollah Baju Merah dan Pak Leh Tapang yang saya dampingi bertahun-tahun. Tidak lama sebelum ini saya melihat apa yang berlaku pada Rahman B, lagenda bangsawan yang juga Seniman Negara.
Itu cerita yang lain.
Tapi buat sementara ini atas dasar sedar, degil dan cinta, sebaik-baiknya mulalah meminta. Ada orang lain yang hanya pandai meminta tetapi hasilnya entah apa-apa. Banyak karyawan teater muda yang hasilnya istimewa tetapi dek sebab tak pandai meminta, maka tidak diberikan apa-apa.
Ada peruntukan dan dana di luar sana. Sebenarnya untuk kita.
Mintalah.
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah mantan penulis naskhah, pelakon dan pengarah pentas. Beliau telah merakam pengalaman 50 tahun dalam dunia seni dan budaya dalam Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad.
