“Pergi galeri ni macam pergi kenduri. Kamu jumpa orang yang sama. Ada yang jadi kawan dan ada juga yang jadi lawan. Kemudian kamu pun buat-buat manja dengan kolektor sebab nak suruh dia beli lukisan kamu. Rentikan laaa.” Kamu mungkin menyangka yang kata-kata diatas adalah terbitan rasa hati kami dan kamu dimaafkan.
Yelah, jika ada orang yang sudi bertanya mengenai kami, kamu dengan segala kegelojohan akan mengatakan yang kami ini pelukis dan penulis yang tidak berapa berakhlak. Kamu akan katakan yang kami ini menulis dengan tidak menjaga hati dan melukis dengan tidak berhenti mencarut. Kami maafkan saja mereka yang sebegini. Apalah sangat kata-kata yang tidak membina itu jika dibandingkan dengan azab kubur.
Sebenarnya kata-kata diatas adalah terjemahan bebas yang kami buat untuk ayat yang dilontarkan dalam satu artikel tulisan Khairul Ehsani Sapari. Kami baca tulisannya di blog Arto Movement.
Jarang sebenarnya untuk seorang penulis yang hebat seperti kami untuk jadi mudah teruja apabila membaca tulisan orang lain. Bukan nak kata tapi kami ini kadang bila tanpa sedar terbaca tulisan sendiri pun hampir setengah gila jadi dek kerana hebatnya apa yang kami baca itu. Berdiri segala rambut halus yang ada ditubuh yang makin tidak terjaga ini. Seperti pertama kali tahu apa itu rindu. Menyakitkan namun ia adalah sesuatu yang aku perlu.

Mungkin ayat diatas sedikit melepasi kapasiti pemikiran sastera kamu jadi untuk perbandingan mudah, maka kami katakan apa yang kami rasa -apabila membaca tulisan sendiri- sama seperti mana kamu pertama kali melihat adegan bagaimana Neo menggelak peluru dalam filem The Matrix dulu. Kagum dan tidak disangka-sangka.
Lalu ketika kami sudah menyerah untuk melihat atau lebih tepat membaca tulisan yang mengujalan, yang segar dan juga telus, kami diperkenalkan oleh Amir ‘Tuk Kura’ Amin kepada tulisan Khairul Ehsani Sapari.
Mungkin ada benarnya kata budak Kelantan yang tular baru-baru ini. Kami tidak melihat lagi video berkenaan namun dari apa yang kami lihat melintas di internet, dia dimarah kerana memperlekehkan graduan seni. Dan hal yang sama juga diutarakan oleh si Khairul ini.
Dek kerana sudah amat kurang mereka yang ada masa untuk membaca, maka tulisannya yang membawa nada yang sedikit serupa tidak diambil perhatian. Jika ada perbezaan maka Khairul melebihkan masanya membuat sedikit kajian pada tulisannya berbanding dengan budak Kelantan tersebut.
Khairul juga lebih academia bila sering mengutip kata-kata mereka yang diiktiraf hebat dalam tulisannya. Dia juga mempunyai agenda yang berbeza.
Sementara pempengaruh Kelantan yang cuba ‘kecek luar’ dan masih berbau budu itu hanya sekadar mencari perhatian dengan membesarkan hal-hal sepele tanpa mahu pergi lebih jauh membincangkannya. Mungkin memang itu pun tujuannya yakni membuka pintu polimik dan menjadi tular. Dia mencari untung atas perhatian kamu dan berjaya. Sementara kamu menjadi tonggong bila sibuk meraikan mereka yang sebengini. Buang masa dan tak mendatangkan faedah langsung.

Dalam dunia dimana depresi adalah komoditi, apa yang dilakukannya bukan sesuatu yang luar biasa. Semua orang berbangga dengan apa saja kekurangan yang mereka miliki. Sehingga genius seperti kami ini pula ada masanya merasa rugi kerana tidak dilahirkan dislexi misalnya.
-“Let’s address the elephant in the room: as an artist, you suck. You’re not exactly selling like nasi lemak. No matter how many paintings, sculptures, or prints you produce, they’re just not flying off the walls. The occasional red dot on your artwork’s nameplate might have felt like a victory, but let’s face it, those moments were few and far between. So, what do you do? You keep pouring money into canvas, paint tubes, and brushes, convincing yourself it’s an investment for the future. But in reality, your studio space is slowly turning into a dusty storage unit, filled with unsold creations that seem more like burdens than assets.” –
Demikian kata Khairul dan siapa yang sedang duduk dalam dunia seni akan mengakui apa yang dikatakannya itu. Lihat saja bagaimana sebahagian besar seniman akan mempunyai impian untuk memiliki studio sendiri dan selang tidak berapa lama studio berkenaan akan bertukar menjadi sebuah stor menyimpan segala macam angan-angan, impian dan juga iguan yang diluahkan. Segala kanvas yang kononnya adalah cetusan rasa paling seni seorang seniman, dan yang sepatutnya menjadi alat untuk memiliki perempuan paling cantik, kereta paling pantas, kasut sukan paling cool, t-shirt paling in, jeans paling kepala kain dan juga haji atau umrah ibu bapa itu menjadi menyampah hatta oleh sang seniman itu sendiri. Memenuhkan ruang dan menyempit fikiran.
Kami selalu berkata begini, untuk menjadi seorang seniman yang berjaya, pertama sekali kamu mesti kaya atau memiliki ibu bapa yang kaya raya. Dari situ kamu akan jadi bebas untuk berkarya. Kamu juga tidak ada kolektor yang harus dipuji, dihimpit untuk dijadikan sahabat, peneman minum kopi dan kamu juga tidak perlu kepada galeri yang menjadikan kamu hanya sebagai alat yang akan membayar percutian mereka diatas salji.
Dan sebagai tambahan, kami juga suka untuk mencadangkan kepada ibu bapa yang sudah amat selesa dengan kehidupan materi untuk menghantar sekuarang-kurangnya seorang anak mereka pergi menerokai bidang seni. Pilihan saja mana bahagian seni yang tidak berfaedah itu dan nanti setelah anak tersebut dengan semberono memilih untuk menjadi seniman, paling kurang pun abang atau kakaknya yang sudah bergelar doktor atau peguam boleh menyokong adiknya yang sedang terawang khayal mahu menjadi seniman. Tidaklah nanti dia terlalu mengharapkan orang lain sehingga sanggup bercerita bagaimana anak di rumahnya belum minum susu kerana karyanya belum terjual.
Hal dalam rumah biar kita laki bini saja yang tahu. Jangan jual kasihan yang bertopengkan lukisan.
Dan lagi, orang miskin mesti diharamkan untuk masuk menjadi seniman kerana mereka ini adalah pembawa masalah. Dengan segala tenaga negatif yang mereka miliki dunia catan di mana pun akan segera rebah.
Ada beberapa siri tulisan yang dihasilkan oleh Khairul dan kami menyukai kesemuanya. Kamu juga jika gemarkan tulisan yang segar dan lahir dari pengalaman seorang seniman yang sudah menempuh hampir segalanya maka sayugia kami mencadangkan kamu membacanya.

Kami juga tidak mengenali si Kahirul ini secara peribadi malah kami juga tidak pernah bertemu dengannya. Dikatakan yang dia adalah finalis Bakat Muda Sezaman yang pernah mengecapi masa dimana karyanya diperkata dan menjadi idaman para kolektor. Dalam tulisannya dia menceritakan segalanya mengenai perjalanan hidupnya setakat ini sebagai seorang seniman.
Dan kami diberitahu yang dia kini sedang menyiapkan ijazah sarjananya. Yelah, ‘those who can,do; those who can’t,teach’ kata George Bernard Shaw. Lalu lengkaplah kegagalan Khairul sebagai seorang seniman.
Nanti setelah habis sarjana, sambung hingga ke PHD dan setelah memiliki gaji yang banyak dan menjadi kaya, kembalilah berkarya. Mungkin waktu itu karya kamu akan dirai.
Sementara itu, selamat datang kepada dunia penulisan yang menjanjikan lebih banyak ketelusan kami ucapkan kepada Khairul Ehsani Sapari dan kepada penyelianya yang kami hormati itu, dengan kenyit mata kami katakan, “kasi pass je laaaa…”
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang merindui bau bandar Kuantan di waktu pagi Jumaat.
