Ada yang pernah cakap pada saya, Nasir Jani tak habis-habis bercakap tentang cetak rompak. Itu memang perjuangan dia dari dulu, sampai sekarang, waktu orang dah tak dengar lagu atau tonton filem dengan CD.
Cetak rompak masih berlaku, seperti yang dibangkit Zainal Rashid Ahmad waktu pelancaran buku ‘Kita Bikin Sejarah’ di Bazar Buku Antarabangsa Johor (BBAJ) tempoh hari, penjualan pen drive yang terkandung beribu lagu tanpa izin pemilik karya, yang tak sumbang satu sen pun kepada pengkarya, masih berlaku.
Bentuknya berubah, operasinya berubah, tapi tetaplah ia cetak rompak. Cuma, yang lebih penting, apabila Nasir Jani tak habis-habis bercakap tentang cetak rompak, dia sebenarnya membangkitkan masalah apa?
Rasuah. Itu yang ada di belakang cetak rompak. Nasir Jani sebenarnya, jika kita teliti penulisan dan kata-katanya, membenci rasuah dari sum-sum tulangnya. Cetak rompak ialah simptom, rasuah akar puncanya.
Selama seminggu saya melepak dengan Nasir Jani. Di dalam pacuan empat roda Izzat Amir, di rumah tumpangan yang kami duduk sepanjang BBAJ, saya mendengar dia bercakap.
Satu hal yang saya tabik dengan Pak Nasir, dia kuat melayan anak-anak muda yang mahu korek pengalaman dan pengetahuannya. Kadang-kadang sampai ke awal pagi.
Sepanjang melepak, dia banyak beri amaran tentang bahaya duit. Ini bukan nasihat otai yang konon makan banyak garam, amarannya datang secara tersirat ketika menceritakan pelbagai peristiwa yang disaksikan depan matanya.
“Kalau kau boleh dibeli dengan duit, memang habis…” dia kata. Sebab dalam lebih 70 tahun usianya, dia dah jumpa ramai orang yang berdegar berjuang tapi terus diam apabila disuakan duit.

Modus kapitalis
Melawan rasuah lebih susah sekarang berbanding dulu, saya percaya hal itu. Bila kita petik keburukan kapitalis, yang berakal cetek akan fikir kita tak suka tauke, tak suka korporat dan tak suka kemajuan yang didesak fahaman berteraskan modal itu. Tapi ia lebih dari itu.
Kapitalisme buat kita makin jauh dari amalan komunal. Selain menggalakkan manusia menjadi lebih individualistik, sistem ekonomi yang mengutamakan modal dan pembinaan kekayaan juga membuatkan manusia lebih bergantung dengan wang.
Suatu masa dulu, mungkin 50 tahun dulu, kita masih boleh hidup tanpa wang yang banyak. Nak makan, ada sayur dan ternakan di rumah yang boleh dijadikan lauk, dimakan bersama nasi, mungkin rempahnya diambil sedikit dari rumah jiran, kerana rempah yang mereka tak ada juga boleh diambil dari rumah kita.
Ekonomi sebelum kapitalisme kebanyakannya bersifat sara diri, nilai guna (sesuatu yang bernilai seperti makanan adalah untuk diguna, bukan dijadikan komoditi) dan konsepnya bertahan beratus tahun selepas itu, tetapi semakin mencair dan menipis.
Sekarang, lihat di sekeliling rumah sendiri, terutamanya awak yang tinggal di tengah bandar, dalam kediaman berstrata, apa bahan makan yang kita ada yang tidak dibeli? Konsep sara diri semakin asing dan kita sangat bergantung pada jual beli yang memerlukan modal, kapital, wang.
Bukan makan saja. Sistem ekonomi semakin menghimpit walau tak pernah dalam sejarah manusia membincangkan konsep perlindungan sosial serancak sekarang. Dalam ekonomi semasa, sebuah isi rumah perlukan dua punca pendapatan untuk stabil.
Suami dan isteri perlu bekerja. Kalau mereka ada anak, anak perlu dihantar ke taska atau pengasuh yang perlu dibayar setiap bulan. Ini memerlukan modal, kapital, wang.
Kalau rasuah itu sebatang pokok, waktu inilah ia paling subur, tumbuh katang dan tinggi, berdaun rimbun, berbunga mekar, berbuah ranum. Sebab kebergantungan kepada wang ialah bajanya dan manusia sekarang sangat bergantung pada wang.
50 tahun dulu, kalau disuap rasuah, kita mungkin boleh tolak lagi. Balik kampung, kerjakan sawah, makan sederhana tapi berkhasiat, cukup zat.
Tapi sekarang, tawaran rasuah buat kita berfikir lebih panjang sebab wang punya nilai dan peranan yang lebih besar dalam hidup, terutamanya apabila melibatkan ahli keluarga sendiri. Anak bini. Itulah cabarannya.
“Bapak untung,” kata Nasir Jani. “Sebab mak cik kau faham apa yang Bapak buat.”
Wartawan meloncat
Buah fikir saya tentang kapitalisme dan sistem ekonomi yang menggandakan kebergantungan kepada wang di atas melatari fikiran ketika Pak Nasir khusyuk bercerita tentang pertembungan-pertembungannya dengan rasuah. Baik yang dialaminya sendiri atau yang dilihat di depan mata.
Dalam cubaan melawan rasuah, yang pertama sekali terpicu ialah mereka yang mengamalkannya. Seperti yang dicatat dalam buku ‘Kita Bikin Sejarah’, panggung Odeon di Jalan Tuanku Abdul Rahman bergegar dengan jeritan wartawan ketika tayangan pratonton filem ‘Kembara Seniman Jalanan’ pada 6 Februari 1986.
Ia disebabkan babak Ana lakonan Khatijah Ibrahim, yang merupakan seorang wartawan, dihulur sampul berisi duit oleh Encik Johan lakonan Majid Salleh sebagai sogokan. Dalam babak itu, Ana dilihat teragak-agak mahu ambil sampul itu, kemudian terus ubah topik berbincang tentang ujibakat Bujang. Tiada jawapan diberikan sama ada Ana ambil atau tidak sampul itu.
Tapi wartawan terlebih dahulu marah-marah. Tamat tayangan, Pak Nasir diserang dengan pelbagai soalan. Ketika sidang media, dia disoal bertubi-tubi lagi. Dalam surat khabar, artikel-artikel mempertikai, membantah malah menyindir diterbit berkali-kali. Sampai Persatuan Wartawan Hiburan pun keluarkan kenyataan.
Kalau tak buat, kenapa marah? Ana tak ambil pun sampul itu, kenapa bantah?

Hal kewartawanan sampul (envelope journalism) bukan asing. Di Indonesia, ia digelar budaya amplop. Sudah berpuluh tahun kritikan terhadap budaya itu timbul tapi kalau dicari, ia lebih kepada amalan kewartawanan politik. Tak banyak yang mengupas amalan sama dalam kewartawanan hiburan.
Itu boleh difahami sebab dalam politik, ada lebih ramai pemerhati dan etika dipandang berat. Dalam kewartawanan hiburan yang didominasi sensasi serta khabar angin, siapa yang peduli?
Nasir Jani dan rakan-rakannya peduli. Sebab itu ada babak Encik Johan menghulur sampul pada Ana.
Pada 1986, kalau nak tahu perkembangan dunia hiburan, hanya ada surat khabar, tivi dan radio. Kalau pengamal media sendiri yang ambil rasuah, jangan harap cerita itu akan disebar kepada umum. Maka, Nasir Jani guna medium filem untuk membangkitkannya.
Ini hanya sensasi
Sekarang pun, kita jarang-jarang dengar cerita wartawan hiburan ambil duit untuk tulis laporan-laporan positif tentang sesuatu. Macam saya kata tadi, tiada siapa yang peduli.
Amalan rasuah itu pula menguntungkan banyak pihak. Yang menerima dapat duit, yang menghulur dapat laporan positif. Situasi menang-menang itu jadi kontrak sosial antara pemberi dengan penerima rasuah supaya ceritanya tidak pecah di mulut, walau hasil rasuah sudah pecah jadi zat di perut.
Tapi, kadang-kadang, kita dapat lihat anomali. Contohnya, satu acara yang dikutuk, dihina dalam media sosial oleh hampir semua pengunjungnya, dipuji melangit dalam media. Puji-pujiannya pula mengarah kepada penganjur, bukan penyanyi atau kumpulan yang membuat persembahan, tanpa hujah yang kukuh dan bernada sama dengan media-media lain. Macam semua media jadi kakak tua yang dilatih orang sama.
Kalau hal begitu berlaku, ada dua kemungkinan: sama ada wartawan yang menulis itu tak cukup kemahiran dan kejelasan akal untuk jadi wartawan, seperti wartawan-wartawan lain yang menulis dengan nada sama, atau ada wang yang bukan gaji masuk ke akaun mereka.
Mungkin ada kemungkinan ketiga, atau keempat, yang di luar daya fikir saya. Mungkin.

Sudah jadi rahsia terbuka sebenarnya hal wartawan hiburan terima wang ini. Yang terlibat pasti tahu. Malah ada yang sampai menuntut sogokan, bising-bising apabila ada acara yang tak sediakan wang khas untuk mereka.
Cuma tak ada yang mahu ceritakan kepada awam, sebab kontrak sosial mereka. Dan kalau kita didesak tunjukkan bukti, kita tak mampu, maka mereka menang. Kita hanya mampu bersensasi, seperti yang saya buat ini.
Ah, wartawan hiburan tak asing dengan sensasi. Banyak gosip yang mereka tulis, mereka tahu terjadi, tapi tak ada bukti untuk dipapar pada umum, maka mereka bersensasi. Sama macam cerita kewartawanan sampul ini.
Dan seperti yang Pak Nasir kata, kalau kau boleh dibeli dengan duit, habislah. Lihatlah situasi kewartawanan hiburan kita sekarang dan apa kesannya kepada kewartawanan seni kita. Hampir nol.
Saya akan selalu hargai pengalaman seminggu bersama Nasir Jani dan cerita-ceritanya tentang budaya rasuah yang sentiasa tumbuh dari dulu sampai sekarang. Dan kalau ada lagi yang kata, Nasir Jani tak habis-habis bercakap tentang cetak rompak, tentang hal yang dah basi, saya akan tampil mempertahan dan kata, dia bukan hanya bercakap tentang cetak rompak, tapi rasuah. Dan rasuah adalah hal yang tak akan basi.
KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis, pemuisi serta pemerhati perkembangan muzik dan lain lain hal berkaitan dunia kontemporari & subbudaya. Sokong dan langgani artikel berbayar beliau di: substack.com
