“300”… kata tukang gunting itu…
Lama dahulu, kami sering melihat sebuah kereta dari istana datang ke kedainya dan kemudian, dia dibawa ke Istana untuk ‘berkerat rambut’ Sultan Ahmad Shah. Selang beberapa kedai, terdapat sebuah lagi kedai menggunting rambut yang dikhaskan untuk kaum perempuan dan kami juga sempat melihat, beberapa kali dalam sebulan, Sultanah Khalsom datang ke kedai tersebut.
Isteri Yan, sahabat sekampung kami, bekerja di kedai gunting untuk kaum Hawa itu. Yan kini adalah saudagar besar yang memiliki berpuluh buah rumah dan beribu ekar tanah.
Waktu itu kami selalu duduk tidak buat apa-apa di kedai bingkai gambar dan galeri kecil Citra Cita yang terletak diantara dua kedai gunting tersebut. Kami disitu menghisap rokok dan berlegar-legar setiap hari sehingga dibenci orang.
Kami tidak tahu nama tukang gunting yang menggunting rambut Sultan Ahmad Shah itu dan bila ditanya berapa kerapkah dia ke istana, dia menjawab seminggu sekali. Dan bila ditanya lagi berapa upah yang dia dapat maka dia mengatakan 300 ringgit bagi setiap sesi. Menurut dia lagi, Sultan Ahmad tidak bercakap semasa digunting dan bayaran pula dibuat oleh pembantunya.
Seperti yang kami katakan, kami tidak tahu namanya. Mungkin Raju, mungkin Veloo atau mungkin juga Cikgu Lokman Bin Lazim. Ini adalah kesalahan di pihak kami kerana tidak beradab dalam bab berkenal-kenal. Namun sebagai pembelaan kepada diri sendiri, kami yakin dia juga tidak tahu nama kami dan dia hari ini adalah tukang gunting rambut kami juga.

Kami tidak mungkin dapat membayar 300 ringgit untuk satu upacara tata rias sebegitu rupa, namun hata diingatkan, bila dia mengatakan yang upahnya untuk servis menggunting rambut kami ialah 15 ringgit, maka kami menghulurkan 16 ringgit kepadanya. Biar tidak nampak sangat ke-ceti-an kami.
Apa yang mahu kami ceritakan adalah, Sultan Ahmad Shah dan kami menggunakan tukang gunting yang sama. Aok ander?
Tapi tidaklah juga kami kesana setiap minggu seperti Almarhum Sultan, pertama kerana kami tiada keperluan untuk berhias sebegitu rupa dan keduanya adalah kerana rambut kami juga kelihatan sudah tidak berapa banyak.
Bahagian rambut tidak berapa ada itu kami tahu kerana Raju atau Veloo atau Cikgu Lokman Bin Lazim akan memberitahu kami setiap kali kami datang ke kedainya. “Rambut makin kurang lah bos…” katanya setiap kali sambil menambah, “badan sikit naik la bos..ada happy ka?”.
Dia kini menyewa kerusi di kedai Style Cut di Kompleks Teruntum, Kuantan. Ini adalah kedai yang kami gunakan bila mahu menggunting rambut sejak dari remaja. Pemiliknya bernama Mat Nor dan kami sudah bergunting dengan Mat Nor sejak dari sekolah rendah.

Dewasa ini, Mat Nor jarang ke kedai dan jika kebetulan terserempak, kami tidak lagi boleh berbual dengan dia kerana masalah pendengarannya. Cuma dia akan gembira bila bertemu kami dan akan berulang-ulang memberitahu orang bahawa kami adalah pelanggannya sejak dari zaman dia masih bekerja dengan Keling Panjang.
Kedai Panjang dulunya terletak di Jalan Besar. Hari ini kedai tersebut adalah Restoran Tjantek jika kami tidak silap. Panjang sendiri adalah jiran sekampung. Dia adalah satu-satunya lelaki berbangsa India di kampung kami, sementara Machiku pula adalah satu-satu keluarga berbangsa cina di kampung kami.

Kami lupa keluarga Panjang, namun baik dengan Mok Lan, Ah Boon, Ah Chai dan adiknya yang kami lupa namanya. Ah Boon meninggal dunia 10 atau 15 tahun lalu manakala Ah Chai kini mengusahakan kedai hardware di Tanjong Lumpur khabarnya. Sudah lama tidak bertemu Mok Lan dan juga adik si Ah Boon yang sudah kami lupa namanya itu.
Tjantek diusahakan oleh Ijan, budak Tanjong Api yang berkahwin dengan Hatta, budak Kubang Buaya yang kini adalah pemilik bersama kafe NOTiS dan juga MUKA. Khabarnya Tjantek akan diluaskan lagi bila mereka mengambil kedai mainan di sebelahnya,
Sementara dalam proses baik pulih, kedai mainan tersebut kini dijadikan galeri sementara yang dinamakan sebagai Atelier Kuantan. Kami akan berpameran disana bersama Hatta, Najihah Lee dan beberapa orang yang lain mulai dari 1 Ogos akan datang. Jemput datang semua.


Kami ceritakan kisah-kisah diatas bagi menjawab kenyataan Ku Syafiq yang mengatakan rambut kami sentiasa kemas. Jadi sekarang kamu dan ‘Kusya’ (seperti dipanggil Fazleena) sudah tahu mengapa kami selalu kelihatan kemas.
Selain dari menggunakan tukang gunting yang sama dengan Almarhum Sultan, kami juga kemas kerana ini adalah tuntutan, bimbang juga bila disabit sebagai tabligh tapi selekeh dan busuk.
Setelah selesai semua cerita di atas, kita balik semula kepada BMS26.
Dari cakap-cakap yang kami dengar, ada yang berpendapat bahawa bila komuniti dilibatkan maka dipersoalkan oleh sekian orang tentang apa yang diperoleh oleh komuniti bila karya yang melibatkan mereka itu menang.
Hal ini tidak dapat dielak. Wang akan sentiasa menjadi punca segala penyakit lahir dan batin. Dan kami juga tidak bercadang untuk mencadangkan apa-apa disini.
Cuma kami akan menceritakan bagaimana sebuah kolektif yang mengadakan kenduri besar di sebuah kampung dan penduduk tempatan tidak menghadirkan diri pada kenduri berkenaan.
Pihak kolektif kecewa kerana hal tersebut, konon kerana orang tempatan tidak memberi sokongan. Namun isu sebenar bermula lama sebelum kenduri tersebut dirancang.
Penglibatan orang tempatan di mana saja kolektif bertapak seharusnya bermula dengan hubungan baik. Orang kampung semestinya mempunyai sikap ‘ini kampung aku’ dan mereka tentu saja akan mempertahankannya. Bila kamu berlagak dengan mereka, maka mereka tentu saja akan seribu kali lebih berlagak kepada kamu.
Untuk mana-mana kolektif menjadi mesra dengan orang tempatan, mereka seharusnya menjadi orang kampung itu juga. Pergi makan dan minum bersama mereka, masuk ke dalam kumpulan WhatsApp mereka serta libatkan mereka dalam semua perkara yang berkaitan dengan kolektif. Pergi ke kenduri atau kematian dan tunjukkan muka walaupun kamu tidaklah begitu handsome.
Jika perlu ke surau atau masjid setiap hari, lakukan kerana hubungan baik adalah senjata yang paling ampuh untuk mana-mana kolektif yang serius mahu bekerjasama dengan penduduk tempatan. Tak payah nak jadi pelik sebab kononnya kamu itu seorang artis, dan jika kita sombong dengan orang tempatan, maka yang rugi adalah kita.
Jika kamu masih lagi sangsi tentang bagaimanakah cara mahu berurusan dengan orang kampung, maka pergilah kamu berjumpa dengan Juhari Said. Pandailah artis senior dan sohor itu mengajar kamu nanti.
Dan juga, jika Pulau Tuba adalah tapak yang akan terus digunakan sebagai Lokasi BMS, orang Balai Seni Negara seharusnya menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan penduduk tempatan.
Nyatakan kepada seluruh penduduk akan hal tersebut dan mungkin di masa akan datang tidak akan timbul soal pembahagian ghanimah pertanding itu lagi. Sekali sekala buatlah kenduri di pulau tersebut. Sembelih kerbau, dan jemput lah kami kerana kami suka kepada daging kerbau yang dipacak.
Kemudian ada juga rungutan bagaimana artis yang mengambil bahagian terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk menghasilkan karya. Dengan Lokasi pertandingan terletak jauh maka hal ini dapat difahami. Ditambah pula kos sara diri sementara masih di lokasi. Artis selamanya akan berlagak miskin walaupun setiap hari melaporkan karya terjual di media sosial.
Satu lagi hal yang juga harus difahami ialah, ini adalah pertandingan dan pemenangnya akan membawa pulang wang ringgit yang tidak sedikit. Adat pertandingan tentu saja begitu. Semuanya kita sediakan sendiri dan berdoa agar karya kita menambat hati juri. Dan lagi, tidak ada paksaan dalam penyertaan. Kamu sudah memilih untuk bertanding maka bersedialah dengan segala kemungkinan yang ada. Dan berharaplah agar kamu tidak akan kehilangan deposit. Eh?
Cuma mungkin di masa akan datang, setelah peserta terpilih ke peringkat akhir, mereka dibolehkan untuk memohon dana Tabung Bantuan Seni. Kami tidak tahu sama ada mereka dibenarkan berbuat demikian namun mungkin pihak Balai Seni Negara boleh menjadikan ini sebagai cadangan.
Bercakap fasal ‘Kusya’, tidak diketahui samada dia sedar atau tidak, sengaja atau kebetulan, namun ayat; “Dia ingat indie tu cuma Jayzuan” atau lebih kurang begitulah bunyinya, adalah ‘punchline’ yang ‘pecah’ dengan humor yang berlapis-lapis, kami yang jarang ketawa besar ini pun tergelak sakan apabila membaca baris tersebut.
Jika dia sedar dan sengaja maka dia telah bertemu humor dalam tulisannya. Jika tidak maka kami sarankan agar dia tumpukan saja pada majalah SONIK yang ada 40 muka surat dengan 38 darinya adalah temuramah dengan Kamal Sabran itu. Mujur SONIK 02 tiada sebarang temuramah atau sambungan temuramah bersama Kamal Sabran lagi.

Sebut fasal SONIK, sayugia, artikel mereka itu molek benarlah jika ditulis dalam hitam atau putih sahaja. Kasihanilah pada diri kami ini yang berpinau biji mata membaca tulisan dengan latar belakang yang bermacam warna.
Kerana percayalah, tiada yang lebih indah dan ‘husnul khotimah’ dari keredupan warna hitam dan putih, seperti sajaknya gambar peragawan di bawah itu.

Abdullahjones merupakan seorang pelukis, penulis dan juga peragawan sambilan yang sedang naik daun. Kunjungi pameran ‘LiBÈ•RATiON’ di Atelier Kuantan Art sepanjang Ogos 2026. – foto: Atelier Kuantan Art
