Teks oleh: Dr. Mohd Hafnidzam bin Adzmi
Tulisan ini lahir daripada pengalaman dan perjalanan peribadi saya dalam mengenali serta memahami seni. Apa yang saya ungkapkan di sini hanyalah satu sudut pandang, terbentuk daripada pengalaman, pemerhatian dan renungan saya sendiri.
Bahagian 1 – Kaku
Pada 11 Julai 2026, saya dijemput menghadiri sebuah majlis kesyukuran. Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kejayaan seorang pelajar yang saya selia bersama Dr. Saiful Akram dalam menamatkan pengajian Ijazah Kedoktorannya.
Saya pergi seorang diri. Anak dan isteri tidak ikut kerana anak saya tidak sihat ketika itu.
Di majlis tersebut, saya bersembang dengan tuan rumah dan tetamu yang hadir. Saya duduk semeja dengan Dr. Saiful dan beberapa rakan lain. Dalam perbualan kami, beliau memberitahu bahawa selepas majlis tersebut beliau ingin ke Kuala Lumpur untuk melihat sebuah pameran oleh gurunya, Dr. Zakaria Ali.
Saya fikir, mungkin ini peluang untuk saya belajar sesuatu yang baharu. Saya masih lagi dalam proses memahami apa itu seni. Jadi saya pun memohon untuk ikut bersama Dr. Saiful. Kami menaiki kenderaan saya ke stesen MRT yang terdekat sebelum bergerak ke TRX untuk menghadiri pameran tersebut.
Sampai sahaja di galeri, saya mengambil sedikit masa untuk minum kopi. Saya dan Dr. Saiful berbual tentang perkara-perkara yang mungkin boleh saya pelajari daripada pameran tersebut. Maklumlah, sebagai ahli akademik, kita sepatutnya mempunyai keterbukaan untuk belajar daripada orang lain, lebih-lebih lagi daripada seorang akademik seperti Dr. Zakaria Ali.
Selepas kopi habis, saya masuk ke galeri.
Saya melihat karya-karya yang dipamerkan. Pada masa yang sama, saya dan Dr. Saiful cuba mengingat kembali pengalaman kami mengunjungi rumah Dr. Zakaria beberapa tahun sebelumnya. Kami cuba mengaitkan apa yang kami lihat di galeri dengan apa yang pernah kami lihat dan dengar ketika berada di rumahnya.
Karya Dr. Zakaria Ali kelihatan ringkas. Tetapi ringkas itu tidak semestinya kosong. Dalam perjalanan saya memahami seni, saya sering mendengar orang mengatakan bahawa sesetengah karya itu “hidup”. Saya selalu tertanya-tanya, apa sebenarnya maksud “hidup” itu?
Saya seorang milenial. Saya membesar bersama teknologi. Saya bermain permainan video, melayari internet dan melalui pelbagai perubahan teknologi, daripada perlu menggunakan pondok telefon dan memasukkan input untuk membuka Windows, sehinggalah kini menggunakan AI.
Saya mengalami sendiri perubahan daripada dunia yang berwayar kepada wireless, dan kemudian melihat semula bagaimana teknologi kembali mencari bentuk-bentuk hubungan baharu. Saya melalui hampir seluruh perubahan itu.
Mungkin sebab itulah, apabila saya berhadapan dengan karya seni yang hanya diam di hadapan saya, saya kadang-kadang merasakan sesuatu yang agak pelik.
Lifeless.
Teknologi mengajar saya bahawa sesuatu perlu bertindak balas. Saya tekan sesuatu, sesuatu berlaku. Saya gerakkan sesuatu, sesuatu berubah. Saya beri input, komputer memberikan output.
Tetapi lukisan?
Saya berdiri di hadapannya.
Ia diam.
Ia tidak bergerak.
Namun orang mengatakan karya itu “hidup”.
Kali ini saya datang ke galeri dengan fikiran yang sedikit berbeza. Saya sudah mempunyai keterbukaan untuk menerima bahawa mungkin saya yang belum tahu bagaimana untuk melihatnya.
Pengalaman mendalami dunia literatur ketika menjalani Ijazah Kedoktoran sedikit sebanyak membuka mata saya. Saya mula sedar bahawa sesuatu karya tidak semestinya perlu difahami melalui apa yang kelihatan sahaja.
Jadi saya cuba melihat karya Dr. Zakaria dengan lebih terbuka.
Saya cuba melihatnya dengan “life”.
Saya mula berfikir bahawa mungkin karya-karya beliau kelihatan ringkas kerana karya itu sebenarnya merupakan perspektif beliau terhadap hidupnya sendiri. Apa yang beliau lihat. Apa yang beliau fikir. Apa yang beliau rasa. Apa yang bagi beliau mempunyai makna.
Tetapi masih ada satu persoalan.
Adakah ia hidup?
Sambil mengamati karya-karyanya, saya teringat kembali pengalaman pergi ke rumah beliau bersama Dr. Saiful. Dan pada ketika itu, saya merasakan sesuatu yang sukar saya jelaskan.
Something was moving.
Mungkin perasaan itu saya ada-adakan sahaja. Mungkin orang putih akan kata saya superstitious. Tetapi saya merasakan setiap karya itu mempunyai cerita di sebaliknya.
Bukan semata-mata kerana apa yang ada pada kanvas. Tetapi kerana apabila melihat sesetengah karya itu, saya dan Dr. Saiful mula bercerita. Satu karya membawa kepada satu cerita. Satu cerita membawa kepada satu kenangan. Satu kenangan membawa kepada perbualan yang lain.
Karya itu sendiri kaku. Tetapi sesuatu di antara kami mula bergerak. Kemudian pengamatan kami terhenti seketika kerana majlis bermula.
Di akhir majlis, Dr. Zakaria Ali membuka ruang untuk soalan.
Saya perhatikan masyarakat kita semakin lama semakin kurang bertanya. Mungkin Dr. Zakaria pun berfikiran begitu kerana beliau seolah-olah memaksa mereka yang hadir untuk bertanya.
Mangsa pertama, seperti biasa, ialah anak muridnya sendiri, Dr. Saiful Akram, yang berdiri di sebelah saya. Selesai Dr. Saiful diberi jawapan, saya pula secara automatik mengangkat tangan dan bertanya.
Bukan sebab saya tidak mahu menjadi mangsa. Saya memang ingin tahu. Saya ingin tahu tentang perasaan moving yang saya alami tadi. Soalan saya, saya rephrase:
“Prof, saya nak bertanya. Bagaimana sesebuah karya itu boleh nampak seperti mempunyai movement, sedangkan ia sebenarnya kaku?”
Mungkin bagi orang seni, soalan itu terlalu naif. Mungkin terlalu cliché. Tetapi itulah yang saya rasa. Peduli apa?! Itu soalan saya.
Beliau menjawab dan saya rephrase jawapan beliau. Karya itu kaku kerana proses menghasilkan karya kadang-kadang sangat sunyi. Beliau mengolah jawapannya selama beberapa minit.
Sebagai ahli akademik, saya sudah dilatih untuk sensitif terhadap definisi dan konsep. Dalam jawapan yang panjang itu, dua perkataan yang paling melekat dalam fikiran saya ialah:
Kaku.
Dan
Sunyi.
Yang lain-lain saya cuba rasionalisasikan sendiri.
Mungkin begini:
Sesuatu yang kaku, apabila dilapisi oleh pengalaman sunyi, dan berlaku dalam suatu tempoh masa, akhirnya membentuk sesuatu yang boleh dirasakan sebagai movement.
Mungkin. Itulah interpretasi saya. Betul atau tidak, tiada siapa tahu. Dan mungkin tiada siapa perlu peduli. Kerana itu ialah interpretasi saya.
Peduli apa?!
Selesai makan, saya pun balik. Tetapi di dalam MRT, saya masih bercerita dengan Dr. Saiful tentang apa yang saya rasa. Dan pada ketika itu saya sedar sesuatu.
Kalau benar karya-karya itu tidak mempunyai movement, kenapa perbualan kami tentang karya tersebut masih bergerak?
Kalau karya itu hanya objek yang kaku, sepatutnya perbualan kami sudah lama mati. Tetapi tidak. Kami terus bercakap. Mungkin kerana sesuatu telah bergerak daripada karya itu kepada kami.
Bahagian 2 – Sunyi
Musim cuti sekolah, anak-anak saya selalu saya hantar ke kampung. Mereka sudah besar dan rasanya elok juga mereka duduk bersama atuk, uwan dan sepupu-sepupu mereka. Ini masa mereka mencipta memori.
Mungkin suatu hari nanti memori-memori itu akan menjadi sesuatu yang move diri mereka. Mungkin boleh menjadi idea kepada karya mereka pada masa hadapan, kalau mereka menjadi pengkarya.
Kalau tidak, itu pun ketentuan Ilahi. Takdir bukan sekadar destinasi dan hala tuju. Kadang-kadang ia juga mempunyai harga dan bayarannya.
Kalau tidak melukis, kita tidak tahu bagaimana rasanya melukis. Kalau asyik bermain game, susah juga hendak menjadi pengkarya.
Tetapi itu hidup mereka. Biarlah mereka mencari takdir mereka sendiri. Di rumah, hanya saya, isteri dan anak kecil kami. Bila adik-beradiknya tiada, si kecil ini semakin manja. Saya umpama dibuli ke sana sini. Bila mahu tidur, dihimpit-himpitnya saya.
As time moves on…
Mungkin inilah memori yang suatu hari nanti akan move perasaan saya terhadap kehidupan. Apabila anak sudah tidur, saya mencari apa-apa drama yang menarik di Netflix. Kemudian saya ternampak:
100 Years of Solitude. Macam menarik. Saya tidak fikir panjang. Saya tonton.
Little did I know bahawa perkataan solitude itu sendiri mempunyai sesuatu yang hampir dengan perkataan yang sebelum ini bermain dalam fikiran saya: sunyi.
Tetapi saya tidak fikir sangat. Ini drama bersiri. Tak usahlah serius sangat macam dunia akademik. Dua musim. Enam belas episod. Habis saya tonton. Saya betul-betul terpesona dengan cerita ini.
Ia mengingatkan saya kepada novel The Alchemist yang saya baca untuk inspirasi ketika menjalani pengajian Pasca Ijazah dahulu. Mungkin perjalanan pengajian Pasca Ijazah adalah sangat sunyi.
Bagi saya, kedua-duanya mempunyai sesuatu yang dekat dengan konsep takdir, tentang perjalanan manusia yang sunyi, tanda-tanda yang dilalui dan harga yang perlu dibayar untuk mencapai sesuatu yang ditakdirkan.
Ini interpretasi saya. Peduli apa orang nak kata sebaliknya?! Tetapi kali ini, ada sesuatu yang berbeza.
The Alchemist bagi saya terasa seperti sebuah perjalanan menuju takdir.
100 Years of Solitude pula terasa seperti perjalanan yang jauh lebih tragis, seolah-olah manusia boleh cuba memilih, tetapi tetap ada sesuatu yang lebih besar yang menarik mereka kembali kepada takdir mereka.
Dan saya merasakan sesuatu yang sama seperti ketika berada di galeri.
Ada movement. Perasaan itu datang kembali. Saya mula tertanya-tanya sama ada movement yang saya rasakan itu merupakan satu continuation daripada perjalanan yang saya lalui ketika membaca The Alchemist dahulu.
Mengapa saya berkata begitu?
Pertama, kedua-duanya asalnya ialah novel. Kedua, kedua-duanya dekat dengan konsep takdir. Cuma kali ini, takdir itu sangat tragis.
Dan tulisan yang sedang saya tulis ini mungkin juga merupakan satu lagi continuity daripada movement tersebut.
Seperti biasa, apabila ada sesuatu yang move saya, saya akan mencari Dr. Saiful untuk bercerita.
Saya pun beritahu beliau, saya paraphrase:
“Saiful, kena tengok siri ni di Netflix. Macam The Alchemist, tapi tragis! Ada fantasi sikit, ada takdir sikit. Ini bukan karya biasa-biasa. Ini tahap macam baca novel-novel Rusia!”
Betul atau salah pandangan saya? Saya peduli apa?! Ini yang saya rasa.
Dr. Saiful cuba mengikuti apa yang saya ceritakan. “Dari novel? Siapa penulisnya? Apa tajuknya?”
“100 Years of Solitude. Adaptasi novel Gabriel García Márquez!” Kemudian Dr. Saiful menjawab:
“Oh, karya tersebutlah yang menjadi isu hangat baru-baru ini. Dr. Zakaria terjemah novel itu ke bahasa Melayu, dan ada yang mengecam di media sosial”.
Dr. Saiful menjelaskan kenapa kecaman itu tidak berasas. Saya setuju, dan sekurang-kurangnya, bagi saya, kita harus bersyukur ada yang mahu menterjemah karya hebat sebegini.
Dalam perbualan itu tiba-tiba, hati dan fikiran saya terdiam sekejap.
Eh, kejap.
Adakah ini suatu movement?
Daripada kaku. Kepada sunyi. Daripada karya. Kepada novel. Daripada The Alchemist. Kepada 100 Years of Solitude.
Dimulakan dan diakhiri melalui individu yang sama, Dr. Zakaria Ali.
Tanpa saya sedar, jauh betul jalan cerita ini. Umpama satu kitaran yang berterusan. Macam biasa, bila sudah connect the dots, perbualan saya dengan Dr. Saiful menjadi panjang.
Bahagian 3 – Takdir
Dalam usaha saya menghubungkan pengalaman saya dalam kes yang sangat spesifik ini, saya mula sedar satu perkara.
Hidup saya sendiri mempunyai sedikit kemiripan dengan novel-novel yang saya sebutkan tadi.
Bukan dalam konteks hidup dan mati. Bukan dalam konteks berjaya atau gagal. Tetapi dalam konteks memahami seni. Penghubung semuanya ialah takdir.
Seperti yang ditakdirkan bahawa keluarga Buendía akan lenyap.
Seperti Santiago dalam The Alchemist yang akhirnya menemui apa yang dicarinya.
Saya pula seolah-olah mengalami perkara yang sama, tetapi dalam skala hidup saya sendiri.
Episod-episod hidup saya yang pada asalnya kelihatan seperti tiada kaitan, tiba-tiba mula menjadi lengkap.
Satu membawa kepada satu yang lain.
Saya pergi ke majlis. Saya bertemu Dr. Saiful. Dr. Saiful mengajak saya ke pameran. Saya melihat karya Dr. Zakaria. Saya bertanya tentang movement.
Dr. Zakaria menyebut tentang kaku dan sunyi. Beberapa hari dan minggu kemudian saya menonton 100 Years of Solitude.
Kemudian Dr. Saiful memberitahu saya bahawa Dr. Zakaria Ali pula yang menterjemahkan karya tersebut ke bahasa Melayu.
Tiba-tiba semuanya bersambung.
Umpama saya sedang membaca sebuah novel yang saya sendiri tidak tahu jalan ceritanya. Seperti adaptasi kisah oleh Marquez, saya seolah-olah tidak boleh melarikan diri daripada perjalanan ini.
Dan seperti novel Coelho, saya seolah-olah diberikan tanda untuk meneruskan perjalanan.
Dari Dr. Zakaria Ali menyebut “kaku” dan “sunyi”, sehinggalah saya melihat perkataan solitude pada tajuk sebuah siri Netflix. Mungkin ini hanyalah kebetulan.
Mungkin saya sendiri yang menghubungkan perkara-perkara yang sebenarnya tidak mempunyai hubungan. Orang putih cakap superstitious.
Tetapi bukankah itu juga sebahagian daripada pengalaman manusia?
Kita hidup. Kemudian kita melihat kembali. Barulah kita nampak hubungan antara perkara-perkara yang berlaku. Semasa menjalaninya, semuanya nampak seperti episod yang berasingan.
Selepas menjalaninya, kita mula connect the dots. Dan apabila kita connect the dots, kita memanggilnya takdir.
Seperti Santiago, saya diberikan tanda.
Dr. Saiful hendak ke pameran. Saya boleh sahaja memilih untuk tidak ikut. Saya boleh balik ke rumah. Tetapi saya ikut. Mungkin itulah tanda.
Kalau saya tidak menerimanya sebagai tanda kepada sesuatu, mungkin saya tidak akan melalui episod-episod yang seterusnya.
Mungkin saya tetap akan melaluinya juga. Tetapi maknanya mungkin berbeza. Mungkin semuanya akan kekal meaningless.
Lifeless. Tiada movement.
Cara saya melihat seni mungkin kekal kaku pada tahap itu sahaja.
Seperti keluarga Buendía, saya seolah-olah tidak dapat melarikan diri daripada perjalanan ini, walaupun dalam setiap episod masih ada ruang untuk saya memilih.
Yang menariknya, keputusan-keputusan saya ketika itu semuanya agak impulsif.
Saya tidak merancang pun semua ini. Saya cuma ikut. Saya cuma bertanya. Saya cuma menonton. Saya cuma bercerita. Kemudian saya connect the dots.
Dan mungkin, apabila kita melihat ke belakang, itulah yang kita namakan takdir. Kita sentiasa bergerak. Bukan semestinya kita tahu ke mana. Tetapi kita tetap bergerak. Dan mungkin kita hanya mengetahui ke mana kita sedang bergerak selepas kita sampai.
Apa Itu Seni?
Daripada semua perkara yang berlaku itu, saya akhirnya mendapat satu kefahaman, atau sekurang-kurangnya satu kefahaman untuk diri saya sendiri.
Seni ialah kehidupan yang ikhlas pengkarya itu sendiri.
Bagaimana dia melihat. Bagaimana dia merasa. Bagaimana dia berfikir. Apa yang dia lalui. Apa yang dia ingat. Apa yang dia lupakan. Apa yang dia anggap penting. Dan apa yang dia anggap tidak penting.
Semua itu bergerak.
Daripada pengalaman kepada idea. Daripada idea kepada proses. Daripada proses kepada karya.
Dan kadang-kadang, pengkarya itu sendiri mungkin tidak sedar ke mana movement itu sedang membawanya. Sehinggalah karya itu selesai.
Pada ketika itulah sesuatu pengertian mungkin muncul. Sebab itu saya fikir semua orang boleh berseni. Tetapi mungkin tidak semua karya akan terasa hidup. Kerana untuk saya, movement itu perlu ada.
Tanpa movement, seni mungkin hanya menjadi objek.
Ada bentuk. Ada warna. Ada bahan. Ada teknik.
Tetapi apabila ada movement, sesuatu yang kaku boleh menjadi hidup.
Bukan kerana karya itu benar-benar bergerak. Tetapi kerana ia membuatkan kita bergerak.
Kita mula berfikir. Kita mula merasa. Kita mula mengingati. Kita mula bercerita. Kita mula mengaitkan karya itu dengan kehidupan kita sendiri. Dan mungkin itulah sebabnya sesetengah karya terasa “hidup”.
Bukan kerana kita semestinya memahami apa yang pengkarya mahu sampaikan.
Kadang-kadang kita langsung tidak faham. Tetapi kita boleh rasa. Dan mungkin itulah yang saya baru faham tentang seni. Seni bukan hanya tentang apa yang berada di hadapan mata. Ia adalah perjalanan pengkarya yang akhirnya menjadi karya.
Dan apabila karya itu sampai kepada kita, perjalanan itu tidak semestinya berhenti.
Ia boleh bergerak lagi.
Daripada karya kepada perasaan. Daripada perasaan kepada ingatan. Daripada ingatan kepada cerita. Daripada cerita kepada manusia lain. Dan mungkin, daripada manusia lain kepada sebuah karya yang baharu. Sebab itu saya fikir seni mempunyai life-nya sendiri.
Ia bermula daripada hidup pengkarya. Kemudian ia hidup dalam karya. Dan selepas itu, ia mungkin hidup pula dalam diri orang yang melihatnya. Kalau ada yang mengatakan bahawa seni itu ialah kehidupan, saya setuju.
Bukan kerana saya sudah memahami seni sepenuhnya. Tetapi kerana sekarang saya sudah mula merasainya. Dan saya boleh merasainya kerana saya cuba mengaitkan seni dengan hidup.
Mungkin itulah takdir seni. Bukan semata-mata untuk difahami. Tetapi untuk dirasai. Dan kalau ada yang berpendapat sebaliknya…
Peduli apa?! Kerana inilah rasa saya yang nyata.
