SIAPA pernah membayangkan bahawa sebuah filem berbahasa Melayu dari Malaysia yang hampir hilang dari radar perfileman dunia secara tiba-tiba dipilih sebagai Official Selection ke Festival Filem Cannes 1995 di Perancis dan bersaing dalam kategori Un Certain Regard. Lebih manis, ia berhadapan dengan pelbagai filem yang dibikin nama-nama besar dunia seperti Wim Wenders, Mohsen Makhmalbaf dan John Boorman.
Kaki Bakar arahan U-Wei Haji Saari menyertai festival ini ketika dunia meraikan 100 tahun pembikinan filem sejak Lumiere Brothers membikin sebagai apa yang dianggap sebagai the first motion picture dengan judul The Workers Leaving the Lumiere pada tahun 1895.
Pada asalnya, filem ini dibikin sebagai filem untuk televisyen pada skala kecil, namun memberikan pengisian dengan makna cukup besar. Kaki Bakar menjalani penggambaran selama 16 hari di sekitar daerah Mentakab dan Temerloh di Pahang. Babak keluarga Kakang yang tidur di dalam khemah dan lori pula dilaksanakan di daerah Gombak yang kini menjadi laluan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Filem ini merupakan suatu adaptasi longgar daripada cerpen tulisan William Faulkner pada tahun 1936 bertajuk Barn Burning.
Kaki Bakar menampilkan Almarhum Khalid Salleh dan Bell Ngasri yang pada ketika itu berusia 12 tahun sebagai watak utama. Filem ini turut didukung pelakong hebat seperti Azizah Mahzan, Liza Rafar, Ochee, Tam Suhaimi, Kamarool Haji Yusof, Jamaluddin Kadir, Almarhum Kuswadinata, Almarhum JD Khalid dan Anwar Idris.
Dalam konteks tulisan ini, suka untuk saya menyentuh mengenai kerja adaptasi yang dilaksanakan U-Wei dalam filem ini. Dalam hal ini, teringat saya kepada perkataan poskad yang disebut U-Wei sebagai merujuk kepada tindak balas kepada sesuatu kerja baharu yang dilakukan, di mana kita harus yakin dengan adaptasi terhadap tulisan berkenaan dan dalam masa sama kita harus overrule fikiran asal dalam tulisan berkenaan dan mengikut acuan dan falsafah sendiri.
Berpandukan kepada tanggapan ini, Kaki Bakar boleh dinilai sebagai sebuah poskad yang ditujukan kepada filem barat. Filem ini berjaya menghilangkan pemikiran asal penulisnya, namun masih mengekalkan semangat cerita dan tema keterasingan yang menjadi kesukaan U-Wei. Ia bukan sebuah filem yang sekadar merakam novel atau memindah teks ke layar.
Kaki Bakar mengisahkan Kakang(Khalid Salleh)seorang yang kuat darah dan jati diri Jawa dan tinggal di suatu daerah luar bandar di Malaysia bersama-sama keluarganya. Beliau mempunyai isteri yang setia (Azizah Mahzan), dua anak perempuan (Ochee dan Liza Rafar) dan dua anak lelaki (Bell Ngasri dan Tam Suhaimi). Keluarga Kakang dipandang rendah oleh masyarakat setempat dan mereka mencari rezeki dengan menoreh getah milik Tuan Kassim (Jamaluddin Kadir).
Anak bongsunya bernama Kesuma (Bell Ngasri) merupakan harapan Kakang untuk menjadi berani seperti dirinya. Dipendekkan kisah, Kakang membakar rumah getah milik tuannya dan kemudian menemui ajal di hujung senapang.

Secara peribadi saya berpandangan bahawa adaptasi bukan suatu kerja mudah, khususnya apabila melibatkan karya sastera besar. Barn Burning berjaya diangkat oleh U-Wei seperti kecemerlangan Frank Darabont mengangkat Shawshank Redemption daripada novela tulisan Stephen King.
Saya berani mengatakan bahawa Kaki Bakar merupakan kerja terhebat daripada U-Wei. Jika tidak, mana mungkin Pierre Rissient wakil dari Cannes yang mencari filem berpontesi Asia datang sendiri ke Kuala Lumpur untuk menjemput U-Wei.
Melalui syot dan cerita yang hidup dengan lakonan luar biasa membuatkan Rissient pantas membuka laluan untuk Kaki Bakar menjejakkan kaki di Cannes. Filem ini telah dihantar ke Australia untuk penukaran format ke filem 35mm.
Dalam menangani aspek lakonan, U-Wei membuat pilihan tepat dengan memberikan peranan Kakang kepada Khalid Salleh, seorang pelakon teater dan penulis yang lahir dari kelompok Anak Alam, tempat seniman berkumpul, hidup dan berkarya. Khalid sentiasa dikenang sebagai seniman yang memiliki pemikiran tajam dan kritis.
Kaki Bakar menjadi ruang kerjasama pertama antara U-Wei dan Khalid. Hubungan erat kedua-duanya kemudian diteruskan dalam filem Jogho, Buai Laju-Laju, Hanyut dan pentas teater, Wangi Jadi Saksi. Khalid yang mesra dipanggil Wak, sentiasa berada dalam senarai keutamaan karya ciptaan U-Wei.

Apabila menonton Kaki Bakar, kita akan menyaksikan bagaimana hampir tiada syot di dalam rumah Kakang. Gerak kamera hanya menangkap rumah ini dari tangga, dari tingkap dan anak-anaknya mengaji Al-Quran di ambil dari ruang dapur. Hanya babak makan dirakam di dalam ruang dapur rumah yang serba kekurangan ini. Ini satu metafora bahawa keluarga ini sentiasa berada di pinggiran, tiada sesiapa ingin menjenguk apatah lagi mempedulikan mereka. Harta mereka hanyalah dua ekor kambing yang dibela semampu mungkin.
Selain itu, filem ini banyak menangkap syot long take dengan dialog panjang melibatkan. Apa yang menarik ketika menangani lakonan Bell Ngasri, U-Wei tidak melihat beliau seperti kanak-kanak berumur 12 tahun, namun memandangnya seperti pelakon dewasa. U-Wei membangunkan hubungan bapa-anak antara Kakang dan Kesuma dengan cara dewasa dan berlandaskan hal ini, kita melihat bagaimana percakapan Kakang dan Kesuma mencerminkan perbualan bersifat dewasa.
Kaki Bakar hanya ditayangkan di Malaysia pada tahun 2001, enam tahun selepas puas menjelajah dunia. Saya sendiri menikmati filem ini bersama-sama keluarga di KLCC. Menontonnya di layar lebar membawa saya ke alam baharu. Ia membuatkan saya memahami kebesaran filem ini dengan kraf dan pemikiran luar biasa.

Selepas Cannes, Kaki Bakar terus membakar di pelbagai pesta filem luar negara termasuk Nantes, Brussels, Berlin, Switzerland, New York, Telluride, Delhi, Singapura, Manila, Cebu, Pnohm Penh dan Pusan. Malah ketika di Brussels pada tahun 1995 ia menerima anugerah Filem Bahasa Asing Terbaik dan Anugerah Khas Juri South East Asian Biennial 1997 Film Festival di Pnohm Penh.
Tahun ini kita meraikan 30 tahun Kaki Bakar menempatkan diri di Cannes dan filem ini akan terus dikenang sebagai filem yang meneroka pemikiran tempatan dan mendatangkan kesedaran mengenai kepincangan keadilan dan kepentingan jati diri.
