
Rata-rata ada dua kaedah dalam industri pasaran seni (art market).
Pasaran Prima (primary market),iaitu bila pelukis menerima terus bayaran hasil jualan karyanya dari pembeli, penempah, kolektor atau institusi (termasuk galeri).
Dulu Michelangelo dibayar terus oleh Pope untuk melukis di siling Sistine Chapel pada abad ke 16.
Caravaggio diperkenalkan kepada pelanggannya, Francesco del Monte aristokrat Itali melalui Constantino Spata seorang ‘art dealer’.
Begitu juga dengan pelukis-pelukis abad seterusnya seperti Rembrandt, Turner, Gauguin hingga ke Picasso, mereka dibayar dari hasil jualan lukisan-lukisan mereka oleh penjual, pembeli, peraih (dealer) dan patron atau kolektor mereka.
Setelah lebih 150 tahun, kegiatan dagangan ini tidak banyak berubah kecuali peranan ‘art dealer’ yang semakin berkesan dengan penubuhan premis-premis canggih untuk peragaan karya-karya disamping promosi yang lebih aggresif dan lumayan seperti preview, pameran, resepsi pembukaan, katalog dan kuratorial untuk menarik minat dan keyakinan pembeli.
Lalu gedung-gedung galeri perniagaan lukisan yang dipelupori oleh ‘art dealer’ kini tumbuh pesat dikota-kota besar di mana seni rupa dilihat mampu meraih pembeli atau kolektor, dan menjual karya kini merupakan amalan paling legit buat pelukis dan paling lumayan buat galeri.
Sistem dagangan karya juga lebih innovatif dan fleksibel. Galeri selain membeli karya terus dari pelukis (outright) dan kemudiannya menjual dengan harga berkeuntungan, juga turut menawarkan kaedah ‘congsignment’ iaitu mengambil komisen dalam linkungan 35-50 peratus dari harga jualan yang dipersetujui oleh kedua pihak (pelukis dan galeri).
Jumlah komisen juga bergantung kepada pekej yang ditawarkan oleh galeri seperti mengadakan preview, majlis pembukaan (opening reception), bahan promosi poster, katalog dan penulis, transportasi karya ke galeri serta penghantaran karya kepada pembeli.
Lagi banyak pekej yang ditawar lagi tinggi komisen diambil. Namun kelangsungan syarat-syarat ini harus dipersetujui kedua pihak agar termeteri talian professionalisme.

Manakala pembelian sebarang karya lukisan di luar kontek sebelum ini dianggap sebagai pasaran sekonda (secondary market).
Karya-karya yang dijual di pasaran sekonda bukan lagi melalui pelukis atau dengan kata lain pelukis tidak mendapat sebarang bayaran hasil dari kaedah transaksi jualan ini.
Contoh paling dekat ialah jualan oleh rumah-rumah lelongan (auction house) hebat antarabangsa seperti Christie’s dan Sotheby’s dan di Malaysia seperti Henry Butcher Art Auction, KLAS Art Auction dan Masterpiece Art Auction.
Biasanya transaksi sekonda akan berlaku setelah pelukis mendapat status tertentu dalam kerjayanya sebagai pelukis professional.
Dek kerana karya-karya yang dipasarkan di ‘secondary market’ bukan dari pelukis sendiri tetapi dibekalkan oleh pembeli asal yang menjadi pemilik atau pemilik-pemilik seterusnya, nilai pasarannya lebih tinggi dari harga asal (ketika dibeli).
Karya-karya berstatus ‘second hand’ ini tidak semestinya melalui pengetahuan atau memerlukan kebenaran pelukis kerana walau masih mempunyai ‘artist right’, pelukis tidak berhak keatas nilai ekonomi karya.
Justeru, hasil jualan dimiliki sepenuhnya oleh penjual (consignor) dengan sedikit bayaran perkhidmatan dan premium rumah lelongan.
Dalam industri seni, ternyata setelah sesuatu karya itu melepasi pembeli atau pemilik asal, nilai pasarannya mampu melonjak.
Sebab itu sering kedengaran bahawa karya seni itu menjadi komoditi pelaburan yang dibeli untuk tujuan ‘investment’.
Ini tidak semestinya janggal di dalam dunia perniagaan kerana karya seni, seperti komoditi-komoditi lain mempunyai nilai ekonomi yang boleh dijual beli.
Nilai itu tentunya juga bergantung kepada ‘supply and demand’ dan tentunya juga berkait dgn kaedah pemasarannya.
*Artikel ini merupakan posting Dr Jalaini Abu Hassan di Facebooknya. Senimalaya telah memohon izin untuk menyiarkan artikel ini.
