”Thank you very much, Muliyadi. With that amount, I have to stay alive for five more years. I will change your address. I appreciate your loyalty and friendship. John”.
Itulah kata-kata Dr. John A. Lent melalui e-mel yang dikirimkan kepada saya pada hari Khamis, 24 Jun 2021, jam 12.20 pagi, setelah menerima kiriman wang USD300 daripada saya sebagai bayaran untuk meneruskan langganan International Journal of Comic Art (IJOCA) yang diasaskan dan diterbitkan olehnya. Sungguh tidak disangka-sangka, kata-katanya itu menjadi kenyataan apabila beliau meninggal dunia pada hari Sabtu, 16 Mei 2026 yang baru lalu pada usia 90 tahun. Menurut sumber ijoca.blogspot.com, John Lent meninggal dunia akibat komplikasi jantung ketika menerima rawatan di hospital setelah terjatuh di rumahnya beberapa hari sebelum itu.
Nama Dr. John A. Lent, Profesor Emeritus Komunikasi Massa di Temple University, Philadelphia, Pennsylvania, USA sudah tidak asing lagi dalam kalangan penggiat seni kartun dan komik di seluruh dunia kerana sumbangan besarnya dalam penyelidikan, penulisan dan penerbitan ilmiah mengenai cabang seni ini. Usaha beliau yang tidak mengenal jemu itu telah menjadi rujukan dunia. Di samping kecenderungan kepada bidang komik dan kartun, beliau juga dikenali sebagai seorang sarjana dalam bidang media dan komunikasi.
John Lent dilahirkan di East Millsboro, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 8 September 1936. Beliau memperoleh ijazah kedoktorannya dalam bidang Komunikasi Massa daripada Universiti Iowa, USA pada tahun 1972 dengan kajian bertajuk Commonwealth Caribbean Mass Media: Historical, Cultural, Economic and Political Aspects; Sarjana Sains dalam bidang Kewartawanan daripada Universiti Ohio, Athens (1960); dan Sarjana Muda Kewartawanan daripada Universiti Ohio pada tahun 1958. Pada tahun-tahun 1960-an, beliau juga telah mengikuti banyak kursus jangka pendek di universiti-universiti lain seperti di India, Jepun, Norway dan Mexico.
Pelibatan beliau dalam dunia pengajaran dan pendidikan telah bermula di Universiti Ohio pada tahun 1958 sebagai Tutor. Bermula dari itu, kerjayanya sebagai seorang pendidik terus berkembang dan beliau telah mengajar di beberapa buah universiti di dalam dan di luar Amerika Syarikat, termasuklah di Kanada, Filipina, China dan Malaysia. Bermula Januari 1974 hingga Julai 1976, beliau telah bertugas sebagai pensyarah dan koordinator di Jabatan Komunikasi Massa, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan bertanggungjawab dalam mewujudkan program akademik dalam bidang Komunikasi Massa yang pertama di Malaysia.
Terdahulu pada tahun 1964-1965, beliau telah menerima Anugerah Sarjana Fulbright dan berkhidmat sebagai pensyarah kewartawanan di Kolej De La Salle, Filipina serta terlibat dalam pembangunan kurikulum kewartawanan di situ. Dari tahun 1976 hingga akhir hayatnya, John Lent merupakan profesor dalam bidang komunikasi di Universiti Temple, Philadelphia, USA dan menjadi profesor tamu di beberapa buah universiti lain seperti Universiti Shanghai dan Universiti Nanjing di China serta Universiti Kebangsaan Malaysia. Ternyata kepakarannya telah membawa beliau ke serata dunia.
Di samping kepakaran dalam bidang Kewartawanan dan Komunikasi Massa, John Lent mempunyai komitmen dan kecenderungan yang tinggi terhadap bidang pengajian kartun dan komik dan disifatkan sebagai sarjana perintis yang telah mengangkat kedua-dua cabang seni ini sebagai suatu bidang ilmu.
Namun begitu, usahanya untuk mengangkat seni komik dan kartun sebagai bidang ilmu tidak berlaku dengan mudah dan menerima banyak cabaran, terutamanya dari sudut pandangan golongan ilmuan dan ahli akademik yang bersikap negatif, sangsi dan memandang rendah terhadap bidang ini. Selain daripada persepsi stereotaip dan negatif terhadap seni komik dan kartun yang dianggap picisan dan seni rendah ini, cabaran lain termasuklah usaha memberi kefahaman dan mendidik khalayak tentang potensi, kepentingan dan keluasan skop bidang ini.
Dalam satu temubual The Podcast of the IAMCR Comic Art Working Group, iaitu International Association for Media and Communication Research (IAMCR) yang disiarkan pada pautan ijoca.blogspot.com pada 16 Oktober 2022, John Lent menyebut bahawa banyak ahli akademik yang mentertawakannya sewaktu dia memulakan bidang Pengajian Komik pada tahun 1984. Tambahnya, hal ini juga serupa bagi bidang-bidang pengajian budaya popular lain seperti sinema dan televisyen.
John Lent gembira kerana IAMCR Comic Art Working Group yang diasaskannya telah berjaya mempopularkan komik dan kartun sebagai suatu disiplin ilmu di samping mengantarabangsakannya. Meskipun pada awalnya kecenderungan penyelidikan bidang ini lebih tertumpu kepada komik-komik superhero sahaja, kini skop penyelidikan disiplin ini telah jauh berkembang dengan meluas kepada bentuk-bentuk komik dan kartun yang lain menerusi pelbagai pendekatan.
John Lent telah mengembara ke merata tempat dan pelosok dunia bagi membuat penyelidikan mengenai bidang ini, dengan menemubual banyak kartunis dan pelukis komik serta melawat pelbagai syarikat penerbitan komik dan kartun. Pendekatan penyelidikannya tentang aspek budaya popular ini merentasi pelbagai kaedah seperti sejarah, deskriptif, biografi, analisis makna dan eksperimentasi. Di samping menulis, beliau juga menjadi editor, kolumnis dan pakar rujuk bagi kebanyakan penerbitan di seluruh dunia.
Pada tahun 1991 saya telah diperkenalkan kepada John Lent yang mengunjungi Malaysia ketika itu oleh dua orang pensyarah Kewartawanan ITM iaitu Sankaran Ramanathan dan Mohd. Hamdan Adnan. Ini adalah antara detik terpenting dalam perjalanan kerjaya saya sebagai pensyarah dan pengkaji kartun kerana perkenalan itu telah memungkinkan saya mengenali dunia kartun global dengan lebih meluas serta membuka ruang kepada saya untuk terlibat dengan lebih aktif dalam penyelidikan mengenai kartun.
Pada tahun 1997, John Lent telah mengundang saya untuk menulis mengenai “Sejarah Kartun Editorial Malaysia” bagi penerbitan Southeast Asian Journal of Social Science (National University of Singapore, Vol.25 No. 1 1997), isu yang memfokus kepada Cartooning and Comic Art in Southeast Asia yang sedang disuntingnya. Undangan John Lent ini telah memungkinkan saya menerbitkan penemuan awal kajian PhD yang sedang saya laksanakan ketika itu di University of Kent, di Canterbury, United Kingdom, iaitu Malay Editorial Cartoons: The Development of Style and Critical Humour.
Undangan ini juga adalah permulaan kepada penglibatan lebih banyak projek bersama beliau, termasuklah buku Animation in Asia and the Pacific (London: John Libbey, 2001), Konferens Society of Animation Studies di Australia (1999), esei-esei dalam International Journal of Comic Art, buku Transnationalism in East and Southeast Asian Comics Art (Palgrave Macmillan, 2022) dan lain-lain lagi. Sokongan John Lent memang begitu besar dan saya amat terhutang budi kepadanya.
John Lent menjadi contoh yang ideal, kerap memberikan galakan dan buah fikiran untuk saya terus menulis dan mengkaji. Dia juga kemudiannya mengundang saya untuk menjayakan beberapa projek penulisan jurnal, buku dan terlibat dengan seminar animasi di peringkat antarabangsa. Kerja-kerja penulisan dan penyelidikannya menjadi rujukan yang penting dalam kerja-kerja penulisan saya. Dia menjadi inspirasi bahawa bidang kajian komik dan kartun boleh pergi jauh dan mempunyai potensi.
Sejak pertemuan pertama kali dengannya pada tahun 1991, setiap kali mengunjungi Malaysia, John Lent pasti menghubungi saya dan kerap saya membawanya ke tempat-tempat yang ingin dilawatinya bagi mengumpulkan bahan penyelidikan seperti Syarikat Creative Enterprise Sdn Bhd penerbit Majalah Humor Nasional Gila-Gila dan Gempak Starz yang menerbitkan majalah Gempak, atau bagi menemui dan menemubual kartunis-kartunis tertentu seperti Rejabhad pada tahun 2000 dan kartunis wanita perintis Nora Abdullah pada tahun 2016.
Pada tahun 2016, ketika masih bertugas di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, selaku Pengerusi Art and Design International Conference (AnDIC), saya dan rakan-rakan jawatankuasa konferens telah berjaya membawa beliau sebagai Tokoh Ucaptama membicarakan perihal Komik dalam Dunia Media Baharu dengan tajuk ”Cyberology Relative to Themes and Issues of an Art Form Upstart-Comic Art” di Hotel Concorde Shah Alam pada 10 Oktober 2016.
Dalam konteks perkembangan kartun dan komik Asia, antara buku-buku terpenting John Lent ialah Animation in Asia and the Pacific terbitan John Libbey, United Kingdom (2001), Asian Comics (2015) dan Asian Political Cartoons (2023), kedua-duanya terbitan University Press of Mississippi, USA.
Dalam buku Animation in Asia and the Pacific, beliau telah berjaya mengumpulkan serta menyunting hasil tulisan para sarjana mengenai perkembangan animasi di rantau ini, termasuklah China, Jepun, Korea, Taiwan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Australia dan New Zealand. Buku yang menampilkan animasi daripada perspektif sejarah dan gaya menerusi pendekatan analisis formalistik dan kontekstual ini menjadi rujukan penting mengenai animasi di rantau ini. Dalam buku ini, saya diundangnya untuk menulis Bab 8 bertajuk ”The History of Malaysian Animated Cartoons”. Di samping penulisan buku, John Lent juga terlibat dalam penganjuran banyak persidangan yang berkaitan dengan kartun dan animasi, termasuklah di China dan Australia.
Bukunya yang berjudul Asian Comics bukan sahaja membincangkan tentang komik Asia dari sudut gaya, tetapi juga menyentuh aspek sejarah, industri dan nilai-nilai estetik. Dalam konteks ini, John Lent telah menghuraikan secara terperinci pelbagai dokumen dan temubual yang dilakukannya dengan pelbagai individu yang terlibat dengan dunia komik, termasuklah pelukis, penerbit, pengkritik dan sejarawan. Pelibatannya dalam mengkaji komik sejak tahun 1960-an dengan jelas telah membuktikan komitmennya dalam bidang seni yang unik ini.
John Lent telah menggunakan pendekatan pengajian budaya visual yang merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti sejarah seni dan pengajian media. Hal ini selaras dengan sifat komik dan kartun yang begitu multidisiplin. Lantaran itu, buk-buku John Lent amat sesuai dibaca oleh pelbagai golongan pembaca, termasuklah sarjana, pelukis komik, kartunis, penerbit, pengkaji budaya, pelajar seni, sejarah dan pengajian media serta para pemain dalam industri komik dan kartun.
Seperkara yang menarik mengenai buku Asian Comics ialah apabila John Lent membincangkan tentang dunia komik di negara-negara yang belum dikaji secara menyeluruh, seperti Bangladesh, Kemboja, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Thailand, dan Vietnam, berbanding dengan manga Jepun yang telah dikaji dan dibincangkan dengan panjang lebar oleh pelbagai sarjana. Dalam konteks ini, John Lent telah memberikan maklumat-maklumat baharu yang asli tentang komik Asia dengan mengambil kira aspek sejarah, industri, seni dan budaya.
Misalnya, dalam membincangkan tentang dunia komik di negara China, John Lent telah menghuraikan peranan komik dalam membangkitkan semangat patriotisme untuk menentang penaklukan Jepun serta melihat komik dari sudut pendidikan dan propaganda. Isu-isu yang merentasi dunia komik Asia, seperti penapisanatau censorship komik dan kartun, lukisan, pewarnaan dan penyusunan teks, kapsyen dan komposisi turut dibincangkan dengan teliti.
Di samping buku-buku ini, dalam konteks seni lukis kartun, salah satu sumbangan paling signifikan oleh John Lent ialah penerbitan International Journal of Comic Art (IJOCA) yang diasaskannya pada tahun 1999. Jurnal ini telah berjaya mewujudkan suatu forum ilmiah bagi kartunis dan sarjana komik dan kartun di seluruh dunia untuk berinteraksi serta menerbitkan penyelidikan ilmiah masing-masing mengenai komik dan kartun. Di samping John Lent sebagai Ketua Editor, jurnal ini turut dianggotai oleh sidang editorial yang terdiri daripada sarjana komik dari seluruh dunia. Bukan sekadar menjadi rujukan karyawan, jurnal ini telah berupaya menyuburkan lagi bidang pengajian komik dan kartun secara global.
John Lent adalah seorang insan yang budiman, peramah, sangat merendah diri dan mudah mesra. Dia tidak lokek ilmu dan begitu mudah untuk didekati bagi membincangkan hal-hal dunia akademia terutamanya yang berkaitan seni komik, kartun dan pengajian media. Dia menjadi suri teladan bagi pelajar, pengkaji dan sarjana yang lain dengan sering kali memulakan inisiatif dalam apa jua hal berkaitan dunia kesenian yang dicintainya, sama ada menerusi penganjuran seminar, bengkel, konferens, pameran dan penerbitan.
Malahan dia sentiasa menyokong dan memperjuangkan nasib kartunis di seluruh dunia, termasuklah kartunis-kartunis politik yang menerima pelbagai ancaman dan tekanan akibat daripada karya-karya keras dan kritis yang mereka hasilkan, seperti yang dialami Zunar pada era reformasi politik Malaysia. John Lent merupakan ahli lembaga pengarah Cartoonists Rights Network International (CRNI) yang membela nasib kartunis sedemikian.
Menurut laman web CRNI, John Lent telah menulis 88 buah buku dan ratusan esei terutamanya berkaitan pengajian media atau media komunikasi, budaya popular, seni komik dan kartun, dan lazimnya merupakan kajian perintis bagi disiplin-disiplin ilmu berkenaan. Karya-karyanya menjadi rujukan yang penting secara global. Sehingga akhir hayatnya dia tidak pernah berhenti menulis, malahan menurut ijoca.blogspot.com, ada dua lagi bukunya yang bakal terbit dan dia masih aktif menyunting dan menguruskan penerbitan isu terbaharu International Journal of Comic Art (IJOCA).
Itulah John A. Lent yang saya kenali, seorang sarjana yang tidak pernah jemu atau berhenti berkarya, sentiasa berusaha dan bekerja demi kemajuan bidang ilmu yang dicintainya. Dia merupakan suri teladan, sumber inspirasi dan guru bagi banyak orang, dan pemergiannya pada Hari Guru itu merupakan suatu kehilangan besar bagi dunia pengajian media dan budaya popular, seni komik dan kartun, serta meninggalkan kesan mendalam bagi rakan-rakan dan komuniti komik dan kartun di seluruh dunia. Segala jasa dan sumbangnannya tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Terima kasih John Lent!

John A. Lent
To: me · Thu, 24 Jun 2021 at 12:20 am
Message Body
Thank you very much, Muliyadi. With that amount,
I have to stay alive for five more years. 😏I will change your address.
I appreciate your loyalty and friendship. John
669 Ferne Blvd.Drexel Hill, PA, 19026 USA
http://www.ijoca.net/
Salinan e-mel John Lent kepada penulis bertarikh 24 Jun 2021.






