Nasinya Tumpah merupakan karya pertama yang membuka jalan saya mengenali dunia kepengarangan Fatimah Busu. Saya membacanya sewaktu di bangku sekolah. Sebuah naratif pilu yang merakam bagaimana kemiskinan dan keterdesakan hidup menjerut kehidupan sebuah keluarga.
Kesan ceritanya begitu menyentuh hingga menanamkan trauma mendalam–sekadar melihat cendawan pun sudah cukup menggugah ketakutan saya. Bila beranjak dewasa, barulah kebimbangan itu hilang perlahan-lahan. Tak mungkin saya lepaskan keenakkan dan khasiat cendawan hanya kerana sebuah fiksi. Namun begitulah kekuatan sebuah naratif dan bayangan yang diciptakan seorang pengarang hebat, sehingga dapat menyentuh sanubari pembacanya.
Cerpen yang meraih Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972 ini kemudiannya diadaptasi ke drama televisyen, dengan lakonan hebat oleh Marlia Musa dan ND Lala. Medium layar juga membawa pengaruh yang sama–sebal dan sedih mengenangkan bagaimana Jarah, kakak sulung dari empat beradik harus menjaga adik-adiknya yang masih kecil, kerana ibu bapa keluar bertani demi kelangsungan hayat. Yang akhirnya berhadapan dengan tragedi cendawan beracun yang menyayat hati.
Zaman belajar adalah tempat di mana saya menerima akses yang lebih luas terhadap karya Fatimah Busu. Di sinilah saya membaca koleksi cerpen dan novel tulisannya. Antara yang berbekas seperti Anak-Anak dari Kampung Pasir Pekan (1975), Anak Bumi Tercinta (1975) juga novel pertamanya Ombak Bukan Biru (1977).
Jika diminta menyenaraikan nama penulis yang menjadi pengaruh besar kepengarangan saya, nama Fatimah Busu pasti tidak akan tercicir. Regina Ibrahim penulis prolifik, pernah menulis Tari Pasar Perempuan (koleksi cerpen pertama saya) mempunyai semangat Fatimah Busu. Penyataan ini lebih besar dari menang anugerah sastera negara atau pengiktirafan apa pun. Saya bersyukur, meskipun hanya sedikit–mungkin 10 peratus, atau malah kurang–yang dapat saya serap dari tenaga, semangat, dan kecerdasan fikirannya.

Sebuah keterujaan yang mendalam apabila koleksi cerpen terpilih karya Fatimah Busu dihimpunkan. Membaca kembali Fatimah Busu dalam usia matang sebegini, memberi pengalaman yang lebih spiritual. An Ordinary Tale About Women and Other Stories karya Fatimah Busu, telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Pauline Fan. Buku ini diterbitkan oleh Penguin Random House SEA pada Disember 2024 dan merupakan koleksi cerpen pertama Fatimah Busu yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
Usaha, dedikasi dan kerja keras Pauline Fan dalam proses pembangunan buku ini sungguh wajar diberikan pujian. Pengalaman luas beliau dalam bidang penterjemahan karya sastera, penulisan dan penyelidikan, meletakkan karya ini berada di tempat yang selayaknya.
Kita harus memperkenalkan Fatimah Busu kepada dunia dengan lebih luas lagi. Begitu penting membawa tulisan beliau kepada pembaca global, sekaligus menghargainya di tanah air sendiri. Terutama buat generasi baharu yang mencari suara radikal dan kontemporari, khususnya dari pengarang perempuan.
Penterjemahan Pauline Fan berhasil mengangkat keaslian dan kekuatan cerita-cerita tersebut, mengalunkannya ke dalam bahasa Inggeris tanpa kehilangan makna dan daya pikatnya. Koleksi ini memuatkan sepuluh cerpen Fatimah Busu, dipilih dari karya-karya awal beliau sekitar 1960-an, melalui fasa prolifik di 1970-an, kemuncak kreativiti pada 1980-an, hingga ke kematangan penulisannya pada era 1990-an.
Cerpen-cerpen dalam koleksi ini mencerminkan pandangan kritis beliau terhadap masyarakat Melayu–khususnya mengenai realiti kehidupan wanita dan lelaki di kawasan luar bandar yang bergelut dengan tradisi dan modenisasi.
Kebanyakan cerpen dalam koleksi ini berlatarbelakangkan kampung halaman beliau, Kampung Pasir Pekan, Kelantan. Ceritanya dilengkapi dengan keunikan dialek, amalan, pemikiran dan kehidupan seharian masyarakat pendalaman di Kelantan.
Penerima Anugerah Sastera negeri Kelantan 2015 (dan banyak lagi anugerah kesusasteraan) ini dikenali dengan gaya penulisan yang berani, telus, segar dan mempunyai identiti tersendiri. Cerpen-cerpennya sering kali mengaburkan sempadan antara realisme sosial, alam mimpi, visi apokaliptik, mitologi yang digubah-suai dan realisme magis. Beliau menentang konvensi dari sudut gaya–menggunakan teknik penulisan yang tidak linear, simbolik, penuh metafora, kadang-kadang eksperimental.
Fatimah Busu melanggar stereotaip yang dikelaskan oleh penulis segenerasinya. Merujuk kepada keberanian dan keunikan beliau dalam menulis di luar kerangka norma yang lazim diikuti oleh penulis wanita Melayu pada zamannya, terutamanya pada era 1970-an dan 1980-an. Pada era tersebut, ramai penulis wanita menghasilkan karya yang lebih bersifat romantis, domestik atau pasif–menekankan sifat keibuan, kesabaran, dan kesetiaan wanita tanpa banyak menyoal sistem sosial atau peranan gender.
Beliau berdiri sebagai penulis perempuan yang penuh kemarahan, lantang dan memberontak. Dengan bersenjatakan pena dan jiwa yang membara, beliau berusaha membongkar penderitaan psikologi dan fizikal wanita dalam masyarakat patriarki.
Fatimah Busu dengan kental mengutarakan isu-isu kemiskinan, kebobrokan sistem politik, dominasi patriarki dan ketidakadilan sosial–yang sering kali disampaikan dengan nada sinis dan kritikal. Melalui pendekatan yang tajam dan penuh perkasa, beliau menggugah kesedaran pembaca terhadap masalah-masalah sosial yang sering dipandang remeh–sambil menantang norma-norma yang telah lama terpendam dalam masyarakat.

Perempuan-perempuan dalam karya Fatimah Busu bukan sekadar isteri yang patuh atau ibu penyayang–mereka adalah individu yang berfikir, melawan, dan berjuang mencari makna hidup. Digambarkan sebagai manusia yang penuh dengan konflik–mereka tidak hanya berfungsi sebagai pelengkap kepada lelaki, tetapi sebagai watak yang memiliki suara, keberanian, dan perjuangan sendiri.
Fatimah Busu memanfaatkan sastera sebagai medium untuk membongkar penderitaan dalaman dan luaran wanita yang sering dibisukan oleh masyarakat. Beliau mengetengahkan isu-isu seperti ketidakadilan dalam institusi perkahwinan, penindasan terhadap wanita dalam masyarakat tradisional, keterbatasan wanita dalam membuat pilihan hidup, peranan wanita sebagai mangsa sistem patriarki yang hipokrit.
Tajam dan menikam dialog diturunkan Fatimah Busu dalam kisah An Ordinary Tale About Women yang turut dipilih sebagai tajuk koleksi cerpen ini.
‘All of this…! It’s all the women who are guilty! says the cecawi bird to its family who built a nest in a tree near the court. ‘There’s no male human being who is guilty.’
‘Isn’t that so…’ chirped a little cecawi. ‘It would be better if woman had no organ sex organs…it seems that the men don’t have sex organs, that’s why they’re all innocent.’ (hlm. 12)
Melalui dialog yang bersifat alegori dan sinis ini, Fatimah Busu memberikan satu bold statement–bahawa dalam masyarakat yang berat sebelah, wanita sering dipersalahkan secara mutlak, manakala lelaki dilepaskan daripada memikul tanggungjawab, seolah-olah bersih daripada dosa gender.
Keberanian Fatimah Busu untuk menulis dengan gaya yang unik dan tulen juga memberikan azimat berguna untuk penulis pemula, mahupun mapan. Beliau tidak mengikut formula atau gaya penulisan yang umum–sebaliknya menulis dengan suara yang keras, namun puitis, serta bereksperimen dalam mengembangkan naratif. Sebagai penulis, kita boleh belajar untuk menemui suara kita sendiri dan menulis dengan cara yang paling jujur dan asli–tanpa takut untuk menjadi berbeza atau radikal dalam penyampaian.
The Dowry of Desire (Mahar Asmara) merupakan sebuah reinterpretasi berani terhadap legenda Melayu klasik, Puteri Gunung Ledang. Fatimah Busu menafsir semula mitos tradisional Melayu melalui lensa feminisme dan kritik sosial. Dalam versi ini, Puteri Gunung Ledang bukan lagi watak perempuan pasif yang tunduk kepada kehendak istana. Sebaliknya, dia muncul sebagai sosok perempuan muda yang berani, cerdas dan penuh muslihat. Puteri nakal dan rebel itu mempermainkan ego dan keangkuhan Sultan Mahmud, seorang pemerintah yang terobsesi dengan keinginan dan kekuasaan.
Puteri tersebut meletakkan syarat-syarat perkahwinan yang mustahil–seperti darah anak raja dan hati nyamuk–bukan semata-mata untuk mengelak lamaran, tetapi sebagai tindakan simbolik yang menghina kerakusan lelaki yang memperlakukan wanita sebagai objek milik atau alat pelengkap status. Dalam cerpen ini, mahar bukan lambang cinta, tetapi simbol nafsu, kuasa dan kehancuran.
The Dowry of Desire mengkritik patriarki melalui watak Sultan yang melambangkan kuasa lelaki yang menindas, manakala Puteri Gunung Ledang muncul sebagai simbol autonomi wanita. Sifat rakus sultan menyindir kepimpinan egoistik, sementara tuntutan mahar menjadi perlawanan simbolik terhadap dominasi lelaki dan lambang pembebasan suara wanita. Sebuah cerpen yang solid dan genius.
“You should tell your king that he would be better off choosing a female goat or cow rather than a fairy as a bride! Those two beasts are more noble creatures in the eyes of God!
Begitulah herdikan dari pari-pari yang menjaga Puteri Gunung Ledang sewaktu berdebat dengan Tun Mamat dalam rombongannya untuk meminang sang puteri. Ia sinikal, tepat ke atas muka (on your face) dan menghiburkan.
Fatimah Busu dengan lantang mengutarakan isu pembuangan bayi dalam karyanya–menggambarkan fenomena ini akibat daripada kemiskinan, ketidakstabilan sosial, dan kurangnya sokongan keluarga. Melalui pendekatan radikal, beliau tidak hanya menyentuh kesalahan individu, tetapi menyoroti kegagalan sistem sosial yang membiarkan golongan terpinggir tanpa perlindungan. Isu ini kekal relevan, khususnya dalam era millenial, di mana kesedaran sosial dan pendidikan menjadi lebih luas, namun masih diperlukan untuk menangani masalah ini dengan lebih holistik dan efektif. Antara cerpen yang mengitari isu ini ialah Watching the full moon yang membawa pendekatan magis realisme dengan begitu mencengkam.

Sepuluh buah cerpen dalam An Ordinary Tale About Women tampil dengan ragam yang pelbagai—daripada tema yang mencabar minda, bentuk dan gaya penulisan yang unik, hinggalah kepada kisah-kisah yang berlapis makna dan penuh warna. Usai menelusuri setiap helaian naskhah ini, saya menyimpan harapan besar agar ia dapat segera diterjemahkan sepenuhnya ke dalam bahasa Malaysia. Bukan sekadar sebagai penghargaan terhadap karya ini, tetapi juga sebagai usaha memperkaya khazanah persuratan Melayu. Dengan terjemahan tersebut, naskhah ini pasti dapat dinikmati oleh khalayak pembaca yang lebih luas, khususnya generasi masa kini. Dan tanpa ragu, saya sendiri akan menjadi antara pembeli terawal.
Fatimah tegas menyuarakan pendapat politik dan sosial, termasuk menolak SEA Write Award sebagai bentuk protes–terhadap kekerasan dan penindasan yang dilakukan terhadap komuniti Muslim di selatan Thailand. Penolakan Fatimah Busu terhadap SEA Write Award bukan sekadar simbolik, tetapi satu pendirian berani yang menzahirkan peranan penulis sebagai agen perubahan, membuka mata dunia terhadap isu kemanusiaan di selatan Thailand, dan mengangkat kesusasteraan sebagai wadah perjuangan moral dan prinsip. Mampukah kita bersikap seperti Fatimah Busu?
Sesungguhnya Fatimah Busu saya anggap sebagai penulis ‘punk’ dalam konteks kesusasteraan Melayu, kerana beliau berani mencabar norma sosial dan menyuarakan ketidakadilan dalam karya-karyanya. Seperti budaya punk yang menentang penindasan dan sistem yang tidak adil–Fatimah menggunakan penulisan sebagai platform untuk menggugat status quo, khususnya dalam isu-isu kemiskinan, penindasan wanita, dan ketidakadilan sosial. Fatimah berfungsi sebagai suara pemberontak yang menuntut perubahan dan memperjuangkan hak-hak golongan yang terpinggir–menjadikannya seorang penulis yang tidak gusar menyampaikan kebenaran meskipun ia menggugat kemapanan.
Terima kasih Tuhan, untuk seorang Fatimah Busu.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
