TATKALA dunia berputar tanpa rehat, kita jarang luangkan masa untuk mendengar suara hati sendiri. Kita terlalu sibuk mengejar masa, kerjaya, kemewahan, dan pencapaian sehingga lupa akan suara kecil dalam diri yang mendambakan kedamaian, kejujuran, dan makna kehidupan yang sejati.
Resonance of Souls, pameran solo Bayu Utomo Radjikin–menjadi ruang pertemuan antara keheningan batin dan ekspresi visual yang menggugah.
Melalui tubuh manusia yang digambarkan sebagai wadah spiritual, Bayu menyingkap pergolakan emosi yang tidak bernama–perasaan yang tidak diungkapkan dengan kata, tetapi dilakar dengan warna, tekstur, dan postur yang penuh intense.

Koleksi karya dari pameran solo ini tiada naratif tunggal yang ditetapkan–sebaliknya, khalayak diundang menyelami dunia simbolik yang terbuka kepada pelbagai tafsiran. Resonance of Souls bukan sekadar pameran seni–ia adalah jemputan untuk mendengar kembali denyut halus dalam diri, dan melihat dalam diam apa yang sering tersembunyi di balik wajah, tubuh, dan kesepian.
Bayu Utomo Radjikin mengekalkan kekuatan visualnya yang telah menjadi identiti sejak awal karier–gabungan antara figuratif dan abstrak yang tidak pernah statik, tetapi sentiasa dalam keadaan ‘bergerak’ secara emosi. Setiap karya menampilkan figura lelaki anonim, tanpa wajah yang spesifik, sebagai lambang kepada identiti yang terbuka–tidak dimiliki oleh satu individu, tetapi mewakili semua.
Ketika ditanya apakah yang memayungi tema pameran ini, Bayu berkata:
“Resonance of Souls ialah jiwa-jiwa liar yang bergema. Boleh jadi jiwa apa-apa dan siapa sahaja.”
HARTA Space bukan sekadar latar pasif, tetapi menjadi sebahagian nadi kepada naratif emosi yang disampaikan dalam karya-karya Bayu. Dengan pencahayaan yang terarah dan suasana yang hampir meditatif, ruang ini seakan-akan mengundang khalayak untuk memperlahankan langkah–memaksa diri melepaskan sejenak hiruk-pikuk dunia luar, lalu menyelami kedalaman batin yang sunyi namun sarat makna.
Penataan karya yang berselang-seli antara kanvas besar dan kecil mencipta ritma visual yang harmoni–tidak membebankan pandangan, tetapi cukup untuk menahan mata dan jiwa pada setiap helaian sapuan berus yang jujur.
Tiada teks panjang yang mengarahkan makna; dan di situlah letaknya kekuatan kuratorialnya–ia membuka ruang, membebaskan khalayak daripada kerangka tafsiran tetap, lalu mengizinkan mereka hadir bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi sebagai peserta emosi. Inilah yang menjadikan Resonance of Souls lebih daripada sekadar pameran–ia adalah pengalaman batin, sebuah perjalanan perlahan ke ruang yang sering kita abaikan: ruang dalam diri.
Tubuh-tubuh ini digambarkan dalam postur yang dramatik, seperti sedang menahan sesuatu yang tidak kelihatan, atau sedang bergelut dengan beban yang tidak dinamakan. Ketegangan fizikal pada tubuh mencerminkan kegelisahan batin yang tidak dapat disuarakan secara langsung.

Karya-karya Bayu baik yang lama mahupun yang terkini kekal tidak menggunakan banyak warna. Bagi karya-karya baru yang dipamerkan, hanya warna hitam dan merah digunakan. Bayu menjelaskan bahawa latar belakangnya dalam seni arca yang lebih menumpukan pada bentuk dan struktur daripada warna, mempengaruhi pilihannya untuk mengekalkan palet warna yang terhad dalam karya-karyanya. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh identiti visualnya, malah menonjolkan kedalaman dan kekuatan ekspresi dalam setiap helaian karya.
Merah, dengan intensiti dan kehangatannya, melambangkan darah, kehidupan, dan ketegangan emosi yang membara; sementara hitam menjadi ruang sunyi yang membingkai kekelaman dan konflik dalaman. Kombinasi ini mencipta kontras dramatik yang memukau dan memaksa penonton berhenti dan merenung.
Sosok lelaki tanpa identiti dalam paduan warna ini melambangkan pengalaman individu sekaligus resonansi perjuangan manusia sejagat mengekalkan identiti di tengah kegelapan dan konflik. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang budaya dan cabaran sosial, karya ini membuka ruang untuk menilai dan merasai kejujuran emosi yang tersembunyi di balik norma dan harapan.
Sapuan berus yang kasar dan tekstur yang berlapis menjadikan permukaan kanvas bukan sekadar ruang visual, tetapi ruang perasaan. Dalam dunia Bayu, bentuk tidak wujud tanpa jiwa, dan abstraksi bukan kekaburan, tetapi pelindung kepada kebenaran yang terlalu dalam untuk disebut secara langsung.
Resonance of Souls di HARTA Space menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman menikmati seni–ia menjadi ruang perenungan. Keheningan galeri terisi dengan gema muzik opera klasik yang mendayu, menghidupkan getaran emosi yang membuai pengamatan.
Muzik yang penuh dramatik ini menjadi getaran yang selari dengan tema pameran, menguatkan penghayatan terhadap suara jiwa yang meronta dan pergolakan batin yang tersirat dalam setiap karya.
Teguh, Redam, Tembus Rasa, Telus, Lara, Tekad Tabah, Rempuh Tempuh, Api Hati antara tajuk karya yang menghiasi dinding HARTA Space–menandai kemunculan semula pameran solo Bayu setelah persembahan solonya ‘Kelopak Rasa’ pada 2021 Tajuk-tajuk ini bukan sekadar menyokong naratif visual, malah puitis dalam nada dan sarat emosi–hanya membaca saja sudah terasa getarnya.

Lebih istimewa, pengalaman menghayati pameran ini diperkaya dengan kehadiran katalog khas yang menghimpunkan refleksi dan pengamatan daripada tokoh-tokoh terkemuka tanah air dalam bidang seni, sastera, dan budaya. Antara suara yang mengisi halaman katalog ini ialah Ivan Gabriel (kurator dan penulis), Faisal Tehrani (penulis/aktivis kemanusiaan), Bilqis Hijjaz (penerbit kreatif dan pengkritik seni tari), Aiman Aliff (pengarah filem), dan Che Kem (pelakon, pengarah dan kurator budaya), selain catatan istimewa daripada pihak HARTA Space sendiri yang merakam perjalanan kolaborasi mereka bersama Bayu.
Setiap sudut pandang ini hadir dengan citra dan kedalaman tersendiri–membentuk sebuah landskap pemikiran yang luas, tidak bersempadan, dan penuh inspirasi. Secara tidak langsung ia menjadi jendela untuk khalayak merenung lebih jauh makna di sebalik karya, serta memahami bahawa seni bukan hanya untuk dilihat, tetapi untuk direnung dan dirasai. Inilah nilai tambah yang bukan sekadar melengkapkan representasi pengkarya, tetapi mengangkatnya sebagai ruang pertemuan antara jiwa, wacana, dan kesedaran budaya.
Memetik kata-kata Bilqis Hijjaz yang mencengkam:
“Bagi saya, Resonance of Souls adalah tentang pergolakan senyap dalam diri. Cara kita mengekalkan diri di luar, walaupun sesuatu di dalam mulai hancur. Ia mengingatkan kita bahawa tubuh sentiasa bersuara. Tidak kira sejauh mana kita cuba menyembunyikannya, apa yang di dalam akan mencari jalan keluar.”
Faisal Tehrani yang mahir menyulam kata-kata menciptakan rangkap puisi setelah menghayati koleksi Resonance of Souls. Ungkapnya:
Dalam mimpi sahaya yang muncul dalam-dalam, sang pelukis memberi ganjaran sekeping catan digulung, dan ia saling tidak tumpah dengan catan yang sedang kamu tatapi ini. Pada mimpi sahaya ia digantung di tengah-tengah khutub khanah, di celah-celah susun buku.
Dalam mimpi itu sahaya meronta. Dan kita berbantah saling melempar kata. Setiap hunjaman kata menjadi senjata, dengan bahasa, dan sahaya pegun dalam bah kata, dan sebagai seniman yang tidak berbahasa dengan warna; memilih catan untuk disangkut dalam mimpi di permulaan fajar, ia begitu mendebarkan.
Bayu Utomo Radjikin merupakan pelukis dan pengukir kontemporari Malaysia yang berpengaruh dan signifikan dengan karya-karya penuh makna dan emosi. Karya seninya sudah merantau lebih jauh daripada kebanyakan kita, tergantung di dinding dari Singapura ke Salzburg, dari Jogja ke Amerika Syarikat. Karyanya dimiliki oleh institusi berprestij seperti Balai Seni Negara Malaysia, National Gallery Singapore, PETRONAS dan oleh bank-bank tempatan yang tinggi apresiasi seninya.

Antara karya yang sering diperkatakan ialah kulit album Rampage (1992) kumpulan Search yang menampilkan arca “Bujang Berani” yang dihasilkan Bayu pada 1991 dari logam besi dan plaster. Arca ini melambangkan keberanian masyarakat Dayak Sabah dan menjadi titik perubahan reka bentuk kulit album Malaysia dengan gaya seni arca yang berani dan ekspresif.
Peminat Bayu pasti rindu menunggu comeback beliau dalam kesenian arca. Yang menurut beliau sendiri, sudah hampir 20 tahun ditinggalkan. Penghasilan arca memerlukan masa yang panjang, content yang tepat dan emosi yang mendalam–kerana setiap lengkung, tekstur dan bahan bukan sekadar bentuk, tetapi gagasan jiwa yang harus dilahirkan dengan jujur.
Barangkali inilah secebis catatan dari gejolak rasa dan batin liar yang menjerit dari dalam diri yang diluahkan Bayu melalui Resonance of Souls. Sebuah ledakan emosi yang terhimpit oleh usia, masa, pengalaman, tenaga, memori, dan fikiran-fikiran resah yang tidak pernah benar-benar reda. Melalui ekspresi di atas kanvas, gelora jiwa yang berkecamuk dan liar itu akhirnya menemukan ruang untuk dijinakkan, walau seketika.
Apabila melangkah meninggalkan galeri, persoalan yang paling mendalam kekal di hati–di manakah letaknya jiwa yang hilang itu? Apakah kita sudah menemui gema jiwa kita yang sebenar, atau adakah ia masih terperangkap dalam lorong-lorong sunyi dalam diri?
Saya menutup artikel ini dengan memetik kata-kata penyair sufi, Rumi:
“Jangan biarkan dirimu menjadi hamba masa lalu, jangan biarkan dirimu menjadi tawanan masa depan. Jadilah yang hadir dalam detik ini, dan jiwa akan menemui jalannya.”
*Resonance of Souls,pameran solo Bayu Utomo Radjikin berlangsung dari 6 hingga 29 Jun 2025 di HARTA Space.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
