Dunia ini berhubung dengan bahasa tanda, meskipun manusia sering berpura-pura tuli, seakan-akan tidak endah terhadapnya.
Perhatikan sahaja ikon dalam telefon bimbit kini, segalanya di hujung jari.
Lihat, cerap, dan sentuh, seluruh informasi tentang fenomena dunia boleh dicapai dengan pantas, lintas langsung sama ada dari darat, laut mahupun langit.
Pelantar seni dengan pembabitan konsep semiotik terus berkembang, seiring dengan perubahan zamannya.
Untuk itu, Peirce mengingatkan bahawa tanda tidak berhenti pada dirinya sendiri, tetapi sentiasa menunjuk pada sesuatu yang lain.
Jika semiotik benar tidak wujud, bagaimana mungkin untuk kita memahami tanda kasih dan sayang dalam kalam wahyu, disamping kuntum senyuman yang beracun, merbahaya dalam diam!.
Semiotik adalah ilmu yang mempelajari tanda-tanda dan proses makna yang terlibat dalam komunikasi, sama ada secara verbal atau nonverbal.
Istilah ini berasal daripada perkataan Yunani iaitu, Semeion intinya, jelas/nyata (manifest) yakni mengeksplorasi bagaimana makna dihasilkan, difahami, dan diinterpretasikan melalui tanda-tanda dan simbol yang kita gunakan dalam kehidupan sehari-hari, lebih jelas sebarang perkara yang boleh diserap pancaindera manusia (evident).
Dalam konteks ini, tanda mencakupi apa jua yang mewakili sesuatu yang lain: kata-kata, teks, visual, imej, objek, mahupun perbuatan tubuh.



Dua tokoh utama yang menjadi pelopor pemikiran semiotik ialah Ferdinand de Saussure dan Charles Sanders Peirce.
Saussure, ahli linguistik dari Switzerland, melihat semiotik sebagai cabang linguistik dan memperkenalkan konsep tanda yang terdiri daripada penanda (signifier) dan petanda (signified).
Menurut beliau, tanda ialah unit asas yang menghubungkan aspek material (penanda) dengan konsep atau makna yang diwakilinya (petanda).
Hubungan antara penanda dan petanda bersifat arbitrari, yakni ditentukan oleh konvensi budaya atau sosial, bukan hubungan semula jadi.
Sebaliknya, Peirce, seorang ahli falsafah dari Amerika, membangunkan pendekatan yang berbeza melalui model tanda triadik yang terdiri tiga domain utama iaitu, representamen (bentuk fizikal tanda), objek (perkara yang diwakili oleh tanda), dan interpretant (makna atau kefahaman yang terhasil daripada tanda tersebut).
Peirce juga mengklasifikasikan tanda kepada tiga kategori utama: ikon, indeks, dan simbol, bergantung pada hubungan antara representamen dan objeknya.
Proses ini disebut semiosis, iaitu tafsiran berterusan terhadap tanda yang tidak pernah berakhir, setiap tafsiran melahirkan makna baharu yang memperluas konteks kefahaman semasa.
Oleh yang demikian, tinjauan literatur ringkas terhadap apek semiotik dalam seni visual Melayu dan Malaysia telah pun diusahakan oleh beberapa sarjana tempatan.
Liza Marziana, Haron, Samian, dan Hasan (2015) menekankan bagaimana pendekatan formalistik dapat digunakan untuk menandai simbol budaya Melayu dalam seni moden lukisan Malaysia, sekali gus menunjukkan bahawa semiotik membantu menghubungkan bentuk visual dengan identiti budaya serantau.

Sementara itu, Kong, Achin, dan Bianus (2022) meneliti tanda serta simbol dalam seni media baharu melalui karya Hasnul Jamal Saidon, memperlihatkan bagaimana semiotik dapat memperluas tafsiran terhadap seni kontemporari berasaskan projeksi visual.
Lebih awal, Ismail Zain dalam eseinya Towards a Relevant Aesthetic (1989) mengkritik kebergantungan terhadap teori Barat dan menegaskan perlunya membaca tanda serta simbol budaya tempatan sebagai asas estetika yang relevan.
Gabungan wacana ini memperlihatkan keluasan peranan semiotik, sama ada dalam seni moden berakar pada tradisi, dalam eksperimen visual kontemporari, mahupun pada pemikiran kritis yang menuntut kerangka tafsiran tempatan.
Metafora dalam semiotik berperanan untuk memahami proses makna dihasilkan melalui hubungan antara tanda-tanda. Ironinya, dalam rencah semiotik ini metafora melibatkan bertindanan makna dari satu konteks ke konteks lain dengan cara membandingkan dua hal yang berbeza, namun memiliki kesamaan tertentu.
Kedudukan metafora dalam semiotik dapat dijelaskan melalui konsep tanda dan bagaimana makna dibentuk melalui asosiasi.

Metafora bekerja dengan cara mengalihkan makna dari satu domain ke domain lain. Hal ini melibatkan bagaimana representamen (penanda) dapat merujuk pada objek (petanda) yang berbeza tetapi terkait secara konseptual.
Misalnya, ketika kita menggunakan ungkapan seperti “waktu adalah wang,” kita tidak benar-benar menyatakan bahwa waktu memiliki tata nilai fizikal, tetapi kita mengasosiasikan waktu tersebut dengan konsep nilai, atau keuntungan, sebagaimana kita mengasosiasikan nilai wang dengan barangan.
Metafora ini sering beroperasi melalui tanda simbol, di mana makna tidak selalu langsung atau fisik, tetapi bergantung pada asosiasi yang bersifat konvensional.
Namun, metafora juga boleh dihubungkan dengan ikonik (kesamaan visual atau konseptual) dan indeksikal (indek) yakni (hubungan sebab-akibat).
Metafora ikonik menggunakan kesamaan, seperti membandingkan hati dengan “api” dalam puisi atau lukisan, di mana panas api dihubungkan dengan gairah cinta.
Di sisi lain, metafora indeksikal dapat dihasilkan melalui hubungan sebab-akibat, seperti bayangan yang menandakan kehadiran objek yang memproduksinya, tetapi dalam metafora juga boleh diinterpretasikan sebagai makna yang berlawanan.

Sementara itu, dalam konteks pembacaan al-Qur’an, Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995) menegaskan bahawa makna dalam Islam tidak berhenti pada bentuk zahir, tetapi menunjuk kepada “hakikat” (reality), sejajar dengan konsep tanda yang melampaui dirinya.
Dalam kerangka ini, metafora berfungsi sebagai alat komunikasi yang ampuh dalam menyampaikan pesanan spiritual serta konsep-konsep Ilahi yang sukar difahami secara literal, melalui lapisan makna yang halus dan berlapis-lapis, seumpama pengupasan sifat dalam kolam ma‘ani dan ma‘nawiyah.
Pada masa yang sama, metafora lainnya seperti penggunaan gambaran alam atau elemen kehidupan sehari-hari sebagai simbol untuk kehidupan di akhirat, kebaikan, atau keburukan.
Misalnya, dalam Surah Al-Hadid (57:20), Allah menyatakan bahwa “kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau,” mengambil makna kehidupan dunia yang sementara, rapuh dan tidak kekal; justeru usah terlalu bimbang terhadap usaha yang dilakukan jika kurang berhasil.
Pada kaedah semiotik, penggunaan tanaman yang layu sebagai metafora untuk kefanaan memberikan representasi sifat material mereput secara alami kepada makna yang lebih abstrak, yaitu keterbatasan hidup manusia.

Pandangan Al-Ghazali kaedah ini memberikan perspektif tambahan mengenai pemahaman metafora dalam konteks spiritual. Al-Ghazali menekankan pentingnya simbol dan penafsiran ketika memahami teks-teks suci, termasuk Al-Qur’an.
Beliau percaya banyak konsep agama tidak dapat difahami secara literal dan memerlukan pendekatan interpretatif, selaras empat hukum akal iaitu, hujjah, qiyas, ijtihad, dan istidlal,di mana akal menafsir tanda dari teks, mengaitkan simbol dengan makna, serta menghasilkan pemahaman logik dan berlapis bagi melunakkan jiwa nurani.
Merujuk karya Ihya Ulum al-Din, Al-Ghazali menunjukkan bahwa metafora adalah sarana yang penting dalam proses penafsiran untuk mencapai kefahaman komunikasi dan spiritual.
Tambah Al-Ghazali, kefahaman konteks makna metaforikal akan menyebabkan keinginan untuk mengeksplorasi hubungan antara tanda dan makna dalam wilayah yang lebih luas dan memberikan ruang bagi penafsiran yang lebih kaya.
Beliau menegaskan bahwa beberapa kebenaran spiritual tidak dapat diungkapkan dalam kata-kata langsung, melainkan harus disampaikan melalui metafora.

Justifikasinya, kaedah ini boleh mengoncang pemikiran yang tercandu fakta akal semata-mata, disamping memberi merangsang refleksi kejiwaan.
Dengan kata lain, metafora membantu menjadi jambatan makna pada keterbatasan bahasa manusia dan pengalaman dalam memahami konsep-konsep yang lebih tinggi.
Selain itu, bagi Ibnu ‘Arabi, tanda melalui kaedah bahasa bukan sekadar susunan huruf dan bunyi, tetapi pintu kepada makna batin. Setiap perkataan, bentuk dan fenomena alam adalah simbol kepada sesuatu yang melebihi daripada dirinya sendiri.
Maka tidak hairanlah, ramai dalam kalangan mereka amat berhati-hati ketika mengeluarkan berkata-kata.
Selaras dengan idea semiosis Peirce, makna sesuatu terus berkembang mengikut konteks dan pengalaman pembaca namun, makna yang dihasilkan tetap perlu disahkan dengan rujukan Al-Qur’an dan hadis agar tidak tersasar atau terapung tanpa dasar.
Perspektif seni Melayu, semiotik menonjolkan peranan tanda dan simbol dalam menyampaikan makna budaya. Secara ringkas seni batik, memancarkan identiti, status, dan nilai budaya tempatan melalui corak dan warna.
Imej bunga merujuk pertautan unsur alam sekeliling dan keharmonian, manakala corak geometrik menandakan sistem kestabilan dan kekuatan.
Begitu juga seni ukir Melayu dengan motif daun dan bunga menandakan kehidupan dan keindahan spiritual. Pantun dan bidalan seperti “Biar putih tulang jangan putih mata” menanam nilai moral semangat dan pengukuhan jati diri dan lirik lagu tradisional seperti “Cintaku bagai bayu petang” menyalurkan pengalaman rasa serta emosi yang mungkin semakin mendigin.
Maka, hal ini menunjukkan semiotik dalam kesenian Melayu berfungsi menyatukan simbol, budaya, dan akalbudi masyarakat dalam satu rangkaian makna yang hidup
Secara keseluruhan, dari perspektif semiotik Melayu-Islam, metafora dalam Al-Qur’an menyampaikan konsep melalui simbol dan tanda, membolehkan manusia merenungi aspek ilahi yang tidak kelihatan, di mana tanda dan makna berfungsi, komunikasi memerlukan lapisan demi lapisan tafsiran untuk mengelakkan sikap “tak jumpa jangan kata tak ada”, sementara pandangan Al-Ghazali menekankan bahawa tafsiran metaforikal bagi membolehkan makna terus berkembang melalui renungan dan penafsiran berterusan dalam kehidupan dan budaya.
Rujukan:
Al-Qur’an. (n.d.). Surah Al-Hadid (57:20).Al-Qur’an. (n.d.). Surah An-Nur (24:35).
Al-Ghazali, A. (1996). The incoherence of the philosophers. Brigham Young University Press.
Al-Ghazali, A. (2005). The revival of the religious sciences (Ihya Ulum al-Din). Islamic Texts Society.
Al-Attas, S. M. N. (1995). Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
Cobley, P. (2010). The Routledge companion to semiotics. Routledge.
Eco, U. (1976). A theory of semiotics. Indiana University Press.
Kong, H. N. F., Achin, I. A., & Bianus, A. B. (2022). The interpretation of signs on projection art of Veil of an Artist and a Fictional Dialogue. Global Academic Journal of Humanities and Social Sciences, 4(1), 38–45.
Lakoff, G., & Johnson, M. (1980). Metaphors we live by. University of Chicago Press.
Liza Marziana Mohammad Noh, Haron, H., Samian, A. L., & Hasan, A. (2015). Formalistic as an analysis method in signifying the Malay cultural symbol in Malaysian modern art of paintings. Mediterranean Journal of Social Sciences, 6(4), 30.
Peirce, C. S. (1998). Collected papers of Charles Sanders Peirce. Harvard University Press.
Peirce, C. S. (n.d.). Logic viewed as semiotic. Introduction. Number 2. Phaneroscopy: Autograph manuscript notebook [Manuscript]. Charles S. Peirce papers, MS Am 1632 (337), Box 23. Houghton Library.
Saussure, F. de. (1983). Course in general linguistics. McGraw-Hill.
Saussure, F. de. (1996). Writings in general linguistics. Oxford University Press.
Zain, I. (1989). Towards a relevant aesthetic. Dewan Bahasa dan Pustaka.
