BILA kali akhir membaca sebuah buku, kau akan termenung jauh menembusi siling dan dinding? Lintasan minda kau merayap entah ke mana–mempertanyakan kembali tindakan dan kepercayaan yang kau anuti.
Seminggu sebelum menghabiskan pembacaan buku Jalan Lapan Lipis karya terkini Nazim Masnawi, saya telah menonton filem How To Make Millions Before Grandma Dies. Seolah terpengaruh dengan begitu banyak ulasan ringkas di aplikasi X yang mengatakan bahawa filem ini begitu menyentuh jiwa nurani–sehingga rugilah kepada mereka yang terlepas menyaksikannya.
Jarang sekali saya menonton di panggung wayang sejak menjadi ibu. Hanya mampu curi-curi masa menonton di Netflix atau aplikasi lain (ini juga tak selalu). Hanya akan berlaku bila sesekali rindu suasana duduk mengadap cerita di layar lebar atau mahu menikmati ‘me time’. Keutamaannya tetap dengan memilih cerita yang benar-benar berbaloi untuk ditonton.
Terpancing dengan salah satu status ini di X:
“If you need a good cry, tontonlah filem ini.”
Alasan yang ringkas seperti perlukan ‘tangisan yang baik’ terkadang menjadi manifesto yang cukup ampuh untuk menggerakkan.
Kisah seorang cucu lelaki yang dilukis pada awal cerita sebagai nakal, hobinya siang malam main games, pentingkan diri sendiri dan tiada hubungan yang tampak mesra dengan orang terdekat termasuk neneknya. M (nama watak ini) tiba-tiba berubah laku setelah melihat sepupunya menjadi kaya raya dengan hanya menjaga pakciknya yang sakit sampai ke akhir hayatnya. Seolah mendapat sebuah idea yang jitu, M yang licik berusaha mendekati neneknya (kebetulan neneknya disahkan mengidap kanser) menyamar sebagai cucu yang prihatin untuk mendapatkan harta warisan.
Lama kelamaan perasaan sayang wujud secara semula jadi antara keduanya, walau pada awalnya sukar untuk menemukan keserasian. Sehinggalah satu hari rahsia dan niat M terbongkar. Pelbagai insiden kemudian memisahkan mereka berdua, M kembali ke dunia asalnya sebagai anak dan cucu yang tidak berguna. Perleraiannya di hujung sisa usia nenek, M kembali merawat dan menumpahkan sepenuh perhatiannya tanpa mengharapkan sebarang habuan.
Seperti banyak filem yang bernuasakan heart warming penyudahnya akan memberikan kelegaan dan perasaan yang manis saat keluar panggung. Jasad nenek mungkin meninggalkan M –dalam kesyahduan keranda nenek dibawa pergi melintasi segenap jalan dan ceruk desa tempat dia menemani M pulang dan pergi sekolah waktu kecil– tetapi kasih sayangnya terhadap M tidak bertepi sehinggakan nenek telah meninggalkan sejumlah besar tabungannya buat M sejurus M lahir ke dunia ini. Rasa terharu dan insaf M mungkin tidak akan menghidupkan neneknya, namun menatah pengajaran dan pedoman bermakna yang akan dikenang selamanya.
Air mata jatuh tanpa dipaksa-paksa. Tak ada percubaan untuk saya mengesatnya. Biarkan ia kering sendiri. Dada terasa dingin sekali ditembusi melodi dari runut bunyi. Bergetar dan mendebarkan. Saya memeluk diri sendiri. Segugus tangisan yang baik telah saya dapatkan.
Bukan filem Thai ini yang mahu saya ulas. Pasti ramai yang telah menontonnya sehingga ia masih dibincangkan ke hari ini serta memenangi begitu banyak anugerah di peringkat antarabangsa. Juga bakal ditonton lebih ramai kerana akan berada di Netflix tidak lama lagi. Imej filem ini begitu dekat ketika saya masuk ke dalam dunia Jalan Lapan Lipis. Premis yang terikat antara keduanya iaitu merawat keluarga terdekat yang tidak berupaya, membawa kedua medium (buku dan filem) ini menjadi begitu istimewa.
Tak semua orang berpeluang menjaga ibu bapanya atau keluarga terdekatnya yang sakit. Saya sendiri belum pernah berpengalaman, syukur alhamdulillah emak abah masih sihat. Sesekali sakit-sakit orang tua, tapi tidak sampai memerlukan perhatian sepenuhnya. Cuma pernah melihat abah mertua yang terlantar di ICU selama kurang-lebih dua bulan lamanya, akibat komplikasi jantung. Sekadar datang melawat dan menemaninya yang tidak sedar. Berulang-alik dari Denai Alam ke Hospital Ampang. Melihat pekerja kesihatan melakukan segala urusan merawat dan menjaga arwah abah. Itu pun sudah begitu memilukan dan penuh keinsafan.
Berbanding dengan Nazim yang menjaga ibu bapanya yang sakit selama kurang lebih lapan tahun sehingga akhirnya keduanya kembali ke negeri abadi. Sebagai lelaki berusia matang dan masih belum berkahwin, kesepian acapkali menggigitnya. Apa lagi setelah kehilangan dua insan yang paling disayang dan yang mungkin paling tidak akan menghakiminya. Dia kemudian didiagnos memiliki post-traumatic stress disorder (PTSD) dan kehidupan menjadi tidak keruan. Klimaks kecelaruan itu dia membawa diri ke pekan kecil di utara Pahang, Kuala Lipis dan meninggalkan dunia kreatif yang pernah mewarnai perjalanan hidupnya hampir 20 tahun. Pertualangannya sebagai barista di Sidang Kopi yang menuntunnya mengenal Theravada Buddhisme seterusnya membantu dirinya dalam proses penyembuhan jiwa.
Jalan Lapan Lipis diterbitkan oleh penerbitan mandiri Laras 99 dan telah dijual buat pertama kali pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024, Mei tempohari. Setelah beberapa tahun kebelakangan ini kita dilambakkan dengan buku-buku ‘healing’, pada saya inilah buku penyembuhan yang sebenar dan patut diraikan.
Nazim menggadaikan egonya dan menulis dengan kejujuran yang sangat jernih seperti kaca kristal. Dia menanggalkan topeng dan membogelkan isi kepala serta perasaannya untuk melepaskan segala kesengsaraan yang terbuku. Dia mencatat dengan telus, tenang dan berserah seperti seorang yang sedang bertafakur.
Apa yang paling mengujakan tentang membaca pada saya secara peribadi ialah apabila kita menemukan sesuatu yang asing dan baru untuk kita pelajari. Jalan Lapan Lipis telah membuatkan saya menekuni PTSD dan membaca lebih dalam mengenai Buddhisme. Nazim menerangkan sisi agama ini dengan santai dan bersahaja–membuatkan kita turut sama berenang ke permukaan sehingga dasarnya.
Konsep dalam Buddhisme diceritakan Nazim yang paling berbekas dan sering bermain di fikiran adalah–tidak perlu ada keutamaan. Kita harus berlapang dada dengan perspektif yang berbeza, dan itulah matlamat yang perlu dicapai. Saya fikir kita selalu disogokkan dengan priority. Kita percaya dengan meletakkan keutamaan, segalanya akan lebih tersusun. Tetapi bila difikirkan kembali, takdir bukan di tangan kita. Mantra ‘take it easy’ tu mungkin patut dipakai pada beberapa bahagian kehidupan. Logik dan berkesan.
Membaca buku ini seperti anda sedang berbual dengan seorang sahabat yang bijak. Bijak tetapi cool. Orang bijak kadang annoying juga kan? Gaya bahasanya santai dan sangat engaging. Tak skema tapi tak juga melanggar segala tatabahasa. Sesekali Nazim menukil sisi romantisnya dengan kata-kata yang sedap, macam puisi. Sukar sebenarnya untuk menulis dalam bahasa seharian sambil mengendong isu yang berat. Nazim Masnawi boleh lakukannya dengan effortlessly.
“Ya, rahsia kebahagiaan terletak sepenuhnya dalam diri kau. Kau boleh pilih macam mana kau nak berhubungkait dengan permasalahan, rintangan, keperitan dan kejengkilan kau–terus mengamuk, harap boleh putar masa, salahkan sistem, menyimpan dendam atau biarkan sahaja menggelegak di hati? Atau kau boleh mendekati orang yang menyalah guna ini dengan kelembutan dan pemahaman yang diorang bukan sengaja nak menyusahkan kau, tapi diorang bertindak dek pembentukan sejak azali yang menjadikan diorang sebegini. Kau tak boleh ubah dan kau terima keadaan seadanya (ada sebab ‘dah takdir nak buat macam mana’ menjadi platitude umum). Percayalah, kau akan bahagia. Kerana kunci kepada kebahagiaan ialah bersikap tak kisah dengan hal yang terjadi kepada kau sekarang.” -ms 39
Menarik sekali bagaimana Nazim merungkai dunia kerjayanya sebagai pelayan di Sidang Kopi dengan konsep agama Buddha yang dia pelajari. Nazim juga yang mungkin ramai di lapangan seni mengenal dirinya sebagai pengulas filem berkaliber –mengambil beberapa filem untuk menerangkan situasi PTSD yang dialaminya, menjadikan pembacaan relatable dan mengenyangkan. Mungkin kita akan kembali mencari filem-filem yang dirujuk Nazim untuk lebih menghayati atau sekurangnya menjadi manusia yang lebih berempati.
Jalan Lapan Lipis tidak akan mengubah keimanan kita sebagai seorang muslim, malah membuatkan kita lebih sayang akan agama Islam. Kita belajar menghormati, ikhlas, amanah, jujur, bersangka baik dan segala sifat-sifat murni untuk menjadi sebenar-benar manusia seperti yang dituntut Sang Pencipta. Demi mencapai syurga. Demi menggapai nirwana (untuk agama Buddha).
Saya menutup buku ini dengan dada yang sebu. Membiarkan segala lintasan fikiran melayang ke mana-mana. Ada gauman suara yang berbisik di telinga:
“Apa lagi yang tak cukup?”
Saya tegakkan badan pada dinding sambil melunjurkan kaki. Menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskan segalanya dengan berat dan perlahan. Pejam mata. Lepas dan bebas.
10 minit saya berhenti. Dan airmata mengalir sendiri.
Sebagai pemain teater, meditasi antara komponen penting dalam persediaan seorang aktor. Proses meditasi dilakukan dalam kumpulan juga perseorangan ketika sesi latihan dan sewaktu pementasan. Meditasi membantu fokus dan ketenangan. Ia adalah senjata yang berkuasa dalam diri seorang peran.
Kadang-kadang saya terlupa yang meditasi bukan saja diperlukan saat bermain teater, tetapi sebagai praktik dalam kehidupan seharian. Kata Nazim:
“Meditasi tak akan ubah hidup kau, tetapi memperbaiki.”
Terlalu banyak perkara kita nak buat, terlalu banyak benda kita nak capai–yang akhirnya membuat kita kehilangan semuanya, termasuk diri sendiri. Buku ini menampar saya kiri dan kanan, depan belakang. Nazim tentunya dengan penuh kesedaran menulis untuk mengingatkan dirinya, namun seperti gema ia memantul kepada seluruh jagat raya. Terserah pada kita untuk menangkapnya atau menutup telinga.
Dari sudut hati paling dalam, saya doakan agar Nazim Masnawai menemui kedamaian yang diimpikan. Kerana untuk pulih haruslah bertahan. Kerana pemulihan adalah proses yang berterusan.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, pengamal teater dan pengasas Kultus Kata.

