“Am…mahukah engkau menerima aku kembali dan berbaik semula seperti dahulu? Mahukah engkau?”
Cara mengembara paling mudah dan murah adalah dengan membaca. Pada waktu yang tepat, kita akan memijak tanah, mencium bau-bau sekitarnya, bernoda bersama debu-debu di jalan. Sesekali kita akan merasa sesat juga. Percayalah, ia bukanlah peristiwa paling sial melainkan membuka kita kepada jalan atau lorong-lorong kemungkinan yang lain.
Melalui bacaan, pengembaraan kita tidak selalunya tentang hal yang jelas di mata kasar – nama-nama jalan, kampung, daerah, perincian sekitarnya – entah ada gunung, bukit, rumah-rumah terbiar, mahupun kedai dan warung-warung. Sering kali, ia (mengembara) hadir dalam bentuk emosi, pertumbuhan karakter, suasana dan paling kerap, menjejaki luka-lukanya, seterusnya meniti nasib.
Emosi adalah seperti kabus yang menyelubungi perjalanan kita secara perlahan-lahan, sebelum menelusuri ketenangan yang kita perlukan, jika bukan seperti kemahuan diri.
Perasaan membaca Hartini ibarat seperti itu, langkah dipaksa untuk diperlahankan dan arahnya pula samar. Sepanjang jalan, kita, sebagai pembaca, memikirkan untuk mempersiapkan diri untuk memakai kasut siapa? Hartini atau Amli?
Novel berlatarbelakangkan tahun 60-an ini mengisahkan Hartini dan beberapa rakannya yang sedang menuntut di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Di sanalah segalanya bermula, Hartini Omar berkenalan dengan Amli Sulaiman – penulis berbakat besar namun dihimpit kekangan hidup.

Amli lahir dan tumbuh dalam keadaan penuh kekurangan. Dari matanya sendiri, selain dikurniakan bakat seni – tiada apa lagi mampu ditawarkan. Hanya dengan berkarya, penuhlah dadanya sendiri.
Ditimpa malang berterusan, kedaifan, karakternya dijadikan pula bahan cerita orang-orang kampung, bahkan tak kurang orang kampung menganggapnya sasau kerana suka mengelamun, sering berkata sesuatu seperti bercakap dengan seseorang.
Tak hanya itu, tanggapan orang kampung juga berubah-ubah. Ada pula mengatakan Amli jadi sedemikian rupa kerana tergila-gilakan jawatan sebagai kerani.
Sementara, Hartini, seorang guru pelatih – boleh dikatakan hidup penuh dengan kecukupan – harta dan kasih sayang. Hartini adalah seorang yang kemas dan menarik – hidungnya mancung, leher jinjang, alisnya hitam lebat.
“Mulutnya akan kelihatan begitu manis bila ia ketawa atau berkata-berkata. Serta sangat pengasih dan penghiba pula kelakuannya, dan sangat suka kepada buku-buku cerita yang bercorak penderitaan dan kekecewaan.”
Pertembungan perasaan antara Hartini dan Amli sebenarnya jelas – seperti orang kebanyakan. Namun, badai dan geloralah membuatkan ia luar biasa, menawarkan realiti – sesuatu yang jauh dari mimpi. Rentetan perasaan tak terucapkan, di sisi Hartini, ada baiknya. Sementara, bagi Amli, nyata mendiamkan diri boleh bertukar menjadi racun memakan diri.
Naratif novel Hartini bagaimanapun tidak memaksa untuk kita terus bersimpati. Melihat pada karakter Hartini diciptakan – Hartini wujud sebagai seorang wanita yang penuh daya meskipun hatinya selalu kacau bilau, matanya tidak jarang menitiskan air mata.
Kekuatan Hartini bukanlah semata-mata menahan air mata mahupun tabah seperti batu atau kental serupa besi. Sepanjang pembacaan, kita sebagai pembaca tidak disogok drama sahaja, sedikit sebanyak, kita mula mempertanyakan semula tentang eksistensi dan makna kekuatan di sebalik kewujudan. Untuk Hartini sendiri, tersimpan sejuta makna kewujudan yang sering kali luput daripada perhatian mata kasar.
Ketabahan Hartini tidak selalunya hadir dalam suasana gemilang. Ia datang dalam bentuk diam yang dalam, kesetiaan tak bernama dan daya hidup yang tidak pernah menuntut pujian. Sepanjang nyawa Hartini, kekuatan bukan sesuatu yang harus ditunjukkan tetapi dijalani – Hartini belajar untuk sembuh dan tumbuh mekar semula. Dan disitulah makna kekuatan seorang perempuan – bukan untuk jadi perhatian, bukan di bawah cahaya tetapi mengumpul keberanian dalam senyap.
“Apakah kau fikir aku akan bosan dengan khabar-khabar malang itu?”

Kemunculan watak-watak seperti Arman, Hasan, dan nenek kepada Amli menjadi ‘tali pengikat’ penting dalam Hartini. Entah mengapa, secara peribadi novel-novel bertemakan cinta terlalu cepat untuk berasa bosan. Mungkin saja tiada apa yang baharu ditawarkan, sekadar sesekali menghadirkan sensasi, itu pun masih dalam bentuk terlalu biasa-biasa saja. Misalnya, cinta ditolak dek orang tua, kewujudan orang ketiga atau cinta tak terucapkan.
Ironinya, Hartini turut menawarkan sensasi serupa, cuma ‘tali pengikat’ inilah yang mengubah sedikit perjalanan asmara Amli dan Hartini. Lebih menarik lagi, sebagai pembaca, kita dapat menyentuh hati kedua-dua watak ini atau lebih tepat, penulis novel, Aziz Afkar, sedikit demi sedikit dengan cara paling halus, membentuk dunianya dalam kepala kita. Barangkali, pengalaman dan kejujuran penulislah menjadi ‘pemandu’ kepada kemungkinan-kemungkinan yang lain.
Sepanjang membaca Hartini, kita tidak selalunya dihidangkan dengan pengalaman yang pilu, sedih meruntun. Seperti dinyatakan awal tulisan ini, pengembaraanlah yang membuka ‘selera’ dan penulis, Aziz Afkar, menyediakan jalan serba mulus untuk kita menjejaki setiap tempat – sama ada secara harfiah atau hal-hal yang perlu disentuh dengan hati.
Sesiapa saja, siapa yang tidak menyukai mengembara cara paling murah – membaca tetapi dalam masa sama, kita merasakan debu jalan, angin bertiup, apatah lagi menyentuh sempadan emosi.
“Saya ingat, saya pernah menangis kerana Amli, pernah merintih dan pernah berduka, tetapi saya berasa itulah bahagia.”
