IZINKAN kami menulis sedikit lagi mengenai menulis.
Kami bukan orang yang rajin (sangat) membaca. Dan masa yang banyak kami habiskan untuk membaca ialah di dalam tandas. Itu pun kami mengambil masa yang lama untuk menghabis sesebuah buku kerana kami tidaklah berlama-lama bila berada di dalam bilik kecil tersebut.
Mungkin orang pertama yang kami lihat sebagai seorang pembaca yang tegar ialah Abu Yusof, sahabat kami yang sudah reda dengan kehidupan itu.
Semasa selalu bersama, Abu akan menghulurkan buku yang sudah dibacanya kepada kami. Apa yang dibaca oleh Abu juga dibaca oleh kami. Lama kelamaan kami pergi pula kepada buku-buku yang kami sendiri suka.
Abu juga adalah seorang pelukis yang baik. Kami gemarkan karya-karyanya yang cerdik itu. Namun dia tidak lagi menghasilkan apa-apa karya sejak kebelakangan ini.
Antara buku atau novel yang kami suka ialah The Alchemist oleh Paulo Coelho. Kami mencadangkan kepada semua untuk membaca buku ini. Mungkin ada falsafahnya buku ini namun kami hanya membacanya sebagai sebuah novel. Dan mungkin juga kerana ia ada sedikit unsur-unsur sufi yang Islami maka kami suka. Bukan kerana kami orang sufi tetapi kerana ia membicarakan satu sekte dalam Islam yang kami gemari. Begitu juga dengan buku Eaters Of The Dead.
Buku karya Michael Crichton itu kemudiannya dijadikan filem dengan judul The 13th Warrior. Buku tersebut adalah terjemahan bebas penulisnya mengenai Ibn Fadlan iaitu orang Islam yang paling awal bertemu dengan orang Vikings.
Bercakap mengenai buku-buku Islami, kami suka untuk mencadangkan kepada semua untuk membaca buku Muhammad oleh Martin Lings jika kamu belum membacanya. Buku ini acapkali dipromosi dan dijual oleh Zainal Rashid Ahmad menerusi ZRA Strim. Kami difahamkan buku ini laku keras.
Bercakap pula mengenai falsafah, kami membaca buku tulisan Haruki Murakami dan mendapati buku-buku tersebut adalah terlalu cerdik untuk kami hayati. Ia adalah di luar dari lingkaran pemahaman fikiran kami. Atau dalam kata-kata yang lebih mudah, kami agak bodoh untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh Murakami.
Yang kami suka mengenai Murakami ialah dia gemar mengadakan watak kucing di dalam novel-novelnya. Kami juga suka kucing tetapi kami tidak ada memelihara kucing dalam erti kata yang sebenarnya. Nanti kami akan ceritakan kisah kucing itu dalam tulisan yang lain.
Kerana itu juga kami lebih sukakan buku-buku tulisan Orhan Pamuk yang romantis. Kami baca hampir semua tulisannya dan sesuatu yang paling kami gemar adalah apabila dia selalu menyelitkan dirinya sebagai salah satu watak dalam setiap novel yang ditulisnya.
Penulis yang menumpukan kepada penulisan kreatif sila ambil perhatian. Jangan ambil diri kamu sebagai terlalu serius. Kamu tidak terlalu besar untuk dimomokkan. Orhan memberikan dirinya pelbagai watak disetiap novelnya dan ini yang selalu kami cari setiap kali membaca novel-novelnya.
Buku-buku biografi juga merupakan minat kami. Cuma untuk buku-buku tersebut yang terbit di Malaya ini, ia biasanya tidak ditulis dengan benar. Semuanya disalut gula.
Satu lagi siri yang kami gemar ialah buku The American Travel Writers. Buku-buku ini ditulis oleh para pengembara dalam menceritakan pengalaman mereka selama mana mereka dalam kembara. Kita dibawa ke tempat-tempat yang entah tidak mungkin kita lawati dan yang paling menarik adalah apabila semua penulis dalam buku-buku tersebut menceritakan sisi kemanusiaan yang datang bersama dengan perjalanan mereka.
Ini jarang dilakukan oleh penulis-penulis buku kembara tempat kita. Mereka lebih menumpukan kepada indah atau tidaknya tempat yang mereka lawati dan ini adalah membosankan. Mereka juga sibuk menulis mengenai siapa yang memberi wang dan siapa yang tidak.
Kami dengar pengembara yang asyik mengutip simpati ini digelar sebagai ‘begpackers’. ‘beg as in begging’. Jangan masukkan diri kamu ke kancah seperti itu. Mengembara bila mampu dan tidur di rumah jika tidak mampu melakukannya.
Jika kamu mahu membaca tulisan yang baik mengenai pengalaman perjalanan, kami syorkan kamu melawat tulisan pelukis terkenal Rafiee Ghani yang digelarnya sebagai Hum Safar di https://rafieeghani.wordpress.com
Selain itu, kami juga tidak terlepas dari membaca novel-novel popular dari penulis seperti Stephen King, Paul Theroux, Alexander McCall Smith dan sebagainya. Malah satu masa dulu kami agak mengemari tulisan-tulisan awal John Grisham!
Kami jarang membaca buku-buku bahasa Melayu. Selain kerana mahu tunjuk pandai, kami juga dapati penulis-penulis kita sedikit pura-pura. Mereka tidak masuk ke dalam apa yang mereka tulis. Semuanya berada di permukaan dan seperti dipaksakan. Selepas dari penulis-penulis agung seperti Shahnon Ahmad, Pak Sako, Usman Awang dan angkatannya, didapati penulis kita tidak masuk ke dalam penulisannya dengan penuh jiwa raga.
Tulisan mereka tidak menyentuh dan terlalu terawang-awang. Novel-novel popular dengan judul seperti ‘Suamiku Penjual Ganja’ misalnya boleh dimaafkan kerana genre seperti ini wujud di seluruh dunia. Tulisan picisan seperti ini mungkin diperlukan untuk menyemai minat namun novel-novel atau buku yang lebih baik yang boleh berlawan dengan siri-siri merungsingkan itu boleh dikatakan tidak ada.
Semua penerbit sibuk mengikut massa. Orang suka healing, maka dihealingnya. Orang mahu buku dakwah maka didakwahnya.
Kami juga bias dalam hal memilih penulis. Kerana itu kami suka jika penulis itu sedikit rugged dan tidak terlalu mahu menjadi orang lain. Tiru jika kamu mahu tetapi lakukannya dengan penuh bergaya sehingga tidak disedari oleh sesiapa. Kami mengaku melakukannya.
Sebagai selingan, dengan segala susah hati dan kesal kami akan katakan bahawa kami suka membaca tulisan Ku Syafiq. Dia minat dan tahu apa yang ditulisnya.
Jika ada buku bahasa Melayu yang kami ulit maka ia adalah buku-buku sajak dan puisi. Kami memang manja dan romantis, lalu kami senang dengan buku-buku tersebut kerana ia mudah dibaca. Namun seperti yang kami katakan, penulis kita mengambil diri terlalu serius. Seolah-olahnya hidup merekalah yang paling sengsara, suram dan sentiasa malam. Asal buat sajak mesti ‘fatamorgana’, mesti ‘kembang layu’, Lalu sajak dan puisi mereka nampak sedikit kaku dan langsung tidak mempunyai sinar kehidupan.
Hidup adalah main-main dan senda gurau , main-main dan bersenda guraulah dalam karya kamu.
Buku-buku ketika awal penerbitan indie boleh dipuji namun mereka mengambil senda gurau dan main-main dengan terlalu serius. Ramai diantara penulis dan juga penerbit indie yang gah satu masa dulu kini tidak lagi aktif. Letih sebab banyak main gamaknya.
Di sini kami terpaksa memuji Lan Naga yang masih gigih menerbitkan buku-buku secara mandiri dan rugi. Ini agaknya yang dikatakan sebagai berahi. Syabas Naga!
Menulis dan menerbitkan buku tidak lagi menjadi passion. Ia sekadar jalan mencari populariti dan mengisi kantung. Atau sekadar memenuhi tuntutan KPI misalnya. Ahli akademik yang hanya mahu menulis atau pun membaca demi untuk kepentingan kariernya sahaja mesti merasa berdosa bila berbuat demikian.
Setelah semua itu, kita bila menulis, bersungguh lah dan bila kita membaca, jangan pula sama sibuk mencari salah. Jangan fikir hanya kita pandai dan kita sahaja yang tahu segala benda. Adakalanya kita mesti tahu bahawa sikap kita yang merasa serba pandai dan semua orang salah itu membuatkan kita tidak disukai ramai orang. Suka kah kita menjadi individu yang sangat ingin dijauhi kerana sikap kita yang suka mempertikaikan hasil kerja orang lain dań merasakan hanya kita yang pandai. Sedar diri lah sikit.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang bercita-cita mahu mempunyai podcastnya sendiri.
