TANGGUNGJAWAB besar seorang pelakon teater adalah memastikan pengucapannya jelas agar suaranya kedengaran sewaktu pementasan berlangsung. Suara merupakan aset bernilai bagi seorang pelakon pentas, selain teknik atau gaya lakonan.
Seorang pelakon yang baik suaranya dapat didengari di seluruh auditorium tanpa menjerit. Kunci utama adalah ketenangan yang datangnya dari kerongkong dan rahang agar gema suara dapat dihasilkan. Kelantangan suara harus disertakan dengan pengucapan yang jelas atau disebut artikulasi. Justeru, seseorang pelakon hendaklah menggunakan sepenuhnya kekuatan suara baik dari segi vokal, artikulasi, ritma dan tempo suara.
Patutkah seorang pelakon pentas tersasul, tersasar atau termakan kata-katanya ketika mengucapkan dialog? Adalah tidak adil untuk saya bertanya menggunakan ‘patutkah’ kerana seluruh jagatraya faham bahawa teater adalah medium yang dipersembahkan secara live, sudah tentu perkara yang dipersoalkan di atas tidak dapat dielakkan.
Namun apakah kita sebagai penonton memaafkan pelakon tersebut sekiranya terlalu banyak kesalahan yang dilakukan. Sehingga membuatkan kita merasa tak selesa dan terganggu dengan keadaan tersebut.
Ada baiknya saya memberi contoh dari pengalaman sendiri. Entah kenapa tahun ini saya banyak menonton persembahan teater yang pelakonnya sering mempunyai masalah pengucapan. Bukan sekali dua (ini boleh dimaafkan) tetapi terlalu banyak masalah pengucapan sehinggakan tontonan sudah tidak enak dinikmati. Perkara ini tentunya memberi kesan kurang baik kepada keseluruhan persembahan.
Lebih malang, perkara ini berlaku pada pelakon-pelakon yang established. Sudah terlibat dengan begitu banyak siri persembahan. Dalam dan luar negara. Sebagai pelakon teater yang terlatih, kesilapan sebegini tak wajar dilakukan.
Mungkin ada yang berpendapat ini merupakan isu yang remeh dengan memberi alasan seperti:
“Ala, biasalah. Tersasul sana sini. Pelakon teater pun manusia juga, bukan robot.”
Paling teruk alasan ini digunakan di kalangan warga teater itu sendiri. Dan ini amat menyedihkan sebenarnya.
Mari kita sama-sama melihat perkara ini secara retrospeksi. Seorang pelakon teater itu hadir dengan disiplin yang telah dianuti sepanjang prosesnya berproduksi. Setiap anggota tubuh merupakan instrument yang harus dilatih dan diolah secara maksimum. Setiap kali latihan, kita melakukan aktiviti bagi melenturkan tubuh, suara malah pemikiran.
Secara amnya proses produksi teater tidak mungkin mengambil masa yang sebentar. Justeru tidak wajar dengan latihan yang telah diperuntukkan, masih muncul kesilapan-kesilapan seperti ini.
Apa yang menyebabkan masalah dalam pengucapan dialog seorang pelakon? Antara yang boleh disenaraikan ialah:
- Terlalu nervous
- Kurang latihan artikulasi
- Tak cukup bersedia
- Kurang fokus
- Minda terganggu
- Penat/tak cukup rehat
Senarai ini sentiasa boleh ditambah mengikut bagaimana corak persedian seorang pelakon itu. Sebagai seorang performer, kita mesti sedar apa yang membuatkan menjadikan hal-hal yang telah kita latih berbulan-bulan, tidak dapat diterjemahkan dengan baik di atas panggung. Kita sentiasa tahu. Melainkan seseorang itu mempunyai sikap defensif, egois dan suka menipu dirinya.
Vokal dan pengucapan merupakan aspek yang sangat penting bagi memastikan sebuah persembahan teater kemas, lancar dan menarik. Pelakon memainkan peranan penting untuk menghidupkan naskah dengan baik agar maknanya sampai. Maka, pelakon harus menguasai pelbagai kemahiran dalam aspek vokal dan pengucapan. Secara umumnya, asas vokal dan pengucapan dalam pemantapan teater terdiri kepada pernafasan, vokal dan variasi vokal.

Masih kuat dalam ingatan, ketika saya menghadiri ujibakat untuk menyertai produksi bagi sebuah pertandingan teater di universiti dulu. Pengasas Kelab Teater Rimba Mohamad Diani Kasian atau lebih dikenali sebagai Bung Kancil (guru teater saya) merupakan jurinya. Ketika melangkah masuk ke ruang ujibakat, saya melihat Bung kancil memejamkan mata seperti orang yang sedang tidur atau sedang bermalasan. Saya tertanya-tanya, kenapa dia memejamkan mata. Saya diminta untuk membacakan dialog dari skrip yang akan dipentaskan. Juga menyanyi serangkap lagu kegemaran. Sepanjang saya melakukan itu, mata Bung Kancil tetap terpejam. Sehinggalah saya melangkah keluar dengan perasaan yang clueless dan sedikit rengsa. Saya punyalah berhias bukan main untuk sesi ujibakat tu. Gincu merah menyala. Dengan pakaian yang paling cantik. Alih-alih tak dipandangnya kita langsung.
Sekitar beberapa hari, nama saya naik sebagai heroin untuk pementasan tersebut. Bermulalah kehidupan saya sebagai anak teater, sehinggalah ke hari ini. Barulah saya tahu yang teori yang diterapkan oleh Bung Kancil dalam memilih pelakon utama adalah suara. Itu nombor satu sebelum yang lainnya. Suara yang jelas, dinamik dan penuh variasi adalah anugerah buat pelakon. Bung Kancil percaya vokal yang baik akan menyelamatkan banyak perkara.
Bukan bermakna fizikal tidak penting, tetapi suara adalah aset yang signifikan untuk seorang pelakon. Beruntunglah mereka yang telah dikurniakan dengan bakat suara yang baik, tetapi tidak mengolahnya ke jalan kebaikan. Suara harus diasah, dilatih dan dijaga dengan baik terutama kepada mereka yang bergantung kepadanya sebagai sumber kehidupan.
Kisah tersebut bukanlah diceritakan semata-mata untuk flexing kerana saya memiliki suara yang baik untuk menjadi pelakon teater, tetapi untuk sentiasa mengingatkan saya supaya tidak mengambil ringan tentang penjagaan, penguasaan dan terus konsisten memperbaiki hal-hal asas dalam seni yang saya cintai ini.
Satu lagi peristiwa yang betul-betul melekat dalam ingatan saya adalah tentang sebuah produksi yang saya sertai sekitar 2008. Latihan sudah berlangsung dua bulan, namun salah seorang pelakon produksi ini sentiasa tersilap dan tersasul menyebut dialog. Masalah ini menyebabkan rakan lakon yang sentiasa berdialog dengannya tertekan dan sentiasa rasa down setiap kali latihan. Menjelang beberapa minggu persembahan, beliau meminta maaf dan menarik diri. Kami merasa sedih, namun lega kerana akhirnya beliau sedar yang beliau tidak mampu memikul tanggungjawab ini. Watak tersebut kemudian diambil alih oleh pengarahnya yang kebetulan turut menulis naskah pementasan. Sebuah pengorbanan besar untuk pengarah itu, namun sebuah pengajaran juga kepadanya bahawa memilih orang yang tepat dan layak itu penting sekali sebelum produksi berjalan. Agar tidak menyusahkan banyak pihak di kemudian hari.
Saya hormat dan kagum dengan sahabat saya itu. Beliau mempunyai suara yang bagus sebenarnya sebagai pelakon teater, sangat jelas dan lantang. Namun ternyata kekuatan vokal saja tidak cukup untuk seseorang itu berada di panggung pementasan.
Tiga eleman penting pengucapan vokal ialah artikulasi, getikulasi dan intonasi. Artikulasi adalah pengucapan kata melalui mulut supaya dapat didengar dengan baik, betul serta jelas. Maka telinga pendengar dan penonton dapat menangkap kata‑kata yang diucapkan. Getikulasi pula adalah cara untuk memenggal kata dan memberi tekanan pada kata atau kalimat pada dialog. Jadi seperti halnya artikulasi, getikulasi juga merupakan bahagian dari dialog, cuma fungsinya yang berbeza. Sekiranya dialog yang kita ucapkan tidak menggunakan intonasi, maka akan terasa monoton, datar dan membosankan. Maksud intonasi di sini adalah tekanan‑tekanan yang diberikan pada kata dan bahagian tertentu dialog.
Asas vokal yang baik sangat penting kepada seorang pelakon. Menurut tokoh teater yang disegani, Zakaria Ariffin, vokal yang baik mempunyai ciri-ciri berikut:
- Boleh didengar walau pada jarak yang jauh
- Sebutan yang jelas dan bulat (artikulasi)
- Mesej dialog sampai kepada penonton
- Penonton boleh tertarik dengan hanya mendengar vokal
Artikulasi amat penting dalam pengucapan dialog. Kecacatan artikulasi dalam vokal boleh terjadi atas sebab gugup, bercakap terlalu cepat, latar belakang (latar bahasa) dan kecacatan semulajadi (tidak boleh menyebut R, L, O dan sebagainya). Oleh itu latihan diperlukan untuk mengatasi atau mengurangkan kecacatan artikulasi. Ini termasuk menyebut abjad dengan betul berulang kali dan menggunakan pelbagai nada termasuk tinggi, rendah, sengau, kecil, besar dan sebagainya.
Antara tips yang saya gunakan sehingga hari ini, jika kita tersasul atau tersalah sebut perkataan ketika berdialog, jangan panik. Memang kita akan gelabah, tapi jangan biarkan ia berlarutan. Bimbang nanti akibat tidak boleh mengawal gemuruh, ia akan berjangkit lagi dan lagi. Bernafas, bertenang dan gapai kembali energy yang baru dan kembalikan semula dengan penuh keyakinan.
Selain itu lakukan persediaan yang sebaiknya sebelum naik pentas. Jadikan ritual yang tak boleh ditinggalkan. Datang awal, bermeditasi, lakukan latihan fizikal dan vokal, semak skrip, lakukan bacaan bersama rakan lakon–pastikan anda bersedia untuk membuat persembahan dengan sepenuh penghayatan.
Sukarkan menjadi pelakon teater? Ya! Nampak mudah dan glamour, tapi kalau tak cukup fit, lebih baik jangan. Banyak kerja yang harus dilakukan. Bermain teater harus cerdas, berstamina dan fokus. Otak dan badan sama-sama kena kuat.
Saya pernah menonton monodrama dilakonkan oleh pelakon veteran. Usia mereka sekitar 60 tahun dan ke atas. Tiada masalah sebutan atau vokal. Ternyata ia bukan atas alasan umur. Tetapi semangat, ketekunan dan disiplin.
Macam penyanyi, kalau lupa lirik, kita rasa nak marah. Sebab pekerjaannya memang menyanyi. Kalau pelakon macam kayu, kita marah juga sebab dah namanya pekerjaan, buatlah dengan sebaiknya. Kalau tak reti berlakon, pergilah belajar. Sama juga dengan pelakon teater yang orang pandang tinggi sebab menguasai banyak disiplin ilmu, namun tanpa usaha yang berterusan dan komitmen yang tinggi, tiada apa yang perlu dibanggakan.
Berkaryalah dengan jujur dan ikhlas. Kurangkan kesalahan-kesalahan yang tak sepatutnya. Berikan tenaga yang sewajarnya. Ikhlas dan jujur mengelola bakat. Bermainlah dengan serius. Jika tak mampu buat, berehatlah dahulu dan muhasabah kembali. Tanyakan pada diri berulang kali: Kenapa aku ingin jadi pelakon teater?
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

Saya setuju. Apa juga pekerjaan, apabila dikerjakan berserta ilmu, dan pengalaman, akan membuahkan hasil yang menyenangkan. Taklah buat melulu, malas atau dalam kerja seni persembahan, semata-mata bersandarkan rupa. Lepas tu komplen orang ramai tak nak sokong industri tersebut. Ah! 🙄
Sedap baca.