Setiap tahun akan ada filem-filem Malaysia yang mendabik dada kononnya menang anugerah di festival filem luar.
Poster filem cereka dan pendek berkaitan akan dipenuhi ‘pokok padi’ logo penerimaan dan penghargaan. Namun, tak semua padi boleh dimasak dan ditelan; kebanyakan festival itu hanyalah dusta.
Antara ciri utama sebuah festival dusta: Ia tiada tayangan umum untuk masyarakat atau media. Jadi kalau nak tahu sama ada festival itu tulen, rujuklah gambar oleh kenalan yang pernah hadiri festival berkenaan.
Salah satu contoh festival sebenar adalah Chaktomuk Short Film Festival (CSFF) yang bertempat setiap tahun di Phnom Penh, Kambodia.
Ia tak segah Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) di Indonesia yang sudah bertahan 21 tahun, atau Singapore International Film Festival (SGIFF) yang kini 37 tahun.
CSFF berskala kecil tapi bukanlah acara kaleng-kaleng. Ia ditubuhkan pada 2012 dan berehat hanya setahun (2020) semasa pandemik; jadi edisi bulan ini menandakan tahun ke-15.
Ia lebih tua daripada dua festival yang bertempat di Kuala Lumpur: Seashorts Film Festival (10 tahun) dan MIFFEST (9 tahun). Di Malaysia, mungkin hanya Freedom Film Festival (21 tahun) yang lebih otai.
(Walaupun ia kini menggunakan nama ‘festival’, Festival Filem Malaysia adalah acara penganugerahan tahap kebangsaan seperti National Film Awards (India) dan Japan Academy Film Prize, kerana ia terbuka hanya kepada filem yang telah masuk pawagam, dan tak menjadikan tayangan umum sebagai salah satu agenda utama.)

“Saya masih ada kenangan indah tentang Chaktomuk dan Kambodia,” kata pengarah filem Malaysia yang kini merangkap pensyarah, Fikri Jermadi.
Dia mengatakan begitu apabila saya menunjukkan gambar yang diambil pada 2014, tahun dia menghadiri CSFF. Di sini dia bersama Sithen Sum, pengasas festival itu.
Fikri dan penerbitnya Muzzafar Shah Hanafi ke sana untuk mempertandingkan dua filem pendek mereka, Kopi dan Dia (2012) dan Following (2012).
Walaupun saya belum sempat hadiri festival ini, firasat saya mengatakan ia ada semangat juang ‘indie’ yang dipaparkan dalam Ngilngig Asian Fantastic Film Festival di Davao, Filipina yang saya kunjungi tahun lepas sebagai juri.
Sudah pasti ada perbezaan ketara antara Filipina dan Kambodia. Industri filem Filipina rancak dengan ratusan judul setiap tahun, daripada biopik tokoh berskala besar kepada cereka lebih eksperimental.
Manakala Kambodia mengalami trauma kebangsaan yang sangat dahsyat pada tahun 1975-1979 iaitu genosida dengan anggaran hampir 2 juta rakyatnya dibunuh rejim Pol Pot.
Pastilah pada zaman selepas Pol Pot, industri filem bersama semua sektor seni lain tidaklah membangun dengan segera. Ada banyak lagi usaha pemulihan yang lebih mendesak pada dekad 1980an dan 1990an.
Antara mangsa utama rejim Khmer Rouge adalah beribu-ribu seniman, wartawan dan intelektual yang dibunuh, dan kebanyakan filem yang sedia wujud juga dimusnahkan.
Pada 2011, dokumentari Golden Slumbers oleh pengarah Perancis-Kambodia Davy Chou memuatkan temuramah bersama pekerja-pekerja filem pada zaman gemilang sinema Kambodia (1960-1975) yang masih hidup.
Tidak banyak klip filem ditunjukkan, sebab hanya sekitar 30 filem yang masih dapat dikesan.
Pada tahun 1990an hingga kini, pengarah filem Kambodia yang paling terkenal ialah Rithy Panh. (Trivia untuk Malaysia: Filemnya Rice People (1994) berdasarkan novel Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan.
Apabila saya sempat mewawancara sasterawan ini, dia kata dia lebih suka versi ini berbanding adaptasi allahyarham Dato’ Jamil Sulong.

Hampir semua filem (kebanyakannya dokumentari) Rithy Panh ada kaitan dengan trauma rejim Pol Pot. Ini kerana beliau sendiri mengalami zaman hitam tersebut.
Minggu lepas, saya mewawancara Sithen Sum yang masih mengendalikan CSFF. Saya bertanya jika dalam kalangan pengarah muda, tema Khmer Rouge masih meluas.
Dia berkata, “Tema utama yang kami dapat adalah hubungan keluarga. Pada tahun-tahun awal, kami tak dapat karya dengan tema sejarah. Tapi baru-baru ini, ada juga pengarah muda yang menggali semula sejarah berkenaan; bezanya adalah ia berdasarkan kajian dan bukan memori. Antara pacu utama berkait dengan dana, contohnya jika ada NGO antarabangsa yang nak melihat karya sebegitu.”
Pada tahun-tahun sebelum pandemik, jumlah filem cereka Kambodia boleh mencecah 90 setiap tahun; kini ia baru sedang pulih kembali dengan sekitar 30 per tahun.
Kebanyakan penonton Malaysia tak pernah menyaksikan filem Kambodia, mungkin kecuali filem aksi Jailbreak (2017) yang masuk Netflix.
Dan boleh dikatakan kebanyakan pembuat filem Malaysia (termasuk filem pendek) pun tak pernah terfikir untuk hantar karya mereka ke festival di Kambodia, kalau nak dibandingkan dengan JAFF dan SGIFF.
Pada tahun pertama CSFF iaitu 2012, hanya 15 filem pendek Kambodia yang dihantar untuk pertandingan. Tahun ini, angkanya telah meningkat ke 83 filem Kambodia.
Jumlah filem pendek antarbangsa yang pernah dihantar selama 15 tahun pula melebihi 5,000; dan daripada itu, tak sampai 100 adalah dari Malaysia. Manakala jumlah penonton termasuk acara satelit di luar Phnom Penh pula kini mencecah 2,000 orang.
Antara kebanggaan Sithen Sum (yang ke Malaysia tahun ini dalam rangka residensi seni Rimbun Dahan) adalah, setiap tahun, akan ada filem cereka pawagam Kambodia yang dibikin oleh ‘alumni’ CSFF, iaitu mereka yang telah masuk pertandingan filem pendek.
Cabaran utama festival sebegini tentulah kewangan. Walaupun mendapat kerjasama agensi kebudayaan dan pelancongan di Kambodia, tidak ada jaminan bahawa kerajaan akan memberi dana setiap tahun.
Ini antara sebab terdapat yuran pendaftaran untuk setiap pengkarya. (Namun jika anda tak mampu, hantar sahaja emel kepada mereka; mana tau boleh ‘ejas’.)

Satu lagi cabaran adalah memperkenalkan konsep ‘filem pendek’ kepada generasi yang membesar hanya dengan media sosial.
Jadi apabila berdepan dengan anak muda yang anggap klip TikTok memadai untuk serlahkan bakat, Sithen akan berkata: “TikTok itu OK je kalau nak kumpul pengikut dan meraih sponsor, tapi kalau nak belajar kraf penceritaan yang boleh dibawa sampai ke pawagam dalam dan luar negara, harus buat filem pendek juga.”
Apa yang buat saya kagum tentang prasarana seni di Kambodia adalah, festival ini diberi kepercayaan untuk menapis sendiri kandungan yang mereka tayang.
Tiada karya yang harus dihantar ke lembaga penapisan rasmi. Ini menunjukkan kematangan kendiri yang sepatutnya dibuat di Malaysia juga.
Namun apakan daya: saban tahun, penonton di MIFFEST terpaksa berdepan dengan skrin yang kekadang ditutup oleh lembaga hitam (tangan atau kadbod).
Jika anda tak pernah menonton filem pendek Kambodia sebelum ini, saya syor kan filem Grandma Nai Who Played Favorites (2025), pemenang CSFF yang boleh dinikmati online.
Filem ini dibuat dengan begitu halus dan bersahaja sehingga tiada sebarang potongan dikenakan apabila ia ditayang di Seashorts tahun lepas.
Apabila saya menontonnya dalam pawagam semasa itu, saya hendak jerit: “Ini baru sinema, beb!”Tapi saya hanya tepuk tangan.
