PADA hari Sabtu 19 Julai ini Dr Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan rombongan akan ke Sungai Cemperoh, Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang. Mereka berhajat untuk membuat kunjungan hormat ke kediaman tokoh perfileman negara Datuk Rosnani Jamil. Rosnani atau lebih mesra dengan panggilan Mak Nani adalah balu Allahyarham Datuk Jamil Sulong seorang lagi lagenda era kegemilangan filem Melayu.
Mereka juga bertujuan untuk meneliti lebih 132 buah sajak yang pernah ditulis oleh Jamil. Sajak-sajak ini tersimpan sekian lama sejak kembalinya Allahyarham ke Rahmatullah pada 2 September 2014 pada usia 88 tahun.
Tiada siapa di luar keluarganya yang tahu wujudnya sajak-sajak itu, termasuk saya sendiri yang sudah mengenalnya puluhan tahun. Bagaimanapun saya mengesyaki Jamil menulis puisi. Beliau pernah menulis skrip filem juga menulis lirik lagu-lagu yang masih diingat sehingga hari ini.
Siapakah yang boleh melupakan lagu-lagu seperti “Tiada Kata Secantik Bahasa”, “Azizah”, “Berkorban Apa Saja”, “Manusia Miskin Kaya”, “Merak Kayangan”, “Tiru Macam Saya”, “Hilang Terang Timbul Gelap’. “Engkau Laksana Bulan”, “Dengarlah Gemala Hati”, “Mari Dengar Ini Cerita”, “Joget Si Pinang Muda”, “Joget Tari Lenggang”, “Bulan dan Juga Angin” dan banyak lagi?
Banyak lagu-lagu ini digubah dan dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Jamil juga menulis lirik untuk gubahan tokoh muzik tersohor yang lain seperti Tan Sri Ahmad Nawab, Kassim Masdor, Yusof B dan Osman Ahmad.
Sebahagian daripada lirik lagu yang beliau hasilkan telah dirakamkan dalam buku terbitan Perbadanan Filem Malaysia (Finas) yang terbit pada tahun 2008. Buku itu membawa judul Tiada Kata Secantik Bahasa, yang kita tahu adalah lirik lagu yang terkenal dari filem Anakku Sazali arahan Phani Majumdar pada tahun 1956. P. Ramlee sendiri yang menggubah dan menyanyikan lagu itu selain memainkan dua watak, Ayah dan Anak.

Mak Nani sendiri menulis cacatan khas dalam buku itu, “Lirik Juga Ada Tuannya.” Saya percaya bahawa Jamil dan Mak Nani sedar beberapa buah lagu yang liriknya ditulis oleh Jamil mulai dikaitkan dengan orang lain. Malah Finas menganggap perlunya lirik-lirik itu direkodkan demi mengelakkan kekeliruan kemudian hari.
Koleksi ini mengandungi hanya 58 buah lirik daripada lebih 150 buah yang pernah ditulis oleh Jamil sejak awal tahun 50-an di Malay Film Productions (MFP) milik Shaw Bersaudara di Singapura. Lirik lagu terakhir ditulis oleh Jamil adalah untuk filem Bicara Hati arahan Mak Nani sendiri pada tahun 2004. Filem lakonan Nur Fazura, Nick Mikhail dan Sheera Iskandar ini didasarkan dari novel berjudul sama karya Khadijah Hashim.
Pada mulanya Jamil banyak belajar dari S Sudarmaji yang ketika itu penulis lirik utama di Malay Film Production (MFP). Jamil pertama kali diberi kepercayaan menulis lirik untuk lagu filem Miskin arahan K. M. Basker pada tahun 1952. Selain P Ramlee dan Mak Nani, Jamil juga membawa watak kecil dalam filem itu.
Selepas itu Jamil diberi kepercayaan untuk menulis lirik untuk banyak filem-filem K.M. Basker, di antaranya Hati Iblis, Air Mata, Mangsa, Pawang, Insan, Putra Bertopeng, Pencuri, Menyerah, Ribut, Keadilan Ilahi, Insan dan Mogok.
Pada masa itu MFP banyak menggunakan khidmat pengarah dari India untuk menerajui filem-filem Melayu. Mereka tidak boleh berbahasa Melayu. Jamil dan beberapa orang lain diberikan tugas membantu mereka. Di antara pengarah dari India selain K.M. Basker adalah Phani Majumdar, B.S. Rajhans, B.N. Rao, L. Krishan, V Girimaji, R.S Shastry, Diresh Gosh dan S. Ramanathan.
Sejak filem MFP yang pertama Singapura Di Waktu Malam yang terbit pada tahun 1947, sebanyak 63 buah filem diarahkan oleh pengarah dari India. Hanya pada tahun 1955 pertama kali anak tempatan diberi peluang mengarahkan filem. Filem itu adalah Penarik Beca arahan P. Ramlee. P. Ramlee sendiri sudah berlakon dalam 20 buah filem sebelum itu. Beliau pertama kali diperkenalkan oleh B.S. Rajhans dalam filem Cinta pada tahun 1947 dan dipasangkan dengan Siput Sarawak.

Untuk filem Penarik Beca Jamil diminta menulis lirik lagunya. Salah sebuah lagu yang terkenal dari filem itu adalah “Azizah”. Banyaklah spekulasi siapakah gadis yang bernama Aziah yang diabadikan dalam lagu itu. Banyak juga persoalan tentang siapa yang menulis lirik lagu itu.
Ini keterangan Jamil dalam buku Tiada Kata Secantik Bahasa tentang lagu tersebut:
“Seperkara yang ingin saya terangkan mengenai lagu “Azizah” dalam filem Penarik Beca”, lagu itu dicipta oleh P. Ramlee semasa dia di Pulau Pinang dan belum bergelar bintang filem lagi. Apabila P. Ramlee memilih lagu itu untuk filemnya sebagai memuji Saadiah yang memegang peranan Azizah dalam filem itu, saya jelaskan kepada P. Ramlee bahawa kata-kata mengenai Azizah dalam lagu asalnya itu menggambarkan Azizah yang berada di Pulai Pinang dan tidak berapa tepat untuk Azizah (Saadiah) dalam filem itu. P. Ramlee bersetuju beberapa ungkapan dalam lagu asal itu diubah agar sesuai dengan perwatakan Saadiah atau Azizah dalam filem.”
Pada tahun yang sama Phani Mahumdar mengarahkan filem Hang Tuah. Filem ini mengetegahkan P Ramlee, Ahmad Mahmud, Saadiah dan Zaiton. Ini merupakan filem Melayu pertama dalam warna warni. Sekali lagi Jamil yang juga penolong pengarah filem itu diberikan tugas menulis lirik untuk filem itu. Tiga buah lagu yang ditulisnya dalam filem itu “Berkorban Apa Saja”, “Joget Pahang” dan “Joget Tari Lenggang” merupakan klasik di antara lagu-lagu filem Melayu.
Jamil punya sejarah yang luar biasa dalam dunia perfileman. Menurut ceritanya beliau ke Singapura dengan satu niat, untuk mencuba nasib menjadi pelakon dalam filem. Beliau ke MFP di Boon Teck Road bersama Usman Awang (kemudiannya menjadi Sasterawan Negara yang ketiga) yang ketika itu baru meninggalkan perkhidmatan polis.
Mereka diujibakat sebagai pelakon tetapi kedua-duanya gagal. Jamil yang mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik bagaimanapun diambil bekerja sebagai pembantu dan penterjemah bagi pengarah-pengarah yang didatangkan dari India ketika itu. Usman pula dapat kerja di Utusan Melayu di Cecil Street. (Baca juga tulisan saya “Siapakah Leman, Majid dan Aini? Menjengah Semula Novel Tulang-Tulang Berserakan” tersiar 16 Disember 2024 di Seni Malaya).
Jamil juga mendampingi teman-teman wartawan dan sasterawan pada tahun 50-an di Singapura. Saya dimaklumkan bahawa pada mesyuarat pertama penubuhan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), Jamil turut hadir menjadikan beliau salah seorang ahli pengasas gerakan sasterawan yang sangat berpengaruh itu. Hal ini tentulah tidak menghairankan mengambilkira hubungannya yang baik dengan Usman Awang dan sasterawan-wartawan yang lain pada masa itu. Maka itu saya tidak terperanjat sekiranya Jamil menulis puisi. Saya secara peribadi tidak pernah membaca puisi Jamil yang disiarkan di mana-mana.
Pada 28 Mei baru lalu saya menemi Mak Nani dalam majlis pelancaran buku Biografi SN Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga di World Trade Center (WTC). Saya sendiri sudah lebih 15 tahun tidak menemui beliau. Kali terakhir saya menemui Mak Nani bersama Jamil adalah sewaktu pelancaran buku Jamil, juga di WTC (masa itu nama Putra World Trade Center atau PWTC) pada 7 Ogos 2010. Buku itu adalah Jamil Sulong: Warisan dan Wawasan.

Saya diberi penghormatan melancarkan buku tersebut. Pada masa itu saya Pengerusi Media Prima Berhad. Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Seniman. Majlis itu juga menandakan 60 tahun pembabitan beliau dalam dunia seni dan bersempena 84 tahun usianya. Malam bersejarah itu dihadiri oleh banyak selebriti tempatan antaranya Datuk Yusof Haslam, Datuk Jins Shamsuddin selain Datuk Siti Nurhaliza dan Rosyam Nor. Malam itu diberi nama “Tiada Kata Secantik Bahasa.”
Saya mengenali Jamil dengan agak rapat lama sebelum itu. Saya juga adalah peminat filem-filemnya selain lagu-lagu ciptaan beliau. Malah saya menjadi editor buku Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah sewaktu saya berkhidmat di DBP. Buku itu adalah memoir yang luar biasa Saya sendiri mencadangkan “Kaca Permata” sebagai judulnya mengambil sempena filem arahannya ke-14 di MFP pada tahun 1966.

Bagi saya “Kaca Permata” membawa makna yang tersendiri, di antara yang tidak bernilai (kaca) demgan sesuatu yang sangat berharga (permata). Saya melihat pembabitan Jamil dengan kisah suka duka dan cabarannya di MFP cukup luar biasa. Filem itu dilakonkan oleh Jins Shamsuddin dan Zaiton serta Mak Nani. Kedua-dua buku Jamil ini amat berharga dan merupakan permata luar biasa dalam dunia seni.
Tidak banyak orang yang tahu latar belakang Jamil yang lahir di pekan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor pada 6 Ogos 1026. Juga kisah luar biasa membabitkan keluarga beliau. Parit Sulong itu dipercayai mengambil sempena keluarga Jamil. Ayahnya adalah ketua kampung pada tahun 40-an. Pada 10 Jun 1945 lima orang anggota keluarga termasuk ibunya dibunuh dengan kejam oleh komunis. Peristiwa menyayat ini turut dirakamkan dalam buku kedua Jamil.

Sewaktu majlis di WTC itu Mak Nani meminta jasa baik saya untuk menghubungi DBP tentang sajak-sajak Jamil yang ada dalam simpanannya. Saya segera memperkenalkan Mak Nani kepada Dr Rosmani Omar, Ketua Bahagian Majalah DBP yang turut hadir dalam majlis buku Abdullah Hussain itu. Dr Rosmani berjanji akan membawakan hal itu pada Ketua Pengarah DBP.
Bagi saya lawatan Ketua Pengarah DBP ke kediaman Mak Nani ini amat bermakna. Jamil bukan sebarangan orang. Selain “orang filem” beliau juga adalah sasterawan dan ahli pengasas Asas 50. Beliau juga pengarah filem yang tersohor. Lagipun tidak banyak sasterawan yang jadi pengarah filem. Atau pengarah filem yang mencintai sastera.
Di MFP, Jamil mengarahkan 17 buah filem bermula dengan Batu Belah Batu Bertangkup pada tahun 1959. Beberapa buah filem arahannya di MFP yang masih diingat sampai ke hari ini adalah Raja Laksamana Bentan, Lela Manja, Isi Neraka, Si Tanggang, Lubalang Daik, Bidasari dan Gerak Kilat.
Di Merdeka Studio Hulu Kelang, beliau bermula dengan Lain Jalan Ke Syurga (1967). Filem-filem Permintaan Terakhir (1975) dan Jiwa Remaja (1976) melonjakkan nama beberapa orang pelakon muda seperti Hail Amir, Uji Rashid, Sony Abdullah, Zulkifli Zain, Nor Azizah dan Aziz M Osman.
Jamil berusia 26 tahun apabila mula menceburi dunia filem. Beliau berusia 32 tahun apabila pertama kali mengarahkan filem. Beliau berusia 72 tahun apabila mengarahkan filem terakhirnya, Raja Melawar pada tahun 1997. Selama pembabitannya dalam dunia filem beliau telah memperoleh 10 anugerah perfileman tempatan dan lapan pada peringkat antarabangsa.
Jamil akan sentiasa diingat kerana filem-filem arahannya, juga lagu-lagu yang liriknya ditulis dengan indah. Jamil adalah sebahagian daripada kisah gemilang kreativiti anak Melayu dalam dunia perfileman. Filem-filemnya menjadi sebahagian mercu tanda era emas sinema Melayu. Lagu-lagunya juga akan terus mewarnai dunia muzik tanahair.
Apakah kita akan menemukan mutiara berharga dalam bentuk puisi-puisi yang selama ini tersimpan tanpa pengetahuan khalayak sastera?
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah seorang aktivis teater, penulis kreatif dan wartawan. Beliau adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau telah menghasilkan Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad yang melakarkan pembabitan seninya selama 50 tahun.
