SECARA massa, istilah-istilah yang dicipta Allahyarham Syed Hussein Alatas tidak begitu diterima dan diamalkan. Bebalisme, jadong, cita sempurna dan cita bencana, kalau disua kepada masyarakat terbanyak, ramai yang tak faham.
Tapi orang politik suka, termasuk mereka yang di bawah-bawah. Ia semacam cara untuk menunjukkan bahawa mereka ramah buku, ramah ilmu dan tahu wacana sosial yang mendalam.
Dalam erti kata lain, istilah ciptaan Syed Hussein dah jadi seperti jargon politik, walaupun kebanyakannya berfungsi dalam bidang sosial.
Istilah jadong, contohnya, mudah meluncur dari mulut ahli politik ketika mendakwa lawannya korup dan menindas. Ketika UMNO berkuasa dahulu, selalu istilah itu terbit dari mulut pembangkang.
Perkaitannya, mungkin, sebab Syed Hussein sendiri banyak melawan kuasa UMNO. Seperti buku Siapa Yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu, ia memang respons langsung Syed Hussein terhadap buku Revolusi Mental yang disusun bekas Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman. Begitu juga kedudukan Syed Hussein sebagai antara pengasas Parti Gerakan yang membangkang UMNO pada zamannya.
Maka, memakai ‘bahasa’ Syed Hussein seperti memakai apa saja jersi yang melawan UMNO.
Itu cerita dulu. Sekarang, kalau kerap sangat fikir siapa kawan dan lawan UMNO, otak boleh jadi lembab dan berkabut. Badan penat, dahi berpeluh. Tak berbaloi.
Syarah ikonik
Saya, secara peribadi, suka guna istilah jadong di mana-mana. Jumpa kawan yang bodoh tapi tak mahu mengaku bodoh, malah suka tikam belakang kawan sendiri pula, saya kata dia jadong. Dalam menggunakan istilah, saya agak liberal.
Cuma, selepas membaca Cita Sempurna Warisan Sejarah, buku yang baru diterbitkan Kawah Buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), saya mula was-was.

Cita Sempurna Warisan Sejarah merupakan teks syarahan Syed Hussein di acara Syarahan Umum Bangi yang diterbitkan sebagai monograf oleh Penerbit UKM pada 2001. Tahun ini, Kawah Buku menerbitkannya sebagai buku dengan saiz kompak — lebih tebal tetapi kecil.
Dalam syarahan itulah pertama kali Syed Hussein mengutarakan istilah dan konsep jadong. Ini bermakna, konsep jadong berkait rapat dengan cita sempurna serta cita bencana dan ia perlu difahami dalam konteks itu.
Oleh itu, sebelum mengembangkan maknanya kepada konteks lain – seperti yang saya buat kepada kawan saya itu – perlu faham dengan lumat konteksnya dalam buku itu dulu.
Menjadong dan dijadong
Cita Sempurna Warisan Sejarah ialah sebuah syarahan yang dituju, terutamanya, kepada golongan pemimpin. Bagi Syed Hussein, kebaikan atau keburukan masyarakat itu mengalir dari atas ke bawah — daripada pemimpin kepada yang dipimpin.
Syed Farid Alatas dalam prakatanya untuk buku itu berkata, mereka yang jadong tapi tiada kuasa mungkin tak bawa kesan yang begitu buruk kepada masyarakat.
“Apa yang menjadi bahaya bagi masyarakat kita adalah keadaan tatkala institusi-institusi politik, ekonomi dan agama dikuasai oleh penjadong,” katanya.
Malah, katanya lagi, “Masyarakat yang dikuasai penjadong pada akhirnya dijadongkan, iaitu, dijadikan jadong.
“Contohnya, sistem pendidikan keagamaan yang menyebarkan ajaran yang batil dan tidak benar akan lambat-laun menjadongkan rakyat, iaitu memelihara kejadongan dalam masyarakat itu.
“Ini bermakna bahawa kita perlu mengambil perhatian tentang penjadongan atau proses, cara dan perbuatan menjadongkan seseorang atau sesebuah masyarakat”.
Disebabkan itu, pembacaan pertama saya berfokus kepada hasrat untuk memahami istilah jadong yang dikepung konteks cita sempurna dan cita bencana.
Sempurna lawan bencana
Cita sempurna menurut Syed Hussein merujuk kepada usaha untuk mewujudkan masyarakat yang sempurna. Cita bencana pula lawannya – pandangan hidup menyeleweng yang merancu dan merosakkan masyarakat.
Cita sempurna hidup dalam diri manusia yang sentiasa mahu menuju keadilan dan kebenaran. Namun, cita sempurna sendiri tidak mencari kesempurnaan yang sepenuh sempurna. Idealismenya sedar tentang batas manusia biasa.
Sebab itu, dalam menjelaskan konsep cita sempurna, Syed Hussein terlebih dahulu menerangkan perbezaan antara hal yang relatif dan mutlak (absolute).
Keinginan untuk mencapai keadilan dan kebenaran akan relatif pada permukaan tetapi pada dasarnya, mengalir nilai-nilai sejagat yang disetujui dan disepakati di seluruh dunia. Seperti kekejaman dan pembunuhan orang awam, ia jelas cita bencana.
Contoh-contoh manusia yang memanifestasi cita sempurna ada banyak, seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Ali, Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayubi dan lain-lain. Syed Hussein tidak meletakkan nabi dan rasul sebagai contoh kerana, saya fikir, para nabi dan rasul berada dalam liga berbeza. Ini sekali gus menunjukkan cita sempurna yang diimpikan masih terpasak pada bumi logik, ia boleh dicapai semua manusia yang mahu mencapainya.
Cita bencana ialah hal-hal yang menghalang cita sempurna. Dalam buku itu, Syed Hussein menunjukkan contoh jenayah atau tindakan ekstrem yang bukan sahaja berlaku, malah direstui golongan penguasa, seterusnya mengganda kesannya kepada masyarakat.
Seperti perbuatan makan orang yang sudah sedia ekstrem untuk individu. Dalam kes Issei Sagawa pada 1982, pemuda Jepun itu membunuh dan memakan tubuh wanita Belanda, Renee Hartevelt. Yang memburukkan keadaan, dia tidak dijatuhkan hukuman atas alasan tidak siuman, malah bebas dari hospital sakit jiwa di Jepun hanya tiga tahun selepas jenayah tersebut.

Pembebasan Sagawa didorong sikap kerajaan Jepun yang tidak melihat kesalahannya sebagai satu jenayah besar terhadap kemanusiaan. Dengan ‘restu’ kerajaan Jepun, Sagawa tidak dipertanggungjawabkan atas jenayahnya, malah pada satu tahap mencapai tahap selebriti.
Tiga sifat yang ada pada penguasa yang menghidupkan cita bencana ialah jahat, bodoh dan sombong, yang diringkaskan menjadi jadong oleh Syed Hussein.
Bodoh dalam takrifan jadong bukanlah mereka yang tidak tahu, atau jahil, atau mengamalkan tipu muslihat. “Yang dimaksudkan dengan bodoh itu adalah tidak bijak mencapai matlamat jangka panjang sebagai punca pencapaian, tidak tahu mengendalikan perasaan dan tidak menolak bahkan menerima pengaruh cita bencana,” kata Syed Hussein.
Peluang memandang yang awal
Pemahaman terhadap cita sempurna membolehkan kita memahami lawannya, iaitu cita bencana. Memahami cita bencana pula membantu kita faham manifestasinya, iaitu jadong, dalam konteks paling asli dan asal.
Cita Sempurna Warisan Sejarah memberikan saya peluang itu kerana kata-kata yang sering diulang dalam konteks berbeza – menjadi kata deru dan jargon – berpotensi terpesong semakin jauh dari makna yang sebenar.
Dalam situasi seperti kata “jadong’ yang masih belum kental maknanya dalam fikiran masyarakat terbanyak, penerbitan semula syarahan ulung itu dapat membantu kita kembali kepada asal, memahaminya dalam konteks awal.
Itu antara keistimewaan naskhah hijau kecil terbitan semula Kawah Buku itu. Ini belum masuk fungsi mustahaknya dalam meluruskan fahaman pembaca terhadap nilai baik-buruk, jahat-kudus dalam dunia serba kabur hari ini.
Cita Sempurna Warisan Sejarah ialah buku wajib milik. Hubungi Kawah Buku untuk beli naskhah anda segera.
