SAYA fikir, dalam lapangan muzik yang matang, terbitan album dan karya adalah sangat fundamental. Ia asas dan mustahak – seperti hal-hal rukun dalam agama – yang bila dibuat, orang anggap biasa tapi kalau tak dibuat, pengkarya berasa berdosa.
Sebab itu 59 tahun selepas abum pertama, The Rolling Stones masih mampu menerbitkan album studio — Hackney Diamonds, terbit tahun lepas.
Bukan The Rolling Stones sahaja, banyak lagi artis tua yang masih keras dan ranum dengan karya baharu. Mereka tidak selesa dengan jemputan persembahan semata, hidup bersandar karya lama dan nostalgia.
Album studio terakhir M. Nasir adalah pada 2006, jarak antara album pertama dengan terakhirnya 27 tahun. Jamal Abdillah pada 2011, jarak 31 tahun. Search pada 2006, jarak 21 tahun. Ella juga agak cemerlang dengan album studio terakhir pada 2017, jaraknya 28 tahun.
Artis yang boleh dikira lama tapi paling terkini mengeluarkan album ialah Siti Nurhaliza. Dari album pertama pada 1996 sehingga album terbaharu pada 2023, jaraknya 27 tahun.
Dan ini bukan kelemahan artis semata-mata. Kita bercakap tentang kematangan lapangan yang melibatkan banyak pihak. Kalau premis saya lapangan muzik Malaysia tidak matang, ia merujuk kelemahan semua pihak dalam ekosistem muzik kita, terutamanya pendengar yang terhuyung-hayang berlalang mengikut trend yang berubah-ubah.
Betapa tidak matangnya lapangan muzik kita, artis baharu pun kecut perut nak terbit album.
Dua album, dua kolaborasi
Iwan Fals mula masuk ke lapangan muzik Indonesia pada 1979 dengan album Perjalanan. Tahun sama M. Nasir yang menggunakan nama Mohamed M.N. muncul dengan album Untuk Pencinta Seni.
45 tahun kemudian, dia menerbitkan dua album dalam tempoh enam bulan. Dia masih keras dengan gaya muziknya yang tersendiri. Dia juga ranum dengan penerokaan gaya baharu.
Sedikit sebanyak, kemampuan Iwan Fals hadir dengan karya baharu didorong kematangan lapangan muzik Indonesia. Dan ini bukan soal populasi semata-mata; kalau 300 juta rakyat Indonesia juga menjadi pendengar lalang terhuyung-hayang, kuda tua macam Iwan Fals takkan berani terbitkan album baharu.
Kematangan lapangan muzik Indonesia membuka ruang untuk Iwan Fals mencuba benda baharu. Dua albumnya itu merupakan kolaborasi dengan dua penulis lirik. 2324 yang diterbit pada Januari menggabungkan dia dengan sahabat lama dari kugiran Kantata Takwa, Sawung Jabo. Tujuh Belasyang terbit pada Jun menemukan dia dengan penulis dan ahli akademik, Fahruddin Faiz.
Swami, Kantata, Rendra
Penyatuan semula Iwan Fals dengan Sawung Jabo sudah dirai sejak 2023, apabila duo berontak itu bersama mengisi pentas Synchronize Fest. Karisma kedua-duanya dinikmati semua, termasuk anak muda yang belum lahir ketika konsert bersejarah Kantata Takwa dilangsungkan pada 1990.
Sebab sejarah penyatuan Iwan dan Sawung sangat mega. Dari Swami ke Kantata, keduanya menerajui muzik berontak yang membenih reformasi 1998. Muzik mereka ada saham dalam pembebasan Indonesia dari Orde Baru Suharto.
Bahu mereka juga bersentuh dengan WS Rendra, penyair besar yang menginspirasi pembebasan akal fikir rakyat Indonesia. Ini memuncakkan keulungan kolaborasi Iwan Fals dan Sawung Jabo. Rakyat Indonesia tahu, kalau dua nama itu diletak sebelah-menyebelah, ada yang akan bergegar dan tergoncang.
Tapi 2324 bukan datang dari jiwa muda berontak yang sama seperti 34 tahun sudah. Ini berontak matang semantan — lebih nyaman dan tenang, lebih dalam dan rohaniah.
Seperti yang pernah disebut Sawung, Sirkus Barock sekarang sudah jadi Sirkus Barokah.
Pulihdiri yang teguh
Nama Iwan Fals dan Sawung Jabo sudah terlalu tinggi untuk mereka menunduk menurut trend dan massa.
Ada lagu dalam 2324 yang bersifat motivasi dan pulihdiri (healing) tapi penyampaiannya keras. Asas healing generasi Iwan dan Sawung dikekalkan, iaitu healing yang teguh, bukan rapuh.
Lirik Sawung mengajak kita memantapkan hati, otak, jantung dan segala organ dalaman supaya tubuh cukup teguh menghadap cabaran yang datang. Sebab hidup generasi mereka kekurangan sumber serta peluang, maka apa cabaran yang datang perlu dihadap; tiada pilihan.
Generasi sekarang dicabar sumber dan peluang yang terlalu banyak. Kita cukup makan tapi kusut membuat pilihan. Sebab itu asas pulihdirinya kerapuhan — perlu reda dan berdamai dengan ketidakmampuan memilih segala peluang yang ada.
Pulihdiri yang rapuh ada juga dalam 2324, seperti dalam Menatap Langit:
“Sehelai demi sehelai kurenda hidupku,
Sekata demi sekata aku rangkai doaku,
Agar aku bisa berdamai dengan diriku”
Tapi lebih jelas saranan memperteguh diri, lebih-lebih lagi dengan vokal serak keras Iwan, seperti dalam Hidup Bukan Sekedar Bernafas:
“Hidup berliku-liku,
Kita jalani dengan teguh,
Hidup yang tak bertepi,
Kita jalani dengan pasti”
Aneka gaya
Apa yang ditawarkan 2324 sangat besar. Kalau dinilai sebagai sebuah album semata, ia tidak begitu ulung tetapi mengambil kira kekuatan nama Iwan Fals serta Sawung Jabo, ia menjadi istimewa.
Bayangkan jika M. Nasir bikin album penuh menggunakan sajak-sajak Pyanhabib. Mungkin begitu skalanya jika di Malaysia.
Kepelbagaian gaya muziknya juga menarik. Iwan memanfaatkan ruang keanekaan yang boleh diteroka; sebab album ini sudah ditaut gaya lirik Sawung, maka gaya muzik boleh dianekakan semahunya.
Ada yang rancak, ada mendayu, ada yang senyap dan perlahan, ada yang meletup dengan gaya tribal Nusantara.
2324 menjadi penanda kematangan lapangan muzik Indonesia. Ia memekar sejarah lama dan meraikan nafas yang baharu.
**********************
KU SYAFIQ KU FOZI menulis untuk Relevan dan Rondivu selain menjadi pengurus kepada kugiran rock alternatif, motherwit. Februari 2024 berjaya tulis buku pertama bertajuk Gonzo Tanpa Fiasco.
