BULAN lalu, saya sempat hadir ke pameran solo Bayu Utomo di Harta Space, Ampang. Di samping melihat pamerannya, saya berkenan untuk mendapatkan buku katalog pameran tersebut. Kata pegawai di kaunter, ada dijual di ruang kafe bersama buku-buku lain.
Saya mencapai buku tersebut dan membeleknya. Hanya berupa kertas yang agak tebal dan bukunya hanya distepler tengah. Bila belek di belakang buku, tertera tempelan harga—RM50. Agak mahal bagi saya bagi sebuah katalog lukisan dan pameran.
Juga yang “aneh” adalah dalam ruang pameran itu sendiri, pengunjung boleh imbas kod QR dan dapatkan katalog itu dalam bentuk buku digital secara percuma. Tetapi kenapa galeri ini menjualnya juga?
Dan yang lebih penting adalah jumlah wang perlu dilaburkan itu tidaklah murah untuk katalog yang punyai koleksi lukisan dan lima artikel iringan daripada Faisal Tehrani, Bilqis Hijjas, Aiman Aliff, Che Kem dan Ivan Gabriel.
Jujurnya saya tidak tahu apa punca katalog itu boleh dijual dengan harga itu. Tetapi saya kagum mereka boleh meletakkan tanda harga itu.
Ketika majlis Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini, sekali lagi saya teringatkan cubaan saya mendapatkan katalog Bayu Utomo di Harta Space ini.
Ketika HSPM berlangsung, saya menontonnya dalam talian dan dalam masa yang sama, saya cuba mendapatkan buku program yang diedarkan dalam majlis tersebut.
Ada dua hal yang boleh didebatkan melalui buku program ini sahaja. Pertama ialah persembahan bukunya. Barang diingatkan, HSPM adalah majlis yang ditunggu-tunggu saban tahun bagi peminat sastera tanah air, dan lagi HSPM kali ini adalah majlis yang tertangguh hadiahnya bertahun lamanya.
Mungkin ada pihak yang menyatakan ini hanyalah sebuah “buku program” dan tidak patut dipanjangkan isunya. Tetapi cuba anda bayangkan bagaimana saya berkira-kira untuk mendapatkan katalog pameran Bayu Utomo tadi? Kedua-duanya—buku program HSPM dan katalog pameran—ini mempunyai nilai masing-masing.
Dan bagi sesebuah majlis yang gah sebegini, reka letak dan persembahan sesebuah bahan iringan perlulah bergerak sejajar untuk menampakkan sisi prestij itu.
Saya tidak tahu bagaimana pereka letak mereka buku ini, tetapi ia sangatlah hodoh. Penggunaan font, warna dan reka letak gambar-gambar pemenang juga sangat tidak padan dengan tahun semasa.
Ada gambar-gambar pemenang yang saya kira pereka buku ini hanya salin dan tampal dari internet. Kita masih tidak lari lagi dari stigma jika hendak klasik, perlu menonjolkan motif kerawang-kerawangan.
Saya pernah memenangi hadiah sastera negeri. Lebih kurang sebulan sebelum majlis, penganjur menghubungi saya untuk dapatkan gambar mugshot untuk dipaparkan dalam skrin ketika majlis penyampaian hadiah.
Adakah ia suatu yang sukar dilaksanakan menghubungi para pemenang untuk mendapatkan gambar yang lebih “berjenis” sikit?
Kedua—dan ini sebenarnya yang lebih penting—ialah isi kandungan sesebuah buku program. Buku program HSPM bukan sahaja perlu ada segugus bicara, serangkai madah, seuntai kata, atau semadah bahasa daripada berpengaruh, pemegang taruh atau penganjur majlis. Tetapi perlunya pengisian yang maksimum yang membolehkan buku program itu “dijual”.
Saya agak terkejut apabila membelek buku program HSPM kali ini, hanya ada dua perenggan pendek sejarah HSPM. Dalam perenggan itu hanya dua hal yang dibicarakan secara pendek; pertama ialah pertukaran nama HSPM dan kedua ialah matlamat utama HSPM.
Sepatutnya pihak penganjur perlu menggali lebih dalam untuk memuatkan sejarah HSPM yang dikatakan prestij ini. Penuhkan dengan sejarah penubuhan, siapa yang terlibat, siapa para juri dan panel penilai dan mungkin boleh disekalikan dengan nilai hadiah wang tunai yang pemenang peroleh pada tahun-tahun terdahulu.
Jika diperhatikan, logo HSPM sekali terpampang dalam buku ini, itu pun hanya kecil berada bersebelahan logo Malaysia Madani. Sepatutnya logo itu juga memainkan peranan penting. Selain ia perlu dibesarkan, ia juga satu maklumat tambahan kepada pembaca untuk mengenali logo dan maksud-maksud di sebalik logo HSPM itu.
Apabila dibelek senarai pemenang, memang secara harfiahnya hanya diisi dengan nama, tajuk karya dan tempat karya disiarkan. Tiada sebarang justifikasi dibuat kenapa karya itu menang. Juga tiada maklumat berkenaan penulis. Mungkin saya sangat ideal, tetapi saya memandang HSPM ini sangat tinggi nilainya.
Jika tidak dapat memuatkan justifikasi penuh kenapa karya itu menang pun, sepatutnya kita cuma perlu meniru Hadiah Nobel yang memberi satu atau dua ayat justifikasi kepada pemenang Nobel (yang bertaraf dunia). Saya kira dengan cara ini akan mendapat dua hal yang baik. Pertama kepada pembaca—menjadikan daya penarik untuk mendapatkan atau membaca karya tersebut. Dan untuk pemenang, mungkin dengan satu dua ayat itu, mengetahui secara gambaran kasar kenapa dia menang.
Seingat saya, dalam HSPM 2019/2020 ada dinyatakan sekali ulasan juri di dalam buku program. Tetapi pada program kali ini, langsung tidak disertakan ulasan juri.
Ulasan ini penting untuk dimuatkan dalam buku program ini. Jika hendak lebih ideal lagi, buku program ini perlu disekalikan dengan laporan penuh juri. Setiap genre perlu dimuatkan laporan umum penjurian bagi genre itu. Berapa banyak karya diterima, apa tema yang paling banyak diterima dan kekuatan para pemenang dalam genre tersebut.
Maklumat-maklumat yang saya katakan tadi sebenarnya semuanya akan jadi berguna satu hari nanti. Pemenang, pembaca, pengkaji sastera akan dapat menilik kembali buku program tersebut pada masa akan datang dan ia akan menjadi satu buku program yang berharga.
Saya perasan bahawa setiap kali selepas hadiah sastera berlangsung, akan ada soksek-soksek di belakang, lagi-lagi mengenai penjurian. Inilah masanya untuk penganjur menulis cara telus bagaimana kaedah atau proses penjurian dilaksanakan. Jika penjurian dibuat secara telus, apa salahnya untuk dikarang barang satu dua muka surat untuk pendedahan secara umum kepada khalayak pembaca?
Saya rasa pengisian dan cadangan yang saya utarakan ini tidak menjadi masalah untuk hadiah yang makan masa kurang lebih setahun ini. Maksud saya ialah isi kandungan yang saya cadangkan tadi semuanya sudah tersedia ada atau sudah siap, hanya perlu dimuatkan dan disusun cantik di dalam sebuah buku program yang mungkin inilah dokumentasi terakhir ketika menjelang acara penganugerahan.
Adakah saya terlalu menginginkan utopia? Tidak. Dengan adanya segerombolan ahli jawatankuasa pelaksana (yang dipenuhkan nama-nama mereka di belakang buku HSPM), hal ini tidak mustahil dilaksanakan dengan lebih elegan dan bijaksana.
Kalian hanya perlu “meniru” dengan bijak buku-buku program yang lain. Mungkin esok lusa kalian boleh membelek-belek apa yang terkandung dalam buku program Hadiah Sastera Darul Ridzuan atau buku SIPENA: Himpunan Karya Pemenang Hadiah Sastera Selangor untuk dijadikan inspirasi dan idea bagi buku program HSPM mendatang.
Dengan penampilan yang penuh bergaya dan isi kandungan yang mantap, tidak mustahil buku program juga boleh dijual setaraf buku katalog pameran solo Bayu Utomo? Dan sudah tentu, ada yang ingin membelinya untuk dijadikan sebuah dokumentasi yang lebih bermakna.
Saya tidak tahu sikap yang bagaimana penganjur amalkan dalam program dan majlis sebesar ini. Melalui buku program—yang dianggap mungkin hal remeh ini—masyarakat sastera dapat lihat pengajur mengambil sikap yang sambalewa.
Atau hal-hal yang saya utarakan ini menjadi renyah sebab semua keputusan perlu kelulusan minit mesyuarat dan perlu angkat kertas kerja?
– NAIM AL-KALANTANI merupakan graduan ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini dia menyambung pengajian di peringkat sarjana seni kreatif di universiti yang sama.
— Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak sepenuhnya mewakili pendirian Senimalaya.
