Ada artis dikenali hanya disebabkan populariti dan ada juga yang diraikan kerana keberanian mereka menolak sempadan konvensional. Isyana Sarasvati berdiri diantara keduanya, seniman yang tidak sekadar hadir sebagai penyanyi popular, tapi juga sebagai pencipta dunia muzik yang sentiasa berevolusi serta kompleks dengan lapisan emosi.
Dalam landskap muzik Asia Tenggara yang sering didominasi formula arus perdana, Isyana muncul sebagai figura yang unik. Dia membina identiti artistiknya dengan keberanian untuk bereksperimen, menolak definisi genre yang sempit dan sentiasa mencabar dirinya untuk melangkaui pencapaian terdahulu. Dari balada pop yang menyentuh jiwa hingga komposisi yang lebih eksperimental dan teatrikal atau berkolaborasi bersama Marty Friedman (Megadeth) perjalanan muziknya memperlihatkan transformasi seorang artis yang terus berkembang tanpa kompromi.
Isyana pernah menjadi suara yang mengiringi momen-momen paling peribadi. Tetap Dalam Jiwa misalnya, bukan sekadar sebuah lagu popular, tetapi sebuah karya yang meresap ke dalam ruang emosi pendengarnya. Namun bagi mereka yang mengikuti evolusi muziknya dengan lebih dekat, Isyana yang wujud hari ini adalah seorang artis yang jauh lebih kompleks, lebih berani, lebih eksperimental dan lebih bebas dalam meneroka kemungkinan artistik.

Malaysia bakal menjadi saksi kepada babak terbaharu perjalanan kreatif tersebut apabila konsert ISYANA SARASVATI Live in Kuala Lumpur (ASIA Tour 2026) bakal berlangsung pada 17 Julai 2026, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Selepas kali terakhir tampil di Malaysia pada tahun 2023, kepulangan Isyana kali ini hadir dengan dimensi yang berbeza. Ia bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman artistik yang menggabungkan muzik, emosi dalam satu persembahan yang akan meninggalkan kesan.
Lebih signifikan, konsert ini hadir seiring dengan pelancaran album terbaharunya, ‘EKLEKTIKO’ sebuah karya yang dianggap sebagai manifestasi paling jujur terhadap keberanian artistik Isyana setakat ini.
‘EKLEKTIKO’ memberi petunjuk kepada sifat karya tersebut: berlapis, pelbagai dan tidak terikat kepada satu ekspresi. Album tersebut dibina melalui empat babak utama, Lunora, Mamiu, Cecilia dan Abadhi, masing-masing membawa dimensi emosi, naratif dan tekstur sonik tersendiri.
Setiap babak berfungsi seperti fragmen dalam sebuah dunia imaginatif yang disusun teliti; sebuah ruang di mana muzik tidak hanya didengar, tetapi dialami. Di sinilah kekuatan Isyana paling menyerlah, keupayaannya membina naratif melalui bunyi, lalu menukar muzik menjadi pengalaman yang hampir sinematik.
Dalam banyak hal, Isyana sedang mendefinisikan semula apa yang dimaksudkan dengan artis ‘pop moden’ di rantau ini. Dia tidak sekadar menghasilkan karya yang mudah diterima pasaran, tetapi mencipta muzik yang mengundang pendengar untuk menyelami lapisan emosi, konflik dalaman dan refleksi kemanusiaan.
Penganjur konsert, Redrose Entertainment bersama Vault + Vision Agency, melihat Isyana lebih daripada seorang penghibur. Dia ialah pencerita dan seniman yang menggunakan muzik sebagai bahasa untuk menzahirkan keresahan, harapan, kekuatan dan transformasi.

Kualiti inilah yang menjadikan setiap persembahan Isyana istimewa. Dengan vokal yang berkarakter, penguasaan teknikal serta persembahan pentas yang magnetik, dia memiliki keupayaan untuk menarik penonton memasuki dunia yang diciptanya.
Bagi Isyana sendiri, jelajah Asia ini menandakan satu lagi titik penting dalam evolusi kariernya. Ia bukan sekadar ruang untuk mempersembahkan karya-karya baharu, tetapi juga sebuah penghargaan kepada peminat yang selama ini menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatifnya.
Hubungan antara artis dan pendengar sering kali sukar dijelaskan secara literal. Namun dalam dunia Isyana, hubungan itu jelas wujud dalam bentuk yang paling organik, melalui muzik yang hidup, berkembang dan terus menemukan makna baharu dalam setiap fasa.

Konsert di Kuala Lumpur itu nanti dijangka menghimpunkan dua dunia yang membentuk identiti Isyana hari ini: nostalgia karya-karya yang telah lama dekat di hati peminat, dan keberanian eksplorasi muzik baharu yang lebih radikal.
Mungkin inilah yang membuatkan Isyana Sarasvati terus relevan, keupayaannya untuk kekal dekat dengan pendengar lama sambil terus bergerak ke hadapan sebagai seorang seniman.
Konsert itu ini bukan sekadar lagu yang akan dinyanyikan tapi juga tentang perjalanan seni, evolusi, keberanian serta pencarian tanpa henti beliau terhadap kejujuran berekspresi.
Dalam dunia eklektik Isyana Sarasvati, setiap bunyi membawa cerita yang lebih besar dari apa yang akan kita dengarkan nanti.
Isyana Sarasvati Live In Kuala Lumpur (Asia Tour 2026)
17 Julai 2026 – Zepp Kuala Lumpur – 8.30 Malam
Dapatkan tiket-tiket di: loket.com
