Dalam institusi seni kontemporari hari ini, persoalan tentang nilai sesebuah amalan kreatif semakin kerap dijawab melalui bahasa yang datang daripada luar medan artistik itu sendiri. Sebuah projek seni dianggap lebih bernilai dan “intelektual” apabila ia dapat dikaitkan dengan penyelidikan komuniti, kecanggihan teknologi, kelestarian ekologi, antropologi, atau pelbagai bidang pengetahuan lain.
Dalam keadaan ini, konsep interdisiplin yang pada asalnya hadir sebagai usaha membebaskan ilmu daripada batas disiplin moden yang rigid, mula berfungsi sebagai rejim kategori pengiktirafan yang menentukan bagaimana seni perlu menjelaskan dan membuktikan eksistensinya.
Esei ini lahir sebagai satu respons terhadap perbincangan yang dicetuskan oleh Farizal Puadi melalui hantaran status di Facebook beliau pada 27 Jun 2026 mengenai dilema interdisiplin dalam seni visual. Perbincangan tersebut mendedahkan keperluan mendesak untuk meneliti semula kedudukan konsep interdisiplin dalam perkembangan seni kontemporari, khususnya dalam konteks institusi pendidikan tinggi dan ekosistem pengurusan budaya hari ini.
Hujah utama yang ingin saya kemukakan ialah asas pengetahuan seni sering kali dikelirukan dengan tuntutan interdisiplin yang berkembang dalam wacana akademik semasa. Pada dasarnya, konsep interdisiplin muncul sebagai suatu usaha untuk menghubungkan kembali serpihan-serpihan ilmu yang telah dipisahkan mengikut bidang kepakaran tertentu seperti geografi, kejuruteraan, matematik, dan sains kemanusiaan akibat perkembangan projek pengkhususan ilmu dalam modenisme.
Dalam pengertian ini, interdisiplin pada asalnya merupakan suatu ikhtiar intelektual untuk menguji, merundingkan, dan melampaui batas-batas disiplin yang telah dibentuk oleh sistem pengetahuan moden bagi menangani persoalan kompleks yang tidak dapat diselesaikan secara memadai oleh satu disiplin sahaja.
Namun, fokus kritik ini bukan terhadap interdisiplin sebagai pendekatan penyelidikan yang subur, tetapi terhadap transformasi fungsinya apabila ia bergerak daripada suatu strategi epistemologi yang membebaskan kepada suatu bahasa yang digunakan untuk memberikan legitimasi institusi. Di sinilah istilah yang pada asalnya berfungsi untuk membuka kemungkinan hubungan antara ilmu berubah menjadi satu rejim pengelasan birokratik yang menentukan cara sesuatu karya harus dibaca, dinilai, dan diberikan pengiktirafan.
Dalam landskap institusi kontemporari, khususnya di universiti dan badan pembiayaan budaya di Malaysia, istilah seperti interdisciplinary, cross-disciplinary, dan transdisciplinary telah menjadi sebahagian daripada glosari dominan. Dalam sesetengah tafsiran terhadap kerangka penilaian penyelidikan tinggi seperti MyRA (Malaysia Research Assessment), kerjasama rentas disiplin semakin memperoleh nilai sebagai indikator produktiviti dan impak penyelidikan dalam ekosistem penilaian.
Di sinilah muncul fenomena yang saya boleh istilahkan sebagai kolonisasi kategori.
Konsep kolonisasi kategori ini tidak merujuk kepada kolonisasi dalam makna sejarah penjajahan wilayah atau penguasaan fizikal. Ia merujuk kepada proses epistemologi apabila bahasa yang lahir daripada struktur organisasi ilmu moden memperoleh kuasa untuk menentukan bagaimana sesuatu domain kreatif harus difahami, dinilai, dan diiktiraf.
Penggunaan istilah kolonisasi di sini tidak bertujuan membuat analogi moral antara birokrasi ilmu moden dengan pengalaman penjajahan kolonial, tetapi untuk menunjukkan bagaimana kategori tertentu memperoleh kuasa hegemonik sehingga membatasi kemungkinan bentuk pengetahuan lain muncul sebagai sah.
Dalam konteks ini, kolonisasi tidak merujuk kepada penguasaan terhadap wilayah atau manusia, tetapi terhadap horizon kemungkinan epistemik, iaitu kuasa menentukan kategori apakah yang membolehkan sesuatu bentuk pengetahuan itu diklasifikasikan sebagai sah.
Konsep ini mempunyai hubungan rapat dengan persoalan governmentality dalam pemikiran Michel Foucault, iaitu bagaimana kuasa moden tidak semestinya beroperasi melalui larangan atau sekatan fizikal, tetapi melalui pembentukan norma, borang geran, dan struktur birokrasi yang menentukan apa yang dianggap rasional, sah, dan bernilai.
Dalam keadaan ini, kuasa tidak beroperasi dengan melarang seni daripada menjadi seni, tetapi dengan menentukan bahasa apakah yang perlu digunakan oleh seni untuk membuktikan bahawa ia mempunyai nilai intelektual.

Jika Foucault membantu menjelaskan bagaimana kategori menghasilkan objek pengetahuan, Pierre Bourdieu pula menunjukkan bagaimana kategori tersebut memperoleh nilai sosial sebagai bentuk modal simbolik melalui medan institusi.
Seniman atau para akademik yang mampu “membingkai” projek mereka melalui bahasa birokratik seperti sustainability, community engagement, innovation, atau research-based practice memperoleh lebih banyak akses kepada dana penyelidikan, ruang pameran, dan pengiktirafan profesional.
Proses kolonisasi ini berlaku pada tahap yang sangat halus, yakni yang sedang dijajah bukan kandungan seni itu sendiri, tetapi syarat-syarat yang menentukan bagaimana seni dibenarkan bercakap tentang dirinya agar dapat diterima dalam sesuatu sistem pengiktirafan.
Bahasa pentadbiran ilmu secara perlahan-lahan menggantikan bahasa pengalaman estetik. Akibatnya, wujud bentuk diskriminasi epistemologi yang menganggap bahawa seni hanya menjadi serius atau “relevan” apabila ia menyerupai metodologi sains atau disiplin akademik yang lain.
Untuk memahami bagaimana situasi ini terjadi, kita harus menyedari bahawa masalah sebenar bukanlah interdisiplin, tetapi konsep “disiplin” itu sendiri. Pembentukan disiplin-disiplin ilmu moden memperoleh bentuk yang kukuh melalui perkembangan universiti moden sejak abad ke-19.
Sistem ini menghasilkan sempadan tegas tentang apa yang dianggap sebagai ilmu yang sah dengan menempatkan sains, kemanusiaan, teknologi, dan seni dalam ruang yang berbeza dengan metodologi, bahasa, dan ukuran autoritinya sendiri.
Dalam konteks ini, pemikiran Foucault (1970) menjadi penting. Foucault menunjukkan bahawa sistem klasifikasi pengetahuan tidak pernah bersifat neutral. Disiplin ilmu bukan sekadar ruang penyimpanan fakta atau himpunan kaedah penyelidikan bahkan ia adalah suatu sistem yang menghasilkan objek pengetahuan melalui mekanisme klasifikasi, pemerhatian, penilaian, dan pengawalan.
Dalam pengertian ini, kategori tidak hanya berfungsi sebagai alat untuk membaca dunia, tetapi turut menghasilkan bentuk realiti yang boleh dikenali melalui kategori tersebut. Apa yang tidak dapat diterjemahkan dalam bahasa kategori tertentu bukan semestinya tidak wujud, tetapi berisiko menjadi tidak kelihatan dalam sistem pengiktirafan yang dominan.
Dengan demikian, bagi tujuan esei ini, perkara yang lebih penting bukanlah menghuraikan keseluruhan kerangka epistemologi Foucault, tetapi memahami bahawa kategori sentiasa membentuk syarat tentang apa yang boleh diiktiraf sebagai pengetahuan yang sah.
Perspektif inilah yang menjelaskan bagaimana interdisiplin, apabila diserap ke dalam logik institusi, boleh berubah daripada suatu strategi epistemologi yang terbuka kepada suatu mekanisme legitimasi yang menentukan syarat pengiktirafan seni.
Seni tidak lahir daripada struktur disiplin universiti moden. Sebaliknya, institusi moden kemudiannya menyusun kategori akademik dan birokratik untuk memahami, mengurus, dan menilai amalan artistik yang telah wujud sebelumnya. Walaupun kategori moden tentang “seni” sememangnya dibentuk melalui institusi seperti akademi, muzium, dan sejarah seni, pengalaman kreatif manusia sebagai amalan simbolik jauh mendahului pembentukan kategori institusi tersebut.
Dalam proses tersebut, seni bukan sekadar ditempatkan sebagai satu bidang pengetahuan, tetapi turut dibentuk melalui bahasa klasifikasi yang menentukan cara ia boleh dijelaskan dan diiktiraf. Oleh itu, persoalan mendasar yang perlu dikemukakan ialah mengapa seni pada hari ini perlu sentiasa menjelaskan dirinya melalui kategori-kategori institusi yang muncul kemudian daripada pengalaman estetik dan amalan artistik yang ingin diterangkannya?
Sudah tentu, tuntutan interdisiplin mempunyai sejarah pembebasan yang penting dan tidak boleh dinafikan. Dalam banyak keadaan, pendekatan ini telah membuka ruang kepada kemunculan bentuk seni yang sebelum ini disisihkan oleh kategori tradisional, khususnya apabila karya melibatkan teknologi baharu, ekologi, politik identiti, atau jalinan hubungan sosial. Interdisiplin pada tahap terbaiknya mencabar eksklusivisme autoriti disiplin tunggal dan mendemokrasikan kaedah penerokaan makna.
Oleh itu, kritik terhadap interdisiplin dalam esei ini bukan saya bermaksud untuk mempertahankan sempadan disiplin secara konservatif, anti-teori, atau anti-kolaborasi. Sebaliknya, persoalan utama yang ingin digeledah ialah tentang autoriti: siapa yang mempunyai kuasa menentukan nilai sesuatu hubungan antara disiplin tersebut—logik seni itu sendiri atau logik instrumentalisasi institusi?
Untuk mempertahankan seni daripada penjajahan taksonomi ini, konsep autonomi seni saya tegaskan perlu difahami semula. Autonomi seni tidak bermaksud seni harus terasing daripada dunia luar atau kembali kepada idea modenisme lama (Greenbergian) tentang pemisahan mutlak antara seni dan kehidupan demi mengejar kemurnian estetik (purity of art).
Autonomi yang dipertahankan di sini ialah autonomi operasi (operational autonomy) dan bukannya autonomi pengasingan. Autonomi operasi tidak bermaksud seni bebas daripada ekonomi, politik, atau institusi. Tetapi, sebaliknya, ia menjelaskan bagaimana seni berhubungan dengan semua unsur tersebut tanpa kehilangan kapasiti untuk menghasilkan logiknya sendiri.
Namun, konsep autonomi seni sendiri bukanlah kategori yang bebas sejarah. Ia terbentuk melalui proses modenisasi institusi seni yang juga melibatkan pembentukan akademi, pasaran, muzium, dan hierarki budaya tertentu dalam konteks sejarah borjuasi Barat.
Oleh itu, autonomi yang dipertahankan di sini bukanlah pemulihan mitos seni yang bebas sepenuhnya daripada masyarakat atau kembali kepada formalisme tulen, tetapi kemampuan seni untuk mengekalkan ruang kritikalnya yang tersendiri ketika berhubungan dengan pelbagai bentuk pengetahuan dan kuasa.
Di sinilah pada hemat saya bahawasanya teori sistem sosial Niklas Luhmann (2000) dapat memberikan kerangka yang tuntas untuk menjelaskan mengapa sistem seni tidak boleh dinilai sepenuhnya melalui logik sistem lain.

Menurut Luhmann, sesuatu sistem tidak menjadi autonomi kerana ia tertutup sepenuhnya daripada persekitaran. Autonomi berlaku kerana sesuatu sistem mempunyai keupayaan untuk memproses pengaruh luar berdasarkan struktur operasinya sendiri sebagai sebuah keadaan yang dikenali sebagai operational closure.
Autonomi operasi dalam kerangka Luhmann bukanlah tuntutan bahawa seni wujud di luar masyarakat, tetapi bahawa keterlibatan seni dengan masyarakat berlaku melalui operasi komunikatifnya sendiri. Justeru, hubungan seni dengan politik, ekonomi, atau disiplin lain tidak menghapuskan autonomi seni, tetapi berlaku melalui proses transformasi dalaman sistem seni.
Dunia luar sentiasa hadir kepada sistem seni sebagai gangguan atau stimulasi (irritation), tetapi gangguan tersebut hanya menjadi sebahagian daripada sistem setelah diterjemahkan melalui logik dalaman sistem tersebut. Sistem sains beroperasi melalui kod benar atau salah; sistem seni pula tidak beroperasi melalui ukuran kebenaran yang sama, melainkan melalui pembentukan pengalaman, persepsi, dan kemungkinan baharu tentang dunia.
Ini bukan bermaksud seni tidak mempunyai tuntutan terhadap kebenaran, tetapi bahawa kebenaran artistik tidak hadir melalui mekanisme pembuktian yang sama seperti sistem saintifik. Dalam konteks seni, sains, teknologi, sejarah, atau politik tidak pernah memasuki ruang estetik dalam bentuk asalnya. Data saintifik tidak masuk ke dalam seni sebagai sains; arkib tidak masuk sebagai sejarah; dan teknologi tidak masuk sebagai teknologi semata-merta.
Kesemua unsur tersebut mengalami apa yang ingin saya istilahkan sebagai proses autonomi transformasi sebagai keupayaan sistem seni untuk mengubah status, fungsi, dan makna unsur luaran sebelum mengolahnya melalui logik operasi sistem seni, sekali gus menghasilkan bentuk pengalaman yang tidak dapat direduksi kepada ukuran disiplin asalnya.
Jika benar seni sentiasa menukarkan unsur luar melalui operasinya sendiri, maka hujah ini dapat diperhatikan secara konkrit dalam beberapa siri karya penting seni kontemporari Malaysia.
Kerangka analitik yang dikemukakan oleh Farizal Puadi iaitu pembahagian hubungan seni kepada tiga tahap: peminjaman (borrowing), penterjemahan (translation), dan integrasi (integration) mempunyai kekuatan deskriptif yang jelas untuk membezakan intensiti hubungan tersebut. Namun, risiko muncul apabila taksonomi ini beralih fungsi menjadi normatif, di mana tahap “integrasi” dianggap lebih bernilai daripada “peminjaman” hanya kerana ia kelihatan menyamai metodologi akademik luar.
Rentetan sejarah seni Malaysia membuktikan bahawa kekuatan artistik tidak bergantung pada tahap integrasi metodologi tersebut, tetapi pada bagaimana unsur luar ditundukkan kepada logik seni. Paradoks ini jelas kelihatan pada sosok seniman Redza Piyadasa.
Beliau secara konsisten menggunakan antropologi, sejarah, semiotik, dan teori budaya dalam amalan kreatif serta kritikalnya. Namun, kekuatan karya-karyanya seperti Malaysian Series bukanlah hasil daripada “integrasi disiplin” yang patuh kepada kaedah sains sosial.

Sebaliknya, Piyadasa menggunakan seni sebagai alat operasi untuk mencabar cara pengetahuan tentang identiti, bangsa, dan budaya dibina oleh institusi. Dalam hal ini, Piyadasa tidak membawa antropologi ke dalam seni sebagai kaedah penyelidikan, sebaliknya seni menggunakan antropologi untuk memperlihatkan batas epistemologi antropologi itu sendiri. Disiplin luar itu mengalami anjakan epistemik sebaik sahaja ia disentuh oleh logik estetik beliau.
Pendekatan yang sama kelihatan apabila Ismail Zain menghasilkan siri Digital Collage pada tahun 1980-an. Teknologi komputer tidak memasuki ruang seninya sebagai alat sains komputer yang menuntut integrasi metodologi saintifik. Sebaliknya, komputer dipaksa beroperasi di bawah logik operasi Ismail untuk mengganggu, menyandingkan, dan menyusun semula visual budaya pop dan tradisi tempatan.

Nilai karya tersebut tidak terletak pada kecanggihan teknologi digital sebagai disiplin, tetapi pada bagaimana status ontologi imej digital itu diubah untuk mencipta satu bentuk pengalaman visual yang baharu.
Logik transformasi ini juga melandasi amalan Ahmad Fuad Osman, khususnya dalam projek besar seperti The Enrique de Malacca Memorial Project (2016). Arkib dan rekod sejarah dalam ruang seninya tidak berfungsi sebagai dokumen pembuktian objektif untuk memenuhi fungsi pembuktian disiplin sejarah rasmi. Sebaliknya, Fuad memperlakukan arkib sebagai sejenis gangguan (irritation) artistik yang memecahkan kelinearan naratif sejarah kolonial dan nasional.

Melalui strategi pemanipulasian visual, pembinaan instalasi pseudo-muzium, dan penjajaran watak spekulatif, beliau mengubah status ontologi dokumen sejarah menjadi sebuah ruang kritikal yang mempersoalkan kembali kebenaran masa lampau.
Sementara itu, dalam amalan Wong Hoy Cheong, boleh dikatakan bahawa data antropologi dan material sosiopolitik bukan digunakan untuk mencapai integrasi metodologi sains sosial.
Umpamanya, dalam projek seperti Re: Looking (2004) Wong Hoy Cheong tidak menggunakan material sejarah atau naratif video esei sebagai bukti dokumentari konvensional, tetapi sebagai medium untuk mengganggu cara sejarah kolonial, migrasi, dan rasisme sistemik dibaca, diklasifikasikan, dan dirasakan.

Beliau mentransformasikan material dan subjek sosiopolitik tersebut menjadi lapisan pengalaman sosial dan ingatan kolektif pascakolonial yang mengarahkan penonton kepada suatu konfrontasi deria.
Fenomena yang sama dapat dilihat dalam pelbagai amalan seni kontemporari yang menggunakan teknologi, arkib, data komuniti, atau penyelidikan lapangan hari ini. Persoalannya bukan sama ada seniman menggunakan ilmu daripada bidang lain, tetapi sama ada unsur tersebut masih beroperasi sebagai data disiplin asal atau telah mengalami transformasi menjadi pengalaman artistik melalui logik seni.
Sebuah karya berasaskan komuniti tidak menjadi bernilai kerana ia memenuhi metodologi antropologi dengan patuh, tetapi kerana bagaimana jalinan hubungan sosial tersebut diterjemahkan menjadi bentuk pengalaman yang hanya boleh berlaku melalui operasi seni.
Dalam kes-kes ini, seperti yang diungkapkan oleh Jacques Rancière (2004) bahawa seni berfungsi untuk mengubah distribution of the sensible, iaitu menyusun semula syarat-syarat pengalaman, serta apa yang boleh dilihat, dirasai, dan difikirkan oleh manusia dalam sesebuah masyarakat.
Sumbangan seni datang daripada perubahan terhadap cara pengalaman manusia disusun dan dirasakan melalui karya, sesuatu yang tidak dihasilkan melalui kaedah penghujahan disiplin sejarah atau sains sosial, walaupun kedua-dua bidang tersebut mempunyai bentuk kritik mereka yang tersendiri.
Kritik genealogi dalam esei ini sama sekali tidak menolak interdisiplin sebagai kemungkinan epistemologi yang subur. Hubungan antara seni dengan sains, teknologi, falsafah, dan sejarah telah lama memperkayakan perkembangan seni visual.
Namun, nilai sesuatu karya seni tidak bergantung pada sejauh mana ia menghampiri logik atau memenuhi pengelasan bahasa institusi yang menuntut integrasi merentas bidang demi memenuhi kecenderungan penilaian birokratik atau akumulasi modal simbolik.
Kekuatan seni terletak pada keupayaannya melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh sistem pengetahuan lain iaitu menyusun semula cara manusia melihat, merasakan, dan memahami dunia berdasarkan logik operasinya sendiri.
Sebelum seni dipanggil interdisiplin, transdisiplin, atau integratif, seni terlebih dahulu telah menjadi salah satu cara asas manusia menavigasi kewujudan mereka. Kategori hadir selepas seni sebagai usaha memahami pengalaman artistik. Ia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan terlebih dahulu syarat kewujudan seni.
Pada titik tersebut, persoalan utama seni bukan lagi sama ada ia mempunyai disiplin atau tidak, tetapi sama ada seni masih mempunyai autonomi untuk menentukan bentuk pengetahuan yang lahir daripadanya sendiri.
Apabila seni hanya dianggap bernilai selepas diterjemahkan ke dalam bahasa institusi lain, seni tidak lagi menjadi pengeluar makna, tetapi sekadar objek pasif yang menunggu untuk disahkan oleh kategori luar.Dalam keadaan tersebut, persoalan paling mendasar bukan bagaimana seni menjadi lebih interdisiplin, tetapi bagaimana seni mengekalkan hak epistemiknya untuk menentukan bila, bagaimana, dan untuk tujuan apa hubungan dengan disiplin lain harus berlaku.
Masalah sebenar bukanlah sama ada seni menjadi interdisiplin, tetapi apabila interdisiplin dijadikan syarat untuk seni diiktiraf sebagai ilmu. Selagi seni mempunyai autonomi untuk menentukan bila, bagaimana, dan untuk tujuan apa hubungan dengan disiplin lain harus berlaku, seni akan terus berupaya menghasilkan bentuk pengetahuan yang tidak boleh direduksi kepada logik institusi, birokrasi, atau disiplin lain.
Badrolhisham Mohamad Tahir merupakan kurator, pengkritik, pensyarah dan juga ahli akademik. Beliau diiktiraf diatas kerjanya mendokumentasi dan menulis kritikan berkaitan seni visual kontemporari.
