Filem Malaysia bertajuk The Furious: Pertaruhan Maruah (arahan Heng Aik Song) mula ditayang di pawagam kita pada 28 Mei 2026. Dua minggu kemudian, sebuah filem Hong Kong bertajuk The Furious (arahan Kenji Tanigaki) juga masuk panggung.
Terlihat di media sosial, ada beberapa anekdot lucu tentang orang yang tersalah beli tiket. Ini satu tanda bahawa demokrasi mungkin bukanlah cara paling afdal dalam negara ini; jika penonton dewasa tak dapat bezakan antara The Furious: Pertaruhan Maruah dan The Furious apabila membeli tiket di mesin pawagam, mungkinkah orang tersebut juga keliru bila tiba giliran untuk pangkah logo parti semasa mengundi?

Ini bukan kali pertama sebuah filem tempatan dan filem antarabangsa mempunyai tajuk mirip. Saya masih ingat awal tahun 1997 apabila Layar Lara (arahan Shuhaimi Baba) dan Liar Liar (arahan Tom Shadyac) dipromosi pada masa sama. Tetapi kekeliruan mungkin akan hanya timbul apabila tajuk didengar sekali lalu oleh orang dengan telinga yang tak berapa nak tajam. Tak mungkinlah kalau orang itu tengok kedua-dua poster berkenaan, dia tak dapat bezakan antara Ida Nerina dan Jim Carrey.
Pada bulan April tahun ini juga, filem Mikael: Pemburu Dua Alam (Malaysia, arahan Zahir Omar) dan Michael (USA, arahan Antoine Fuqua) sempat ditayang serentak. Sayang juga bahawa penerbit Mikael: Pemburu Dua Alam tak cuba buat promosi yang kaitkan kedua-dua filem yang tak berkait itu. Tetapi nasi sudah menjadi tapai.
Berbalik kepada dua filem The Furious. Dua-dua dalam genre aksi secara amnya, tapi dalam subgenre berbeza. Versi Malaysia mengenai perlawanan tinju dan mengikut struktur yang biasa kita lihat dalam filem sedemikian bermula daripada Rocky (1976), filem yang dibikin dengan biaya US$1juta tapi mendapat kutipan US$225 juta di seluruh dunia. Kisah Rocky Balboa (Sylvester Stallone) sarat dengan semangat underdog yang berlatih secara gigih hingga mampu bertahan 15 pusingan dengan juara dunia.
Dan semangat underdog yang sama dapat kita lihat pada pasangan adik beradik Hakim (Sky Iskandar) dan Firdaus (Zul Ariffin) yang berdepan dengan seorang influencer angkuh Danial (Ikmal Amry). Elemen pertembungan kelas yang dilihat dalam Rocky juga muncul di sini; walaupun bapa kepada Firdaus dan Hakim merupakan legenda dunia tinju Malaysia suatu ketika dulu, dia kini sudah arwah dan dua anaknya tidak hidup senang. Firdaus menguruskan gim yang tak begitu berjaya manakala nasib Hakim lebih malang sebab pernah ‘dijual’ pada usia muda kepada sebuah keluarga di Filipina, dan membesar di sana dengan rasa dendam terhadap ibu kandungnya.
Apabila Danial si YouTuber celopar melontarkan cabarannya untuk merampas gelaran The Pride of Malaysia daripada keluarga itu, dia tampil sebagai watak flamboyan yang selari dengan Creed (jaguh dunia) dalam filem Rocky. Untuk Firdaus pula, prioritinya adalah untuk membina semula keluarganya apabila Hakim tiba-tiba pulang ke Malaysia.
Mendewasa di Filipina menjadikan Hakim seorang yang berhati keras. Dia terpaksa bertarung untuk kelangsungan hidup (mengingatkan kita kepada sebuah lagi filem gocoh tahun ini, Tarung: Unforgiven.) Sekembalinya ke Malaysia, jiwanya perlu dilentur kembali untuk menerima cara hidup Madani.
Sisi kelam dan bahaya Filipina ini juga muncul dalam The Furious (versi Hong Kong); biarpun teks layar hanya kata “Somewhere in Southeast Asia” dan penggambaran dibuat di Bangkok, kami dapat dengar beberapa dialog bahasa Tagalog.
Bagaimana ‘Filipina’ wujud dalam imaginasi kita menarik dalam konteks pascakolonial. Isu sempadan dan keselamatan antara Filipina dan Malaysia turut tampil dalam Syurga Dalam Botol (2025, arahan Ebi Kornelis). Satu kajian boleh dibuat tentang imaginasi kita tentang negara-negara jiran kita; bandingkan contohnya cara ‘Singapura’ sebaliknya menjadi tempat cari rezeki tapi dengan undang-undang ketat dalam The Waves Will Carry Us (2025, Lau Kek Huat).
Sebagai sebuah produksi antarabangsa (turut ada penglibatan syarikat China dan USA) dengan biaya US$20 juta, The Furious semestinya nampak lebih mahal dan gah berbanding The Furious: Pertaruhan Maruah. Dunia korup yang dilakarnya seakan distopia, dengan sindiket pemerdagangan kanak-kanak, ketua polis yang makan rasuah, serta tempat tahanan dan seksaan bagaikan labirin.
Namun The Furious secara penuh sedar menggunakan elemen-elemen daripada B movies (filem eksploitasi dengan biaya rendah dan unsur sensasi) yang berleluasa pada tahun 1970an dulu. Cara dialog Bahasa Inggeris beberapa watak dialihsuara dengan kekok juga ingatkan saya kepada filem-filem murah terbitan Roger Corman yang difilemkan di Filipina pada dekad itu.
The Furious adalah filem yang wujud semata-mata untuk bergocoh. Plotnya sangatlah ringkas dan wataknya hitam-putih. Seorang bapa bisu (Xie Miao dari China) hendak selamatkan anak perempuannya yang diculik; dia ditemani seorang wartawan (Joe Taslim dari Indonesia) yang ingin selamatkan isterinya yang hilang. Apa yang mereka buat? Mereka berlawan dengan pelbagai aksi, di pelbagai lokasi, dengan pelbagai prop.
Boleh dikatakan elemen “aksi” dalam The Furious merangkumi 80% daripada durasi filem; berbanding mungkin 40% dalam The Furious: Pertaruhan Maruah. Ini bukanlah bukti The Furious lebih hebat, tapi tanda ia setia kepada susur galurnya dalam genre B movie actioner. Manakala The Furious: Pertaruhan Maruah mengambil templat Rocky yang lebih menekankan drama (termasuk melodrama) dan psikologi antara watak, bukan sekadar hidangan perlawanan dari mula ke hujung.
Kebisuan watak utama The Furious adalah supaya dia tampil lebih misteri dan juga kebal (“I’m just a father”, katanya dalam bahasa isyarat) sejajar dengan hero aksi yang kita pernah lihat seperti Bruce Lee, Van Damme, Lundgren, Jet Li dan sebagainya. Dia boleh hadapi macam-macam serangan fizikal tanpa perlu doktor, pakar fisioterapi atau minyak cap kapak pun. Ini fantasi maskulin yang terbukti untuk memukau penonton.
Sebagai sebuah drama (yang mengandungi aksi), The Furious: Pertaruhan Maruah menyerlahkan kerentanan tubuh manusia berbanding The Furious. Salah seorang watak utamanya malah lumpuh pada pertengahan cerita, manakala seorang lagi hampir lunyai semasa dalam gelanggang. Ini berbeza dengan The Furious di mana watak utamanya bagaikan mesin! Ini bukan kekuatan atau kelemahan mana-mana filem tersebut – sekadar bukti setiap filem itu patuh kepada tuntutan genre masing-masing.
Jika ditanya filem mana yang lebih berjaya, saya akan beri jawapan yang tulus ikhlas walaupun klise: Setiap filem ada kelebihan masing-masing, terpulang kita nak raikan atau tidak.

…untuk menerima cara hidup Madani, indeed.