KEHIDUPAN di desa sungguh mendamaikan. Keharmonian masyarakat merupakan kunci kepada keindahan desa. Permandangan yang menarik dengan kehijauan pohon-pohon sungguh mengkagumkan lebih-lebih lagi apabila tiba musim buah-buahan. Berduyun-duyunlah pengembara kota pulang ke kampung halaman. Kemakmuran di desa dapat dilihat melalui persefahaman dan penghayatan budaya masyarakatnya.
Pemerkasaan budaya desa perlu diangkat dan dipertahankan bagi menjamin keunggulan melalui tadbir urus pemimpin desa di semua peringkat. Budaya tolong menolong dan hormat menghormati menjadi agenda penting bagi memastikan cara hidup desa terus kekal releven. Inisiatif berbentuk penerangan dan pengukuhan ekosistem amat perlu untuk memantapkan pembangunan manusia bagi memberi kesedaran, pemahaman dan penghayatan ke arah kecintaan kepada desa, negeri dan seterusnya kepada negara.
Bagi menghidupkan lagi suasana makmur desa, satu aktiviti seni visual telah dirangka di sekitar kampung di Masjid Tanah agar menjadi contoh kepada kampung-kampung di daerah lain sesuai dengan kemeriahan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024. Kehadiran kumpulan penggiat seni terutamanya pelukis-pelukis ke desa yang akan melibatkan pendidik seni, pelajar, penulis dan jurufoto untuk sama-sama merakam keindahan desa dapat menarik ramai pengunjung serta pelancong, dan usaha ini secara tidak langsung dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.
Lakar Lukis Langsung (plein-air) atau singkatannya 3L merupakan sebuah program dari idea kreatif penggiat seni dan seolah-olah menjadi sinonim dengan aktiviti Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS) apabila telah diadakan sebanyak empat kali secara rasmi. Program seperti ini telah dijalankan sebanyak 3 kali pada tahun 2013, 2015 dan 2019 di Langkawi atas inisiatif mantan presiden Hassan Mohd. Ghazali diikuti oleh Amirudin Ariffin di Kelantan pada tahun 2020. Ketika itu penyertaan hanya terbuka kepada ahli APS sahaja.
Mengangkat lestari desa
Tahun ini, 2024 merupakan kali kelima program Lakar Lukis Langsung diadakan. Kali ini 3L mengorak langkah ke Melaka menyantuni penduduk Kampung Pulau Semut dan Kampung Solok Air Batu dengan bertemakan ‘Indahnya Solok’ di Masjid Tanah. Program kali ini lebih bersifat terbuka, tidak hanya kepada ahli APS semata-mata. Sesiapa sahaja boleh menyertai asalkan ada minat dan kesungguhan demi perkembangan seni dalam kalangan masyarakat terutama komuniti desa dan pelajar-pelajar.

Masjid Tanah merupakan bandar kecil dalam daerah Alor Gajah, terkenal dengan rumah-rumah berunsur tradisi yang cantik, masih kekal dengan binaan asal (rumah ibu) walaupun terdapat beberapa ubah suai terutama penambahan pada bahagian belakang (dapur) mengikut peredaran semasa. Halaman persekitan rata-rata dijaga rapi, indah dengan pepohon seperti kelapa, pisang, rambutan, langsat, manggis, durian, nangka dan berbagai lagi seolah-olah berada di dalam kebun buah-buahan. Suasana damai menambat hati sesiapa saja yang memandang lebih-lebih lagi di mata seorang pelukis.
Idea ini timbul agak lama kerana Masjid Tanah merupakan kampung sebelah isteri yang sering saya kunjungi. Saya cuba merealisasikan idea ini dengan merangka kertas kerja dibantu oleh rakan pelukis, Dr Rosli Zakaria, yang agak lama menetap di Masjid Tanah. Setelah diteliti, perbincangan demi perbincangan antara kami, lalu kertas-kerja tersebut diajukan kepada Balai Seni Negara (BSN). Alhamdulillah sambutan dari pihak BSN sangat positif dan paling menarik beberapa aktiviti tambahan berupa pendidikan diberikan tanda sokongan padu terhadap program ini.
Bermula dengan angan-angan, untuk menjadikan kawasan kampung ini sebagai lokasi plein-air telah menjadi kenyataan. Kerjasama beberapa pensyarah dan pelajar-pelajar UiTM, Kumpulan Pelukis Negeri Melaka (KPNM) serta Jawatankuasa Persatuan Penduduk (JPPK) di dua kampung tersebut menjadikan kawasan kampung meriah dengan aktiviti seni. Menurut pengerusi Persatuan Penduduk, ini adalah julung-julung kali kampung mereka dihadiri oleh pelukis-pelukis dari seluruh negara berkampung di sini dan menjadikan rumah-rumah mereka sebagai subjek untuk berkarya. Penduduk-penduduk kampung sangat berbangga kerana kampung mereka menjadi tumpuan penggiat seni.
Seperti program Lakar Lukis Langsung sebelumnya, segala lakaran dan karya yang terhasil dari aktiviti ini akan dipamerkan untuk tatapan umum dan bakal menjadi rujukan pelbagai pihak terutama kepada para pelajar jurusan seni visual dalam menangani isu yang relevan dengan kesejahteraan masyarakat dan entiti budaya mereka.
Walaupun program 3L kali ini kelihatannya seperti melukis dilapangan tetapi hakikatnya lebih dari itu. Kehadiran pelukis-pelukis di persekitaran kampung seolah-olah menimbulkan tanda-tanya kepada penduduk. Kenapa rumah kayu yang dilukis? Kenapa tidak rumah batu atau banglo mewah menjadi tarikan? Penerapan nilai-nilai seni yang diangkat adalah bagi menghargai warisan budaya Melayu yang mungkin pupus jika tidak dipelihara. Pelukis cuba berkomunikasi dengan khalayak melalui visual agar timbul kesedaran pengekalan reka bentuk binaan rumah tradisi terpelihara. Keistimewaan seorang pelukis mempunyai deria mata yang berbeza bila melihat estetik senibina klasik warisan zaman.
Selain daripada aktiviti 3L ada beberapa aktiviti lain iaitu bengkel kaedah melukis menggunakan teknik cat air oleh Fazilah Ramli dan Rizalman Misran kepada pelajar-pelajar sekolah sekitar Masjid Tanah yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Solok Air Batu. Pelajar-pelajar UiTM cawangan Lendu pula berjaya menghasilkan mural yang indah pada dinding dewan yang sama atas bimbingan pensyarahnya, Ali Bebit yang juga merupakan pelukis dan pengarca berwibawa. Pada sebelah malamnya diadakan bicara seni Borak Arca yang dikelolakan oleh Dr Rosli Zakaria. Antara panel yang diundang ialah Syahrul Niza Ahmad Zaini, Zaslan Zeeha Zainee, kedua-duanya merupakan Kurator dari Balai Seni Negara dan Zaim Durulaman yang merupakan Ketua Projek 3L Melaka. Di hujung program (Ahad) diadakan sesi life figure drawing yang disertai oleh beberapa pelukis bagi mengakhiri upacara rasmi 3L.
3L kali ini mendapat sedikit kelainan bila disertai oleh Faizal Suhif yang sangat prolifik, menghasilkan karya menggunakan teknik cetakan (drypoint) dilapangan. Kaedah ini sangat jarang dilakukan di luar studio.

Teknik cetakan menggunakan bahan drypoint adalah kaedah cetakan itaglio di mana reka bentuk yang akan dicetak, dicalar (lukis) terus di atas permukaan plat kuprum dengan alat yang tajam seperti paku, pisau dan alat-alat yang telah diubahsuai menjadi tajam. Setelah itu dakwat diletakkan pada permukaan plat kuprum dengan rata. Pelukis harus memastikan dakwat terus masuk ke dalam alur-alur yang telah dicalar dengan sekata. Kemudian dakwat dipermukaan plat perlu dibersihkan sehingga kelihatan imej hasil yang dicalar (lukisan). Tinggalan dakwat pada plat itulah yang akan dicetak ke atas kertas dengan menggunakan teknik himpitan pada kedua-dua belah permukaan.
Cetakan kayu pula adalah sejenis cetakan relief yang melibatkan ukiran imej daripada bongkah kayu untuk menghasilkan cetakan. Dakwat hitam diratakan pada permukaan atas bongkah kayu yang telah diukir dengan menggunakan alat penggulung (roller). Kemudian kertas putih diletakkan di atas bungkah kayu yang telah diratakan dengan dakwat tersebut. Imej kemudian dipindahkan ke atas kertas dengan menggosok, atau menekan dengan rata di belakang kertas.
Percetakan kayu telah wujud selama hampir 2,000 tahun. Ia adalah salah satu kaedah tertua untuk penghasilan cetakan. Bermula di China dan kemudian di Jepun. Pada abad ke 14, kaedah seni cetakan ini telah sampai ke Eropah. Kaedah ini penting kerana melaluinya banyak salinan boleh dibuat dan diberikan kepada orang ramai sebagai wadah untuk bercerita, menyalurkan berita dan menyebarkan propaganda pada ketika itu.[1]
3L atau plein-air berasal dari ungkapan Perancis yang membawa maksud ‘ruang / udara terbuka’, dan merujuk kepada aktiviti melukis di luar studio dengan subjek yang terbentang luas di hadapan mata. Pelukis akan menggarap intipati landskap berpandukan cahaya semulajadi, warna alam dan pergerakan ke dalam karya mereka. Aktiviti seperti ini melatih pelukis bagaimana mengendalikan media dengan cekap. Karya-karya yang dihasilkan lebih bersifat bebas dan bersahaja.
3L bukanlah aktiviti baru. Ia telah dijalankan sejak zaman renaissance lagi bilamana pelukis diberi tugasan oleh pembesar atau bangsawan untuk menghasilkan sesuatu karya, mereka akan keluar mencari bahan atau subjek untuk dilakar dan dilukis (study drawing) sebagai persediaan berkarya di studio. Study drawing ini sangat penting dan dijadikan sebagai data prima. Leonardo da Vinci pernah membuat lakaran burung terbang berpandukan burung hidup yang sedang terbang. Berpandukan lakaran tersebut da Vinci telah membuat beberapa sketsa pesawat terbang. Idea tersebut dirakam di dalam buku catatannya setebal tujuh ribu halaman.[2] Merujuk kepada karya-karya Cloud Monet, siri ‘Waterlilies’ yang dihasilkan secara plein-air di Kawasan rumah beliau disifatkan sebagai impressionism.
Plein-air mempunyai sejarah yang panjang dalam dunia seni. Pada awal abad ke-19 aktiviti ini dijalankan secara meluas. Sebelum zaman peralihan ini, ramai pelukis mencampurkan cat mereka sendiri menggunakan bahan (pigmen) mentah. Pigmen ini perlu dikisar dan dicampur ke dalam cat. Agak sukar untuk dibawa ke mana-mana. Kebanyakan aktiviti melukis hanya terhad di dalam studio.[3]
Pada tahun 1800-an apabila terdapat cat yang telah ditiubkan, plein-air menjadi semakin popular di kalangan pelukis impresionis antaranya Claude Monet, John Constable, Camille Corot dan ramai lagi. Amalan melukis ini membolehkan pelukis impresionis menangkap kualiti persekitaran yang lebih fana. Terdapat beberapa kaedah berbeza yang digunakan oleh pelukis untuk merakam pemandangan rumit dengan terperinci. Pelukis impresionis dapat menggarap kesan cahaya semula jadi yang tidak pernah berlaku sebelum ini melalui lukisan secara langsung. Karya-karya yang terhasil dari aktiviti ini adalah asas perkembangan naturalisme.
Cabaran ketika beraksi
Cabaran yang dihadapi oleh setiap pelukis dalam aktiviti 3L ialah harus membawa peralatan lukisan seperti buku lakaran, kanvas, warna, bekas air dan lain-lain yang difikirkan perlu. Easel mudah alih adalah amat penting untuk keselesaan beraksi. Cuaca mungkin merupakan cabaran terbesar kepada pelukis. Pemilihan lokasi yang tepat adalah kunci kepada plein air. Pelukis perlu memperhatikan faktor-faktor seperti komposisi, pencahayaan dan suasana sekitar saat memilih lokasi untuk melukis.
Pada dasarnya aktiviti plein air adalah tentang menangkap esensi alam dengan cepat dan akurat. Pelukis perlu fokus pada penangkapan suasana dan karakter unik dari lanskap yang mereka gambarkan. Terdapat sedikit masalah membawa pulang karya apabila ia masih dalam keadaan belum kering sepenuhnya seperti yang dihasilkan menggunakan media cat air lebih-lebih lagi cat minyak.

Kebanyakan pelukis plein-air akan mengaplikasi teknik loose brush stroke kerana teknik ini boleh dilakukan dengan pantas memandangkan pencahayaan akan berubah mengikut peredaran matahari. Pelukis perlu responsif terhadap perubahan ini dan perlu menyesuaikan teknik serta pendekatan dengan perubahan tersebut. Sungguhpun begitu penekanan terhadap bentuk, cahaya dan komposisi harus dititikberatkan agar karya lebih nampak hidup.
Kesimpulan
Melukis dilapangan memberikan kesempatan unik kepada pelukis merasakan dan berhubung dengan alam secara in person, dikelilingi oleh keindahan yang tidak terbatas serta menagkap keindahan tersebut secara langsung. Dari gunung yang menghijau, sawah menguning, hingga tepian sungai yang tenang, setiap sudut alam memiliki pesona tersendiri yang sangat menginspirasikan. Ini memungkinkan pelukis merasakan kehadiran langsung dari alam, merasakan angin dan melihat perubahan cahaya yang cepat. Aktiviti ini boleh dianggap sebagai latihan dan pembelajaran, dan secara tidak langsung akan meningkatkan skill individu di samping belajar menghargai keindahan alam dan memperdalamkan hubungan dengan lingkungan.
============
1.Ben Brady, 2022, How to get started with woodcut printmaking
2.Rahmadi Rahmad, 2015,7 Karya Mengagumkan yang “Lahir” karena Burung (MONGABAY Situs Berita Lingkungan)
3.Isabella Meyer, 2021, Plein Air Painting – A Detailed History of Open Air Painting
Rujukan:
Anthea Callen 2015, THE WORK OF ART – Plein-air Painting and Artistic Painting Identity in Nineteenth century France, Reaktion Books Ltd, eISBN: 9781780234182
Safrizal Shahir (Susunan dan Suntingan) 2018, Sebagai Satu Sistem: Esei-Esei Terpilih Ismail Zain, Balai Seni Negara, ISBN: 978-967-0914-27-5
ZAIM DURULAMAN adalah seorang pensyarah di UNISEL dan merupakan pelukis yang bergiat aktif dalam lapangan.

