ESTETIKA, yang dinisbahkan sebagai ‘Falsafah Seni’ oleh Alexander Gottlieb Baumgarten (1714-1762) telah berhutang jasa kepada pokok-pokok fikiran Immanuel Kant (1724-1804). Sememangnya diakui, Baumgarten telah menampilkan estetika menjadi pijakan kepada ontologi dan disiplin ilmu-ilmu seni. Namun, melalui kritik Kant di dalam naskah ‘Kritik atas Daya Pertimbangan’ (The Critique of Judgement/Kritikder Urteilskraft), estetika seterusnya dijulang serta diangkat menjadi pembicaraan falsafah. Sang filsuf membuat huraian signifikan berkenaan kepekaan estetika (aesthetic sensibility). Manusia memberi tindak balas terhadap fenomena alami yang spesifik, yang kita maknai sebagai sebuah keindahan. Hal ini berlaku, kerana pengiktirafan kita kepada tertib keharmonian alamiah, yang mengarahkan akal untuk bertindak kepada aturan atau fenomena yang kita tanggapi. Kant menyebut penilaian estetika ini sebagai sebuah ‘pertimbangan terhadap selera’. Kant menambah, meskipun hal ini disandarkan kepada perasaan subjektif individu, namun tafsiran estetika perlulah bersifat sejagat (universal). Perasaan kita tentang keindahan misalnya, pastinya berbeza dari perasaan kita tentang kesenangan dan kebaikan moral, kerana ada daya tarik menarik di antara kedua-dua entiti ini.
Manusia, umumnya berusaha untuk memiliki benda-benda yang menyenangkan, dan berikhtiar pula untuk mempromosikan kebaikan moral, tetapi mereka hanya menghargai keindahan tanpa merasa terdorong untuk memikirkan akan manfaatnya. Pertimbangan rasa (selera) bersifat universal, kerana hal ini tidak melibatkan ketertarikan tertentu, seperti persoalan moral. Kenikmatan estetika berpaksi daripada penerokaan bebas, antara daya imaginatif dan pemahaman kita sewaktu mempersepsikan suatu objek. Kant membezakan yang indah daripada yang agung (luhur). Sementara daya tarik benda-benda indah dapat kita perhatikan, hal yang agung di sisi lain, menyimpan satu suasana yang penuh misteri. Misalnya, bunga yang cantik itu indah, pergerakan awan gemawan, badai halilintar atau banjaran gunung ganang itu luhur. Percontohan ini dalam erti yang tertentu, terlalu hebat, sekaligus memeningkan. Kant berpendapat perasaan kita yang agung berhubungan dengan kemampuan berfikir kita, yang memiliki gagasan dan kebebasan mutlak. Sementara kekaguman terhadap awan badai atau banjaran gunung yang dimisalkan tadi, mungkin meregangkan fikiran kita, hal ini tidak boleh kita bandingkan dengan gagasan dan kebebasan mutlak. Memahami objek-objek agung menempatkan kita berhubungan dengan idea-idea akal ini, sehingga keagungan tidaklah berada pada objek-objek yang kita anggap ia agung, akan tetapi pada akal atau fikiran itu sendiri. Kritik Kant ini, merupakan salah satu karya awal dalam bidang estetika dan menjadi salah satu risalah paling penting tentang subjek yang pernah ditulis. Persoalan serta kritik estetika, jauh bezanya dengan kritik sastera serta kritik seni. Gagasan estetika, telah wujud sejak ribuan tahun, dalam upaya untuk menjelaskan mengapa sesuatu itu indah atau tidak, tetapi konsep kecantikan dan bagaimana persepsi kita terhadap keindahan, muncul dari dalam diri kita sendiri. Kant mengambil tugas yang cukup besar, iaitu memberi ruang bagi konsep-konsep indah dan luhur.
Pandangan estetika Kant, tidak pernah berlepas daripada sumbangsih di dalam ranah epistemologi, yang mana beliau mendekati persoalan keindahan daripada sudut pandang penilaian selera. Pertimbangan keindahan pada Kant, adalah penilaian tentang selera kita sendiri. Kant melandasi epistemologi estetikanya melalui empat aspek utama penilaian selera, iaitu:
1. Kuantiti: Pertimbangan selera telah mensyaratkan sebuah kepuasan tanpa apa-apa ganjaran atau kepentingan. Secara epistemologi, Kant telah memisahkan di antara pengetahuan yang dicerap melalui pancaindera dan pengetahuan yang didapati melalui pemahaman rasional. Apabila kesan inderawi mencerap objek (misalnya ‘bunga’ atau ‘kerusi’), pemahaman rasional akan merepresentasikan objek secara konseptual (misalnya ‘konsep bunga’ atau ‘konsep kerusi’ secara umum). Ertinya, kesan inderawi merupakan pengetahuan pra-konsepsi, yang pada Kant menjadi dasar kepada pertimbangan selera. Lanjutan itu, Kant membezakan pertimbangan ini kepada pertimbangan yang berasaskan kesenangan serta pertimbangan yang berasaskan moral.
2. Kualiti: Kant mempersyaratkan ‘kesejagatan subjektif’, apabila membahas persoalan kualiti dalam pertimbangan selera. Bagaimanakah caranya sesuatu pertimbangan selera itu dapat mencapai tahap ‘universal’, yang mampu diterima serta dipersetujui oleh segenap orang? Apabila kita, tanpa mempunyai sebarang kepentingan menyatakan bahawa potret ‘Monalisa’ itu indah, maka berkemungkinan besar pertimbangan ini juga turut dipersetujui oleh orang lain, yang juga berlepas serta bebas daripada sesuatu kepentingan. Keluar serta bebas daripada kepentingan tertentu, menjamin kesejagatan sesebuah pertimbangan.
3. Saling Hubungan: Pertimbangan selera daripada sudut relasi berasaskan kepada ‘kebertujuanan yang tidak bertujuan’ (purposiveness without purpose). Wujudnya sesuatu akan beriringan dengan fungsi serta tujuan. Contohnya, fungsi jantung untuk mengepam darah yang membawa nutrisi ke seluruh tubuh. Wujudnya lukisan-lukisan dewa, membawa idea dan menginspirasi kepercayaan kepada pemerhati serta penganut sesuatu agama. Di sini, Kant membuktikan saling hubungan kewujudan dengan segala sesuatu. Inilah yang diertikan sebagai ‘kebertujuanan’ (zweckmassigkeit). Namun, sebagaimana yang dibahaskan, pertimbangan selera tidak harus dilandasi oleh sebarang kepentingan. Justeru, pertimbangan selera mengenai keindahan sebuah cangkir, tidak boleh dikaitkan dengan soal fungsi cangkir tersebut. Tujuan adanya cangkir untuk membolehkan kita meminum teh atau kopi dengan selesa.
4. Modaliti: Kant mempertegaskan soal ‘kepuasan yang ternescaya’ yang diperolehi daripada pengamatan sesebuah karya seni. Setiap persepsi ke atas keindahan karya seni, pastinya secara nescaya akan menimbulkan kepuasan estetik. Timbul persoalan, adakah akan terhapus pertimbangan selera, kerana seakan-akan ada semacam ‘kepentingan’ untuk sesuatu kepuasan itu diraih? Kant menjelaskan, ia tidak bersalahan sama sekali. Kepuasan estetik yang terzahir daripada keindahan bukanlah sesuatu yang didesak atau dikehendaki, sebaliknya secara nescaya ia hadir dengan sendirinya. Dengan kata lain, status kenescayaan daripada kenikmatan tersebut, memastikan bahawa keindahan tidak datang daripada sebarang kecenderungan atau kepentingan.
Rujukan
Immanuel Kant (2005) Critique of Judgement (terjemahan oleh J.H. Bernard). New York: Dover Publications.
Immanuel Kant (2008) The Critique of Judgement (terjemahan oleh James Creed Meredith). Radford: A&D Publishing
