‘‘Eropah hanya mengisi keperluan komoditi bagi dunia Islam, dan tidak seluruh jiwanya.’’ – Malek Bennabi, Islam Dalam Sejarah Dan Masyarakat.
ADA sesuatu yang janggal dan menjengkelkan dalam jiwa dan saraf fikiran Syamsiar. Protagonis malang dalam novela Angkatan Baru, karangan Buya Hamka. Setelah lulus dalam pengajian, mendapat diploma, cantik dan disanjung oleh keluarga serta orang-orang kampung. Dilayan bagaikan Tuan Puteri, tidur, makan dan berkurung dalam bilik seenaknya. Namun kesemua nikmat duniawi itu belum memadai. Sebagai manusia, keinginan Syamsiar sesungguhnya kompleks dan bukan sekadar berfizikal wanita. Dia ingin (kerana masih muda) menentukan masa depan sendiri tanpa campur tangan pihak lain.
Jauh terselindung dari pengetahuan umum, membuak-buak dalam batin Syamsiar untuk bebas dari hukum pantang larang setempat. Alam sekolah telah memperkenalkan Syamsiar dengan suasana yang lebih terbuka. Bergaul dengan pelajar lelaki adalah kebiasaan baginya. Semangat kemodenan merangsang Syamsiar untuk melakukan pengembaraan asmaradana dengan lelaki yang ideal dan terbaik dari sudut pilihannya. Cita rasanya tinggi. Maka, sudah tentu dia mendambakan seluruh perhatian dan kasih daripada seorang pemuda (berciri) istimewa. Bukannya pemuda kampung yang kolot, suka mengawal itu ini, dan petani tradisi seperti yang ingin dihindari Syamsiar.
Novela itu diterbitkan pada tahun 1962. Tetapi ruang lingkup dilema wanitanya tetap sama dengan apa yang terjadi sekarang. Buya Hamka bukan sahaja agamawan berwibawa, tersohor di Nusantara (apatah lagi di Malaysia) malahan juga pemimpin, pengarang buku (lebih 200 jumlah) yang meluaskan perspektif Islam di samping menyelitkan kisah-kisah roman sebagai pelantar untuk mengkritik permasalahan melingkari rutin/adat kehidupan. Buya Hamka melalui lensa seniman, meninjau setiap inci isu-isu yang menaungi senario masyarakat dan membentangkannya ke dalam karya kreatif. Rentetan konflik kaum muda dan tua, label wahabi dan penyesat umat, dipenjara serta serangan fitnah yang lainnya, menjadikan tokoh ilmuwan itu berada dalam standardnya tersendiri. Sekarang, siapa yang patut berasa malu?
Secara asasnya, novela Angkatan Baru menganalisis simpang-siur pemikiran dan emosi seorang wanita yang terkunci dalam persekitaran setempat. Beberapa adat dan norma tidak dipersetujui Syamsiar dan aspek sensitif itu disorot oleh Buya Hamka. Menurut Syamsiar, adat yang tidak seiring dengan perubahan zaman itu telah menjadikan masyarakatnya terkebelakang dan takut pada suasana baharu. Dunia terus bergerak ke hadapan, revolusi industri, imperialisme, kolonialisme, perkembangan teknologi pertanian, kemajuan pendidikan, psikologi, sains, falsafah pemikiran dan hak kemanusiaan serta kebebasan berpendapat.
Salahkah apa yang bergelora dalam sanubari Syamsiar? Adakah ia bertentangan dengan syariat agama? Adakah adat dan resam budaya setempat membendung pencapaian intelektual? Bahawa ajaran Islam lebih memuliakan dan meninggikan darjat kaum wanita, telah dimaklumi oleh ahli akademik. Sejak Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah STW dalam menyampaikan hak-hak dan keadilan kepada mereka, sebagaimana yang selayaknya (ada hadnya tertentu) di samping kaum lelaki – terutamanya dalam mengejar ilmu pengetahuan. Topik sedemikian diperincikan selanjutnya dalam buku Panggilan Islam Terhadap Wanita (terjemahan Nida’ Li al-Jins al-Latif), tulisan Muhammad Rasyid Ridha, 1931.
Tidak menyangkal kenyataan majoriti, kemunculan pemikiran westernisasi (meminjam istilah yang dianalisis cendekiawan Indonesia, Hamid Fahmy Zarkasyi, dalam buku, Misykat, Refleksi Tentang Westernisasi, Liberalisasi, dan Islam, dan Liberalisasi Pemikiran Islam) turut meluluhkan keperibadian kaum muslimat, termasuk apa yang tergambar pada keperibadian Syamsiar. Sudah tentu sebagai ilmuwan yang luas juzuk pembacaannya, Buya Hamka maklum dengan gelombang feniminisme yang kononnya bertujuan memerdekakan kaum wanita. Seolah-olah agama Islam tidak mencukupi menaikkan martabat seseorang wanita.
Syamsiar kecewa dengan sikap segelintir kaum lelaki yang dianggapnya hipokrit. Mahukan isteri yang menawan, menurut kata tetapi pintar dalam urusan agama. Apa yang ditunggu-tunggu Syamsiar ialah belaian kasih daripada lelaki dicintai. Namun mereka begitu khuatir dengan Syamsiar yang diakui terpelajar, memiliki paras muka idaman tetapi tidak sering ke dapur menyiap hidangan sebagaimana tipikal wanita tempatan. Adakah wanita seperti Syamsiar sesuai untuk dijadikan suri rumah tangga? Hal sebegitu tidak merencatkan hasrat Syamsiar untuk menemui lelaki yang menepati kriteria sebagaimana dihajatkan. Biarlah lambat dijodohkan, asalkan tidak menggigit jari di kemudian hari.
Dicari atau tidak, takdir setiap manusia sudah ditetapkan Tuhan. Karakter yang ada pada diri Hasan telah mempengaruhi Syamsiar. Hasan, masih bujang, guru agama, petah berpidato, dari kampung luar dan paling mustahak, sehaluan dengan cita rasa Syamsiar. Persetujuan dicapai dan kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri yang sah dan ideal. Pada detik itu, Syamsiar dilambung ke awan – kebahagiaan, bagai bulan jatuh ke riba. Sepanjang masa apa yang dituntut oleh isteri baharu itu ialah perhatian dan layanan daripada seorang suami. Syamsiar mahukan tempoh berbulan madu sehingga ke akhir hayat. Memang pada awalnya Hasan, mengikut sahaja kemahuan isterinya itu. Tetapi, ada batas moral yang bakal merenggangkan mereka berdua pada kemudian hari.
Isteri yang dimanja dan diulit keasyikan itu terlupa bahawa suaminya memiliki beban amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Berada dalam rumah yang terasing dari pemantauan ibu bapa, Syamsiar bagaikan terlepas bagai burung. Bagi Hasan, fasa kebahagiaan alam perkahwinan segera dilupakan, kerana fikirannya terarah kepada masa depan pelajarnya agar menjadi generasi yang bermanfaat. Sedangkan isterinya yang ditatang bagaikan minyak penuh oleh keluarganya, hidup dalam khayalan dan terapung di lautan fantasi. Syamsiar mahukan Hasan sentiasa melekat di samping pinggangnya untuk bersama-sama menggulung alam dan menerawang langit. Hal itu mustahil bagi Hasan yang sangat dedikasi kepada tugasannya. Perbezaan sikap itulah yang menjadi punca kepada keretakan rumah tangga kedua-duanya. Syamsiar yang dimabuk cinta belum menyedari betapa meluat Hassan dengan sikap keanak-anakanya.
Di rumah, Syamsiar sentiasa memastikan keadaan dirinya agar tampak mempesona hati Hasan. Bagaikan permaisuri di istana kayangan. Dia berdandan, mewangikan badan, menghiasi muka, membedakinya biar tebal, meraut bulu mata supaya halus, menjahit selendang pelbagai warna. Pendek kata, solekan itu dilakukan khusus agar jiwa dan fikiran suami hanya ke arah batang tubuhnya sahaja. Syamsiar tidak perlu bersusah-payah memasak kerana segalanya, makan minum Hasan, sudah disediakan oleh pihak lain. Jari tangannya tidak pernah dipalit lumpur atau terkena pancaran matahari. Alangkah indahnya suasana yang dikecapi Syamsiar.
Sampai masanya, Hasan berasa jemu dan terganggu dengan perangai Syamsiar yang agak berlebih-lebihan. Ketika Hasan menelaah kerja rumah pelajarnya, Syamsiar muncul dan menjadi dewi penggoda yang mempergunakan kecantikannya untuk mengalihkan perhatian. Hasan nekad mengunci bilik dan Syamsiar mulai didatangi kecurigaan tentang suaminya yang bertindak dingin. Apa motif Hasan? Adakah kasih suaminya sudah menipis? Atau adakah cinta Hasan berpindah ke wanita muda yang lebih cantik? Syamsiar yang menaruh rasa wasangka tanpa asas bertindak di luar jangkaan, segera menyiasat gerangan wanita kononnya menjalin percintaan dengan Hasan dalam diam-diam.
Jika Hasan mengajar di surau kepada kaum wanita, Syamsiar duduk bersebelahan dengannya, memastikan tiada sesiapa dalam kalangan wanita bermain mata. Hasan seorang lelaki bercita-cita besar ingin merubah nasib bangsanya, harus berhadapan dengan ketaksuban isteri, secara tidak langsung, menghambat misinya itu. Keutamaan Syamsiar bercumbu rayu, menyolek dan menghiasi dirinya agar sentiasa cantik. Manakala pekerjaan dalam rumah, mengemas, memasak dan selainnya langsung tidak diambil peduli Syamsiar. Hanya bedak dan cermin yang teratur rapi di meja tempatnya bersolek. Timbul persoalan dalam diri Hassan tentang tingkah laku isterinya yang sangat meresahkan. Adakah isteri demikian disebut kawan hidup, atau hanya patut disebut kawan tidur? Aduhai!
Hasan hampir mati akal. Apalah ertinya ilmu dan diploma yang dimiliki jika tidak dimanfaatkan kepada anak bangsa? Dia terseksa mengenangkan bilangan anak muridnya sudah berkurangan akibat sering menghabiskan masa dalam rumah – berpelukan dengan isteri yang begitu mahir memujuk dan memberahikan nafsu. Suraunya telah lengang dan Hasan sudah tidak dihormati oleh orang-orang sekeliling. Lebih menyakitkan daripada itu, timbul desas-desus bahawa Hasan diperdaya atau ditundukkan oleh isteri dan ilmunya karam di antara dua betis perempuan. Hal itu mengingatkan pembaca kepada babak filem Perempuan, Isteri dan dot dot dot.? Tentu sahaja tohmahan itu menghancurkan maruah dan imej Hasan.
Penyesalan dan kesedaran memunculkan dialog panas antara suami isteri itu dalam bilik. Hala tuju dan tujuan sesebuah perkahwinan dibincangkan dan apa kesudahannya jika terus-menerus menampi kehendak nafsu tanpa memikirkan kenyataan hidup secara keseluruhannya? Syamsiar diingatkan bahawa sudah tiba masanya mereka mencelikkan mata dan bersikap dewasa serta berdikari. Hidup tidak selalunya manis sepanjang hayat dan melayan keinginan asmara semata-mata. Sampai bila mereka ditanggung oleh kedua-dua ibu bapa? Apa salahnya andai bekerja, bertani dan membajak di sawah sebagaimana yang diusahakan oleh kebanyakan orang. Meraih hasil dari titik peluh sendiri.
Sejak insiden pertengakaran itu, Syamsiar mengerti akhirnya perbezaan sikap antara mereka berdua. Hasan kuat merenung, memikirkan sesuatu di kejauhan dan ingin bermandiri selayaknya seorang lelaki mengetuai keluarga. Sebaliknya Syamsiar terlalu dikuasai oleh keghairahan bercinta dan memadu asmara. Hasan sudah mulai jarang balik ke rumah, bermakna kurang memberikan perhatian kepadanya. Bahkan perbuatan dan kata-kata Syamsiar ditentang oleh Hasan. Tiada lagi rasa madu dalam hubungan mereka berdua pada ketika ini. Apa yang indah sebelum ini, menjadi buruk dalam sekelip mata. Adakah Hasan sudah tawar hati kepadanya? Adakah rumah tangganya akan roboh berkecai di pertengahan jalan?
Kemuraman yang melingkupi hidup Syamsiar menemui cahaya penyeri yang tidak diduga. Syamsiar secara tidak sengaja membaca sebuah syair ditulis oleh Syamsuddin, pemuda yang dahulu menaruh perasaan kepadanya. Syair itu ditujukan khas buatnya. Sebelumnya, Syamsiar kerap menerima kiriman surat yang sarat dengan pengharapan daripada Syamsuddin. Bagaikan mengejutkan hantu yang tertidur, Syamsiar membangkitkan kembali memori kisah lalu dengan mengutus surat kepada Syamsuddin. Dan kesan daripada kemunculan Syamsiar secara mendadak, api cinta yang terpadam, disemarakkan tanpa disangka-sangka. Itu yang dicari Syamsiar. Perselingkuhan pun terjadi tanpa diketahui oleh Hasan.
Diselindung di balik batu sekalipun, kebenaran tetap memunculkan diri. Hasan membaca kiriman surat antara isterinya dengan pemuda lain. Jelas ia sebuah skandal. Sungguh pedih hati Hasan setelah mendapat tahu kelancangan isterinya yang berkelakuan seperti wanita yang tidak terdidik dengan syariat agama. Dalam kes itu, Syamsuddin tidak bersalah kerana menyangkakan bahawa Syamsiar belum bersuami. Syamsiar sepatutnya sedar akibat daripada keterlanjuran diri kerana yang menanggung aibnya nanti tentulah nama suami dan sekolah mereka mendapat bimbingan agama. Serba tidak menjadi hidup wanita malang itu.
Kesudahan nasib Syamsiar tidak seromantik diharapkan. Hasan menceraikan Syamsiar sebagaimana yang diputuskan oleh pihak keluarganya. Tidak tahu di manakah hendak Hasan meletakkan air mukanya. Adat Minangkabau masih utuh dipertahankan. Patah luluh jiwa Syamsiar. Apa yang dikejar tidak dapat, apa digendong pun bercerai. Situasi Syamsiar menjadi buah mulut. Tidak lama Syamsiar menjanda, muncul saudagar kaya (sebaya dengan ayahnya) yang ingin mengambilkan sebagai isteri ketiga atau keempat. Demikian fasa kehidupan Syamsiar. Dari sebuah perkahwinan ke sebuah perkahwinan. Bak kata orang tua, terlajak perahu bolehlah diundur.
Pengarang novela Angkatan Baru dimaklumkan, Syamsiar reda dan akhirnya menemui kemanisan perkahwinan, biar pun harus ditelan dengan sedikit kepahitan. Impian ideal yang menjadi angan-angannya suatu ketika dahulu terhempas pada realiti. Kebebasan dan keasyikan cinta diperolehi Syamsiar melalui novel-novel picisan menghukum dirinya. Ilusi kemodenan yang kononnya memberikan hak dan kemerdekaan kepada kaum wanita rupa-rupanya perangkap halus diimport dari budaya asing. Agama Islam adalah agama fitrah dan diutuskan kepada manusia sesuai ukurannya. Meminta sesuatu yang bertentangan akan menerima balasan setimpal. Adakah Hasan akan berkahwin pada fasa kehidupan seterusnya?
– ROSLAN JOMEL merupakan pengarang kelahiran Kuching< Sarawak dan kini berkarya di Kuala Lumpur.
