Berbeza dengan penulisan yang dibaca secara berangkai-rangkai, lukisan memberi pengajaran kepada manusia melalui penglihatan secara serempak, saling mengadap.
‘Membaca’ lukisan boleh saja bermula dan berakhir pada mana-mana tempat yang kita inginkan.
Dari penglihatan, ke penghayatan, maka akhirnya terbitlah pemahaman sekiranya karya seni itu mahu difahami. Jika tidak, cukuplah sekadar dirasai.
Kebanyakan manusia mahu memahami setiap perkara yang berlaku di depan matanya, hanya segelintir yang mahu merasa.
Seni dan juga sains, kedua-duanya memerlukan ilmu cerap dari pancaindera yang walaupun kedua-duanya dianggap seperti dua kutub berbeza, sebenarnya sama sahaja. Sains ada ensiklopedia pengetahuannya, seni juga ada kanon ilmunya.
Kedua-duanya penting untuk kehidupan manusia. Langit dan bumi, air dan api, panas dan sejuk, yin dan yang. Keseimbangan dalam kehidupan yang setiap hari manusia berjuang untuk menikmatinya.
Setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni rupa, Ahmad Shukri Mohamed (lahir 1969), salah seorang perupa yang lahir dan bersinar dari kumpulan Matahati sedar bahawa sudah tiba masa untuk dia ‘menurunkan’ sesuatu kepada khalayak, sepertimana yang diterimanya dari para guru terdahulu.
Guru yang dimaksudkan di sini adalah guru-guru seni lukis sejak dari sekolah, universiti atau seniman seperjuangan dalam kalangan penggiat seni lukis yang lebih senior.
Ini jangkaan awal saya sewaktu diundang oleh Ahmad Shukri ke majlis pembukaan dan sesi bicara seniman pameran IlmuAdab seminggu sebelumnya.
Sewaktu meniaga vendor secara sambilan di Flea Market Amcorp Mall, ada waktunya saya akan dikunjungi dan disapa Ahmad Shukri yang datang bersama keluarga dan sahabatnya untuk melihat-lihat atau membeli barang-barang klasik maupun vintaj di ‘pasar karat berdingin hawa‘ ini yang diadakan pada setiap hujung minggu di Petaling Jaya.
Inilah waktu yang saya biasa bersilaturahim dengan Ahmad Shukri selain berbasa-basi di mana-mana pameran seni lukis sekitar kota raya, sekiranya kami berdua ditakdirkan bertemu.
Maknanya, selain daripada mengenalinya sebagai seorang seniman, saya juga tahu dia seorang pengumpul barangan klasik.
Sebuah hadith nabi ada menceritakan tentang Nabi Muhammad (SAW) pernah ditanya umatnya, “Pekerjaan apa yang paling baik?” lalu Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri, dan setiap jual beli yang baik.”
Beratus tahun kemudian Michelangelo seorang pengarca dan pelukis zaman Renaissance mengatakan, “seniman mencatan dengan mindanya, bukan dengan tangannya.”
Dalam membezakan antara pekerja, tukang dan seniman, Louis Rizer (1902–1994) seorang peguam Amerika pernah menulis, “… seseorang yang bekerja dengan tangan, minda dan jiwa itulah seorang seniman.”
Oleh yang demikian, pabila seorang pelukis hendak ‘mendidik’ khalayak perihal ‘ilmu’ dan ‘adab’, tidaklah ganjil dan pelik kerana pelukis adalah insan biasa; menadah ilmu dari sesuatu sumber (rantaian sanad) dan menyebarkan semula kepada lingkungannya.
Bezanya, Ahmad Shukri ‘menyampaikan’ perihal ilmu dan adab dalam bentuk goresan, kolaj, simbolisme, warna, dan elemen-elemen grafik yang difahami sebagai estetika seni rupa.
Andaian awal saya, siri solo ini menampilkan sebuah tribute ataupun homaj kepada guru-guru seni lukis yang terdahulu – tentang ilmu yang mereka perturunkan kepada Ahmad Shukri, dan adab dalam menghasilkan sesebuah lukisan, apatah lagi menggunakan tangan.
Andaian saya tersasar, namun tidaklah mengecewakan. Hal ini demikian kerana sebaik saja sampai di galeri Sareng bersama Rahman (dari Amcorp Mall menggunakan perkhidmatan Grab) dan melihat sendiri catan-catan serta instalasi yang tergantung di dinding, suasana lain pula mengalih pandangan saya.
Kami mendengar sesi bicara seniman antara Ahmad Shukri dengan Dr. Saiful Akram dan dimoderator oleh Azzad Diah.
Setelah sampai ke galeri itu barulah kami membuka katalog dan meneliti senarai karya-karya yang dipamerkan. Sengaja saya tidak membaca tulisan tentang pameran yang dikirim oleh Ahmad Shukri minggu lalu, oleh Dr. Saiful yang juga merupakan kenalan saya dalam lingkungan dunia penulisan.
Saya ingin menatap karya tanpa perlu tafsiran dari sudut pandang individu lain. Biasanya saya hanya membaca tulisan tentang pameran setelah balik ke rumah. Dari situ saya akan mengulangkaji apa yang telah saya lihat di galeri.
IlmuAdab menampilkan 11 karya catan dan instalasi yang bertindak seperti ‘mesin masa’, membawa khalayak ke zaman dahulu – masih di dalam wilayah nusantara – antara era Tanah Melayu ke Malaya, dan Malaysia sekitar 70-an, sewaktu Ahmad Shukri telah lahir ke dunia. IlmuAdab, sepertimana karya-karya seni lain baik lukisan maupun sastera, adalah satu ekspresi yang bersifat peribadi.
Ahmad Shukri membesar dan melihat bagaimana sejarah negara dicatat dan dirakam; bukankah sejarah adalah guru yang terbaik?
IlmuAdab mendidik kita dengan ‘11 nostalgia’ dalam merenung (dan bertafakur) kembali persoalan identiti nasional dan kenegaraan, sosiopolitik, wacana budaya, perihal kosmos, pesan agama juga ketuhanan, tentang hidup dan mati, juga tentang fana dan abadi.
Ahmad Shukri, sebagai seorang ‘jiwa tua’ (old souls) gemar mengumpul dan menghargai barang klasik dan vintage, menggunakannya sebagai sebahagian dari media dalam instalasi karyauntuk pameran IlmuAdab.
Papan tanda niaga kedai dan papan-papan kayu yang ‘direinkarnasi’ menjelma sebagai sebahagian karya Mawar Buat Srikandi dan Rumah Ibu sebagai penghargaan kepada wanita juga ibu – sudah tentu ini adalah pesanan seniman tentang peranan kaum hawa dalam mendidik anak bangsa.

“Mereka yang tidak mengingati masa lalu pasti akan terkutuk untuk mengulanginya,” kata George Santayana.
Ada empat karya yang menjadikan kulit buku lama sebagai subjek di mana dua daripadanya digandingkan dengan ‘kolaj aksara’ gaya Ahmad Shukri yang kita biasa amati dalam pameran-pameran sebelum ini.
Buku tentang pemerintahan (garis awal peradaban sesebuah ketamadunan?), tentang kebudayaan (ekosistem seni dan budaya, dunia peribadi pengkarya), tentang tanaman (asal dari tanah, hasil kembali ke tanah), dan ajaran kerohanian (ilmu kesufian Tok Kenali).
Friedrich Hegel pula mencatat, “kita belajar dari sejarah bahawa kita tidak belajar dari sejarah.”

Jangan Diusik Bintang di Langit menggandingkan kolaj aksara yang dilukis bintang cakerawala dengan ‘awan cendawan’ Hiroshima, di mana imejnya terpotong dan saiznya kurang setengah dari panel hitam sebelah kiri itu.

Cahaya dari Bukit Tursina pula mengambil flora nusantara yang terkenal sebagai antara hutan hujan tertua di dunia sebagai simbol tajalli (manifestasi) Tuhan untuk manusia (khalayak tempatan) bertafakur sejenak menjadikan kisah Nabi Musa sebagai pedoman. Kisah para nabi sentiasa menjadi iktibar kepada setiap orang Islam.
Sewaktu saya mengucapkan tahniah kepada Ahmad Shukri perihal pameran terbarunya ini, lekas-lekas dia menjawab seperti seorang guru, “tak perlu ucap tahniah, ini adalah tanggungjawab aku, nak memberi semula kepada orang lain apa-apa (ilmu) yang aku terima.”
IlmuAdab adalah pameran seni solo ke-10 oleh Ahmad Shukri Mohamed. Sekiranya umur panjang, saya menantikan apa lagi bentuk ‘keilmuan’ yang akan diperturunkan dalam pameran seterusnya.
Kunjungi pameran solo “IlmuAdab” oleh Ahmad Shukri Mohamed yang sedang berlangsung di SARENG Gallery, Level 8, Menara Chan, 138, Jln Ampang, 50450 Kuala Lumpur dari 3 hingga 19 September 2026.
Isnin – Sabtu dari 10 pagi – 5 petang
Maklumat lanjut di: SARENG
