“Ilmu membuatkan seseorang menjadi pandai, adab menjadikan ia dihormati”
Di waktu kecerdasan buatan semakin pantas mengambil alih tugas membaca, mengira, menulis dan menghasilkan imej, persoalan tentang apa yang menjadikan manusia benar-benar manusia kelihatan semakin mendesak.
Persoalan inilah yang mungkin menjadi titik temu IlmuAdab, sebuah pameran solo terbaru Ahmad Shukri Mohamed di SARENG Gallery, yang sedang berlangsung dari 3 hingga 19 September 2026.
IlmuAdab tidak sekadar kritikan semberono terhadap kecerdasan buatan. Lebih mendasar, ia menimbulkan persoalan serta mengajak kita memikirkan semula hubungan antara ilmu dan adab, dua konsep yang dalam tradisi intelektual Melayu-Nusantara dan Islam tidak seharusnya dipisahkan.
Pengetahuan tanpa etika boleh berubah menjadi kesombongan; sementara etika tanpa pengetahuan pula mudah kehilangan asas pertimbangan.
Dalam celahan ini, Ahmad Shukri meletakkan seni sebagai ruang tafakur: bukan semata-mata untuk melihat, tetapi untuk mengingati, membaca, menghubungkan serta mempertimbangkanya.
Pameran ini menghimpunkan sepuluh lukisan media campuran dan sebuah instalasi dinding yang disusun sebagai sebelas medan renungan.
Pelbagai lapisan bahan, papan tanda dan fotografi lama, kalam papan hitam, abjad bertindih, motif alam, serpihan seni bina Melayu dan simbol kebangsaan digabungkan menjadikan permukaan karya berfungsi seolah arkib visual.
Ia bukan arkib yang tersusun secara linear, sebaliknya sebuah medan ingatan yang memerlukan penonton berhenti dan membaca gagasan tersebut lapisan demi lapisan.
Pendekatan sedemikian konsisten dengan amalan Ahmad Shukri yang sejak awal kerjayanya terkenal dengan penggunaan kolaj, tekstur, ikon harian dan bahan pelbagai sebagai bahasa visualnya, kaedah perkembangan metodologi kolaj yang menggabungkan pelbagai jenis cat, bentuk huruf dan motif biasa untuk membentuk mesej tentang masyarakat dan budaya.
Dalam IlmuAdab, kaedah kolaj itu memperoleh dimensi yang lebih reflektif. Bahan yang kelihatan biasa, gambar kelas, papan hitam atau serpihan struktur rumah tidak lagi sekadar objek nostalgia.
Ia menjadi tanda tentang bagaimana manusia dibentuk: melalui pendidikan, keluarga, sejarah, alam sekitar dan sistem nilai yang diwariskan antara generasi.
Di sini tajuk pameran tersebut menjadi semakin penting. “IlmuAdab” boleh dibaca sebagai satu gagasan yang menggabungkan pengetahuan dengan cara pengetahuan itu digunakan.
Dalam era AI, persoalan tersebut memperoleh makna baharu.
Mesin mungkin dapat memproses jumlah maklumat yang tidak terjangkau manusia, tetapi IlmuAdab mencadangkan bahawa keupayaan mengumpul dan memproses maklumat tidak semestinya sama dengan kebijaksanaan.
Karya seperti Jangan Diusik Bintang di Langit membawa persoalan itu ke wilayah yang lebih gelap. Grid kaligrafi dipertemukan dengan imej awan cendawan, mencipta pertembungan antara keteraturan intelektual dan akibat pemikiran yang kehilangan pertimbangan moral.
Rujukan kepada pengeboman atom Hiroshima serta Surah Ar-Rum memperluaskan karya daripada persoalan teknologi kepada persoalan tanggungjawab manusia terhadap kuasa yang dimilikinya.

Sebaliknya, Cahaya dari Bukit Tursina membawa renungan kepada persoalan wahyu, cahaya dan alam. Di sini, alam bukan sekadar latar visual, tetapi sebahagian daripada persoalan etika.
Hubungan manusia dengan persekitaran menjadi sebahagian daripada tanggungjawab spiritual, sebuah tema yang turut mempunyai kesinambungan dalam amalan Ahmad Shukri sebelum ini.
Karya-karyanya yang menggunakan kupu-kupu, haiwan dan flora sering menghubungkan material seni dengan persoalan eksploitasi alam dan keseimbangan ekologi.

Rumah Ibu pula mengembalikan perbincangan kepada ruang paling asas dalam pembentukan manusia: rumah.
Dengan menggunakan fragmen seni bina Melayu, ikon haiwan dan lambang kebangsaan, karya tiga panel ini melihat rumah sebagai tempat pertama pendidikan dan etika bermula.
Ia sekaligus mengalihkan wacana tentang pendidikan daripada institusi formal kepada pengalaman budaya yang lebih intim.

Sementara itu, instalasi enam panel IlmuAdab menggunakan fotografi kelas lama dan papan hitam. Gabungan ini menarik kerana ia mempertemukan memori peribadi dengan naratif kebangsaan.
Bilik darjah menjadi ruang simbolik tempat ilmu diturunkan, sementara gambar lama mengingatkan bahawa setiap sistem pendidikan akhirnya berkaitan dengan persoalan yang lebih besar: manusia seperti apakah yang ingin dibentuk oleh sesebuah masyarakat?

Persoalan tentang identiti, masyarakat dan perubahan bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan Ahmad Shukri.
Sebagai salah seorang pengasas kolektif Matahati, beliau muncul dalam perkembangan seni kontemporari Malaysia yang semakin menggunakan seni sebagai medan untuk berhadapan dengan persoalan sosial, budaya dan politik.
Dengan latar tersebut, IlmuAdab boleh dilihat bukan sebagai penyimpangan daripada perjalanan artistik Ahmad Shukri, tetapi sebagai satu fasa lanjutan: daripada mengumpul dan menyusun serpihan budaya kepada mengajukan persoalan tentang bagaimana manusia harus hidup dengan apa yang diketahuinya.
Pada saat teknologi semakin menentukan cara manusia mendapatkan dan menghasilkan pengetahuan, karya-karya ini mengusulkan sesuatu yang lebih perlahan. Melihat. Mengingati. Menimbang. Bertafakur.
Mungkin di situlah pertalian hubungan IlmuAdab. Ia tidak cuba bersaing dengan mesin dalam soal kepantasan atau jumlah maklumat. Sebaliknya, ia mengingatkan bahawa nilai pengetahuan tidak hanya terletak pada apa yang kita tahu, tetapi pada bagaimana kita memilih untuk menggunakan pengetahuan tersebut.
Dan dalam sebuah dunia yang semakin laju dengan kecerdasan buatan, persoalan itu barangkali lebih mendesak daripada sebelumnya: jika mesin semakin pintar, apakah manusia masih bersedia untuk menjadi lebih beradab?
Dalam tulisan pada katalog pameran, Dr Saiful Akram Che Cob menyimpulkan; “Tatkala kecerdasan buatan mengolah data dan meniru bentuk-bentuk pengetahuan, mengetahui belum tentu bererti memahami; menghitung bukanlah bererti menaakul; dan menghasilkan tidak sama dengan mencipta makna.
Pada akhirnya, manusialah yang harus menjunjung kebijaksanaan dan adab, untuk menentukan apa yang wajar diketahui, dan bagaimana ilmu itu seharusnya dimanafaatkan.”
Kunjungi pameran solo “IlmuAdab” oleh Ahmad Shukri Mohamed yang sedang berlangsung di SARENG Gallery, Level 8, Menara Chan, 138, Jln Ampang, 50450 Kuala Lumpur dari 3 hingga 19 September 2026.
Sesi ‘artist talk’ Ahmad Shukri Mohamed bersama Assoc. Prof. Dr. Saiful Akram Che Cob dan Azad Diah dijadualkan pada 5 September 2026 dari jam 4 – 6 petang

Maklumat lanjut di: SARENG
Isnin – Sabtu dari 10 pagi – 5 petang
