
KARYA awal yang mengambarkan HOTEL FUGITIF dihasilkan pada 2018, namun 5 tahun kemudian karya-karya menuju ke Hotel Fugitif pula disiap dan dipamerkan.
Itulah uniknya karya Ilham Fadhli Mohd Shaimy yang mesra disapa sebagai Kojek.
Perupa kelahiran Pantai Timur ini mengadakan pameran solo di Galeri Puteh. Ini pameran solo terbarunya selepas 12 tahun.
Kojek merupakan perupa yang mempunyai keunikkan sendiri. Itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Puteh, Nizam Rahmat. Di galeri ini juga pameran HOTEL FUGITIF ini berlangsung.
Nizam menganggap Ilham Fadhli mempunyai keunikan sendiri dan telah dikenali dengan gayanya yang tersendiri membuatkan dia berbeza dengan rakan seangkatannya.
“Peningkata karyanya sejak keluar UiTM sampai tahap dia boleh meletakkan diri bila orang melihat karya itu, ini sudah diketahui ini adalah gaya dan penyampaiannya.
“Itu sesuatu yang sukar bagi seseorang perupa untuk mendapatkannya tetapi dia sejak 15 tahun yang lalu sudah menunjukkan kepada khalayak bahawa itu lah gayanya,” katanya ketika kunjungan Seni Malaya ke Galeri Puteh baru-baru ini.
Tambah Nizam lagi, “Kojek fokus dengan apa yang mahu disampaikan dan tidak mengikut trend atau rakan-rakan seangkatan dengannya.”
“Dia keluar dengan cara dia sendiri, dan itu lah keunikan yang ada pada karya-karyanya,” ujar Nizam.
Dr Jalaini Abu Hassan, seorang perupa terkenal yang juga pensyarah menganggap karya-karya Ilham Fadhli membebaskan dirinya dari ketaksuban pasaran.

Tulis Dr Jalaini di Facebooknya, beliau tidak terkejut sekiranya ada yang melihat karya Ilham Fadhli sebagai menganggu keselesaan ruang tamu.
Katanya, Ilham Fadhli merupakan seorang perupa yang tidak banyak pantang larang dalam berkarya dan semua peraturan formalistik tidak semua dipatuhi malah sengaja dicabar.
Objek, subjek, figura dan landskap semuanya diporak-porandakan pertalian antara satu sama lain dalam kesungguhan Ilham Fadhli menyampaikan pesanan dunia kepada penghuninya yang kian alpa dan dibuai cuai.
“Hanya mereka yang betul-betul mengenali Kojek berani melihat karya beliau di luar keindahan (pelaburan) materialistik,” tulis Dr Jalaini.
HOTEL FUGITIF merupakan gambaran perjalanan manusia menuju ke tempat yang lebih kekal dan selesa.
Pameran solo menampilkan 56 karya baharu selain 13 karya lama yang telah dimiliki oleh pengumpul seni sebelum ini.
HOTEL FUGITIF merupakan karya-karya Ilham Fadhli yang memberikan gambaran perjalanan manusia menuju ke tempat yang lebih kekal dan selesa.
“Selepas 12 tahun saya rasa ini lah masa yang paling sesuai untuk karya-karya ini keluar.
“Kalau tidak keluar sekarang, ia akan terkurung lebih lama di studio,” ujarnya.
Dr Jalaini seterusnya menyifatkan kabus mendung surrealisme Salvador Dali seperti menyelubungi karya-karya Ilham Fadhli menerusi HOTEL FUGITIF hingga membuatkan catan-catan dingin sepi yang penuh tragedi ini bukan untuk dinikmati semua pembeli.

HOTEL FUGITIF yang bebas dari ketaksuban pasaran berlangsung di Galeri Puteh bermula 10 Jun lalu dan akan berakhir 2 Julai nanti.
Galeri Puteh merupakan galeri seni yang kian mendapat tempat selepas pameran pertamanya berjudul TURUN TANAH yang diadakan dalam dua siri penghujung tahun lalu.
Selepas Turun Tanah, Galeri Puteh tidak menunggu lama untuk menganjurkan pameran berjudul YOUNG, WILD & FREE pada Januari lalu.
Ia disusuli dengan pameran LUKISAN BERHAJAT yang turut diselitkan sesi wacana bersama Dr Jalaini. Sambutan terus menggalakkan membuatkan Galeri Puteh menampilkan pameran berkumpulan yang dinamakan HAWWA.
HAWWA merupakan pameran yang menampilkan 16 perupa wanita terdiri dari yang muda dan juga senior yang masih lagi aktif berkarya.
Peminat seni yang berminat boleh mengunjugi Galeri Puteh yang terletak di KL Eco City, Kuala Lumpur.
