SEKITAR tahun lepas, saya terlibat dengan siri lawatan ke beberapa lokasi di Universiti Malaya (UM), inisiatif bekas Pengarah Pusat Komunikasi Korporatnya, Prof. Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri, untuk portal tempat saya bekerja.
Lawatan itu buat saya sedar, UM ada banyak tempat menarik untuk dilawati. Walaupun lawatan itu tak bawa hasil sangat bersama portal tersebut, banyak yang saya gerakkan melalui kapasiti luar pejabat.
Contohnya, Dr. Adib bawa kami melawat banglo yang pernah jadi kediaman Profesor Diraja Ungku Aziz semasa beliau menjadi Naib Canselor. Akhirnya, banglo itu jadi lokasi penggambaran video muzik kugiran yang saya urus, motherwit, melalui lagu kemacahya.
Penghujung lawatan, Dr. Adib bawa kami minum di sebuah kafe yang ketika itu belum secara rasmi dibuka lagi, iaitu Kona Mokapot Coffee. Sehingga hari ini, saya dah anjur tiga acara di kafe itu.
Yang menangkap mata saya ketika dalam perjalanan ke kafe itu ialah papan tanda besar yang tertulis “Mural Ibrahim Hussein”. Waktu itu, jujurnya, saya tak kenal Ibrahim Hussein. Tapi muralnya menangkap – manusia-manusia tanpa wajah sedang bersukan berlatarkan warna biru.
Sekarang saya dah tahu, mural itu bertajuk Athletics, dilukis oleh Ibrahim ketika menjadi pelukis tamu UM pada 1972. Besar nilai sejarah mural itu.
Kona dan mural
Pemilik Kona Mokapot, Aril dan Don banyak juga bercerita tentang mural itu kepada saya. Lebih-lebih lagi ketika kami merancang acara sambutan tahun baharu 2025 di situ, penghujung tahun lalu.
Acara yang kami namakan sebagai Temasya Tahun Baharu itu terpecah kepada dua: satu, jualan buku, persembahan akustik dan bacaan sajak pada sebelah siang; dua, gig tahun baharu pada sebelah malam.

Acara sebelah siang dibuat di perkarangan mural itu yang bagi kami, perlu dipromosikan kewujudannya bukan saja kepada pelajar UM, malah masyarakat sekitar. Aril dan Don bersemangat mahu jadikan perkarangan itu sebagai ruang acara. Mereka malah keluarkan kos untuk bersihkan kawasan tangga yang sebelum itu sudah berlumut.
Saya dapat tahu bahawa mural itu pernah dipadam seketika. Semua lukisan di situ dilapis dengan cat putih sehinggalah konservasinya diusahakan UM dengan kerjasama Balai Seni Negara pada 2012 hingga 2013.
Mengapa ia dipadam, saya pun tak tahu. Gambar bangunan itu yang dipenuhi cat putih ada dikongsi Musrizal Mat Isa, antara artis yang terlibat dalam projek konservasi mural tersebut. Tanpa mural, bangunan itu nampak bosan dan tak bernyawa. Berbeza dengan keadaannya sekarang.
Satu lagi faktor yang buat bangunan itu lebih bernyawa ketika ini ialah kewujudan Kona Mokapot. Kafe itu tidak putus pengunjung sejak mula kewujudannya. Ditambah dengan padang Varsity Green yang aktif dengan permainan bola sepak hampir setiap malam, kawasan yang dulunya tersudut di antara tasik dengan Dewan Tunku Canselor itu semakin hidup.
Kona Mokapot buat kawasan itu kembali relevan dengan kehendak orang muda, terutamanya pelajar universiti. Baru tiga bulan lepas, ruang depan Kona Mokapot penuh-sepenuhnya dengan manusia apabila Masdo beraksi dalam jelajah menuju konsert 10 tahun mereka.
Macam saya cakap tadi, saya sendiri dah tiga kali anjur acara di situ. Bermula dengan persembahan akustik malam tahun baharu 2024 yang kami namakan sebagai Rukun Tanji, kemudian Temasya Tahun Baharu 2025 dan terbaharu, Bacaan Esei Algorifobik pada Julai lalu.

Kerana faktor lokasi dan keselesaan, Kona Mokapot jadi lokasi acara yang menarik. Dan saya yakin juga, sebab mereka, makin banyak mata membaca nama Ibrahim Hussein di belakangnya.
Seniman jati
Saya mahu menulis tentang Ibrahim Hussein sebab saya percaya, lebih ramai anak muda perlu kenal pelukis legenda ini. Sebab saya lambat kenal dia. Lambat tahu betapa Malaysia pernah subur melahirkan pelukis seterampil itu.
Ketika di Langkawi baru-baru ini, ada pelukis yang menyenaraikan tiga pelukis terulung Malaysia di matanya ketika kami berborak, dan Ibrahim Hussein diletakkan di tangga pertama.
Saya pernah lihat foto lukisan Ayahku dan Angkasawan yang dibikin lagu oleh Kembara itu. Mengenang yang ia dilukis pada 1970, 23 tahun sebelum saya lahir, setahun selepas rakyat kota Malaysia merusuh, saya hanya menelan kagum. Entah apa rasa yang akan ditelan kalau dapat melihatnya depan-depan.
Bila Ibrahim kata, ketika melukis dia sunyi dan sendiri, macam tengah sembahyang, saya merenung semula kerja-kerja menulis yang saya buat. Di dalam bilik, di meja mamak, di dalam kafe – pernahkah saya rasa sunyi sedalam itu ketika menulis?
Dan sepanjang mendengar rangkuman temu bualnya yang melatari dokumentari pendek terbitan Balai Seni Negara, saya banyak rasa tersentuh. Dia seniman sejati yang faham seni serta perasaan menjadi seniman. Apatah lagi apabila suaranya yang dalam fikiran saya semakin kuat dan berdengung, mengucapkan soalan: “Tapi apa akan terjadi bila I tak ada lagi di sini?”.
Mengenangkan Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein di Langkawi yang sudah musnah, saya fikir, apa saja warisan Ibrahim yang tinggal sekarang perlu dijaga sebaik-baiknya. Termasuk mural di bangunan yang suatu masa dulu pernah menjadi bilik persalinan atlet.
Saya tak tahu bagaimana pelukis mencipta nama yang ikonik. Melalui karya, jualan berjuta, aktivisme atau keterampilannya sendiri? Tapi saya yakin, Ibrahim ada semua.
Dia punya dua abang yang terbilang, Sasterawan Negara Abdullah Hussein dan yang orang gelar pendeta, Ismail Hussein. Tapi legasi Ibrahim dalam seni lukis dunia berdiri dengan sendiri. Ia gemilang dengan caranya yang tersendiri.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

Tepat sekali dan terima kasih Tuan yang celik mata hati. Saya , ex kurator Balfai Sreni Negara yg mengusahakan pameran ArkIB tersebut bersama rakan kurator Faizal Sidek diambang era Covid amat teruja menglkaji Ib .Baru2 ini juga saya meneliti bakti Allayarham Prof Diraja utk UACD UM mengusahakan sebuah Galeri/ Memorial di tapak bekas kediamannya sewaktu VC dulu.
Ironis pihak institusi Penaung kedua2 tokoh ini menghempaskan sahaja amanah warisan budaya ke tanah sebegitu sekali hingga serpihan jarum kaca budi yg paling halus masih bertebaran dan menusuk jejak kaki dan memori kita yang menjadi saksi di zaman ini.