Dia mengorbankan dirinya supaya manusia punya makanan dan bebas dari sumpahan kemarau. Dari tubuhnya tersebar benih padi, tumbuh menjadi beras dan nasi.
Legenda Huminodun hidup dalam alam fikir masyarakat Borneo, khususnya etnik Kadazandusun dalam pelbagai versi. Salah satu tafsirannya akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 Mei hingga 1 Jun ini.
Pementasan teater muzikal Puteri Nabalu itu direalisasikan KGE Studio dan Persatuan Bantuan Masyarakat Sabah (BANTU) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pertubuhan Anak Karya Malaysia (PAKAR). Ia turut mendapat sokongan dana melalui geran Arts For All Seasons (ArtsFAS) Yayasan Hasanah.
Ada dua agenda yang cuba dibawa Teater Muzikal Puteri Nabalu. Pertama, sebagai usaha melestarikan kisah legenda masyarakat Sabah dan kedua, manifestasi pemerkasaan wanita melalui watak Huminodun.
Kedua-dua agenda diletak setara dalam gerak kerja pementasan tersebut, namun dijiwai secara berbeza oleh penggerak-penggeraknya.
Bagi pengasas KGE Studio yang turut berperanan sebagai pengarah muzik teater tersebut, Anas Amdan, dia kagum dengan keterikatan warga Sabah dengan akar budayanya, termasuk kisah legenda seperti Huminodun. Maka, dia mahu penonton di Semenanjung turut sama merasai ikatan itu, malah mungkin mencontohinya.
“Mereka masih menghargai akar budaya, dari yang berusia sampai yang muda. Itu yang saya nak tunjukkan di sini (Kuala Lumpur),” kata Anas dalam sidang media yang diadakan di Riwayat Bookstore, Kuala Lumpur pada 11 April.

Pengarah persembahan, Nawfal Zamri pula melihat kisah Huminodun sebagai naskhah yang sarat dengan nilai kekeluargaan, terutamanya pada watak ibu kepada Huminodun.
“Sekarang, manusia sudah kurang menjadi manusia. Kita perlu lebih menghayati kisah-kisah kekeluargaan, bagi saya,” katanya.
Bagi pelakon utama, Queennera yang memegang watak Huminodun, keutamaannya adalah untuk memperkenalkan legenda Sabah kepada warga Semenanjung.
Namun, selain itu, sebagai seorang wanita yang membawa watak wanita legenda, dia mahu mempamerkan kekuatan Huminodun yang mampu memperkasakan wanita lain.
“Saya mahu tunjukkan penghargaan terhadap pengorbanan Huminodun yang bukan kosong, hatinya penuh keberanian untuk menyelamatkan manusia daripada kebuluran,” jelasnya.
Teater Muzikal Puteri Nabalu membawa mesej yang sarat dan sejagat. Melalui legenda Huminodun, ia membawa persoalan pengorbanan, ketuhanan dan hubungan antara manusia dengan alam.

Naskhah Puteri Nabalu pertama kali dipentaskan pada 2022 di Auditorium JKKK Sabah, Kota Kinabalu.
Dengan tajuk Huminodun: Princess of Nabalu the Musical, teater yang diterbit Suka Seni, BANTU dan Stage Production itu merangkul empat anugerah dalam Anugerah Teater Malaysia 2022, iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Gubahan Lagu Terbaik dan Teater Muzikal Terbaik.
Kali ini, terdapat beberapa perubahan dibuat pada skrip memandangkan legenda Huminodun mempunyai pelbagai versi dan riwayat yang berbeza.
Menurut pengarah kreatif, Amsalib Pisali, naratif yang dibawa dalam teater kali ini mengambil titik tengah antara pelbagai versi yang ada dan cuba mengharmonikan kandungan kepercayaan animisme dengan budaya masyarakat setempat.
Pementasan Teater Muzikal Puteri Nabalu akan berlangsung selama tiga hari, bermula 30 Mei hingga 1 Jun di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.
Tempahan tiket boleh di buat di ticket2u.com bermula 18 April ini.
