TIADA sesiapa pernah terfikir, ada keperluan untuk mewujudkan jawatan eksekutif atau pengurus media sosial. Pengguna media sosial dan internet masih berseronok berinteraksi dalam pelbagai platform. Hingga ianya berkembang dan wujudlah jawatan tersebut dalam sesebuah organisasi.
Jika dahulu kebiasaannya ada jabatan rekabentuk grafik dan sebagainya untuk menyelia bahan pengiklanan atau promosi sesebuah syarikat atau syarikat akan mengupah agensi untuk menguruskan upper and bottom line advertising. Kini posisi ditambah dengan perkhidmatan baharu seperti content creator, influencer, social media executive dan lain-lain yang seumpamanya. Dan kini ianya bukan hal baru dalam sesebuah agensi atau syarikat, malah menjadi keperluan utama.
Social media executive, merupakan satu jawatan yang menuntut kemahiran tambahan dan cara memahami pengiklanan kreatif yang berbeza di setiap platform media sosial. Dan terciptalah juga peranan influencer atau pempengaruh yang wujud dari pelbagai platform untuk menjana pendapatan.
Kemahiran seperti video editing, videografi, fotografi, copywriting, script writing, storyboard (walaupun macam tak berapa nak ada) dan sebagainya diperlukan oleh pempengaruh untuk menjana kreativiti serta mengembangkan database tontonan. Mereka adalah ‘ketagihan’ baru selain permainan video, kartun, dan televisyen satu ketika dahulu. Ada remaja lebih gemar menonton celoteh pempengaruh daripada menonton kartun atau bermain game. Ini ketagihan ‘pempengaruh’ yang betul-betul telah berjaya mempengaruhi penontonnya.
Kini Artificial intelligent atau Kecerdasan buatan (AI) mula berkembang. Dan perkembangan ini nampaknya lebih pantas dari yang dijangkakan. Ada pelbagai reaksi tentang kemunculan AI. sama ada positif atau negatif.
AI adalah tidak lebih daripada sekadar ‘tools‘ untuk manusia gunakan dengan sebaiknya. Ia boleh jadi memudahkan atau menyusahkan jika digunakan dengan niat tidak baik. Terdapat pelbagai platform yang menggunakan AI. ianya bukan sekadar menjadi enjin carian atau menjana imej. Ianya juga akan menambah baik setiap perisian yang ada pada masa kini. Adobe misalnya telah menggunakan AI dalam menambah baik perisian mereka. Microsoft dan Apple juga telah mempunyai AI dalam sebahagian perisian mereka. Syarikat telefon bimbit mula memasukkan AI di dalam produk mereka. AI terlalu pantas berkembang dan mula menjadi kebimbangan sesetengah orang. Dan persoalan yang selalu timbul, adakah AI akan mengambil alih pekerjaan manusia?.
AI akan (telah) menjadi sebahagian dari kehidupan pengguna smartphone, komputer, mesin, kenderaan, robotik, dan lain-lain keperluan produk dalam pelbagai bidang, malah boleh pergi lebih jauh hingga ke bidang ketenteraan dan aeroangkasa pada masa akan datang, mungkin 5 ke 10 tahun akan datang atau lebih awal.
Jika pengguna sesuatu bidang tidak meningkatkan kemahiran baru atau mempelajari kemahiran baru menggunakan perisian yang memang tersedia mempunya AI, mereka akan ketinggalan.
Saya teringat satu ketika dahulu saya telah mula menggunakan autocad release 14. Namun di studio masih menggunakan release 12. Terasa terkehadapan sedikit dari orang lain. Kembang kuncup hidung bila tengok release 12. Bila idea nakal sampai, kita tukar setting script dan command jadi lain di komputer studio. Kelam kabut hari esoknya bila semua komputer dianggap kena serangan virus.
Dari zaman DDSH, release 10 ke 12 tu, Kemudian boleh buat 3D dari AutoCAD dengan beberapa command yang perlu dipelajari. Teruja waktu itu. Kemudian muncul pula 3D max, 3D viz, 3D SketchUp, Revit dan BIM system. Dengan pelbagai rendering engine dari vray, podium, corona, blender, enscape, dan entah apa lagi. Datang pula open source 3D seperti Blender. Akhirnya kita perlu pilih yang mana betul-betul sesuai.
Kini rendering engine dan 3D generated mula ada input dari AI. Tidak mustahil satu hari nanti boleh buat construction drawing siap dengan BIM (Building Information Modelling), dan 3D hanya menggunakan prompt. Siapa tahu?
Jadi adakah AI akan mengambil alih pekerjaan manusia?. Mungkin ya dan mungkin juga tidak, kerana saya fikir ia mungkin akan menambahkan pelbagai jawatan baharu dengan kemahiran tinggi yang diperlukan pada masa itu, sesuai dengan zaman dan manusia yang hidup pada waktu itu. Tidak akan berkurangan sedikit pun pekerjaan malah ia akan menuntut manusia bekerja lebih bijak dalam kemudahan dan kelajuan AI itu sendiri.
Ingat maklumat (information/database) adalah lombong ’emas’.

