Pendahuluan
Noor Aishah Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Noura AR merupakan seorang pelukis dan pemuisi. Mendapat pendidikan seni secara formal di Jabatan Seni Halus, Kajian Seni Lukis & Seni Reka (KSSR/AD), Institiut Teknologi MARA (ITM) (1982-1986), karya-karya Noura AR pada peringkat awal penglibatannya dalam seni telah dipamerkan dalam beberapa pameran utama seperti Bakat Muda Sezaman dan 2nd ASEAN Youth Painting Workshop and Exhibition pada tahun 1984.
Namun begitu, setelah menamatkan pengajian dan mendirikan rumah tangga, dia “berehat” daripada dunia seni kerana menumpukan sepenuh komitmennya kepada keluarga. Meskipun suami dan anak-anak menjadi keutamaannya, dia sentiasa mengikuti perkembangan seni dan memendam niat dalam hati bahawa pada suatu hari nanti dia akan kembali aktif dalam dunia kreatif yang disayanginya itu.
Suatu hari nanti itu adalah sekarang.
Sejak kembali melukis pada tahun 2021, Noura AR sempat menyertai beberapa pameran secara berkumpulan seperti “Trans Lokasi” (Disember 2022) dan “Siluet Wanita: Ekspresi dan Emosi” (Galeri Puteh, 2024) dan pameran mini solo “A Time to Remember” sebagai suatu penghormatan terhadap almarhum suaminya yang juga seorang pelukis, Mohamed Akif Emir di Galeri Fergana (Februari 2023).
“Hikayat,” kumpulan karya terbaharu Noura AR yang dihasilkan antara tahun 2021 hingga 2026 dan telah diperagakan sebelum ini di Galeri Seni HARTA Space daripada 3 hingga 31 Mac 2026 lalu bukan sahaja menandakan kembalinya dia dalam dunia seni, malahan lebih daripada itu, mencerminkan kegigihan, kekentalan jiwa, perjalanan hidup dan kehidupannya sebagai seorang insan seni, wanita, isteri dan ibu.
Mulai 15 Ogos hingga 30 September 2026 ini, “Hikayat” akan diperagakan di ChinaHouse Pulau Pinang.
Latar Diri Sepintas Lalu
Noura AR dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 17 November 1963. Ayahnya merupakan seorang pegawai tentera sementara ibunya suri rumah sepenuh masa. Oleh kerana tugas bapa sebagai tentera memerlukan dia berkhidmat di merata tempat dalam negara, mereka sekeluarga sering berpindah dari satu tempat ke tempat-tempat lain bagi memenuhi tuntutan tugas dan tanggungjawab kepada negara. Justeru itu, setelah dua bulan dilahirkan, keluarga Noura berpindah semula ke Malaysia.
Hal ini menyebabkan Noura juga berpindah dari satu sekolah ke sekolah-sekolah lain, bermula di Kem Wardieburn Kuala Lumpur, kemudiannya berpindah ke sekolah-sekolah di Melaka, Batu Gajah, Perak, Sabah, Sarawak dan akhirnya di Teluk Intan, Perak. Pada usianya enam tahun, ibu bapa Noura berpisah, justeru itu dia dan adik beradik mengikut dan tinggal serta membesar bersama bapa mereka.
Bagi Noura, keadaan ini menyebabkan proses dia membesar lebih bersifat mandiri. Dia juga merasakan keadaan itu telah menjadikan dirinya sebagai seorang pemerhati kehidupan yang tajam namun bersifat introvert.
Kerana sering bersendirian, dia lebih cenderung untuk menjiwai dan memahami manusia dan alam dalam diam sehingga memungkinkan dia menterjemahkan keadaan sekeliling dan perilaku manusia menerusi lukisan. Baginya, inilah satu-satu cara dan kaedah untuk dirinya meluahkan pandangan dan bersuara (Noura AR, komunikasi dengan penulis, Ahad 8 Februari 2026).
Seperti kebanyakan pelukis yang mengikuti pengajian seni secara formal, pendidikan yang diterima sewaktu tempoh pengajian banyak menjadi asas atau pengaruh awal terhadap kerja-kerja seni yang dihasilkan, malahan tidak kurang juga menjadi teras bagi kegiatan seni selanjutnya dalam kerjaya masing-masing. Ketika menuntut Seni Halus di ITM, Noura bertemu dengan Mohamed Akif Emir, rakan sekelasnya yang kemudiannya menjadi suaminya.
Di ITM, Noura AR membina tapak seninya. Noura amat tertarik dengan seni dekoratif dan keindahan ragam hias dalam seni catan miniatur dan manuskrip Parsi seperti dalam kisah-kisah himpunan “Hikayat Seribu Satu Malam.”
Unsur dekoratif yang kuat berasaskan motif-motif flora dan fauna, serta pengolahan figura yang papar dalam konteks perspektif dan ruang cetek menarik perhatiannya. Pendekatan yang indah selaras dengan kesenian Islam itu bukan sahaja memikat dirinya, malahan kemudiannya menjadi alternatif kepada penghasilan imejan figura yang realistik.
Kecenderungan Noura terhadap ragam hias dan pendekatan seni dekoratif ada kaitannya dengan pegangan beliau terhadap pendekatan visual dalam Seni Islam yang menolak realisme dan berpegang kepada abstraksi: pendekatan yang berasaskan kaedah penggayaan, pengubahan sifat semula jadi dan pengulangan subjek.
Lantaran itu, dia mengadaptasi pendekatan-pendekatan kesenian Islam sejak menuntut di ITM lagi. Meskipun begitu, pada penglibatan awal itu, Noura AR juga amat meminati karya-karya pelukis impresionis Claude Monet yang inovatif, merakam cahaya dan bayang menerusi pengolahan sapuan berus penuh warna indah lagi permai, di samping terpikat dengan unsur-unsur dekoratif halus dan rumit yang menghiasi rupa bentuk figura manusia dalam karya-karya Gustav Klimt.
Hal ini semua menambah lagi kecenderungannya terhadap aspek dekoratif dalam seni lalu dimanifestasikan dalam karya-karyanya sendiri sehingga kini.
Setelah berumah tangga pada tahun 1986 dan kemudiannya dikurniakan cahaya mata, Noura AR mengambil keputusan untuk berehat dari seni. Dia mahu menumpukan sepenuh masanya untuk menguruskan rumah tangga. Hasil perkahwinannya dengan Mohamed Akif Emir, mereka dikurniakan lima orang puteri. Puteri-puterinya itu adalah jantung hatinya.
Meskipun berehat dari seni lukis, Noura AR tetap mengikuti perkembangan seni tanah air. Baginya, melihat rakan-rakan seangkatannya, terutamanya rakan-rakan sekuliah seperti Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Mastura Abdul Rahman dan Rositah Ibrahim terus aktif berkarya dan mencipta nama, terdetik di hatinya bahawa suatu hari nanti dia akan kembali. Kejayaan rakan-rakannya membakar semangat seninya.
Perihal Keluarga dan Seni
Keluarga, suami dan anak-anak adalah segala-galanya buat Noura AR. Justeru itu, bila ada yang sakit dan ditimpa musibah, dia juga akan merasai penderitaan dan kesakitannya. Keadaan kesihatan suaminya Mohamed Akif semakin merosot terutama dalam tiga tahun sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19 sekitar 2020 dan akhirnya meninggal dunia pada tahun 2022.
Tiga tahun itu merupakan fasa paling kritikal dalam hidup Noura dan keluarganya. Kelangsungan hidup sangat terjejas dan Hospital Selayang sudah menjadi semacam rumah kedua baginya. Pada ketika itulah Noura mula melukis kembali untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarga. Dia mula menghasilkan siri “Pot Lux” bagi menjana pendapatan dan mula menghasilkan catan semula pada sekitaran tahun 2021.
Menurut Noura, “Pot Lux” atau singkatan bagi “Pot Luxury” adalah seni berfungsi, pasu seramik yang mendapat sentuhan lukisan tangannya. Dihasilkan dalam edisi terhad, umumnya pasu-pasu seramik itu dihiasi dengan catan atau lukisan motif flora yang dekoratif lagi indah dan sesungguhnya keindahan itu menjadi teras pembentukannya.
Beliau mendapat ilham dan dorongan awal mencatan atas pasu oleh galakan dari seorang ahli keluarga terdekatnya yang biasa melihat produk seni sedemikian di Mexico, tetapi tidak pernah melihatnya di Malaysia. Atas cadangan dan dorongannya itulah Noura menghasilkan “Pot Lux” bagi menjana pendapatan keluarga dan membiayai kos perubatan suaminya.
Ketika mula menghasilkan catan semula pada tahun 2021, Akif banyak memberinya sokongan, idea dan pandangan. Apabila Akif meninggal dunia, Noura berhenti melukis bagi mengumpulkan semula semangat dan tenaganya bagi mengatasi segala tekanan setelah perginya insan tersayang.
Pemergian Akif membuatkan Noura AR mengalami depresi dan tidak mahu berbuat apa-apa lagi. Anak-anaklah yang banyak memberi semangat dan menggalakkannya untuk kembali melukis. Mereka risau meninggalkan ibu mereka bersendirian di rumah sewaktu mereka keluar bekerja. Mereka percaya, dengan melukis kembali, Noura akan dapat menjauhkan dirinya daripada rasa kedukaan yang berpanjangan.
Meskipun melukis kembali, ada kegusaran di sudut hati Noura perihal penerimaan khalayak seni terhadap karya-karyanya kerana tidak ramai yang mengenalinya, sementelahan dia sudah agak lama meninggalkan dunia seni dan pameran. Dalam hatinya, dia sedar yang sesetengah galeri seni hanya mempamerkan karya pelukis-pelukis di bawah naungan mereka ataupun hanya mengundang pelukis-pelukis yang sama untuk berpameran.
Justeru itu, dia amat bersyukur dan berterima kasih apabila Jaafar Ismail dan Ruzaimah Latif dari Galeri Fergana mengundangnya untuk berpameran dan menampilkannya semula ke dalam dunia seni lukis tanah air menerusi pameran mini solo “A Time to Remember” sebagai penghormatan pada almarhum suaminya pada Februari 2023. Beberapa rakan rapatnya juga menjadi penggalak dan pendorongnya untuk mula berkarya semula.
Kedukaan berulang, apabila pada tahun 2024, anak keduanya pula meninggal dunia setelah tewas melawan kanser pada usia 33 tahun dengan meninggalkan dua orang anak yang masih kecil yang masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun.
Sebelum dia pergi buat selama-lamanya, Noura menghabiskan masanya lebih sebulan berulang-alik ke hospital menjaganya, dari wad biasa hinggalah ke wad rawatan intensif. Inilah ujian yang amat besar bagi dirinya dan ujian itu membuat dia berfikir tentang diri dan tingkahlakunya, mengajar serta memberi kesedaran.
Dia tidak memerlukan mana-mana tokoh untuk memberi inspirasi: suami, anak-anak dan keluarga adalah inspirasi sebenar bagi dirinya. Dia mahu bangkit semula!
“Hikayat”: Puisi Visual Noura AR
Bagi Noura AR, “Hikayat” adalah suara hati dan cerminan perjalanan hidupnya, sebagaimana katanya:
“HIKAYAT adalah satu pementasan suara dan cerita, dari naskhah pengalaman hidup dan sejarah, yang diterjemahkan oleh penghayatan mata, suara hati dan liuk lentuk tangan yang berpencak dengan gumpalan warna-warna dan sumber alam, di mana semua ini terbukti mampu mewakili suara hati yang tidak terucapkan.
HIKAYAT adalah suatu pengajaran, suatu ujian hidup, satu kembara penebusan diri kepada ya Khaliq. Satu penyerahan hati dan diri kepada-Nya. Setiap helaian dalam buku kehidupan mencatatkan tidak sedikit tawa ria, luka berdarah, ketakutan, kebimbangan, mata yang bersaksi dan jiwa yang dipaksa teguh berdiri. Semuanya bercerita dalam HIKAYAT.”
(Noura AR, Pernyataan Karya, Khamis, 5 Februari 2026).
Secara umum, terdapat enam siri karya utama dalam “Hikayat”: Syorgalima: dua karya; Bercanda di Taman Firdausi: enam karya; Palestine: empat karya; Siri Kembara Bidadari: dua karya; Hikayat 1001 (Seribu Satu) Cinta: satu karya; dan Pergi Sudah Cinta Hati: dua karya. Setiap satunya diiringi dengan pernyataan karya yang jelas.
Selebihnya, karya-karya itu boleh berdiri sendiri tanpa kategori atau siri khusus, namun saling berhubungan dari segi pengolahan bentuk dan makna. Noura juga menampilkan buku kumpulan pusinya, Puisi Larut Malam (Bingkas Kebayan, 2024) bagi mengiringi karya-karyanya.
Menurut Noura, “Syorgalima” adalah “pernyataan rasa syukur dan cinta. Syukur atas kurniaanNya dalam rupa lima cahaya permata yang datangnya bersama segunung amanah dan berkongsi hitam putih kehidupan” (ibid). Rasa kesyukuran itu dijelmakan dalam dua karya, iaitu “Syorgalima,” akrilik dan campuran atas kanvas, 92cm x 184cm (2021) dan “Syorgalima 2” akrilik dan campuran atas kanvas, 121.9cm x 243.8cm (2021).
Rasa kasih sayang itu diterjemahkan menerusi imejan pakaian yang penuh dekoratif dengan motif-motif floral yang halus lagi menawan. Berpegang dengan prinsip penolakan imejan figura realistik, Noura menekankan aspek dekoratif dan ragam hias bagi menyimbolkan rasa kasih sayang dan kecintaan kepada anak-anaknya.
Menurut Noura, hubungannya dengan kelima-lima orang anaknya itu sangat rapat, dan apabila seorang daripada mereka pergi buat selama-lamanya, kesannya begitu mendalam buat mereka yang tinggal, terutama pada diri Noura sendiri. “Syorgalima” adalah gambaran impiannya, perihal kesemua anaknya masih ada dan dalam suasana hidup bersama. Namun, ini hanyalah dunia impian kerana apa yang diimpikan tidak semestinya berlaku atau kekal.
Karya-karya dalam “Siri Bercanda di Taman Firdausi” agak intim rupa dan jiwanya, misalnya dalam catan “Teranglah Malam-Di Taman Kenangan,” akrilik dan campuran atas kanvas, 122cm x 152cm (2023), “Taman Melimpah ke Meja,” akrilik atas kanvas, 92cm x 122cm (2023), dan “Di Sini, Taman Bercanda,” akrilik dan campuran atas kanvas, 92cm x 122cm (2023).
Penampilan karya-karya ini bagaikan catan alam benda yang bercorak papar dengan imejan jambangan bunga dan pohon-pohon berlingkaran menerbitkan unsur intimisme yang kuat. Intimisme itu juga terjelma menerusi pengolahan bentuk penuh ketelitian, kesungguhan dan ketekunan yang Noura tunjukkan dalam membentuk komposisi, corak dan motif-motif bungaan halus.
Kemuncak pada rasa yang dicurahkan dalam semua siri ini adalah karya “Hikayat 1001 (Seribu Satu) Cinta,” akrilik, kolaj dan campuran atas kanvas, 122cm x 152cm, (2025) yang diperjelaskan Noura, “inilah realiti yang hanya berlaku dalam mimpi. Ini dambaan dan gambaran yang saya impikan.
Namun kita lupa, hidup adalah satu ujian, bahtera yang selalunya berlayar di laut bergelora dan tidak semestinya berlabuh di pelabuhan inderaloka. Kita biasanya lupa syurga berada di awangan sana, sukar untuk diterjemah dalam realiti dunia ini. Namun kita akan terus melukis mimpi, menyulam harap, supaya kaki masih mampu melangkah, tangan masih teguh menongkah arus.” (ibid).
Karya-karya lain berdiri sendiri, tanpa dikelompokkan Noura dalam mana-mana siri catan yang tertentu. Sebahagiannya menampilkan imejan figura tidak lengkap dengan pengolahan pakaian atau tekstil yang dekoratif lagi berlebih-lebihan; pemandangan interior yang sunyi tapi intim; komposisi alam benda; dan gabungan komposisi flora dengan objek-objek hiasan dalaman.
Dalam “Permaisuri Biru,” akrilik dan campuran atas kanvas, 122cm x 152cm, (2021), “Pasu Kosong di Jendela,” akrilik atas kanvas, 200cm x 91.4cm (2022) dan “Bulan Kesiangan – Garisan Waktu,” akrilik dan campuran atas kanvas, 122cm x 152cm, (2024), wajah-wajah figura sengaja tidak digambarkan sebaliknya didominasi pakaian dan tekstil pelbagai corak.
Sebahagian karya pula merupakan gabungan komposisi flora dengan objek-objek hiasan dalaman seperti “Taman Kencana,” akrilik atas kanvas, 100cm x 100cm, (2024), dan “Di Bawah Terang Bulan,” akrilik dan campuran atas kanvas, 240cm x 120cm, (2025). Dalam kebanyakan karya ini, unsur flora yang menjalar seakan-akan menyatukan seluruh subjek dan objek dalam komposisi karya.
Hal ini mengingatkan khalayak kepada nilai estetika Melayu yang tercerna dalam falsafah seni ukiran Melayu tradisional: “Tumbuh Berpunca, punca penuh rahsia, tajam tidak menikam lawan, tegak tidak memaut kawan, tapi berlegar penuh mesra” (Dipetik oleh Aziz Deraman dalam Sulaiman Esa, Jurnal Semurni, Jun/Dis 1997: 25) yang bukan sahaja menggambarkan kehalusan seni ukiran kayu tradisional, tetapi juga melambangkan sifat budi pekerti Melayu yang tinggi dan luhur, berakar umbi pada prinsip, tidak sombong, tidak menyakiti lawan, serta bersaudara dengan penuh mesra, justeru mencerminkan nilai Islam dan adat budaya tradisi yang murni.
Rentetan daripada penghayatan falsafah itu, rasa kasih dan simpati Noura bukan sahaja terbatas dalam lingkungan perihal perkara yang berlaku ke atas diri dan keluarganya, malahan juga kepada orang lain, dan dalam konteks ini saudara seagama di Palestine yang diterjemahkan menerusi beberapa karya bertema demikian.
Kesimpulan
Karya-karya Noura AR adalah puisi visual yang mencerminkan suara hatinya. Berteraskan falsafah dan nilai estetik kesenian Melayu dan Islam, karya-karyanya diolah dengan penuh kefahaman, kesungguhan dan ketelitian dalam menterjemahkan perihal alam, kehidupan, kemanusiaan dan ketuhanan.
Sebagai pelukis dan pemuisi, Noura AR meluahkan suara hatinya ke dalam kebanyakan karya menerusi pendekatan manifestasi dua seni. Ketrampilan seni ini adalah suatu keistimewaan dan keunikan yang jarang-jarang dimiliki banyak seniman.
Terpikat dan terpesona dengan unsur-unsur dekoratif dan ragam hias dalam kesenian tradisional, moden serta catan miniatur kesenian Islam, Noura AR menterjemahkan naratif, mesej dan makna berlandaskan prinsip-prinsip abstraksi dan penolakan terhadap realisme.
Karya-karya Noura AR kaya dengan naratif kehidupan kendiri, namun tidak meminggirkan penderitaan orang lain, dalam pengolahan yang penuh keintiman dan intimisme.
Dia menyerap kesedihan, kesayuan, kesunyian dan impian tanpa meminggirkan nilai-nilai keindahan, kerana dia percaya “Sesungguhnya, Allah itu indah dan menyukai keindahan” (HR Muslim). Karya-karya seninya adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.







