Lepas pulang, ketika mengulang-ulang memori pementasan Persiapan Seorang Aktor, barulah rasa benci dan menyampah itu meluap.
Mengenang katil bujangnya yang bersepah, muka penyek yang malas nak buat semua benda, sampai mandi pun isteri nak kena paksa, heret dan mandikan. Mulutnya pula tak habis meratib nama dan jargon teater.
Sadiq Saufi ialah rupa orang seni yang saya benci. Sebab itu babak akhir, tiba-tiba Sadiq diangkat sebagai tokoh teater, tiada apa-apa katarsis untuk saya. Ia penganugerahan yang cetek dan tangkap muat.
Ia hanya menunjukkan, dalam realiti Sadiq, dunia teater sedang malap dan gelap. Sampai pelakon yang mendera emosi isteri dan menyusahkan produksi itu diangkat setinggi langit.
Hidup dulu, seni kemudian. Boleh saja mahu berseni tapi jangan sampai hidup dan keluarga diabai. Kalau mahu juga tubuh menyatu dengan seni, hidup seorang diri, jangan libatkan orang lain. Itu pun nasib baik Sadiq dan Nina belum ada anak.
Anak yang terabai kerana kegilaan ibu bapanya terhadap seni ada kemungkinan akan membenci seni. Begitu kitarannya — seni merampas bapak dari aku, maka aku latih diri benci pada seni.
Resah Nina
Benci saya pada Sadiq mungkin sebab keberkesanan skrip Saat Omar, pengarahan Dr. Syahrul Musa, atau lakonan Aloy Paradoks, Namron dan Fazleena Hishamuddin. Betul, Fazleena mainkan peranan penting.
Sebab saya nampak resah geram Nina yang dipendam. Dia perempuan tabah dan tercerah tetapi harapan dan perkahwinan memasung dia dalam rumah itu, mencuba apa saja usaha untuk memangkin kerjaya lakonan suaminya yang tak reti diri.
Ruang tempat letak katil Sadiq dan tab mandi itu ruang gelisah untuk Nina. Setiap kali masuk ke ruang itu, hatinya kecamuk mahu hadap beban rutin memujuk kepala seni suaminya supaya berfungsi dalam hidup nyata.

Setiap kali berpeluang keluar dari ruang itu pula – untuk ke dapur, hantar suami ke latihan atau ke kedai beli beras – Nina girang cemerlang. Senyumnya melebar dan hatinya berbunga.
Watak Nina dipromosi sebagai penyokong kuat Sadiq Saufi sebagai pelakon teater tapi kalau Sadiq reti diri, tahu mengimbang realiti dengan seni, Nina tak perlu berkorban rasa seteruk itu. Nak makan pun beras tak ada.
Nak jadi pelakon yang gila-gila, biarlah makan minum anak bini terjaga. Macam nak jadi pelukis, biar sampai boleh bawa BMW.
Bercakap tentang pelukis yang bawa BMW, bila masa saya kata saya orang Perak? Selama ini tak pernah saya rahsiakan yang saya ini asal Johol, Negeri Sembilan.
Tapi itu mungkin masalah orang Kuantan yang sebolehnya mahu claim semua benda yang baik berasal dari Kuantan.
Pelukis yang saya tak mahu sebut namanya itu, Abdullah Jones, juga tak ada telefon. Saya ingat tujuannya tak ada telefon sebab mahu asah ingatan supaya tak karat dimakan usia, tapi dia masih harapkan orang yang ada telefon untuk ambil gambar lokasi parking. Bila ingatan kelabu, itu yang buat dia fikir saya orang Perak.
Renung diam dan menung
Hati saya puas mendengar Razak Stanislavski memaki Sadiq. Apa yang Sadiq buat, walau bagaimana cemerlang dia berlakon watak Hamlet, tak boleh dibiar tak berbalas. Dia perlu bayar. Kata maki Razak mungkin tak cukup tapi sekurang-kurangnya, ia ada.
Cuma Razak juga, seperti Nina, terlalu mengagungkan kehebatan Sadiq. Itu yang buat Sadiq lupa diri. Dia rasa dirinya tak boleh diganti.
Sadiq akhirnya membintangi Hamlet, menyampaikan senandika beremosi sehingga dijulang sebagai pelakon teater handalan. Pengakhiran yang baik untuk watak yang buruk. Saya menyampah.
Tapi begitulah mungkin tujuannya seni. Untuk menghampar kemungkinan-kemungkinan yang berlaku dalam dunia, baik ia menyenang atau meresahkan.
Lipur lara juga salah satu cabang seni. Tujuannya, seperti dalam namanya, melipurkan lara penonton, atau pembikinnya. Fantasi-fantasi happy ending buat orang lega.

Persiapan Seorang Aktor sebuah naskhah ringkas tetapi di dalamnya, di celah-celah riak wajah pelakonnya, ada naratif terpendam yang membawa kedalaman.
Sadiq pada babak akhir lebih diam dan termenung. Cakapnya tak kuat. Mungkin insaf, mungkin itulah Sadiq sebenar yang tidak disurup hantu watak-wataknya.
Dia sukar menerima anugerah dari jabatan kerajaan. Impostor syndrome, mungkin, atau lebih besar kemungkinan, dia tahu yang patut menerima anugerah itu ialah isterinya. Nina satu-satunya tali yang memasak tapak Sadiq di atas tanah, mengelakkan dia terawang terbang. Nina ialah graviti.
Dan diam dan menung Sadiq perlu direnung semua orang seni. Hidup dulu, seni kemudian.
Orang seni mudah hanyut dalam ilusi kebijaksanaan. Fikirannya halus, orang lain kasar-kasar. Tapi seni yang terjarak dari masyarakat, yang berguling atas tilam ditenggelam selimut buku-buku Rusia hanya syok yang sendiri.
Orang bijak tak susahkan hidup orang lain, apatah lagi isteri dan kawan-kawan sendiri. Jangan bangga laung “hanya orang teater yang faham orang teater” kalau orang teater tak ada usaha nak faham orang di sekelilingnya.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

Nice one Syafiq.