The Pear Tree memaparkan kehidupan Mahmūd (Homayoun Ershadi: Taste of Cherry, The Kite Runner) dengan pengalaman temporal yang tidak linear dan bernostalgia reflektif, di mana masa tidak bergerak secara kronologi, sebaliknya berlingkar melalui ingatan, kehilangan, dan kebuntuan kreatif. Masa lalu, masa kini, dan bayangan masa depan hadir secara bertindih dalam kesedaran subjek, tanpa pernah mencapai resolusi yang benar-benar tuntas. Dari awal, penonton disajikan dengan pergerakan kamera mengikuti tubuh Mahmūd yang berjalan perlahan, berulang-ulang dalam ruang kamarnya, satu pergerakan tanpa tujuan yang menandakan ‘kesedaran’ yang terhenti serta berulang, selari dengan nostalgia reflektif yang tidak berkembang ke arah pemulihan.

Monolog awal Mahmūd membuatkan penonton terpinga-pinga, diselang-seli dengan usaha menulis dan menaip yang sentiasa terhenti, tidak berfungsi sebagai pengenalan naratif konvensional. Sebaliknya, ia menzahirkan krisis eksistensial, kegagalan subjek menyusun dirinya melalui bahasa. Kebuntuan ini mencerminkan hubungan yang semakin longgar antara ingatan, identiti, dan kehidupan semasa, apabila bahasa tidak lagi menyatukan pengalaman, tetapi mendedahkan jurang antara apa yang diingati dan apa yang sedang dialami.
Pengulangan tindakan dan ruang sunyi membentuk ritma masa yang pegun. Masa tidak bergerak melalui sebab dan akibat, tetapi berpusing di sekitar ketiadaan makna yang sukar dirumuskan, sesuatu yang terasa hampir, namun sentiasa tidak tercapai. Maka terjalinlah kebuntuan kreatif yang bertaut dengan waktu yang tidak pernah lurus: masa lalu tidak dapat dipulihkan, masa kini kekal rapuh, dan masa depan hadir tanpa janji penyelesaian. Kebuntuan dalaman ini kemudiannya menemukan bentuk visual melalui kehadiran objek yang berulang, pokok pear sebagai titik pertemuan antara masa, memori, dan emosi Mahmūd. Kebuntuan dan kehangatan nostalgia yang dilayarkan terasa akrab, namun filem ini enggan mengangkat masa lalu sebagai ruang romantik yang harus dirindukan.

Pokok Pear sebagai Mekanisme Naratif
Keindahan filem ini terletak pada penggunaan pokok pear sebagai mekanisme naratif yang membayangi kehidupan Mahmūd. Setiap kali Mahmūd mendekati pokok tersebut, alur cerita seolah-olah memperlahankan langkahnya. Masa kini tidak lagi diteruskan sebagai rangkaian peristiwa, sebaliknya digantung untuk memberi ruang kepada ingatan yang muncul secara berlapis dan tidak teratur. Dalam detik-detik ini, dialog dan tindakan diminimumkan, manakala tatapan dan jeda mengambil peranan utama. Pokok pear itu menangguhkan masa kronologi, membenarkan masa lalu menyusup ke dalam kesedaran Mahmūd tanpa susunan yang jelas, tanpa membawa kelegaan atau penyelesaian, hanya kesedaran terhadap kehilangan dan kebuntuan yang berterusan. Setiap pertemuan dengan pokok ini tidak menggerakkan cerita ke hadapan, tetapi memperdalam lapisan refleksi, menjadikan nostalgia satu pengalaman yang dihadapi, bukan tempat untuk melarikan diri.
Pada tahap ini, pokok pear tidak lagi sekadar pohon latar yang pasif, sebaliknya menjadi metafora eksistensial yang menghubungkan ingatan, masa, dan keadaan afektif subjek. Kehadirannya yang berulang menandakan satu titik tetap dalam aliran masa yang tidak linear. Dalam beberapa babak, pokok ini dicemuh oleh tukang kebun kerana tidak lagi membuahkan hasil, malah hampir ditebang. Ketidaksuburan tersebut membuka ruang tafsiran yang jelas: kehidupan Mahmūd sendiri yang terus wujud dan dipelihara, namun tidak lagi berupaya membuahkan makna. Pokok pear menjadi cerminan langsung kepada kebuntuan kreatif dan emosi watak, hidup tanpa pertumbuhan dan hadir tanpa pembaharuan.

Dalam tradisi sinema Iran, alam sering berfungsi sebagai ruang refleksi dalaman, dan The Pear Tree memanfaatkan pendekatan ini dengan menjadikan pokok sebagai kausa temporal. Setiap pertemuan dengan pokok pear mengaktifkan memori yang tidak berurutan, menghubungkan zaman kanak-kanak, cinta remaja terhadap Mīm, dan kehidupan dewasa yang terhenti. Masa lalu tidak dihidupkan semula secara sentimental, sebaliknya dizahirkan sebagai kehilangan yang tidak dapat dipulihkan, sejajar dengan sifat nostalgia reflektif yang menolak klimaks naratif. Ritual penjagaan pokok oleh tukang kebun, menyiram, memangkas, dan berbicara dengan penuh kasih menggemakan usaha berterusan Mahmūd untuk menghidupkan kembali kreativiti dan makna hidupnya, walaupun tanpa hasil yang sepadan. Dengan itu, pokok pear tidak menjadi simbol harapan, tetapi sebagai saksi bisu kepada ketidakselarasan antara ingatan, usaha, dan hasil, menjadikan nostalgia dalam filem ini satu pengalaman reflektif yang berlegar tanpa resolusi. Permainan warna dalam filem ini juga membentuk pengalaman yang tidak terungkap melalui dialog, sebaliknya hadir sebagai memori dan jarak emosi.
Warna, Memori, dan Peralihan Masa
Dalam The Pear Tree, warna bukan sekadar pilihan visual, tetapi berfungsi sebagai bahasa senyap yang membentuk cara penonton mengalami masa dan memori Mahmūd. Pengalaman naratif filem ini terserlah melalui tiga zon warna yang berbeza, masing-masing membawa makna emosi dan temporal yang tersendiri. Melalui peralihan warna inilah nostalgia bergerak, bukan sebagai kenangan yang mengalir lancar, tetapi sebagai pengalaman memori yang terputus-putus dan berlapis.
Zon pertama dicirikan oleh warna yang pudar dan hampir tidak bernyawa, digunakan untuk menggambarkan kehidupan Mahmūd pada masa kini. Segalanya kelihatan lesu dan tidak bersemangat, seiring dengan kebuntuan hidup dan kreativiti yang dialaminya. Dalam suasana ini, masa terasa seakan berhenti; hari-hari berlalu tanpa perubahan yang bermakna. Warna yang mati ini menandakan kehidupan selepas nostalgia, keadaan di mana memori masih wujud, tetapi kehangatan emosinya semakin menghilang.

Zon kedua pula hadir dalam tona kuning keemasan yang lembut dan hangat, muncul terutamanya dalam memori zaman kanak-kanak dan cinta remaja Mahmūd terhadap Mīm. Warna ini membawa rasa keakraban dan keindahan, namun sentiasa terasa berjarak. Ia menandakan bahawa masa lalu hanya boleh didekati melalui kesedaran, bukan dihidupkan kembali. Di sinilah nostalgia reflektif berfungsi dengan jelas: masa lalu dihadirkan untuk direnungi, bukan untuk dipulihkan.
Yang paling jauh untuk dikenang ialah zon ketiga, yang menggunakan hitam putih sepenuhnya, memutuskan hubungan emosi dengan lebih tegas. Ketiadaan warna menjadikan babak-babak ini dingin dan berjarak, seolah-olah pengalaman yang dipaparkan tidak lagi boleh dirasai, hanya diakui sebagai sesuatu yang pernah berlaku. Berbeza dengan memori yang masih menyimpan sisa kehangatan, hitam putih menandakan kehilangan yang telah membeku, pengalaman yang tidak lagi terbuka kepada emosi atau harapan. Satu episod yang enggan diulang dan dikenang, seperti babak Mahmūd di dalam penjara yang mendapat khabar berita kematian Mīm.

Peralihan antara tiga zon warna ini tidak berlaku secara teratur atau berperingkat. Ia muncul secara tiba-tiba, kadangkala tanpa isyarat yang jelas, mencerminkan cara memori berfungsi dalam kesedaran Mahmūd. Masa lalu, masa kini, dan pengalaman kehilangan saling menyusup antara satu sama lain tanpa susunan yang tetap. Warna dengan itu berperanan sebagai alat naratif yang membimbing penonton merentasi lapisan masa dan emosi, tanpa memerlukan penjelasan atau dialog yang panjang.
Melalui penggunaan warna yang berlapis ini, The Pear Tree memperlihatkan nostalgia sebagai pengalaman yang tidak pernah lengkap atau selesai. Warna tidak membawa penonton ke arah penyelesaian, sebaliknya mengekalkan jarak antara subjek dan memorinya, antara apa yang pernah dialami dan apa yang tinggal kini. Inilah kekuatan visual filem ini: memori tidak ditawarkan sebagai tempat untuk kembali, tetapi sebagai ruang untuk berhadapan dengan kehilangan. Jika warna membezakan lapisan masa dan jarak emosi dalam diri Mahmūd, kemunculan anak murid selepas ini pula memperkenalkan satu dimensi lain, tekanan masa depan yang tidak lagi boleh dielakkan.
Kemunculan Anak Didik: Masa Depan sebagai Gangguan Ideologi
Dalam The Pear Tree, kemunculan anak murid dan remaja intelektual berlaku secara tiba-tiba, lazimnya ketika Mahmūd berjalan sendirian atau termenung dalam ruang fikirannya. Mereka tidak diperkenalkan melalui perkembangan naratif yang jelas, sebaliknya hadir hampir seperti bayangan—datang tanpa persediaan dramatik dan menghilang tanpa penjelasan lanjut. Kehadiran ini tidak berfungsi sebagai watak sokongan konvensional, tetapi sebagai gangguan kesedaran yang memecahkan keasyikan Mahmūd terhadap nostalgia masa lalu.
Soalan yang mereka ajukan tentang bila buku akan siap dan sama ada Mahmūd masih mempercayai ideologi yang pernah ditulisnya tidak bertujuan menggerakkan plot ke hadapan. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai ujian terhadap kedudukan Mahmūd dalam masa kini. Anak murid membawa suara masa depan, namun bukan masa depan yang menjanjikan harapan atau kesinambungan. Mereka hadir sebagai tuntutan moral dan intelektual, memaksa Mahmūd berhadapan dengan jurang antara keyakinan yang pernah dipegang dan kehidupan yang kini terasa terhenti.

Dari sudut naratif, kemunculan mereka mengganggu aliran masa yang selama ini berlegar antara kehidupan semasa dan memori silam. Jika pokok pear mengaktifkan masa lalu melalui nostalgia reflektif, anak murid pula membawa tekanan masa depan, masa yang menuntut penjelasan dan tanggungjawab. Namun, masa depan ini tidak muncul sebagai arah yang jelas. Ia hadir dalam bentuk soalan yang tidak dijawab, keraguan yang tidak dirungkai, dan harapan yang tidak dipenuhi, menjadikannya sama rapuh dan tidak menentu seperti masa lalu.
Kemunculan remaja intelektual ini seterusnya menyingkap krisis ideologi Mahmūd. Mereka mengingatkannya tentang tulisan dan pendirian terdahulu, tentang keyakinan yang suatu ketika dibentuk melalui bahasa dan pemikiran. Namun, diam dan kekeliruan Mahmūd menandakan bahawa ideologi tersebut tidak lagi berfungsi sebagai pegangan hidup yang kukuh. Bahasa yang pernah menjadi alat keyakinan dan perubahan kini gagal menawarkan kiblat, seiring dengan kegagalannya menyiapkan buku baharu.

Dalam konteks ini, anak murid tidak mewakili kesinambungan intelektual, tetapi menjadi cermin kepada kegagalan tersebut. Mereka bukan pewaris idea, sebaliknya saksi kepada terhentinya proses pemikiran yang pernah bergerak. Kehadiran mereka menegaskan bahawa masa depan tidak semestinya membawa pembaharuan; ia juga boleh hadir sebagai beban, menuntut jawapan daripada sosok yang sudah kehilangan keupayaan intelektualnya.
Dengan itu, kemunculan anak murid memperluas wacana nostalgia reflektif dalam The Pear Tree. Jika memori mengikat Mahmūd kepada apa yang telah hilang, anak murid mengikatnya kepada apa yang belum disempurnakan. Masa lalu, masa kini, dan masa depan tidak bergerak sebagai garis lurus, tetapi saling bertembung dalam kesedaran subjek. Soalan tentang buku dan ideologi tidak menutup cerita, sebaliknya mengekalkan keadaan tergantung yang menjadi teras pengalaman hidup Mahmūd, hidup di antara memori yang belum selesai dan masa depan yang tidak lagi diyakini.

Penutup
The Pear Tree dapat difahami bukan sekadar sebagai kisah cinta yang hilang atau krisis seorang penulis, tetapi sebagai satu meditasi sinematik tentang kehidupan yang terperangkap dalam masa yang tidak selesai. Masa dalam filem ini tidak bergerak sebagai garis kemajuan, sebaliknya berlingkar melalui memori, kebuntuan kreatif, dan pertanyaan ideologi yang tidak menemukan jawapan. Pokok pear, peralihan warna, dan kemunculan anak murid menjadi mekanisme naratif yang mempertemukan masa lalu, masa kini, dan masa depan dalam kesedaran Mahmūd.

Nostalgia yang ditampilkan bukan nostalgia sentimental yang menawarkan kelegaan, tetapi nostalgia reflektif yang memaksa subjek berhadapan dengan kehilangan tanpa janji pemulihan. Masa lalu hadir tanpa dapat dipulihkan, masa kini kekal rapuh, manakala masa depan muncul sebagai tuntutan yang tidak pasti. Dalam keadaan ini, kebuntuan Mahmūd tidak lagi boleh dibaca sebagai kegagalan individu semata-mata, tetapi sebagai gambaran subjek intelektual yang kehilangan sandaran antara ingatan, bahasa, dan kepercayaan.
Dengan mengekalkan ketegangan ini hingga ke akhir, The Pear Tree memilih untuk tidak menawarkan penyelesaian. Filem ini membiarkan penonton tinggal seketika dalam ruang renungan, barangkali tentang bagaimana manusia terus hidup dengan memori yang belum selesai, dan tentang masa depan yang sukar dipercayainya lagi sebagai jawapan.

