Prawacana
Kepantasan revolusi digital pada paruh pertama abad ke-21 yang ditandai oleh geloraan fenomena kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), tidak hanya ‘berkecamuk’ melalui inovasi teknologi, namun turut membentuk semula struktur kuasa, budaya, serta krisis epistemologi masyarakat global.
Esei pada kali ini cuba untuk merenungkan kembali konsep hegemoni yang digagaskan oleh Antonio Gramsci sebagai kerangka dasar untuk memahami bagaimana kecerdasan buatan berfungsi sebagai alat untuk mendominasi budaya, cara berfikir, dan tatanan simbolik, khususnya melalui seni, media, dan citraan visual.
Dengan memberikan konsentrasi utama kepada konteks Jagat Selatan (Global South), termasuk negara kita Malaysia, kecerdasan buatan sebenarnya sedang ‘menciptakan’ bentuk hegemoni baharu. Ia bergerak serta bertindak melalui perintah algoritma, estetika digital, dan normalisasi makna.
Pada masa yang sama, pengaruh serta sanjungan kepada ekspresi kecerdasan buatan juga, sedang membuka ruang kepada praktik kontra-hegemoni melalui seni kritikal, literasi visual, dan peranan para intelektual organik.
Siapa susuk Gramsci?

Antonio Gramsci, pemikir Itali abad ke-20 yang berfahaman Marxis, memperkenalkan konsep hegemoni untuk menjelaskan bagaimana kekuasaan dalam masyarakat kapitalis tidak semata-mata dipertahankan melalui paksaan politik atau ekonomi, tetapi melalui persetujuan (consent) yang dibentuk dalam ranah budaya dan kesedaran harian.
Dalam konteks abad ke-21, persoalan hegemoni menjadi semakin relevan tatkala kuasa tidak lagi berpusat secara jelas pada negara atau institusi klasik, namun ia digerakkan melalui sistem teknologi kompleks seperti kecerdasan buatan, algoritma media sosial, dan ekonomi data. Kecerdasan buatan (A.I.) kini berfungsi sebagai infrastruktur budaya. Ia menapis maklumat, membentuk selera visual, menentukan ketampakan simbol, bahkan mempengaruhi cara manusia memahami realiti sosial.
Dalam dunia yang semakin dimediasi oleh imej, data, dan automasi, hegemoni tidak lagi hanya dihasilkan melalui sekolah, gereja, atau media massa tradisional, tetapi hadir bersama kod, antara muka, dan logik platform digital. Bagi masyarakat Jagat Selatan(Global South), termasuk Malaysia, perkembangan ini menimbulkan persoalan kritikal tentang kolonialisme baharu dalam bentuk digital dan epistemik.
Konsep Hegemoni dalam gagasan Antonio Gramsci
Bagi Gramsci, hegemoni merujuk kepada kepimpinan moral dan intelektual sesuatu kelas dominan yang berjaya menjadikan pandangan dunianya diterima sebagai sesuatu yang waras, malah dapat dipertanggugjawabkan (common sense). Hegemoni berfungsi melalui institusi masyarakat sivil seperti pendidikan, budaya, media, dan agama, yang secara halus membentuk kesedaran dan nilai masyarakat.
Gramsci membezakan antara dominance (penguasaan melalui paksaan) dan hegemony (penguasaan melalui persetujuan). Dalam konteks ini, peranan intelektual organik menjadi signifikan, yakni individu atau kelompok yang menghasilkan wacana, simbol, serta makna yang menyokong atau mencabar struktur kuasa sedia ada.
Hegemoni sentiasa bersifat dinamik dan tidak pernah mutlak. Ia sentiasa terdedah kepada cabaran kontra-hegemoni.
Kecerdasan buatan sebagai Tatanan Hegemoni Baharu
Dalam abad ke-21, kecerdasan buatan boleh difahami sebagai lanjutan dan transformasi mekanisme hegemoni. Algoritma pembelajaran mesin tidak bersifat neutral. Ia dibina berasaskan data, nilai, serta andaian tertentu yang mencerminkan kepentingan ekonomi dan ideologi pihak dominan.
Kapitalisme pengawasan menjadikan data manusia sebagai sumber eksploitasi baharu, manakala kecerdasan buatan bertindak sebagai alat pengurusan dan ramalan tingkah laku. Kecerdasan buatan menghasilkan apa yang boleh disebut sebagai algorithmic consent, iaitu persetujuan yang terbina melalui kebiasaan, kemudahan, dan kebergantungan pengguna terhadap sistem digital.
Pengguna tidak dipaksa untuk menerima logik platform, tetapi secara sukarela menyesuaikan diri dengannya kerana ia kelihatan efisien, rasional, dan tidak dapat dielakkan. Dalam kerangka Gramsci, inilah bentuk hegemoni yang paling berkesan.
Budaya Visual, Seni dan Estetika Algoritma
Seni dan budaya visual merupakan medan utama operasi hegemoni kecerdasan buatan. Algoritma menentukan imej mana yang harus serta menjadi tular, estetika apa yang dianggap menarik, dan naratif visual manakah yang mendapat ketampakan.
Dalam platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, atau sistem kecerdasan buatan generatif, estetika tertentu, yang dapat dihasilkan dengan sempurna, tapat, simetri, tentu sahaja boleh dikomersialkan, lalu dinormalisasikan pula sebagai sebuah piawai keestetikaan dan kreativiti.
Pemikir Jerman abad ke-20, Walter Benjamin pernah mengutarakan mengenai reproduksi mekanikal yang mengubah aura seni. Berkait itu, kecerdasan buatan mula melangkah lebih jauh dengan mengautomasi akan sifat kreativiti itu sendiri.
Apabila seni dijana, ditapis, dan dinilai oleh mesin, maka timbul persoalan sentral, siapakah subjek sebenar seni? Justeru, di sinilah hegemoni beroperasi pada tahap simbolik, apabila logik pasaran serta teknologi mula menentukan makna terhadap estetika.
Namun, seni juga berpotensi menjadi ruang kontra-hegemoni. Seniman dan pengamal budaya boleh mendedahkan bias algoritma, menyoal politik data, dan mencipta karya yang mengganggu common sense digital. Dalam konteks Gramsci, mereka berfungsi sebagai intelektual organik yang mencabar kepimpinan budaya dominan.

Media digital berasaskan kecerdaan buatan memainkan peranan penting dalam membentuk apa yang dianggap normal, munasabah, dan tidak dapat dipersoalkan. Algoritma carian, syor kandungan, dan saringan maklumat, menghasilkan ruang awam terfragmentasi yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada pengguna.
Fenomena ini bukan sahaja bersifat politikal, tetapi juga epistemik, yang mana ia menentukan apa yang dikira sebagai pengetahuan yang terabsahkan. Oleh yang demikian, tatkala kita membahaskannya dalam konteks Jagat Selatanisu ini menjadi lebih kompleks. Persoalan akan perihal bahasa, kebudayaan, seni dan sejarah tempatan sering terpinggir dalam ekosistem kecerdaan buatan, yang terang-terangan didominasi oleh data dan nilai dari wilayah Barat.
Ini menghasilkan bentuk hegemoni epistemik, di mana kearifan Jagat Utara (Global North) ditanggapi sebagai hal yang universal, manakala pengalaman Jagat Selatan usteru menjadi perkara yang terpinggir (periferi), malah eksotik.
Jagat Selatan, Malaysia dan Kolonialisme Digital
Bagi negara seperti Malaysia, kecerdasan buatan hadir dalam konteks pascakolonial yang belum sepenuhnya usai tuntas. Ketergantungan kepada teknologi, platform, dan infrastruktur asing mewujudkan bentuk kolonialisme digital, di mana data tempatan diekstrak, dianalisis, dan dimonetisasi oleh syarikat global.
Hegemoni tidak lagi datang melalui penjajahan fizikal, sebaliknya melalui piawaian teknologi, bahasa pengaturcaraan, dan imaginasi masa depan. Dalam pendidikan seni dan komunikasi visual, misalnya, sukatan pelajaran dan alat kecerdasan buatan sering berasaskan rujukan dari Barat, sekali gus membentuk common sense estetik yang tidak semestinya selari dengan konteks tempatan. Di sinilah keperluan untuk kesedaran kritikal serta pembinaan kontra-hegemoni menjadi mendesak yang utama.
Kecerdasan buatan dan Kemungkinan Kontra-Hegemoni
Walaupun kecerdasan buatan sering berfungsi sebagai alat hegemoni, ia juga mengandungi potensi emansipatoris. Melalui pendidikan kritikal, literasi digital, dan seni eksperimental, kecerdasan buatan boleh digunakan untuk mendedahkan struktur kuasa tersembunyi dan memperluas imaginasi sosial. Gramsci ada menyinggung bahawa hegemoni sentiasa bersifat rapuh dan boleh dicabar melalui pembentukan kesedaran baharu.
Peranan intelektual organik dalam era kecerdasan buatan adalah untuk menjembatani teknologi dengan keprihatinan etika, budaya, dan sosial. Ini termasuk pensyarah, seniman, pengkaji, dan pengamal media yang mampu mentafsir teknologi bukan sebagai takdir, tetapi sebagai medan perjuangan makna.

Rumusan
Dengan mencermati dan menginsafi perkembangan kecerdasan buatan melalui lensa hegemoni Gramsci, kita dapat memahami bahawa teknologi bukan sekadar alat, tetapi struktur budaya yang membentuk persetujuan, makna, dan imaginasi kolektif.
Dalam hal apresiasi seni, media, dan budaya visual, kecerdasan buatan berfungsi sebagai mekanisme hegemoni baharu yang beroperasi secara halus dan menyeluruh. Namun, seperti yang dipesan oleh Gramsci seabad sudah, “krisis berlaku apabila yang lama sedang mati dan yang baharu belum lahir.”
Makanya, dalam kesenjangan sebeginilah, akan bermuncul kemungkinan kontra-hegemoni. Bagi masyarakat Jagat Selatan, cabaran utama adalah membina kesedaran kritikal dan praksis budaya yang mampu merundingkan semula hubungan antara teknologi, kuasa, serta nilai-nilai kemanusiaan.
Rujukan
Benjamin, W. (2008). The work of art in the age of its technological reproducibility. Harvard University Press.
Floridi, L. (2014). The fourth revolution: How the infosphere is reshaping human reality. Oxford University Press.
Gramsci, A. (1971). Selections from the prison notebooks (terjemahan oleh Q. Hoare & G. Nowell Smith, Eds.). International Publishers.
Hall, S. (1997). Representation: Cultural representations and signifying practices. Sage.
Noble, S. U. (2018). Algorithms of oppression: How search engines reinforce racism. New York University Press.
Zuboff, S. (2019). The age of surveillance capitalism. PublicAffairs.
