Pada tahun 2014, saya telah menulis dua bahagian rencana bertajuk “Peningkatan Kos Hidup, Adakah Artis Akan Lebih Kreatif?”. Rencana ini telah disiarkan di The Malaysian Insider (TMI – 2009 -2016), sebuah portal berita yang membuka wacana seni sebagai sebahagian daripada sumbangannya kepada masyarakat.
Sedekad selepas itu, dunia seni telah berubah secara dramatik. TikTok, platform media sosial berasaskan algoritma, dan teknologi Artificial Intelligence (AI) kini menjadi sebahagian daripada ekosistem budaya global.
Dan ketika budaya digital berkembang, TMI sudah tiada. Namun, ketiadaan itu diambil alih oleh portal seni budaya seperti Senimalaya, yang memberi fokus untuk mengisi ruang wacana seni budaya kontemporari.

Tulisan kali ini bukan sahaja mahu melawat kembali (revisit) tulisan saya sedekad lalu. Tetapi ia juga cuba untuk melihat adakah pandangan saya sedekad dulu, masih releven pada hari ini. Ketika itu, saya cuba membincangkan bagaimana dasar kebudayaan dan hegemoni politik membentuk kreativiti dan kesedaran seniman di Malaysia.
Dalam rencana itu saya melihat hegemoni ini dari perspektif kos sara hidup yang pada ketika itu, menjadi hambatan kepada seniman untuk terusl berkarya sebagai wadah perjuangan dan punca rezeki.
Selepas 10 tahun, apa yang telah berlaku?
Untuk diri saya sendiri, kesedaran budaya dan politik telah berevolusi. Ada yang berubah kutub, ada yang berubah lebih mendasar, dan ada yang masih kekal — iaitu kesedaran.
Dalam konteks rencana yang saya tulis lebih 10 tahun lalu, terdapat perubahan daripada hal yang kompleks kepada yang lebih sofistikated dan sukar dimengerti. Inilah yang cuba saya bincangkan dan kongsikan dengan pembaca yang meminati wacana budaya.
II
Jika kita menoleh sedikit ke belakang, dahulu pendanaan kerajaan untuk kerja-kerja seni lebih tertumpu kepada institusi pendidikan dan agensi kebudayaan, seperti Balai Seni Negara (NAG), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Finas, DBP, malah termasuk juga beberapa kerat NGO kesenian.
Namun, karyawan akhirnya ‘tertipu’ dengan dana-dana ini. Semua dana itu akhirnya menjadi alat hegemoni kumpulan pentadbir industri seni budaya, kerana dana-dana yang dicurahkan kebanyakannya habis atau terhenti di agensi, yang terlimpah kepada karyawan mungkin ‘serdak’ sahaja.

Dana-dana yang asalnya dicipta untuk karyawan, dan itulah yang telah menuakan karyawan tanpa dapat menghasilkan karya besar yang menjadi ikon kebanggaan negara.
Mungkin ada sedikit karya yang agak popular, seperti filem-filem dari dana Finas, namun itu terhad kepada kejayaan kecil yang bersifat episodik dan segmented, bukan transformasi budaya yang lebih signifikan.
Selepas 10 tahun juga, saya sedar bahawa menyalahkan dana atau hegemoni agensi kerajaan, adalah sia-sia. Kerana saya sedar bahawa hegemoni ini ada ekosistemnya.
Dan, salah satu ekosistemnya ialah karyawan itu sendiri. Kelemahan dan kecurangan dalam kalangan segelintir karyawan jugalah yang menjadikan hegemoni ini semakin besar dan tidak tercabar.
Maka, dalam konteks ini, karyawan tidak boleh berpura-pura sebagai ‘mangsa’ hegemoni dan ‘mempersetankan’ dana atau kerajaan. Sebaliknya, kita semua perlu kembali bermuhasabah dan menanyakan apa cabaran sebenar kita dalam perjuangan ini.
Ketika teknologi yang hebat telah tiba, ia mendemokrasikan bidang kesenian dan kebudayaan. Seniman baru muncul dari pelbagai latar belakang, termasuk yang ‘tak sekolah-seni’ pun kini sudah mampu menghasilkan karya menggunakan AI.

Lebih membingungkan, sebelum seniman kita berjaya memanfaatkan ledakan teknologi ini, hegemoni teknologi terlebih dahulu menguasai kita, hingga memaksa kita kembali bertatih seperti anak kecil belajar berjalan.
Dalam rencana “Memahami Hegemoni Algoritme – Budaya Tanpa Wajah”, saya menyentuh bagaimana hegemoni algoritma dan AI mempengaruhi sikap dan cara kita berfikir, hingga kita hilang autonomi ekonomi. Namun, hegemoni algoritma ini tidak boleh dipersalahkan juga kerana perkembangan teknologi bukan dalam kawalan kita.
Namun, bagi mereka yang berjaya menguasai teknologi AI atau memahami cara algoritma TikTok, YouTube, dan Instagram bekerja, akan dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjana pendapatan dan membina pengikut, sekaligus mencipta autonomi ekonomi yang lebih besar daripada sebelum ini.
Misalnya, karya seni digital yang dihasilkan AI boleh dijual sebagai NFT (Non-Fungible Token), yang memberi peluang untuk pendapatan baharu yang sebelum ini tidak wujud.
Pendek kata, dalam dunia digital hari ini, tidak kira siapa kita – seniman, ahli politik, pelajar sekolah, atau Pak Haji, kita semua adalah konsumer tetap kepada teknologi digital. Keterikatan kita dengan teknologi digital, sukar untuk dielak.
III
Jika sebelum ini kita merasa terkepong dengan hegemoni dana kerajaan, tetapi kini kita terperangkap pula dengan hegemoni algoritma. Seolah-olah keluar mulut naga, masuk mulut buaya.
Justeru, apa yang patut kita lakukan dalam menghadapi hegemoni ini? Atau adakah jalan lain untuk kita bebas dari semua hegemoni ini?
Saya tidak ada jawapan yang tuntas untuk masalah ini. Tetapi saya ada beberapa andaian atau mungkin persoalan yang darinya, boleh membuka jalan ke hadapan, sekurang-kurangnya jalan ini dapat menahan kita daripada menjadi sebahagian daripada perosak budaya atau membiarkan diri kita dirosakkan oleh hegemoni teknologi.
Saya melihat semua ini sebagai satu kitaran pengalaman kreatif di mana keghairahan terhadap sesuatu trend digital atau teknologi akan memuncak, sebelum ia kembali reda dan memberi ruang untuk refleksi kreativiti yang sebenar.

Pada kemuncak keghairahan itu, kita mungkin rasa tertekan, rasa ketagihan, dan rasa hilang autonomi, tetapi apabila gelombang itu surut, kesenimanan akan kembali bernafas, akan menilai semula karya, dan akan dapat melahirkan karya dengan identiti yang kukuh.
Fenomena ini bukan sekadar cabaran digital, tetapi juga peringatan bahawa teknologi pada akhirnya hanyalah alat, dan bukan tuan kita; ruang untuk kreativiti sebenar sentiasa wujud apabila kita bersedia memahami dan menguasai kitarannya.
IV
Dalam menghadapi hegemoni yang semakin mengakar dalam ekosistem industri, kita perlu terlebih dahulu sedar: apa sebenarnya yang mengikat kita kepadanya? Jawapannya ialah sifat kebergantungan sama ada pada gajet, platform atau algoritma.
Kekeliruan kita pada hegemoni teknologi menyebabkan kita terus terikat dan menjadi hamba padanya, hingga kita terlupa bahawa yang menggerakkan teknologi itu sebenarnya kita juga.
Sama ada hegemoni politik, budaya, pasaran, atau algoritma, ia bukanlah soal melawan kuasa luar. Sebaliknya ia adalah proses memulihkan autonomi dalaman, mengembalikan martabat kreativiti, dan menuntut semula ruang untuk berfikir tanpa dikawal logik pasaran atau tekanan sosial.
Dalam dunia seni hari ini, hegemoni tidak lagi datang daripada negara, institusi, atau kuasa kapital sahaja, sebaliknya ia datang melalui algoritma yang memujuk, bukannya memaksa. Algoritma tidak menekan, tetapi memikat dan mengubah citarasa kita secara beransur-ansur, membentuk apa yang “layak” dipandang dan menentukan apa yang dianggap relevan.
Maka, perjuangan menentang hegemoni bukan bersifat konfrontasi atau memboikot teknologi, tetapi melalui kesedaran. Kesedaran bahawa: tidak semua yang popular itu berkualiti, dan tidak semua yang berkualiti akan segera menjadi popular.

Sama seperti yang pernah berlaku era 80-90an, kebanyakkan komposer menghasilkan lagu cinta lara dengan alasan ia kehendak pasaran. Ia tidak salah, tetapi tidak semestinya benar.
Pada era yang sama juga, kita telah melihat dalam sejarah bagaimana industri muzik berubah oleh karya-karya tulen seperti Sheila Majid, Zainal Abidin, M. Nasir – yang berjaya memecahkan pasaran yang homogen sebelumnya. Kekuatan mereka bukan pada algoritma, tetapi pada identiti seni – kejujuran dan kesedaran.
V
Untuk keluar dari perangkap ini, seniman, komuniti seni dan masyarakat perlu menuntut semula disiplin intelektual dan etika berkarya iaitu keberanian untuk tidak tunduk kepada metrik, kesanggupan untuk tidak menyembah ‘trending’, sebaliknya menjadi berani untuk kembali kepada kejujuran ekspresi.
Karya yang jujur mungkin lambat mendapat tempat, tetapi ia boleh bertahan lebih lama daripada karya yang dicipta sekadar untuk memenuhi citarasa yang dibentuk oleh hegemoni.
Akhirnya, menangani hegemoni bukanlah tentang memusnahkan apa yang berada di luar diri kita, tetapi menyembuhkan apa yang terhakis dalam diri kita iaitu kemampuan melihat nilai di luar angka, kemampuan menghargai proses berbanding cepatnya ia tular, dan kemampuan untuk terus berkarya walaupun dunia mendesak kita untuk menjadi sesuatu yang lain dari diri kita.
Saya berharap, pada dekad hadapan, kita akan lebih memahami dan bersedia menghadapi hegemoni yang baharu. Kerana akhirnya hanya ada satu perkara yang tidak akan berubah iaitu; kesedaran. Kesedaran itulah yang berhak dipelihara, itulah pembebasan yang paling asas dan paling radikal.
Artikel Peningkatan Kos Hidup, Adakah Artis Akan Lebih Kreatif?:
https://sg.news.yahoo.com/peningkatan-kos-hidup-adakah-artis-akan-lebih-kreatif-043642239.html
Nota Editorial:
Hegemoni (dari bahasa Yunani hēgemonia – dominasi) merujuk kepada kepimpinan atau dominasi satu kumpulan ke atas yang lain, bukan melalui paksaan tetapi melalui ‘persetujuan, normalisasi dan nilai’ sehingga idea idea dominan itu dianggap“biasa” atau“natural’. Konsep yang dimajukan oleh Antonio Gramsci, menekankan bagaimana kuasa dipelihara melalui kawalan budaya dan ideologi, sehingga membuatkan pihak yang dikuasai secara tidak sedar menyokong sistem yang menguasai mereka hingga sukar untuk ditolak. Ia boleh berlaku secara ekonomi, seni, sosio-budaya, atau dominasi politik melalui pengaruh ideologi dan intelektual.
