I
Peralihan kuasa pengaruh dalam sejarah manusia sentiasa berubah wajah. Daripada bangsawan feudal yang menentukan takdir rakyat, kepada agamawan dan politikus yang membentuk moral masyarakat, kemudian artis pop yang menguasai imaginasi massa, dan akhirnya hari ini; pempengaruh digital.
Namun di balik figura manusia itu semua, wujud satu kuasa yang lebih besar dan tersembunyi: algoritma.
Algoritma bukan manusia, ia tidak punya kompas moral, tidak ada kecenderungan politik dan tidak terikat oleh hukum mana-mana budaya. Ia hanyalah rangkaian arahan yang mengawal apa yang muncul di layar peranti teknologi kita.
Tetapi dalam dunia moden, ia telah menjadi gatekeeper utama maklumat, yang menentukan apa yang diangkat ke permukaan dan apa yang dibenamkan.
Jika bangsawan dahulu menentukan apa itu “adil”, ulama dan politikus menentukan apa itu “maruah”, dan artis budaya pop menentukan apa itu “cantik”, kini algoritma menentukan apa yang dianggap “penting”, “viral”, “utama” dan “layak ditonton”.
Ia bertindak seperti ketua kampung dalam masyarakat tradisi, yang memilih siapa boleh bercakap dan siapa patut diam. Bezanya, ketua kampung boleh ditegur sedangkan algoritma tidak boleh. Kerana ia adalah set program yang berada di balik skrin peranti, mengawal tanpa perlu bertanggungjawab.
Lebih lumayan, algoritma diprogramkan untuk mengangkat apa yang memicu emosi, bukan apa yang memperkukuh akal. Kerana itu konten sensasi — marah, lucu, kontroversi atau aksi bodoh lebih pantas menular berbanding konten ilmu. Dengan cara inilah terbentuknya sebuah imperium baharu; hegemoni algoritma.
Dalam konteks ini, kita merasa bebas memilih apa yang mahu ditonton, tetapi sebenarnya kita hanya memilih daripada apa yang telah disusun untuk kita. Kebebasan itu ilusi. Algoritma menakluk perhatian manusia, dan daripada perhatian itulah ia membina realiti baharu iaitu realiti yang kita sangka kita pilih, tetapi sebenarnya pilihan itu sudah diatur untuk kita.
II
Dalam dunia ekonomi, hegemoni algoritma lebih agresif. Ia bukan hanya membentuk tabiat membeli, tetapi turut mencorak cara masyarakat mentafsir nilai, harga, keperluan dan status.
Jika dahulu nilai ekonomi ditentukan oleh faktor nyata; mutu barang, rekod perniagaan, harga pasaran. Kini algoritma menentukan apa yang “berbaloi”, “paling dicari”, “trending” atau “mesti dibeli”.
Platform e-dagang, aplikasi makanan, media sosial, perbankan digital, semuanya memprofilkan sikap dan tabiat pengguna secara halus tentang apa yang kita klik, berapa lama kita menonton, apa yang kita suka, bila kita berbelanja.
Bukan lagi suatu yang menghairankan apabila dua orang yang tinggal serumah, membuka aplikasi yang sama, boleh menerima harga dan cadangan produk yang berbeza. Algoritma sedang dan telah memetakan dunia mikro-ekonomi kita secara individual.
Ia membina ekosistem perbelanjaan yang tailored untuk setiap orang secara individu. Ia memberi gambaran seolah-olah pilihan itu neutral, padahal ia sebenarnya curated mengikut kepentingan platform.
Dari sinilah muncul FOMO — ketakutan terlepas promosi terhad, tawaran eksklusif, dan potongan harga “masa terhad” yang sebenarnya direka untuk mencetus tekanan psikologi. Ia bukan sekadar menggalakkan pembelian; ia menormalisasikan ketagihan belanja.
Dalam budaya ini, video “haul”, “unboxing”, dan gaya hidup mewah diangkat kerana ia memicu emosi, dan emosi meningkatkan interaksi. Proses ini berjalan pantas dan lama kelamaan, ekonomi bukan lagi soal memenuhi keperluan, tetapi soal mengejar perhatian.
Dua kesan besar mula kelihatan yang seharusnya kita telah sedar. Pertama, autonomi ekonomi telah hilang. Hari ini kita sebagai pengguna menyangka telah memilih secara rasional, namun hakikatnya kita semua hanya mengikut jalan yang sudah digariskan oleh algoritma.
Dan kedua, kualiti bukan lagi pusat persaingan. Keutamaan hari ini telah beralih kepada siapa paling menarik perhatian, bukan siapa menghasilkan produk terbaik.
Senang cerita, ekonomi menjadi pentas persepsi, dan persepsi itu dimanipulasi sepenuhnya oleh algoritma.
III
Dalam seni dan kreativiti, hegemoni algoritma kini bergabung dengan ledakan teknologi AI, ia telah mencipta anjakan budaya paling besar dalam sejarah kreativiti manusia moden.
Dulu, menghasilkan lagu, ilustrasi, video atau filem memerlukan latihan bertahun-tahun. Hari ini, cukup dengan prompt, dan AI melakukan selebihnya.
Pendidikan dan latihan seni yang dulunya memakan masa, pengorbanan tenaga dan wang, kini boleh dipintas oleh teknologi AI. Generasi muda daripada pelbagai latar sosioekonomi kini mampu menghasilkan karya berkualiti seperti seorang profesional tanpa perlu studio, tanpa peralatan atau instrumen yang mahal, tanpa perlu guru seni. Ini satu bentuk pendemokrasian seni yang total.
Contoh paling ketara ialah artis digital hebat seperti Sofyank yang membuktikan kreativiti tidak lagi memerlukan ratusan kru produksi.
Namun di sebalik keterbukaan ini, terdapat sisi gelap yang semakin membesar, yang perlu dipeduli.
Pertama: erosi identiti pengkarya. Jika sesiapa boleh menghasilkan karya yang indah dalam sekejap waktu, apakah nilai kemahiran psiko-motor artis yang telah diasah bertahun-tahun? Senario ini, menyebabkan seni berpotensi menjadi homogen; cantik pada teknikal, tetapi kosong pada jiwa.
Kedua: kehilangan pekerjaan kreatif secara drastik. Pemuzik, pelukis, editor grafik, ramai kini terpaksa menguasai AI bukan kerana minat, tetapi kerana untuk bertahan hidup.
Ketiga: Isu hak cipta. Ini adalah isu paling besar dan paling rumit untuk diselesaikan hingga kini. Hal ini kerana AI dilatih menggunakan jutaan karya manusia tanpa izin eksplisit.
Persoalannya, siapakah pemilik karya yang terhasil dari AI? Adakah pencipta AI? Atau pengguna yang memberi arahan — prompt? Atau ribuan artis dan seniman yang karyanya dijadikan data AI tanpa pengetahuan mereka?
Pertikaian hak cipta hari ini semakin memuncak di seluruh dunia. Tak cukup ruang untuk saya catatkan di sini. Tetapi apa yang jelas, undang-undang sedia ada tidak bersedia menghadapi tekanan revolusi ini.
Akhirnya, tidak dapat tidak, kerajaan perlu menggubal polisi baharu yang jauh lebih kompleks daripada perdebatan seni yang biasa.
IV
Dalam segala hiruk-pikuk perubahan ini, timbul satu persoalan besar dalam falsafah seni: Adakah seni ciptaan AI mempunyai jiwa? Jika ya, apakah teori seni yang menyokong keberadaan ‘jiwa’ dalam hasil ciptaan AI?
Seni manusia tumbuh daripada pengalaman, trauma, memori dan rasa yang tak bersempadan. AI tidak memiliki sebarang pengalaman eksistensial seperti manusia. Ia hanya meniru corak, bukan merasai sepertimana manusia menangis atau berpeluh.
Apa yang dihasilkan oleh AI memang menakjubkan, tetapi adakah ia menyentuh kesedaran manusia seperti menikmati seni yang sejati?
Sebahagian pengkritik mendakwa seni sedang bergerak ke arah estetika kosong — cantik, cepat, murah dan tidak terbatas, tetapi kehilangan roh manusia. Ini bukan sekadar perubahan alat kreatif, ia transformasi nilai budaya.
Dan semua ini belum lagi kita sentuh dimensi algoritma dalam sosio-politik. Dari Arab Spring ke Sri Lanka, dari Nepal ke Bangladesh — algoritma tidak lagi sekadar penyusun konten, tetapi pemangkin gerakan massa. Kesan politiknya adalah satu perbahasan lain yang lebih dalam dan lebih berbahaya.
Tidak boleh disangkal, algoritma dan AI kini menjadi tulang belakang kehidupan moden, mengawal cara kita berfikir, bekerja, membeli, berkarya dan berinteraksi.
Teknologi ini membawa manfaat yang tidak dapat dinafikan, tetapi pada masa sama ia telah mengurung manusia dalam ekosistem digital yang memusatkan kuasa kepada segelintir pihak. Siapa dia?
Kita tidak boleh melarikan diri daripada hegemoni baharu ini. Tetapi kita boleh membina kesedaran agar tidak hilang arah, tidak hilang autonomi dan paling penting, tidak hilang sisi kemanusiaan dalam dunia digital yang semakin tidak berwajah.

Alhamdulillah..