“Art, in Hegel’s view, portrays the human spirit, at first in a bodily form, later in a more spiritual form.”
PEMIKIR dan ahli falsafah Jerman, G.W.F. Hegel (1770-1831) melayarkan gagasan-gagasan fikir tentang estetika, melalui siri syarahannya yang beragam. Di dalam naskah ‘Introductory Lectures on Aesthetics‘, Hegel menyikapi seni sebagai ‘wasilah’ bagi pengungkapan kebenaran secara simbolis.
Ahli falsafah ini menetapkan estetika kepada tiga asas utama iaitu:
I. Seni Ideal (Symbolic Art): Merupakan seni yang berkaitan dengan simbol dan belum sepenuhnya mampu untuk mengekspresikan kebenaran. Contohnya, adalah kesenian Timur di zaman kuno.
II. Seni Romantis: Hegel berpandangan bahawa seni romantis adalah suatu percubaan untuk menyelaraskan kebenaran dengan keindahan. Seni yang mempunyai kecenderungan ekspresi keghairahan, eksploratif dan tidak pula terikat oleh aturan-aturan yang ketat.
III. Seni Klasik: Dicermati sebagai satu pencapaian tertinggi, di mana kebenaran dapat dijelmakan sepenuhnya melalui ekspresi keindahan. Seni klasik memiliki kesempurnaan formal, yang menggabungkan kebenaran dengan tatanan estetika.
Walaupun seringkali membicarakan estetika dan kebenaran, Hegel turut menekankan konsep “rasa” (Geist) di dalam seni, yang dirujuki semacam ‘roh’ kolektif, yang dirujuki sebagai cerminan dalam sesebuah karya. Hegel menganggap seni sebagai suatu bentuk pengungkapan falsafah yang dapat mengkomunikasikan idea serta kebenaran, melalui medium estetika.
Idealisasi seni
Hegel berpendapat bahawa seni pada akhirnya, mengarah kepada pengungkapan idea-idea atau ‘roh’ mutlak. Hal ini juga merupakan pijakan utama beliau, saat meneroka dan menggerakkan faham ‘absolute idealism‘ (idealisme mutlak), yang menggelegakkan panggung kefalsafahan Jerman pada abad ke-19. Mutlak (absolute) adalah roh yang mengungkapkan diri dalam alam. Hakikat roh itu sendiri merupakan idea atau alam fikiran. Idea mutlak merujuk kepada zat dan maha kuasa Ilahi, sedangkan idea berfikir adalah gerak (kerja), yang menjana segala macam hasil-hasil pemikiran serta karya-karya seni.
Pembentukan karakter
Melalui karya seni, kebenaran dan keindahan itu seolah-olah menyatu, menciptakan pemahaman mendalam tentang kemanusiaan serta kewujudannya di alam semesta. Hegel percaya bahawa apresiasi seni dapat membentuk karakter individu dan masyarakat. Seni memiliki potensi untuk mendidik serta mengangkat nilai moral, menciptakan hubungan emosional yang mendalam, di antara karya seni dan para penikmatnya.
Pertentangan dan resolusi
Dalam estetika Hegelian, pertentangan dan konflik merupakan elemen yang wujud serta bermunculan dalam seni. Namun, melalui ‘regangan’ ini, ia bakal menciptakan pula sintesis atau penyelesaian (resolusi), yang berupaya untuk membawa sebuah pemahaman baru, bahkan membina harmonisasi dalam ekspresi estetik.
Akhir seni
Hegel membahas, bahawasanya seni telah menjadi medium untuk sesuatu kebenaran dan keindahan itu tersebar, serta berkembang dengan meluas. Meskipun, dengan perkembangan falsafah dan pemahaman intelektual, seni berkemungkinan cenderung untuk beralih ke bentuk-bentuk yang baru, atau malah ‘merasuk’ ke dalam ranah-ranah pengetahuan yang lain, seperti dibidang kesusasteraan serta falsafah. Justeru, barang diingat bahawa pandangan Hegel tentang seni itu, tercermin dalam konteks sejarah dan pemikiran filosofisnya, serta interpretasi ke atas setiap karya seni, dapat ditanggapi secara beragam serta bervariasi.
Posisi seni halus dalam gelora falsafah Hegelian
Dalam gagasan Hegel, seni halus (fine arts) atau disebut juga seni yang paling tinggi, diposisikan pada tahap seni klasik. Seni halus merupakan ‘penjelmaan’ kebenaran atau idea tertinggi, yang terungkap secara langsung melalui keindahan dan bentuk-bentuk formalistik. Hegel berhujah bahawa seni halus adalah manifestasi tertinggi daripada ‘roh’ dan keindahan, lantas menyatu dalam wujudnya yang sempurna.
Melalui seni klasik, Hegel menemukan penyatuan yang ideal di antara materi dan bentuk, antara idea dan realiti. Seni halus mampu untuk menjulang kebenaran serta keindahan, dalam kesempurnaannya yang harmonis. Karya seni klasik tidak hanya memenuhi aturan formal, namun telah mencapai ekspresi yang paling dalam, daripada segenap idea atau ‘roh’ yang ingin diungkapkannya.
Mustahak untuk kita fahamkan, bahawa pandangan Hegel tentang seni halus terbias melalui konteks falsafah estetikanya yang lebih luas, serta dapat pula untuk bervariasi, bergantung kepada interpretasi dan pemahaman individual. Hegel menganggap seni sebagai medium yang kuat untuk merangkum kesatuan, bagi mencapai tingkat teragung dalam perkembangan seni.
Berlandaskan itu, konteks seni halus dalam pandangan filsafat Hegel berpaksikan:
I. Kesejagatan dan Pengkhususan: Hegel menekankan bahawa, seni halus memiliki sifat sejagat yang bukan hanya mampu untuk merangkum konsep atau idea secara umum, tetapi juga dapat mempertahankan keunikan atau pengkhususan, yang membuatkan sesuatu karya itu terzahir indah dan penuh makna.
II. Wujudnya Keindahan Mutlak: Seni halus, khususnya dalam citraan seni klasik, dianggap oleh Hegel sebagai wujud keindahan mutlak (sepenuhnya). Ini mencerminkan pemahaman yang mendalam tentang hakikat serta keindahan yang bersifat abadi dan tidak tergantung pada keadaan atau zaman tertentu semata-mata.
III. Keampuhan Gagasan: Hegel mengakui akan kepentingan sesuatu gagasan (subjektiviti), dalam apresiasi seni halus. Meskipun seni halus memiliki dimensi objektif dalam ungkapan kebenaran, pengalaman subjektif individu masih memainkan peranan kritis dalam memahami serta merasakannya.
IV. Rasa Keestetikaan: Dalam seni halus, terdapat detik (momen) estetisisme, di mana keindahan dan kebenaran itu dianggap menyatu. Hal ini berupaya untuk menciptakan pengalaman estetik yang mendalam serta memberikan pemahaman yang lebih baik tentang sesuatu hakikat kenyataan.
Di atas segalanya, apa yang lebih menarik, Hegel justeru telah mengkiaskan falsafah seni dengan institusi keimanan dan keniscayaan. Seni dalam pengamatan Hegel, seumpama menyediakan ‘karya’ dalam pandangan ‘keagamaan’ (dalam konteks serta inspirasi Kristian), yang menyeluruh tentang seni. Seni bina, menurutnya, menyediakan kuil, gereja atau sinagog buat Tuhan, seni arca atau seni mematung, merepresentasikan ‘Tuhan’ yang mendiami kuil, gereja atau sinagog itu tadi, manakala catan, lukisan, muzik dan puisi-puisi moden pula, mempersembahkan ‘komuniti’ yang asyik memuja-muja Tuhan.
(‘He attempts to accomodate it within an overarching religious view of art. Architecture, he argues, provides the temple of the god; sculptures provide the god who is dwell in the temple; and the modern arts of painting, music and poetry portray the ‘community’ that worships the god’- Introductory Lectures on Aesthetics, halaman xxii).
********************
Rujukan
Hegel (2004). Introductory Lectures on Aesthethic (diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Bernard Bosanquet). London: Penguin Books.
G.W.F. Hegel (2012). Filsafat Sejarah (‘The Philosophy of History’, diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh Cuk Ananta Wijaya). Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
