LUMRAHNYA, kita mudah terikat dengan sesuatu yang dekat dengan diri sendiri. Boleh jadi filem kegemaran, lagu dan drama menenangkan atau beberapa tempat istimewa. Semua itu bermakna. Kesannya mungkin agak besar bagi sesetengah orang. Kerana itu, saya sedia berkongsi cerita terikat versi saya.
Jadi, saya memilih pendekatan menulis yang agak berbeza. Mahu berkongsi tentang muzik Hindia dan Lomba Sihir dari Indonesia serta soniknya yang mengikat.
Format Pentas Sihir (Hindia + Lomba Sihir) dibawakan khas untuk peminat-peminat mereka di Malaysia sempena Here Comes The Sun Eater (HCTS) 2024 yang berlangsung pada 8 Disember 2024 di Zepp Kuala Lumpur. Usaha sama Sun Eater dan TAPAUasia diteruskan di tahun kedua setelah HCTS 2023.
Akhirnya, ia menjadi tarikh saya meraikan hari-hari dahulu. Hari-hari silam ketika hanya mampu mendengar Hindia dan Lomba Sihir di platform strim.
Sweetass (Malaysia) dan Rub Of Rub (Indonesia) terlebih dahulu beraksi menghiburkan ribuan yang hadir. Ada beberapa momen spontan yang saya ingat.
Disebabkan belum pernah merasai keuntungan besar, sewaktu mendengar lirik “tunggulah saja bulan ‘kan ke riba” oleh Sweetass dalam lagu Haruan Cina, saya rasa tidak perlu berharap apa-apa. Tunggu sajalah. Sempat saya termenung dan memujuk diri.

Sekitar 8.40 malam, tirai pentas dibuka semula. Begitu kuat rasa teruja menyapa sampai saya tersenyum sendiri. Ahli-ahli Pentas Sihir di posisi masing-masing. Dibarisi Baskara/Hindia (vokal), Natasha Udu (vokal), Rayhan Noor (guitar/vokal), Tristan (keyboard), Enrico (drum) dan Adrian (bass).
Hati dan Paru-Paru sebagai lagu pembuka tak membuat peminat menunggu lama untuk mula menari dan melompat. Tangan-tangan ke udara untuk jari-jari membentuk hati apabila lirik “kau jaga hati dan paru-paru / dari taring tajam malam minggu” dinyanyikan. Gambar- gambar yang dikongsi peminat di laman sosial juga sangat indah. Seakan melodinya kedengaran di setiap bentuk hati.
Nirrrlaba antara lagu Lomba Sihir yang menjadi kegemaran saya. Tenaga Natasha Udu dalam lagu ini saya nantikan. Melihat beliau selesa menjadi diri sendiri di atas pentas terasa nyaman sekali.
Gerak geri Udu dari kiri ke kanan pentas penuh semangat dan ceria, ditambah pula keserasiannya dan Baskara/Hindia. Mereka berjaya tampilkan persembahan berkualiti dengan komunikasi sesama ahli serta interaksi bersama peminat.
Setelah beberapa lagu, tiba giliran Janji Palsu pula. Lagu paling mencengkam untuk dinyanyikan. Rapuhnya saya hanya Tuhan yang tahu. Saya semat bait “kata-kata kosong yang kerap ku jual / kali ini menuntut tumbal” di kepala sedalam-dalamnya. Ibarat, saya perlu menanggung balasan atas segala ucapan dan perbuatan yang mustahil ditebus balik.
Saya sendiri tak yakin untuk berdiri, menyanyi dan melompat selama dua jam tanpa minuman di tangan. Lagu ke lagu bertukar, saya masih menikmati setiap saat tanpa mahu berganjak sedikit pun. Pentas Sihir mengikat saya di lantai Zepp.
Mendengar Satu Hari Lagi, Evaluasi dan Ribuan Memori menarik saya ke satu petempatan asing, di mana saya perlu merayu untuk diberi peluang sehari saja lagi. Namun, dalam masa sama harus saling mengikhlaskan. Ketiga-tiga lagu pilihan dijadikan remedi agar saya mampu jalani hidup pada esok hari. Jika ia kedengaran merapu di fikiran anda yang membaca, tak apa.

Oh, Cincin sebagai lagu penutup! Melengkapi sebuah fenomena. Beralun gembira dan bersikap menerima. Titik hidup sederhana yang diminta, dicintai dan mencintai apa adanya, saya aminkan untuk semua. Magis Pentas Sihir terabadi sempurna.
Selesai persembahan, lagu Membasuh dinyanyikan peminat beramai-ramai. Seakan mengucap kata perpisahan kepada Pentas Sihir. Saya bungkam seketika, menyedari bahawa malam itu berakhir dengan cukup pantas. Sayu perlahan-lahan datang, namun saya sembunyikan.
Dengan ribuan memori yang menjengah, saya letak dalam galeri kenangan. Semoga ada rezeki lain untuk menonton mereka lagi.
Sebanyak 19 lagu dibawa, semuanya dari dua album Hindia: Menari Dengan Bayangan dan Lagipula Hidup Akan Berakhir serta satu album Lomba Sihir: Selamat Datang di Ujung Dunia (termasuk single Ribuan Memori). Cukuplah untuk sementara waktu. Biar semuanya hangat dalam ingatan.
Pada awal penulisan ada saya sebutkan cerita terikat. Selama mana saya mampu bergantung kepada muzik mereka? Tak pasti. Tak mahu keterikatan ini terputus begitu saja.
Saya percaya, muzik akan selamanya menjadi pengikat rasa antara pembikin dengan pendengar.
– LYKA FUTRA merupakan seorang penggemar muzik yang mula menulis perihal muzik tempatan pada 2023 di bawah laman Noisy Headspace dan menjadikan genre rap Malaysia sebagai fokus utama.

